Thursday, January 15, 2009

Makin ramai gemuk


KUALA LUMPUR: Peningkatan kes penyakit kronik dan masalah obesiti adalah trend yang amat membimbangkan di Malaysia pada masa ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican.

Beliau berkata, melakukan perubahan dalam sistem penjagaan kesihatan masih belum mencukupi untuk meningkatkan tahap kesihatan di negara ini.

“Malahan kita perlu melakukan perubahan drastik dan menggunakan pendekatan baru dalam pembangunan kesihatan dan dasar kesihatan,” katanya di sini.

Dr Ismail berkata, masalah utama dalam menyelesaikan beberapa isu berkaitan kesihatan awam berkaitan dengan penyakit tidak berjangkit di negara ini ialah perubahan sikap.

“Bagaimana kita nak mengubah masyarakat supaya berminat dan komited untuk berubah sikap,” soalnya.

“Kita telah sebarkan pelbagai maklumat melalui media, seminar dan perbincangan, tetapi masih lagi belum berjaya.”

Beliau menggesa pakar Kesihatan Awam agar menjalankan penyelidikan dan menjalin rangkaian dengan rakan mereka dalam sektor dan bidang lain di dalam negara dan antarabangsa untuk merumuskan strategi inovasi untuk menangani cabaran berkenaan.

Dr Ismail berkata, juga wujud kebimbangan awam mengenai isu seperti keselamatan makanan, pencemaran alam sekitar akibat agen kimia dan kesan perubahan iklim terhadap kesihatan.

“Impak perubahan iklim mempunyai kaitan langsung dengan penyakit bawaan vektor, bawaan air dan bawaan makanan yang menjejaskan pembiakan, pembangunan dan survival mikrob dan vektor, yang akan menjejaskan tahap dan masa penularan wabak penyakit.

“Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjangkakan dan mengambil langkah untuk merumuskan strategi inovasi untuk mengurangkan ancaman itu,”
tegasnya.

Beliau menggesa mereka untuk mula memikirkan strategi itu sekarang daripada menunggu pihak lain untuk mempelawa mereka agar mula memikirkan. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090114091025/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...