Friday, June 25, 2010

Sijil lahir bukan makna rakyat Malaysia

2010/06/25

KUALA TERENGGANU: Mempunyai sijil kelahiran tidak bermakna seseorang individu itu secara automatik mendapat kewarganegaraan Malaysia kerana ia dikeluarkan kepada semua individu yang lahir di negara ini.

Bagaimanapun, bagi warga asing mereka perlu membuat rujukan kewarganegaraan anak dilahirkan itu di negara asal.


Semalam, Harian Metro melaporkan seorang pemuda, Mohamad Firdaus Othman, 20, buntu apabila usahanya mendapatkan MyKad tidak berhasil meskipun mempunyai sijil kelahiran negara ini.


Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri, Abu Bakar A Rahman berkata, setiap kelahiran bayi di negara ini diberikan sijil kelahiran sebagai tanda kelahiran itu berlaku di negara ini.


Merujuk kepada kes Firdaus yang kedua-dua ibu bapanya warga Thailand, Abu Bakar berkata, dia tidak layak mendapatkan MyKad kerana ibu bapanya bukan rakyat negara ini.


Katanya, walaupun Firdaus dilahirkan di negara ini, itu tidak bermakna dia mendapat kewarganegaraan secara automatik, tetapi sekiranya salah seorang ibu atau bapanya warga tempatan, dia layak mendapat kewarganegaraan.


Beliau berkata, pemuda terbabit boleh memohon mendapatkan kewarganegaraan, tetapi perlu mengikut prosedur serta syarat yang ditetapkan perlembagaan negara.


“Remaja berkenaan a warga Thailand dan sepatutnya selepas kelahirannya 20 tahun lalu, keluarganya perlu ke negara asal membuat segala dokumen kewarganegaraan bagi mengelak kesulitan seperti dialami sekarang.


“Saya merasakan dia boleh merujuk semula kepada pihak berwajib negara asal ibu bapanya,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/SijillahirbukanmaknarakyatMalaysia/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...