Sunday, November 16, 2008

Pendam perasaan kerana takut


Oleh ISMAIL MUHAMAD
am@hmetro.com.my



KOTA BHARU: Perasaan takut serta kurang pengetahuan dan kesedaran mengenai undang-undang menyebabkan ramai wanita yang didera suami secara mental dan fizikal tidak membuat sebarang laporan kepada pihak berkuasa.

Peguam syarie, Che Rosmah Mohd Zain, berkata ramai wanita yang didera suami juga tidak mengetahui saluran yang ada untuk merujuk masalah mereka dan lebih rela memendam perasaan.

Menurutnya, kekurangan maklumat dan pengetahuan mengenai undang-undang juga menyebabkan golongan itu tidak mengetengahkan masalah mereka.

“Bagaimanapun, dengan sesi penerangan berkaitan prosedur dan undang-undang yang diadakan, wanita kini mula memahami dan mengetahui hak mereka bagi menangani masalah dihadapi kepada pihak berkuasa,” katanya pada Seminar Rumah Tangga Berkat di Balai Islam Lundang, di sini, semalam.


Pada seminar itu, beliau membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Mas kahwin dan Implikasinya Dalam Perkahwinan’.

Ahli panel lain terdiri daripada pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Mohd Azhar Abdullah dan Kadi Jajahan Kota Bharu, Suratemi Mat Yusoff.

Seminar itu dianjurkan Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Kerajaan negeri bagi memberi penjelasan mengenai konsep sebenar rumah tangga berkat bermula daripada proses memilih jodoh hingga berlangsung perkahwinan.

Ia juga bertujuan melahirkan masyarakat yang faham berkaitan amalan perkahwinan yang selari dengan tuntutan Islam seterusnya dipraktikkan dalam kehidupan.

Beliau berkata, pasangan yang menghadapi masalah perlu segera merujuk masalah mereka kepada pejabat agama untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan.

“Melalui cara itu, pihak berkuasa dapat memanggil pasangan suami isteri untuk diberi kaunseling bagi mengelak masalah menjadi lebih serius terutama dalam kes dera yang begitu kurang dilaporkan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20081115174134/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...