Monday, March 30, 2009

Linda akui hadir kursus kahwin

Oleh ABIE ABDULLAH
abie@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Linda Onn mengakui mengikuti kelas praperkahwinan di sebuah pusat kursus perkahwinan bertempat di Setiawangsa, Kuala Lumpur, sekitar dua tiga minggu lalu.

Berita ini dikesan Metro Ahad selepas gambarnya tersiar di laman web pusat berkenaan sebelum ia ditarik oleh pihak pengurusan kursus itu tidak lama kemudian.

Menurut penyampai radio Sinar FM ini, kursus dua hari itu sebagai persediaan, tetapi tidak bermakna dia akan menamatkan zaman bujangnya dalam waktu terdekat ini.

“Kalau saya kahwin esok lusa pun tak salahkan, sebab saya ada sijil kursus itu. Apapun, melalui kursus itu saya dapat belajar sedikit sebanyak mengenai perkahwinan dan hubungan suami isteri dan yang penting, ada sijil supaya senang untuk saya kahwin bila-bila masa.

“Kalau ikutkan hati dan izin Allah, saya mahu kahwin secepat mungkin. Namun semuanya dalam perancangan lagi,” kata Linda.

Walaupun tidak berniat merahsiakan hal berkenaan, Linda tetap keberatan memberi komen lanjutan mengenai perancangan dan siapa lelaki yang bertakhta di hatinya sekarang selepas hubungan cintanya dengan pelakon, Fahrin Ahmad, terputus baru-baru ini.

Bagaimanapun Linda menjelaskan, dia masih dalam proses mengenali hati budi lelaki itu.

Selepas Fahrin, selebriti tinggi lampai ini pernah dikaitkan dengan Hans Isaac tetapi Linda berkata, hubungan mereka sekadar teman, tidak lebih daripada itu.

Malah, ketika menghadiri majlis resepsi perkahwinan Mawi dan Ikin di Palace of Golden Horses tidak lama dulu, Linda muncul bersama jejaka mat saleh bernama James Gibbs.

“James kawan lama yang saya kenali sejak 10 tahun dulu. Kami berkenalan di Kuala Lumpur dan dia pernah mempunyai restoran di sini satu ketika dulu. Dia ahli perniagaan dan yang saya boleh katakan, hubungan kami di peringkat serius sejak dua bulan lalu.

“Mengenalinya, saya dapati dia lemah-lembut, menghormati wanita, setia dan benak fikirannya selalu pandang ke depan,”
kata usahawan nasi ayam terkenal ini.

Adakah James lelaki bertuah itu? Linda tidak mengiyakan dan tidak menidakkan persoalan itu, tetapi mahu masyarakat menunggu perkembangan selanjutnya.

“Saya belum berani memberi komen,” katanya.

Namun Linda pernah memberitahu media baru-baru ini: “Yang boleh saya katakan, diri ini juga macam wanita lain yang ada hati nak berkawan. Lagi pun, tiada benda yang saya nak selindungkan.

“Ada jodoh saya dengan sesiapa sekalipun, biarlah lelaki itu baik. Insya-Allah, saya minta jodoh dengan sesiapa pun nanti berpanjangan.”

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090329045703/Article/index_html

Murtad 30 tahun


Oleh NAZARALI SAERIL dan ASMIZAN MOHD SAMIRAN

KUALA LUMPUR: Siapa patut dipersalahkan apabila ada mualaf kembali kepada agama asal mereka selama puluhan tahun kerana gagal mendapat bimbingan serta perhatian sewajarnya selepas memeluk Islam?

Itulah realiti pahit yang perlu difikirkan semua pihak.

Mujur, di celah kepahitan itu masih ada insan prihatin yang gigih menghulur bantuan dan bimbingan untuk mengislamkan semula sebahagian daripada mualaf terbabit, biarpun berdepan seribu kesukaran.

Wartawan Metro Ahad, NAZARALI SAERIL dan ASMIZAN MOHD SAMIRAN mencungkil kisah dan pengalaman lima mualaf terbabit yang kini dibimbing pendakwah dan aktivitis sosial, Mohd Hisham Surgi, 35, atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Hisham.


YUSUF ABDULLAH, 50:

“SAYA masuk Islam ketika berumur 20 tahun dan mendaftar di Pejabat Agama Islam Sabak Bernam, Kuala Selangor, Selangor pada 1977.

“Saya menjangka akan menerima bantuan dan bimbingan, tetapi tiada siapa pedulikan saya. Akhirnya saya tidak mengamalkan ajaran Islam biarpun selepas berkahwin dan mempunyai tiga anak,”
katanya.

Apabila tiada siapa peduli, Yusuf yang berasakan kurang kasih sayang daripada masyarakat Islam di sekelilingnya terus murtad dan mengamalkan hidup lamanya kira-kira 30 tahun hinggalah dia didekati Ustaz Hisham, dua tahun lalu.

Selepas diambil perhatian dan diberi didikan serta bimbingan Ustaz Hisham, Yusuf kembali mengucap kalimah syahadah.

“Yang saya kesalkan, ada di kalangan masyarakat Islam sendiri memandang serong pada mualaf hingga akhirnya individu seperti saya kembali kepada agama asal.

“Saya bukan mahu bantuan kewangan atau apa-apa imbuhan. Saya memeluk Islam secara ikhlas berkat hidayah Allah SWT,”
katanya yang kini mengikuti kelas fardu ain dan fardu kifayah setiap minggu.

Yusuf enggan menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya berharap agensi berkaitan serta masyarakat tidak meminggirkan mualaf atau mereka yang mahu memeluk Islam kerana ia bukan saja ‘membunuh’ sifat Islam itu yang menyayangi umatnya tanpa mengira kaum, malah menjadi penyebab mualaf tidak teragak-agak untuk murtad.



WAHAB ABDULLAH, 80-an:

Warga emas ini memeluk Islam sejak puluhan tahun lalu, tetapi akhirnya tinggal di sebuah rumah ibadat bukan Islam di sekitar Sungai Besar kerana tiada siapa mempedulikannya, selain dipandang serong agensi kerajaan yang sepatutnya membantu orang sepertinya.

Akibatnya, dia menjadi jahil mengenai Islam dengan tidak melakukan amalan diwajibkan. Lebih teruk lagi, kerana tiada bantuan mana-mana pihak, dia terpaksa bekerja di sebuah rumah ibadat bukan Islam kerana disediakan penginapan di sana.

“Saya bekerja sebagai mekanik ketika muda dan masuk Islam selepas mendapat hidayah Allah SWT. Namun saya sukar mendapat didikan serta bimbingan kerana ramai tidak peduli.

“Saya mengharapkan ada pihak hadir dan memberi saya semua itu tetapi selepas puluhan tahun, saya hampa hinggalah akhirnya terpaksa tinggal di rumah ibadat bukan Islam,”
katanya yang mempunyai seorang isteri serta seorang anak lelaki berpenyakit mental.

Menurut Wahab, walaupun hidupnya susah dan terpaksa makan semangkuk nasi dibahagi dua dengan isterinya sekali sehari, dia tetap bersyukur kerana akhirnya muncul Ustaz Hisham yang mengambil berat masalah dihadapinya.

Katanya, dia cuma mahu menjadi penganut Islam yang baik, tetapi jika tiada siapa mahu atau mampu memberi didikan serta bimbingan, bagaimana dia mahu melakukannya.

“Saya dibawa keluar oleh Ustaz Hisham dari rumah ibadat itu dan ditempatkan di sebuah kediaman usang di Sungai Burung, Kuala Selangor. Biarpun di situ saya hidup serba kekurangan ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, saya tetap bersyukur kerana ada juga insan yang prihatin.

“Saya terpaksa mengharapkan bantuan orang lain untuk meneruskan hidup kerana saya sudah tua dan tidak mampu bekerja. Saya bukan mengemis atau mahukan kemewahan, tetapi berilah apa yang patut saja,”
katanya dengan linangan air mata.



HARUN ABDULLAH, 80-an:

BELIAU mendakwa diberi gelaran Datuk ketika era almarhum Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri atas sumbangannya mengislamkan ratusan penduduk kampung di sekitar Sungai Besar.

Bagaimanapun, beliau akhirnya murtad selepas turut gagal diberi didikan serta bimbingan, malah dituduh mengamalkan ajaran agama asalnya sejak lima tahun lalu.

Harun yang kecewa akhirnya menetap di sebuah rumah ibadat bukan Islam di sekitar Sungai Besar sebelum Ustaz Hisham mengetahui perkara itu dan berjaya memujuknya kembali ke pangkuan Islam.

Sejak lebih setahun lalu, Harun turut giat membantu aktivis Islam mengesan beberapa mualaf yang murtad sebelum diberi didikan selain bimbingan. Sehingga kini beliau berjaya menarik semula empat individu murtad untuk kembali ke jalan Allah SWT.



SALIM CHIA ABDULLAH, 69:

“AWAK boleh makan babi ketika bersarapan. Itu tidak salah. Apabila selesai sembahyang Zuhur, dosa itu diampunkan Allah SWT,” itu antara yang diajar oleh seorang lelaki bergelar ustaz dalam kelas fardu ain.

Bagi Salim yang memeluk Islam sejak 33 tahun lalu, perkara terbabit sangat menyedihkan kerana mualaf seperti mereka dilayan seolah-olah orang bodoh yang tidak tahu langsung berkaitan Islam.

Dia yang berkahwin dengan wanita Muslim dan mempunyai enam anak memaklumkan, mualaf lain yang turut belajar dalam kelas itu terkejut dengan kata-kata lelaki terbabit.

“Kami terus maklumkan ustaz itu, kami tidak mahu dia mengajar kami lagi kerana kami tahu dia tidak ikhlas dalam menjalankan tugas kerana ada masanya dia menuduh kami minum arak dan masih mengamalkan ajaran agama asal.

“Mengapa itu berlaku? Kami bukan masuk Islam kerana mahukan wang, menerima taraf Bumiputera atau keistimewaan lain, tapi kami ikhlas. Kami mahu belajar berkaitan keindahan Islam, ajarannya dan pelbagai lagi yang baik dan bukan sindiran atau tuduhan tidak berasas,”
katanya geram.

Menurut penternak kambing itu, kadangkala ada masanya mereka perlu mendapatkan bantuan individu lain yang ikhlas memberi didikan dan bimbingan kerana tidak mahu terpesong akidah dan berlaku pelbagai lagi perkara buruk.

Katanya, jangan kerana mereka mualaf, masyarakat atau agensi berkaitan tidak memberi walau sedikit peluang untuk belajar atau menjadi sebahagian daripada komuniti Islam kerana ia bukan saja tidak adil, malah boleh dianggap zalim.

“Yang kami mahu ialah keredaan di dunia dan akhirat. Beri kami panduan dan sayangi kami sebagai saudara Islam, bukan mualaf yang mahukan kemewahan hidup atau wang zakat,” katanya.



ABDUL RAHMAN CHIA ABDULLAH, 43:

“SAYA kenal beberapa mualaf yang juga rakan akhirnya murtad kerana tidak menerima didikan serta bimbingan pihak berkaitan.

“Lebih teruk lagi, mayat beberapa mualaf tidak disempurnakan mengikut cara Islam kerana agensi berkaitan tidak tahu mereka meninggal dunia. Bagaimana perkara seperti itu boleh berlaku?”
soalnya.

Menurut nelayan itu, dia mengetahui beberapa kes kematian mualaf yang mayat mereka tidak disempurnakan mengikut cara Islam kerana agensi berkaitan gagal melaksanakan kewajipan sepatutnya.

“Tolong lakukan sesuatu. Jangan hanya sibuk bercakap mengenai halal haram atau agama saja, tetapi dalam masa sama membiarkan mualaf terkapai-kapai tanpa bimbingan sempurna.

“Kepada pegawai agensi berkaitan di Sabak Bernam, jangan hanya memarahi mualaf, sebaliknya lakukan sesuatu untuk kebaikan. Tidak perlu marah-marah menyatakan mahu terus dalam Islam atau murtad kepada mualaf. Kita mahu dikasihi dan disayangi, bukan dijadikan musuh,”
katanya tenang.

http://www.hmetro.com.my/Sunday/BeritaUtama/20090329044303/Article

Apa dosa golongan HIV/AIDS?

Ada yang mendesak penghidapnya dikuarantin, manakala yang lain mahukan nama mereka didedahkan kepada umum. Sebenarnya, kes jangkitan HIV/AIDS bukan hanya berlaku di kalangan pekerja seks atau penagih dadah.


TERKEJUT dengan perbahasan Parlimen tentang isu HIV/AIDS, Danisha (dari kiri), Fauziah dan Rina tampil memperjelas salah tanggapan itu.


BERGEGAR lagi rumah Majlis AIDS Malaysia (MAC) dan mereka yang berada di bawah naungannya. Kali ini kerana cadangan daripada beberapa ahli Parlimen yang mengatakan bahawa golongan yang hidup dengan HIV/AIDS ‘sengaja mencari’ jangkitan itu.

Kalau itu belum cukup menyinggung, ada pula yang mencadangkan usul polisi sulit identiti penghidap HIV/AIDS didedahkan agar dapat mengurangkan keresahan awam.

Tanpa membuat rujukan, ‘tuduhan’ seterusnya menghala ke satu arah sahaja iaitu menyalahkan dunia pelacuran dan dadah semata-mata.

Sebelum ini, ada seorang pemimpin politik yang lain mencadangkan golongan ini ditempatkan di sebuah pulau yang terpencil.

“Apa yang disebutkan mereka ini adalah contoh sikap tidak ambil peduli. Sungguh luar biasa apa yang dikatakan itu kerana kekecohan yang ditimbulkan tidak berasaskan fakta dan situasi sebenar,” tegas Pengurus Program di Yayasan Pink Triangle (YPT), Danisha Monish.

Menurut statistik Pusat Sumber MAC tentang jumlah kes HIV/AIDS, sehingga Jun tahun lalu hanya sebanyak 43 kes jangkitan berlaku di kalangan pekerja seks, sementara 127 kes lagi melibatkan suri rumah.




“Ini belum mengambil kira kes yang berlaku di kalangan pelajar, pekerja industri hinggalah kepada kakitangan kerajaan,” ujarnya.

Statistik itu jelas menunjukkan bahawa peratusan kes jangkitan kini lebih cenderung terjadi di kalangan individu yang menjadi mangsa jangkitan dalam senyap, dan bukan daripada golongan berisiko tinggi seperti pekerja seks dan penagih dadah.

“Kita perlu terima hakikat bahawa golongan penghidap HIV/AIDS hidup di sekeliling kita, sama ada mereka yang sudah terdaftar dalam statistik ini ataupun yang masih tersembunyi,” tambahnya yang mahukan pemahaman mesej dan maklumat HIV/AIDS diperkasa.

Malah, menurut Danisha, banyak kes jangkitan dilaporkan terjadi di kalangan pekerja profesional.

“Adakah adil jika orang yang sama-sama berkhidmat dan menyumbang untuk masyarakat dan negara dihukum sebegitu?” kata Pengurus Program Kanan di YPT, Yusmar @ Mitch.

“Apa rasionalnya mereka ini dipinggirkan dan dimalukan lagi dengan pendedahan identiti mereka kepada umum? Negara pastinya akan kerugian banyak tenaga profesional jika golongan HIV/AIDS dinafikan hak untuk hidup bermasyarakat,” tegasnya.

Danisha dan Yusmar menekankan, kalau usul meminggirkan golongan HIV/AIDS dibuat kerana takut akan ancaman jangkitan atau menimbulkan keresahan, perkara yang sama juga perlu dibuat kepada pesakit hepatitis. Penyakit itu sebenarnya lebih berbahaya dan mudah dijangkiti.

“Walau apa pun, pencegahan lebih penting daripada rawatan. Sebab itulah pentingnya proses pendidikan yang berterusan,” tambah Danisha yang hairan projek pendidikan seks masih belum dilaksana sepenuhnya.

Sedangkan melaluinya, generasi muda boleh didedahkan dengan perkara penting seperti sistem reproduksi, soal gender dan seksualiti, jangkitan penyakit dan pengurusannya, seks selamat dan seterusnya selok-belok hidup bersosial.

“Semua itu malangnya tidak dapat mereka dalami, lebih-lebih lagi kerana kongkongan budaya dan institusi keluarga yang menganggapnya tabu,” rumus Yusmar.

Koordinator Pusat Sehenti YPT yang dikenali sebagai Rina pula menambah, isu HIV/AIDS sering digembar-gembur tanpa matlamat sedangkan ia perlu diberi tumpuan secara adil dan bersama.

“Kami sudah berusaha bertahun-tahun untuk menyedarkan orang ramai tentang perkara ini.

“Golongan yang hidup dengan HIV/AIDS juga sudah ramai yang diberi semangat untuk meneruskan hidup dan terus berbakti dalam bidang yang mereka boleh sumbangkan,” ujarnya.

“Alangkah sia-sia semua usaha kami itu kalau saat melangkah ke dunia luar, golongan ini ditekan dengan diskriminasi, konfrontasi, penghinaan sosial dan juga stigma yang tidak berakhir,” rumus Yusmar.

Keresahan awam tentang isu ini sebenarnya terjadi apabila kita ‘malas’ untuk mengambil tahu perkembangan di sekeliling kita hinggakan mendapat gambaran yang kurang tepat tentang HIV/AIDS.

Hanya apabila semua sensitiviti ini sudah diambil kira, langkah seterusnya adalah dengan membincangkan isu ini dengan lebih intelek di dalam masyarakat kita, baik di rumah ataupun di Parlimen.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Tidak berhenti melawan

Kemahiran seni mempertahankan diri dan anjing Labrador masih gagal menyelamatkan Meredith Emerson daripada diculik dan dibunuh lelaki tua.


HILTON cuma mahukan kad ATM Emerson sebelum tiba-tiba dia membunuh wanita itu.


LELAKI yang dinamakan pihak polis Georgia, Amerika Syarikat, sebagai ‘orang dalam perhatian’ berikutan kehilangan seorang wanita dan anjing Labradornya di Blood Mountain pada 1 Januari 2008 telah tampil ke mata awam.

Pada mulanya pihak polis melabel kehilangan Meredith Emerson, 24, sebagai kes orang hilang. Bagaimanapun wujud tanda-tanda bahawa sesuatu yang buruk telah berlaku kepada wanita muda itu.

Sebuah botol air, kolar si anjing bernama Ella dan sebatang baton boleh laras ditemui pada jejak itu.

Malah, Emerson juga dikatakan dilihat pada kali terakhir oleh orang ramai berbual dengan seorang lelaki tua yang telah beruban, memakai sarung yang mencurigakan pada tali pinggangnya, dan mengikat baton boleh laras pada kakinya.

Saksi mengatakan Emerson dan lelaki tua itu membiarkan anjing mereka bermain bersama sepanjang laluan hutan itu sebelum mereka hilang ke dalam hutan.

Pegawai polis mengesan Gary Michael Hilton, 61, lelaki yang berketinggian 180 sentimeter dan seberat 73 kilogram, empat hari selepas itu di sebuah kedai serbaneka di Jalan Ashford-Dunwoody. Dia kemudian disoal siasat tentang kehilangan Emerson.

“Emerson tidak ada bersamanya,” kata Penyiasat dari Union County, Kimberly Verdone.

Kenyataan itu telah melanjutkan pencarian mereka.




Penyiasat Union County, Kimberly Verdone, berkata sebanyak 15 pasukan mencari dan menyelamat profesional telah terlibat dalam usaha menjejak Emerson, antara selatan Georgia dan beberapa bahagian selatan Carolina.

Sebenarnya, Emerson tidak ada sebab untuk risau akan keselamatannya. Dia bukan saja penduduk asal Colorado, malah memiliki pengalaman yang luas dalam merentas hutan.

Dia juga membawa bersama anjing labrador hitamnya, Ella. Jika Ella tidak memadai untuk menjamin keselamatannya, Emerson juga mempunyai kemahiran seni mempertahankan diri peringkat tali pinggang biru yang sudah cukup untuk menewaskan penyerang yang bersaiz dua kali ganda lebih besar daripadanya.

Si anjing, Ella, ditemui berkeliaran di dalam sebuah kedai runcit di Cumming, kira-kira 100 kilometer dari tempat Emerson dilihat kali terakhir dan dikenal pasti melalui mikrocip yang tertanam dalam tubuhnya, kata Verdone.

Hilton, yang dipercayai merupakan orang terakhir dilihat bersama Emerson, dibawa ke Ibu Pejabat Biro Siasatan Georgia (GBI) di Atlanta untuk disoal siasat.

Hilton kemudiannya mengaku bersalah atas dakwaan membunuh Emerson dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan berkemungkinan mendapat parol selepas 30 tahun.




Dia telah bersetuju untuk membawa penyiasat kepada mayat Emerson sekiranya pendakwa raya tidak mencadangkan hukuman mati ke atasnya.

Hilton turut dikaitkan dengan satu lagi kes pembunuhan seorang wanita yang ditemui mati tanpa kepala di hutan Florida pada 15 Disember 2007.

Seketika sebelum diculik dan dibunuh, Hilton telah menjejak laluan hutan Appalachian Trail di Union County bersama-sama Emerson pada 1 Januari 2008. Bagaimanapun lelaki berusia 61 tahun itu tidak mampu bergerak pada kelajuan yang sama.

Apabila Emerson turun semula ke kaki bukit, lelaki itu sudah menunggu di bawah dengan sebilah pisau gaya tentera di tangannya.

Tumbuk hingga patah tangan

Hilton meminta kad pengeluaran wang tunai (ATM) daripada Emerson. Emerson sebaliknya cuba mempertahankan diri, merampas pisau dan baton boleh laras daripada tangan Hilton dan cuba menyerangnya semula.

Hilton memberitahu penyiasat: “Dia tidak mahu berhenti melawan dan menjerit. Jadi saya perlu mengawal dan mendiamkannya.”

Hilton berkata dia telah menumbuk Enerson berkali-kali, menyebabkan kedua-dua belah matanya lebam dan mungkin juga telah mematahkan hidungnya.

Hilton mengakui tumbukan-tumbukan itu telah menyebabkan tangannya sendiri patah.

Apabila dia menyangka dia sudah berjaya melemahkan Emerson, wanita itu pula melawan balik.

Hilton menenangkan wanita itu dengan memberitahunya bahawa dia hanya mahukan kad kredit dan nombor identifikasi peribadinya (PIN). Kemudiannya, Hilton memandu Emerson dan anjingnya melalui laluan yang tidak pernah diikuti sesiapa ke arah van mininya yang berwarna putih.

Emerson memanjangkan hayatnya selama tiga hari dengan memberikan Hilton nombor PIN yang salah untuk kad ATMnya.

Pada hari Hilton membunuh Emerson, Hilton memberitahunya bahawa hari itu dia akan ‘pulang ke rumah.’ Hilton mengikat Emerson pada sebatang pokok, berjalan ke arah vannya untuk menguatkan semangat dan membancuh kopi.

Apabila Hilton kembali, Hilton berjalan di belakang Emerson dan memukulnya beberapa kali menggunakan hendal daripada sebuah jek kereta, sehingga mati.

Hilton tidak mempunyai kekuatan (semangat) untuk membunuh Ella. Apabila Bridges bertanya sekiranya Hilton mempunyai perasaan yang sama terhadap Emerson, dia menggambarkannya sebagai ‘seperti dalam mimpi.’

“Ia sesuatu yang sukar. Anda perlu ingat kami ada menghabiskan masa bersama selama beberapa hari,” kata Hilton kepada pegawai penyiasat.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Dagu rosak keluarkan kolagen


ERIEN menunjukkan kad dan resit pembayaran menyedut lemak di sebuah klinik di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR – Belum pun siasatan berhubung kematian seorang ahli perniagaan, Noraini Mohd. Ghazali, 30, ketika mendapat rawatan sedut lemak selesai, seorang lagi mangsa sebuah klinik kecantikan di sini tampil mendedahkan penderitaan yang dihadapi.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Erien, 32, kini bukan sahaja terpaksa menanggung kesakitan dan aib ekoran kecacatan kekal pada dagu tetapi terpaksa menghabiskan lebih RM10,000 bagi merawat semula dagunya.

Kecacatan itu menyebabkan mangsa terpaksa mendapat rawatan susulan di Thailand dan akhirnya kulit dagu Erien terpaksa dipotong kerana seperti memanjang akibat rawatan yang tidak sempurna oleh doktor di sebuah klinik di ibu negara.

Dakwa Erien, doktor klinik tersebut tidak melaksanakan prosedur yang sepatutnya semasa memberi rawatan mengeluarkan kolagen pada 5 Ogos tahun lalu sehingga menyebabkan dagunya memanjang dan membengkak.

“Mereka tidak menerangkan kepada saya terlebih dahulu mengenai risiko pembedahan sehingga akhirnya dagu saya menjadi panjang seperti anak patung dan terpaksa mendapat rawatan di luar negara dengan kos yang mahal.

“Sebelum itu mereka menjanjikan muka saya akan bertambah cantik tetapi akhirnya derita dan malu yang saya dapat sehingga saya terpaksa mengambil cuti sakit selama sebulan yang mana dalam tempoh itu saya tidak mampu bercakap,’’ dakwanya ketika ditemuiKosmo! Ahad semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

27,297 hilang pekerjaan ekoran krisis ekonomi

MELAKA – Sebanyak 27,297 pekerja telah diberhentikan kerja di seluruh negara sejak Oktober hingga kelmarin ekoran krisis ekonomi dunia.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, sebanyak 19,956 daripadanya merupakan warga tempatan.

Bagaimanapun katanya, jumlah pekerja yang diberhentikan dalam tempoh dua bulan terakhir ini tidak meningkat dengan begitu ketara.

“Warga asing yang diberhenti- kan kerja kini dalam proses untuk dihantar pulang ke negara masing-masing.

“Isu pemberhentian pekerja di negara ini bagaimanapun sebenarnya tidak begitu ketara jika hendak dibandingkan dengan negara lain,’’ katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Hari Penempatan Pekerjaan Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Sunday, March 29, 2009

Kisah misteri telah berakhir




SEBAIK saja Hakim Besar Malaya, Datuk Arifin Zakaria yang mengetuai lima panel hakim mengetuk tukul mengekalkan keputusan hukuman terdahulu, dua suasana berbeza dapat dilihat di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya kelmarin.

Di pihak tertuduh, bekas pencuci kabin kapal terbang, Ahmad Najib Aris, 33, tampak pasrah. Dia reda dan seolah-olah melihat perbicaraan rayuan itu sekadar formaliti bagi mengesahkan riwayat hidupnya bakal berakhir di tali gantung.

Ibunya, Rapiah Ahmad cuma mampu berduka sambil menghitung detik terakhir anaknya itu. Manakala di pihak orang awam yang mengikuti kes pembunuhan penganalisis komputer, Canny Ong Lay Kian, 28, mereka menyambutnya dengan kelegaan.

Mahkamah Persekutuan akhirnya ‘membenarkan’ roh si mati itu bersemadi dengan aman.

Walaupun Ahmad Najib masih boleh merayu kepada Lembaga Jemaah Pengampunan Selangor sebagai usaha terakhir, ia jarang dapat menyelamatkan pesalah daripada tali gantung.


IBU Canny mengaku tidak marah pada Ahmad Najib malah bersimpati terhadap keluarganya.


Menyingkap kes Canny, ia mendapat perhatian luar biasa dan menggemparkan rakyat negara ini. Barangkali kerana memiliki sensasi seksual dan elemen ‘hiburan’ apatah lagi wanita kacukan Cina dan India ini cantik dan berperwatakan menarik.

Kisah ini bermula dengan sebuah parti keraian tetapi berkesudahan dengan tragedi yang membingungkan. Apabila Canny menghadiri makan malam bersama kawan-kawannya pada hari Jumaat 13 Jun 2003, tiada siapa yang tahu ia sebenarnya menjadi majlis perpisahan mereka untuk selama-lamanya.

Seperti Canny, ibunya Pearley Viswanathan dan kakaknya Elsie tiba di tempat letak kereta dalam Pusat Beli-belah Bangsar dan bergegas ke restoran Monte.


LOKASI mayat Canny dibakar di Jalan Klang Lama.


Tiada seorang pun antara mereka yang sedar tiket parkiran tertinggal di dalam kereta - tiket yang menjadi permulaan kisah yang membawa kepada kematian Canny.

Bagi Canny, makan malam itu sungguh menyeronokkan kerana ia menghimpunkan semula keluarga dan rakan-rakan lamanya. Kebanyakan mereka tidak pernah Canny temui sejak dia berkahwin dengan Brendan Ong di Malaysia pada Disember 2000.

Pada pukul 10.30 malam, Canny terpaksa pulang kerana keesokan harinya dia akan terbang ke kediamannya di San Diego, Amerika Syarikat. Canny, Elsie dan Pearley berada di mesin pembayaran automatik di tingkat bawah apabila mereka menyedari tiket parkiran tidak dibawa bersama.

Canny bergegas ke kereta. Apabila dia tidak muncul-muncul selepas 30 minit, Pearley dan Elsie mencarinya.


AHMAD NAJIB mengakui mengacu pisau kepada Canny sebelum merogolnya.


Dibakar di lubang pembentungan

Mereka kemudian mendapatkan bantuan pengawal keselamatan dan selepas puas memujuk, mereka dibenarkan menonton rakaman daripada kamera litar tertutup di bangunan tersebut.

Apa yang dilihat amat memeranjatkan. Kereta Proton Tiara milik Pearley dipandu laju dan merempuh penghadang laluan keluar.

Pelbagai spekulasi muncul selama beberapa hari hinggalah mayat Canny dijumpai dalam keadaan hangus di dalam sebuah lubang pembentungan di Kilometer 11.2 Jalan Klang Lama, Petaling Jaya dengan kedua-dua tangannya bersilang di atas dada.

Kakinya pula terjuntai keluar dari lubang tersebut manakala tubuhnya dihimpit di bawah dua buah tayar besar berisi simen, empat hari selepas dia dilaporkan hilang. Mayat itu ditemui empat hari selepas kehilangan Canny.


SUAMI Canny, Brendon Ong menenangkan adik iparnya, Lee Shuan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.


Semasa kemuncak kes itu, terdapat banyak persoalan timbul khususnya kenapa Canny tidak cuba menyelamatkan diri kerana dia telah mendapat dua peluang terbaik untuk berbuat demikian tetapi mendiang memilih untuk terus bersama Ahmad Najib.

Inilah tanda tanya yang terus menjadi misteri hingga kini. Persetubuhan Ahmad Najib dan Canny juga menimbulkan kesangsian.

Tertuduh dalam pengakuannya menganggap hubungan seks dengan Canny adalah atas kerelaan mangsa.

Malah wanita itu tidak menangis atau memarahinya – isu yang diutarakan barisan peguam belanya bahawa Canny mengizinkan dirinya disetubuhi Ahmad Najib.

Bagaimanapun, perbuatan Ahmad Najib mengeluarkan sebilah pisau ditafsir mahkamah sebagai tindakan mengugut bagi membolehkan Ahmad Najib merogol mangsa.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Muhamad Ideres Muhamad Rapee Muhamad Ideres dalam penghakiman pada 23 Februari 2005 berkata, Ahmad Najib mengakui mengajak Canny melakukan persetubuhan tetapi wanita itu cuma berdiam diri.

“Seterusnya dia ambil pisau dari tempat duduk dan hanya selepas ini baru si mati menunjukkan kesediaan untuk disetubuhi.

“Tindakan itu dan dilakukan di tempat yang agak sunyi pada pukul 12 tengah malam ialah satu bentuk ugutan jenayah,” katanya.

‘Saya mahu ke syurga’

Ironi pada saat-saat akhir hidupnya, Canny dilaporkan seperti merelakan kematiannya dengan berkata kepada Ahmad Najib: “Biarkan saya bersendirian, saya mahu ke syurga.” Sesungguhnya, cerita di sebalik pembunuhan Canny masih misteri.


HAKIM Datuk Muhamad Ideres turut meninjau lokasi mayat Canny ditemui.


Sepanjang prosiding selama 52 hari yang mendengar keterangan 44 saksi pendakwa, mahkamah diyakinkan melalui bukti amat mantap dan ‘berlebihan’. Ahmad Najib akhirnya didapati bersalah kerana merogol dan membunuh Canny.

Dia dihukum gantung sampai mati kerana kesalahan membunuh dan penjara maksimum 20 tahun serta 10 sebatan kerana merogol.


Umno restui dan pilih pemimpin rasuah - Mahathir

Mohd Khalil Abdullah 
Sat | Mar 28, 09 | 9:22:39 am MYT

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Hrkh) - "Saya rasa diri saya akan tercemar jika saya berada dalam majlis yang disertai oleh orang yang mendukung amalan rasuah."

Demikian luahan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam nukilan peribadinya di blognya semalam.

"Ramai kenalan saya yang fikir saya tidak hadir pembukaan mesyuarat Perhimpunan Agung Umno kerana anak saya Mukhriz kalah pertandingan Ketua Pemuda.Memanglah saya terasa sedih kerananya.

"Tetapi sebab yang sebenar saya tidak hadir ialah oleh kerana Pemuda Umno secara langsung dan terbuka merestui politik rasuah,"jelasnya.

Menurutnya, perwakilan pemuda memilih ketua mereka seorang yang telah didapati bersalah menggunakan wang dan sogokan dalam usahanya untuk dipilih sebagai Ketua Pemuda.

"Sama ada dia dibenar bertanding atau tidak, tidak menidakkan dianya adalah perasuah.

"Hukuman yang dijatuhkan kepada orang ini tidak setimpal dan adil kerana orang lain yang didapati bersalah sama sepertinya tidak dibenar bertanding,"katanya.

Beliau juga menyindir, betapa tidak pernah terjadi orang yang dikenali dan diakui umum sebagai perasuah oleh Lembaga Disiplin, oleh parti dan oleh orang ramai dipilih dan dijunjung tinggi sebagai ketua.

"Tetapi inilah yang dilakukan oleh Pemuda Umno yang dahulu terkenal sebagai barisan hadapan dalam perjuangan Umno,"ulasnya secara sinis.

Tambahnya, Pemuda Umno telah merosakkan imej Umno dan imej orang Melayu sendiri.

"Rupa-rupanya duit lebih utama daripada bangsa dan negara. Apakah rakyat akan terima dipimpin oleh tokoh rasuah yang terkenal? Perbuatan merestui rasuah adalah satu pengkhianatan kepada bangsa Melayu dan negara Malaysia,"tegasnya.

Selain itu, beliau juga mempersoalkan mengenai proses pengiraan undi yang tidak masuk akal.

"Juga saya hairan kenapa untuk mengira hanya 790 undi mengambil masa lebih dari enam jam?

"Apakah pengira undi tidak tahu kira? Atau apakah sesuatu sudah diusahakan untuk menjayakan menantu Perdana Menteri. Ini menjadi soalan bukan daripada saya seorang tetapi oleh semua orang ramai.

"Tak usahlah Perdana Menteri bercakap berkenaan dengan menolak rasuah kerana menantu yang perasuah diberi keistimewaan luar biasa,"jelasnya lagi.

Dan katanya, "inilah sebab-sebabnya saya tidak hadir. Saya rasa diri saya akan tercemar jika saya berada dalam majlis yang disertai oleh orang yang mendukung amalan rasuah." - mks. _

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=020062&Itemid=85

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...