PETALING JAYA: “Macam mana anak yang dijaga dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang memperlakukan saya begini? Binatang pun tahu makna sayang,” luah Pak Atan, 74, yang tinggal di pondok daif bersama isterinya di sini sejak September lalu, selepas dihalau anak kandungnya.
Lebih menyedihkan, pondok berkenaan hanya terletak bersebelahan rumah didiami wanita itu bersama suami dan empat anaknya.
Menceritakan peristiwa perit itu, Pak Atan berkata, dia tidak menyangka anaknya, Sara, 40-an, tergamak menghalaunya kerana sejak kecil dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai bapa.
Sama ada daripada segi pendidikan agama, pelajaran dan keperluan harian, semuanya cuba dipenuhi meskipun terpaksa bertarung nyawa demi memberikan sesuap nasi kepada anak tunggal kesayangannya.
“Siapa tak sayang anak, ditambah dia satu-satunya zuriat kurniaan Tuhan kepada kami. Pendek kata, dialah racun dialah penawar.
“Sejak berkahwin dan memiliki pekerjaan baik membuatkannya semakin kurang ajar dan bongkak hingga lupa siapa saya,” katanya dalam nada kecewa ketika ditemui Metro Ahad di pondok buruknya.
Menurut Pak Atan, semuanya berpunca apabila dia meminta pertolongan anaknya membayar bil elektrik berjumlah RM250 yang sebelum ini dilakukan olehnya.
Itupun disebabkan dia mahu bergegas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk ke Sumatera, Indonesia melawat saudara maranya di sana.
Sepanjang menduduki rumah miliknya, Pak Atan tidak pernah meminta wang anaknya untuk membayar bil elektrik, air mahupun cukai pintu.
Selepas tiga minggu pulang ke Malaysia, Pak Atan menyangka anak tunggalnya sudah menjelaskan bil berkenaan, namun hairan kerana tiga bulan selepas itu dia tidak menerima bil elektrik seperti selalu.
“Kami mempunyai lapan rumah sewa (setinggan) yang disewakan kepada penduduk dengan kadar RM200 sebulan. Kebiasaannya saya turut membayar bil elektrik mereka sekali.
“Waktu itu saya tidak mengesyaki apa-apa hinggalah bulan seterusnya apabila menerima bil dengan catatan tunggakan berjumlah hingga RM7,000.
“Disebabkan terlalu terkejut, saya tanya dia dan terkedu apabila secara tiba-tiba dia meninggikan suara dan bercakap kasar menggunakan perkataan yang tidak sepatutnya. “Akibat tidak mampu membayar bil, bekalan elektrik dipotong dan kami duduk dalam kegelapan buat sementara waktu hinggalah rakan menantu memberikan bantuan menyambung semula,” katanya yang bergantung hidup hasil jualan surat khabar, tanaman herba Mas Cotek dan menjual baju.
Sejak itu, hubungan Pak Atan dan anaknya dingin, malah hasutan daripada pihak ketiga juga menyebabkan situasi bertambah tegang.
“Perkataan seperti mampus, sial, kurang ajar dan orang tua kedekut sudah sebati dengan diri saya sampaikan sudah lali. Jika anak orang lain duduk serumah bersama ibu bapa tidak pernah meminta duit membayar bil, namun situasi sebaliknya berlaku kepada saya disebabkan anak terlalu berkira,” katanya yang turut mengakui anaknya sering menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) menghamburkan kata-kata kesat.
Selain itu, menurut Pak Atan, antara punca lain menyebabkan perbalahan antara dia dan anaknya juga disebabkan perkahwinan keduanya dengan orang seberang kira-kira tujuh tahun lalu.
“Anak saya memang tidak suka perkahwinan saya bersama isteri kedua disebabkan dia bukan orang tempatan. Sebab itu saya mengalah dan berpindah selepas dihalau bagi mengelak perbalahan menjadi lebih teruk,” katanya yang kematian isteri pertama yang juga ibu kepada anak tunggalnya akibat kanser usus 10 tahun lalu.
Tinjauan ke pondok Pak Atan mendapati rumah itu hanya berlantaikan permaidani tanpa simen, tanpa peralatan memasak lengkap, tiada perabot dan paling berbahaya melihat sambungan wayar elektrik daripada rumah anaknya yang mengundang risiko.
“Di sinilah tempat saya dan isteri berlindung daripada hujan dan panas. Tanah yang digunakan ini asalnya adalah bukit, tetapi saya tarah dan ratakan untuk dijadikan tempat tinggal.
“Anak kandung tidak sudi menjaga, padahal rumah yang diduduki itu milik saya yang dibina hasil titik peluh sendiri,” katanya sayu.
Situasi bertambah sebak apabila penulis menyaksikan cucu Pak Atan hanya menggunakan tingkap dapur untuk berkomunikasi atau meminta wang saku daripada datuknya untuk membeli makanan ringan mahupun belanja sekolah.
Penulis berasa pelik melihat hubungan yang masih baik antara cucu dan datuknya, Pak Atan menjelaskan pertalian antara empat cucunya akan tetap utuh disebabkan mereka tidak bersalah, malah tidak mengerti situasi sebenar.
“Beginilah kehidupan saya. Apabila cucu perlukan duit, mereka akan meminta daripada saya dan Alhamdulillah hubungan saya dan mereka tetap baik hingga kini.
“Mereka cucu saya dunia akhirat. Biarlah perselisihan faham ini hanya membabitkan saya dan ibu mereka,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Anaktunggalberubah/Article/artikelMA
No comments:
Post a Comment