Wednesday, February 4, 2009

Ibu kembar lapan tiada suami - Nadya Suleman guna teknik in vitro

KELUARGA Chukwu dari Houston pernah menggemparkan Amerika dengan kelahiran kembar lapan. Bagaimanapun seorang daripada mereka meninggal dunia.


Kelahiran kembar lapan di California, Amerika Syarikat (AS) pada 26 Januari lalu di Kaiser Permanente Bellflower Medical Center, California, hampir memadamkan rekod keluarga Chukwu dari Houston yang kini sedang membesarkan tujuh anak kembar mereka setelah kematian seorang daripada lapan kembar mereka.

Bagaimanapun, bukan berita itu yang semakin kuat menggemparkan AS. Sebaliknya masyarakat profesional dan bukan profesional menjadi berang dengan tindakan doktor yang terlibat dalam proses memperoleh kembar lapan itu sedangkan si ibu sudah pun mempunyai enam orang anak termasuk dua kembar.

Perdebatan tentang etika berterusan, termasuklah tentang sama ada si ibu dan anak-anaknya dapat meneruskan hidup dengan sebaiknya selepas ini tanpa perlu mengharapkan bantuan jabatan kebajikan masyarakat.

Namun, di sebalik semua itu, kesemua lapan orang anak Nadya Suleman, 33, enam perempuan dan dua lelaki, dilaporkan sihat dan kuat biarpun dilahirkan sembilan minggu lebih awal daripada tarikh kelahiran yang dijangkakan.

Nadya sekeluarga kini tinggal di rumah satu tingkat sederhana milik ibu bapanya di Whittier, California, bersama enam lagi anaknya yang berumur antara dua hingga tujuh tahun.

Kawan Nadya, Jessica Zepeda, berkata wanita itu dan keluarganya tidak mempunyai masalah untuk membesarkan kesemua 14 orang anak itu. "Dia (Nadya) kini tidak bergantung kepada kebajikan. Dia seorang ibu yang hebat dan akan mampu menjaga kesemua anak-anaknya dengan baik," katanya.

Rekod mahkamah bagaimanapun menunjukkan ibu Nadya, Angela, telah memfailkan status bankrap pada Mac lalu. Namun, setelah gagal menjelaskan jumlah bayaran yang sepatutnya dan bertemu dengan pemiutang, kes Angela itu kemudiannya digugurkan.

Menjadi wanita kedua di AS yang melahirkan kembar lapan, Nadya dikatakan mendapat zuriat berganda itu sama ada melalui teknik in vitro, atau teknik yang lebih popular dalam kalangan wanita moden, iaitu menggunakan ubat kesuburan yang menggalakkan penghasilan sel telur.

Teknik sebenar, bagaimanapun, tidak dapat disahkan memandangkan doktor yang bertanggungjawab 'memberi' kembar lapan itu masih gagal dikesan.


KEDIAMAN Nadya di Whittier, California di mana dia membesarkan enam orang anaknya yang lain.


Namun, nenek kepada 14 orang cucu itu, Angela, berkata anaknya menjalani teknik kesuburan in vitro berikutan mempunyai masalah saluran falopio tersumbat yang menyebabkannya menghadapi kesukaran untuk hamil.

Tambahnya, anaknya yang masih belum berkahwin itu mendapat kesemua anaknya melalui kaedah yang sama. Malah Nadya juga dikatakan mula taksub untuk melahirkan anak sejak remaja.

Selepas menerima 14 orang cucu, Angela mengharapkan Nadya akan menghentikan rawatan kesuburan itu.

"Semuanya sudah berakhir. Ia perlu berakhir di sini. Nadya sudah mempunyai enam orang anak sebelum ini tanpa suami di sisi," kata Angela.

Bekas Presiden Persatuan Perubatan Reproduktif Amerika, Dr. David Adamson, berkata pencapaian itu seperti menghina kepakarannya memandangkan beliau sendiri tidak pernah berjaya melakukannya.

Pengarah Pakar Kesuburan California Utara, Adamson, pula mengatakan: "Dalam masa 30 tahun menjadi pengamal perubatan, saya tidak pernah menjalankan rawatan kesuburan ke atas wanita yang sudah mempunyai enam orang anak, atau mendengar tentang kes yang sama."

Arthur Caplan, pengerusi etika bio di University of Pennsylvania berkata, perhatian tidak diberikan secukupnya terhadap kesihatan kembar itu.

Bayi kembar dalam bilangan yang besar lazimnya pramatang dan tidak terbentuk dengan sempurna. Pada kebanyakan masa mereka mempunyai masalah kesihatan dan sekali gus dikatakan akan meningkatkan premium insurans.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0201&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...