Wednesday, November 5, 2008

Padah terbeli kereta curi


Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
nanhidayat.nanazmie@kosmo.com.my



KIAN FU menunjukkan salinan laporan polis dan dokumen mahkamah selepas dia terbeli kereta curi semasa sidang akhbar di Kelab Wartawan Cina di Johor Bahru semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

JOHOR BAHRU - Sudah jatuh ditimpa tangga.

Itulah nasib malang seorang pegawai pemasaran, Tan Kian Fu, 26, yang kini disenarai hitam oleh bank dan terpaksa ke mahkamah selepas terbeli sebuah kereta curi tujuh tahun lalu.

Kian Fu dari Parit Buloh, Batu Pahat berkata, 'igauan ngerinya' bermula apabila membeli sebuah kereta Proton Satria GL terpakai berwarna merah daripada seorang kenalan kepada rakannya pada Julai 2001.

"Selepas membuat pinjaman bank, saya kemudiannya sempat meneruskan pembayaran ansuran bulanan sebanyak kira-kira RM500 dalam tempoh tiga bulan," katanya kepada pemberita di Rumah Wartawan Cina bersama Ketua Pemuda MCA Johor Bahru, Kua Song Tuck di sini semalam.

Bagaimanapun kata Kian Fu, dia mula dihubungi pihak bank yang menyedari terdapat sebuah kereta di Sungai Petani, Kedah turut mempunyai nombor pendaftaran yang sama dengan kereta yang dibelinya tiga bulan selepas itu.

"Saya yang terkejut terus bersikap jujur dan membawa kereta ke Pusat Kenderaan Pemeriksaan Berkomputer (Puspakom) untuk diperiksa.

"Puspakom kemudiannya mendapati ada sedikit 'gangguan' pada nombor enjin kenderaan.

"Mereka meminta saya merujuk kenderaan saya ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya yang kini sudah berumah tangga dan mempunyai seorang cahaya mata.

Kian Fu berkata, dia begitu kecewa apabila JPJ kemudiannya menyita keretanya pada tahun itu juga setelah disahkan merupakan kenderaan curi lalu membuat keputusan untuk tidak meneruskan pembayaran kepada pihak bank.

Katanya, dia yang meminta penjelasan daripada rakannya juga menemui jalan buntu apabila enggan bertanggungjawab kerana ia sudah menjadi kes polis.

Jelasnya, lebih malang lagi, kenalan rakannya juga dipercayai telah menghilangkan diri sejak urusan pembelian kereta itu selesai.

"Takkan saya mahu meneruskan bayaran, tambahan pula kereta itu kereta curi.

"Nama saya juga telah disenaraihitamkan bank sehingga menyukarkan saya untuk membuat pinjaman rumah dan sebagainya.

"Lebih teruk, saya juga terpaksa ke mahkamah pada 26 November ini kerana disaman oleh bank yang mahu saya menjelaskan baki tuntutan pinjaman lebih RM44,000. Mana saya ada duit sebanyak itu, gaji pun sekitar RM1,000 sahaja sebulan," katanya sebak.

Dalam pada itu, Song Tuck menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati semasa membeli kereta terpakai bagi mengelak ditipu seperti mana dialami Kian Fu.

"Saya akan berbincang dengan pihak bank dan cuba membantu Kian Fu yang jelas menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab," ujarnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1105&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_12.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...