Monday, May 11, 2009

Belanja sekeluarga tak lebih RM8 sehari

KUANTAN: “Perbelanjaan kami tidak boleh lebih RM8 sehari, jika tidak kami terpaksa mengikat perut bila tiba hujung bulan dan terpaksa mengharapkan bantuan keluarga dan jiran.

“Bagaimanapun, ada ketikanya perbelanjaan harian melebihi dari RM8 terutama untuk anak bongsu yang masih bersekolah kerana dia perlu membeli pelbagai keperluan pembelajaran,” kata seorang ibu tunggal, Zaini Majid, 39.

Zaini ketika ditemui di rumahnya di Jalan Bukit Palas, Cherating, kelmarin, berkata mereka kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan kewangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri sebanyak RM200 yang diterima mulai Februari lalu selepas terbabit dalam kemalangan tahun lalu.

“Jumlah ini sebenarnya tidak mencukupi kerana saya perlu menjelaskan bil elektrik, bil air selain perbelanjaan dapur dan persekolahan anak,” katanya.

Sebelum kemalangan, Zaini yang mempunyai dua anak, Nurul Farhana Fauzi, 17 dan Faiz Iskandar Fauzi, 15, bekerja di kilang papan selepas kematian suaminya kerana komplikasi kanser hati, paru-paru berair dan lemah jantung, pada sambutan Aidilfitri tiga tahun lalu. 

“Walaupun bersedih dengan keadaan yang menimpa, saya amat bersyukur kerana masih diberi peluang untuk terus hidup walaupun dengan sebelah kaki,” katanya.

Dalam kemalangan berhampiran Pondok Polis Cherating pada 13 Mac 2008 itu, kaki kiri Zaini hancur digilis tayar kereta dan ia gagal diselamatkan.

“Selama empat hari saya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kemaman kerana tidak sedarkan diri.

“Selain kaki dipotong, saya juga hampir hilang ingatan kerana berlaku pendarahan di bahagian kepala,” katanya yang kini menetap di rumah peninggalan arwah suaminya.

Katanya, kemalangan itu juga menyebabkan dia hilang punca pendapatan manakala anak perempuannya, Nurul Farhana terpaksa berhenti sekolah untuk menjaganya.

Zaini berkata, berikutan ketiadaan sumber kewangan, anak bongsunya, Faiz Iskandar nyaris berhenti sekolah kerana tidak mempunyai wang untuk bayaran yuran dan perbelanjaan sekolah.

“Dengan bantuan saudara dan jiran sekampung, sejumlah wang dikumpul dan anak saya dapat meneruskan persekolahan,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...