Ketika melancarkannya di Putrajaya hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pas residen akan ditawarkan kepada modal insan berkemahiran tinggi ekspatriat untuk menetap dan bekerja di Malaysia.
Beliau juga berkata pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam yang terpilih akan diberi kelonggaran untuk berkhidmat dengan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta terutama dalam bidang NKEA.
Sementara itu, perdana menteri juga mengumumkan inisiatif-inisaitif dasar baru bertujuan memenuhi keperluan bagi Malaysia mempunyai bakat bertaraf dunia sejajar dengan transformasi ekonomi negara.
Inisiatif dasar yang diluluskan oleh kerajaan itu adalah bagi membolehkan pelajar terpilih dalam program biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam untuk berkhidmat di luar perkhidmatan awam.
Kerajaan juga meluluskan dasar untuk memperkenalkan pas pemastautin yang membolehkan pemegangnya tinggal dan bekerja di Malaysia untuk satu tempoh yang lama.
"Untuk mencapai hasrat Malaysia menjadi ekonomi yang bertaraf antarabangsa, kita perlu melaksanakan inisiatif-inisiatif untuk menarik, membangun dan mengekalkan modal insan berkemahiran tinggi yang diperlukan untuk ekonomi berpendapatan tinggi," katanya.
Najib berkata pemegang biasiswa JPA yang terpilih akan dapat memenuhi ikatan  bon masing-masing menerusi pelbagai badan termasuk syarikat berkaitan kerajaan  (GLC) dan sektor swasta.
Katanya pertubuhan khususnya yang ada kaitan  dengan Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) dan mekanisme terperinci akan  dihasilkan oleh kerajaan tahun depan.
"Kita akui terdapat pelbagai cara  untuk menyumbang dan kita sedang mewujudkan peluang-peluang kepada pemegang  biasiswa ini untuk berbuat demikian," kata perdana menteri.
Mengenai pas  pemastautin, beliau berkata ia akan disediakan kepada pegawai asing yang  berkemahiran tinggi yang mahu terus bekerja dan tinggal di  Malaysia.
Tidak seperti pas pekerjaan, pas pemastautin ini mempunyai  kelebihan iaitu ia tidak terikat kepada mana-mana majikan dan ia meliputi tempoh  masa lebih lama dan meliputi juga pasangan pemegangnya, kata Najib.
"Pas  pemastautin ini akan juga ditawarkan kepada diaspora Malaysia dan anak-anak  mereka yang tidak lagi warga negara malaysia. Pas pemastautin ini adalah satu  cara menawarkan kepada mereka satu hubungan dengan Malaysia dan memberikan  mereka kemudahan untuk pulang sama ada untuk bekerja atau bersama anggota  keluarga," katanya.
Jabatan Imigresen sedia untuk menerima permohonan  bagi pas pemastautin ini menjelang 1 April tahun depan, kata  Najib.
Perdana menteri mengulangi pendirian kerajaan bahawa Malaysia  sentiasa terbuka dalam bidang perniagaan dan sedia menerima bakat asing yang  berkemahiran tinggi yang mampu bekerja untuk memacu transformasi ekonomi  Malaysia.
"Sebab itulah tak perlu lagi diiklankan jawatan penting bagi  pegawai asing. Tambahan pula kabinet telah meluluskan kelonggaran syarat pas  pekerjaan.
"Secara khususnya ini melibatkan pemansuhan had 10 tahun dan  syarat wajib menyediakan pelatih bagi jawatan eksekutif," katanya.
Najib  berkata Talent Corporation akan bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk  menyelaras pelaksanaan dasar berkaitan bakat yang diumumkan hari  ini.
Beliau berkata syarikat itu yang akan memulakan operasi pada 1  Januari 2011, akan mengandungi Lembaga Pemegang Amanah dan akan dipengherusikan  beliau.
Katanya tambahan anggota lembaga itu termasuk dua Menteri di  Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Datuk Seri Idris Jala,  dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Beliau berkata  Johan Mahmood Merican telah dipilih sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Talent  Corporation Malaysia Berhad.
"Perbadanan bakat itu bukan hanya setakat  membawa rakyat Malaysia di seberang laut untuk balik ke tanah air tetapi juga  mengekalkan bakat yang ada di Malaysia juga," katanya.
Najib berkata  dianggarkan kira-kira 700,000 rakyat Malaysia bekerja di seberang laut dan  kebanyakannya di Singapura dan Hong Kong.
Beliau berkata syarikat itu  akan bertindak sebagai perantara yang perlu berhubung dengan sektor swasta dan  GLC, untuk menjadi rakan sepadan yang baik bagi menarik rakyat Malaysia untuk  bekerja di tanah air.
"Mereka (rakyat Malaysia) tidak boleh dipaksa untuk  mendaftar, tapi Talent Corp akan berusaha untuk mengesan mereka dan berhubung  dengan mereka sama ada secara fizikal atau online," katanya.
Mengulas  mengenai mengenai gaji yang mungkin menjadi isu utama bagi menarik mereka  kembali ke tanah air, beliau berkata: "Kita perlu bersaing secara global, jika  tidak rakyat tidak mahu kembali ke Malaysia." 
- Bernama
http://malaysiakini.com/news/150093
 
 
No comments:
Post a Comment