Bagi pertama kalinya, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Polis sejak dari awal  proses pilihan raya negeri Sarawak sudah mengumumkan mengenai wujudnya Kerusi  Panas. Ia dimaksudkan kepada kedudukan kerusi-kerusi yang berkaitan rapat dengan  potensi persaingan sengit dan ketegangan isu kempen dimainkan antara parti-parti  atau calon bertanding. Di samping kawasan itu juga ditandai warna merah yang  menjelaskan keadaan lebih kritikal yang berkemungkinan besar pihak Barisan  Nasional bakal kalah ditangan Pakatan Rakyat.
Jangkaan sebelum  realiti
Menurut Malaysiakini (14 April 11) yang memetik sumber  Umno berkata ada 28 kerusi panas yang melibatkan 19 kerusi dianggap bakal  dimenangi Pakatan Rakyat. Sementara sembilan Dun lagi bakal menjadi medan  perebutan yang belum pasti.
Sejumlah 19 kerusi panas itu, 15 kerusi  adalah ditandingi SUPP, iaitu lima di Kuching, tiga di Sibu, tiga di Miri, dua  di Sarikei, dan masing-masing satu di Sri Aman dan Bintulu. Sementara empat  kerusi lagi ialah masing-masingnya tiga PBB dan satu SPDP. Jika ini berlaku  bermakna, Pakatan Rakyat akan dapat memenangi setidak-tidaknya 19 hingga 28 Dun  dan sekaligus memungkinkan upaya Pakatan Rakyat menafikan kuasa mutlak dua  pertiga.
Sekiranya matlamat untuk menafikan kuasa dua pertiga, iaitu  memenangi 24 kerusi, rasanya Pakatan Rakyat tidak mempunyai halangan besar. Ini  kerana kesemua kerusi itu terletak di kawasan majoriti Cina dan Iban, kecuali  tiga Dun ditandingi PBB merupakan Dun Melayu/ Melanau (Seribas, Beting Maro dan  Lingga). Di Dun Panas itu juga berlakunya putaran ligat isu penolakan terhadap  Tan Sri Abdul Taib Mahmud dari kuasa ketua menteri. Ia seperti mana dijelmakan  oleh laras bahasa kempen DAP yang mengingatkan pengundi bahawa “vote SUPP = vote  Taib” sehingga memaksa pihak Barisan Nasional memutar isu tersebut menggunakan  pendekatan reverse psi-war dengan mengajak pengundi Cina mengundi Barisan  Nasional demi mengekalkan keamanan dan kesejahteraan, kemakmuran dan  kesederhanaan.
Apa pun semua laras bahasa kempen pihak Barisan Nasional  sudah dilihat kaku dan tidak bermaya berikutan banyak isu-isu yang terdedah  sudah membongkarkan kekayaan Abdul Taib, anak-anak, menantu dan kroninya  menerusi pelbagai projek ekonomi dan kewangan.
Menurut Bridget Welsh  (Malaysiakini 12 April 2011) isu-isu berkaitan Abdul Taib itu telah perlekatkan  dengan kekangan ekonomi semasa, peningkatan perbelanjaan sara hidup, gaji yang  murah diikuti dengan pembolotan kekayaan oleh elit politik kroni Barisan  Nasional dan elit politik dari Semenanjung Malaysia yang seida mengaut hak  rakyat Sarawak. Ia bakal mencetus suatu gelombang kebangkitan rakyat Sarawak  seumpama dengan tsunami politik pada pilihan raya umum 2008.
Hal ini ada  benarnya berasaskan kepada kajian persepsi oleh Zentrum Future dan maklumat  Malaysiakini daripada ‘dalaman Umno’ yang menyimpulkan pihak Barisan Nasional  Sarawak tidak lagi kalah lapan Dun, sebaliknya akan hilang kuasa dua  pertiga.
Jadual berikut adalah ringkasan kedudukan jangkaan keputusan  oleh dua entiti tersebut.
Jadual 1: Kajian persepsi semasa -  Zentrum Future Studies
Berdasarkan  jadual 1, Pakatan Rakyat dijangka berjaya meraih 31 kerusi dan parti oposisi  lain, iaitu SNAP 12 kerusi dan Bebas 4. Ini bermakna Barisan Nasional bakal  jatuh dari tampuk kuasa dengan hanya meraih 21 Dun. Maka dijangka tamatlah  riwayat Abdul Taib sebagai Ketua Menteri paling lama. Justeru jangkaan Zentrum  Future sudah tidak popular lagi buat Abdul Taib dan rakan  sepasukannya.
Hal yang hampir sama ditunjukkan oleh Malaysiakini daripada  maklumat ‘dalaman Umno’ (seperti mana dipetik Malaysiakini, 14 April 11) ) yang  menilai prestasi kempen di Dun Sarawak. Jadual 2 berikut menunjukkan Barisan  Nasional masih utuh di tampuk kuasa, meskipun masih kekal sebagai pihak berkuasa  negeri.
Berpandukan  jadual 2, kesemua parti Pakatan Rakyat dikatakan akan mencapai kemenangan di  kerusi panas seperti yang dijelas di awal tadi. Namun, menurut sumber Umno (yang  dipercayai bersumberkan maklumat perisikan yang sah), kemungkinan agak  realistik, meskipun di sana masih muncul keghairahan kalangan pengundi Iban  untuk berubah bersama-sama Pakatan Rakyat. Hal yang sama dijangkakan oleh salah  seorang pensyarah sains politik Universiti Malaysia Sarawak (dalam Hornbill  Unleassed 3 April 2011) yang meletakkan 29 kerusi persaingan sengit dan boleh  dimenangi Pakatan Rakyat.
Apakah ini suatu realiti atau hanya sekadar  jangkaan permainan analisis angka para pengkaji? Justeru itu, perkembangan  kempen sehingga hari terakhir (15 April) di setiap 71 Dun boleh menjadi asas  untuk menjangkakan kemenangan besar atau kecil . Ataukah ia bakal menyaksikan  peralihan kuasa?
Perkembangan terakhir
Faktor  Abdul Taib yang sudah berusia 74 tahun dan sudah berkuasa selama 30 tahun  sebagai ketua menteri masih gagal diganti, ia sudah cukup menjadi simbol  kontroversi di sebalik dominasi PBB mengetuai dominasi politik  Sarawak.
Berdasarkan pandangan pengkaji politik, James Chin dari Monash  University Malaysia, pihak Pakatan Rakyat dijangka memenangi sekitar 20 kerusi  atas faktor pengundi yang tidak suka kepada Abdul Taib sahaja (belum diambil  kira faktor lain). Asas tidak suka itu mungkin berkait rapat dengan angkara  tuduhan rasuah berskala besar, amalan kroni dan penyuburan sekutu politik  nepotisme.
Sebaliknyha, hal tersebut turut menyuburkan sambutan rakyat  kepada Pakatan Rakyat, meskipun pemimpinnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadikan  sasaran kempen buli atas fitnah video seks dan liwat serta perpecahan dalaman  parti KeADILan. Sekali-kali ia tidak menghalang sambutan luar biasa berlaku  dalam kempen di Sibu, Miri dan Kuching serta Bintulu. Ia telah merekodkan poin  hangat yang memungkinkan kesemua kerusi bandar dan sub-bandar akan menolak  Barisan Nasional.
Jika itu benar, maka SUPP bakal terjelepak longlai  seperti parti Gerakan, sementara PBB, SPDP dan PRS sedang tertekan dengan asakan  isu pemilikan tanah adat dan kaitannya dengan penguasaan tanah tersebut oleh  syarikat yang ada hubungannya dengan pemimpin politik parti-parti  tersebut.
Atas faktor tersebut, nampaknya kesedaran muncul mendadak  kalangan pengundi Iban, Bidayuh dan Orang Ulu serta suku bumiputra lain. Jika  benar, gelombang rakyat Sarawak menolak Barisan Nasional pasti berlaku, maka  gelombang pengundi di pedalaman itu memungkinkan Baru Bian boleh menang selesa  di Ba’kelalan, diikuti dengan persaingan sengit di semua Dun pengundi Iban  melebihi 3,000 orang. Apa pun hanya malam 16 April
bakal menentukan semua  jangkaan menjadi realiti untuk Sarawak, kemudian pilihan raya umum nasional  ke-13.
---------------------------------------
Penulis adalah pemimpin kanan di Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat di samping Setiausaha Politik MB Kelantan.
http://bm.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&view=article&id=2821:prn-sarawak-antara-jangkaan-dan-realti&catid=91:pendapat-dan-analisis&Itemid=72
 
 
No comments:
Post a Comment