Tuesday, August 18, 2009

Hadiah untuk ibu

Oleh Rashidi Karim
am@hmetro.com.my


KANGAR: Penerima Anugerah Pingat Emas Canselor Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Alida Abdullah dari Machang, Kelantan, menganggap anugerah itu sebagai hadiah kepada ibunya yang banyak mendorongnya selepas kematian bapa.

“Ibu yang banyak mendorong saya belajar bersungguh-sungguh, selain tidak jemu berdoa untuk kejayaan saya. Allhamdullilah, saya dapat membalas pengorbanan ibu dengan memperoleh anugerah ini,” katanya selepas majlis konvokesyen berkenaan di Dewan 2020 di sini, semalam.

Alida, 23, antara dua graduan yang menerima anugerah berkenaan daripada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

“Ibu saya, Che Mek Seman amat mengambil berat mengenai pendidikan serta kerap menghubungi saya bagi mengetahui perkembangan sepanjang tiga tahun saya berada di UniMAP.

“Lagi pula saya anak bongsu daripada 11 beradik. Justeru, ibu memberi tumpuan lebih terhadap saya,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bahan itu.

Che Mek bersama sembilan abang dan kakak Alida hadir meraikan kejayaannya. Bapa Alida, Abdullah Ibrahim, meninggal dunia ketika dia berusia 12 tahun.

Mengenai cita-citanya, Alida berkata, dia akan meneruskan program pengajian dalam bidang kejuruteraan bahan sehingga ke peringkat sarjana di UniMAP sebelum merealisasikan impiannya menjadi pensyarah.

“Saya mungkin menjadi pensyarah di UniMAP selepas tamat pengajian peringkat sarjana dan secara tidak lansung membalas jasa universiti ini yang banyak membantu,” katanya.

Terdahulu, Raja Muda selaku Canselor UniMAP berkenan berangkat menyampaikan ijazah dan diploma kepada 1,012 graduan sempena konvokesyen berkenaan. Turut berangkat, Raja Puan Muda, Tuanku Laillatul Shareen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor UniMAP.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Husin.

Sementara itu, Kamarudin pula meminta graduan supaya tidak menggunakan kepakaran dan kemahiran yang diperoleh di UniMAP untuk melakukan kegiatan tidak berfaedah serta boleh mengundang kemudaratan kepada negara.

“Saya harap mereka tidak terbabit dengan kegiatan atau diperalatkan kumpulan penganas untuk membuat bahan letupan. Graduan perlu menggunakan kemahiran untuk kebaikan negara.

“Walaupun mereka berkemampuan mencipta bahan letupan, namun saya yakin graduan kami bebas daripada kumpulan ekstrimis atau mempunyai talian dengan kumpulan pengganas,”
katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...