Sunday, March 13, 2011

Muhasabah diri

KUALA LUMPUR: “Apabila berlaku situasi seperti ini, kedua-dua pihak harus bermuhasabah diri mencari penyelesaian supaya krisis ini tidak berpanjangan,” kata Penasihat Majlis Agama Islam Johor (Maij), Datuk Noh Gadut mengulas mengenai sengketa Pak Atan dan anak tunggalnya.

Beliau berkata, perkara sedemikian tidak wajar berlaku disebabkan masyarakat sering didedahkan dengan natijah menjadi anak derhaka dan mereka harus mengambilnya sebagai iktibar.


“Hukum dunia, setiap perbuatan pasti akan ada balasan. Kita sering mendengar cerita seperti anak tidak mampu mengucap ketika menghadap sakaratul maut, wajah bertukar menjadi babi dan mati dalam keadaan mengaibkan akibat menderhaka kepada ibu bapa.

“Apakah kejadian itu tidak mampu membuka hati kita?” katanya ketika dihubungi.


Noh berkata, Tuhan tidak zalim dan setiap kejadian pasti ada punca dan hikmah tersendiri, sebaliknya hanya manusia yang selalu alpa dengan perbuatan zaman lampaunya.


“Jangan sesekali kita melupakan Tuhan kerana Dia pasti melupakan kita, jangan memberikan rezeki haram kepada anak kerana tidak berkat selain memberi impak negatif apabila dewasa kelak.

“Ayah juga perlu tegur kesilapan anak dan sering mengingatkan mereka mengenai balasan Allah dunia akhirat dan bagi pihak si anak pula mereka tidak akan mencium bau syurga jika tidak meminta ampun daripada ibu bapa dan mereka harus ingat reda Allah adalah reda ibu bapa terhadap anak,” katanya.


Menurut Noh, jika kejadian ini berterusan si anak boleh didakwa di mahkamah syariah disebabkan gagal memberi nafkah kepada bapanya.

Katanya, jika si anak enggan bertaubat dan memohon ampun serta melakukan solat sunat taubat, tidak mustahil anaknya akan melakukan perbuatan sama apabila dirinya tua.


“Dunia ini ibarat roda. Ada masa kita di bawah dan di atas, sebab itu apabila berada di puncak jangan bongkak serta bangga dengan apa dimiliki kerana semua ini hanya pinjaman.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Muhasabahdiri/Article/artikelMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...