Monday, March 30, 2009

Linda akui hadir kursus kahwin

Oleh ABIE ABDULLAH
abie@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Linda Onn mengakui mengikuti kelas praperkahwinan di sebuah pusat kursus perkahwinan bertempat di Setiawangsa, Kuala Lumpur, sekitar dua tiga minggu lalu.

Berita ini dikesan Metro Ahad selepas gambarnya tersiar di laman web pusat berkenaan sebelum ia ditarik oleh pihak pengurusan kursus itu tidak lama kemudian.

Menurut penyampai radio Sinar FM ini, kursus dua hari itu sebagai persediaan, tetapi tidak bermakna dia akan menamatkan zaman bujangnya dalam waktu terdekat ini.

“Kalau saya kahwin esok lusa pun tak salahkan, sebab saya ada sijil kursus itu. Apapun, melalui kursus itu saya dapat belajar sedikit sebanyak mengenai perkahwinan dan hubungan suami isteri dan yang penting, ada sijil supaya senang untuk saya kahwin bila-bila masa.

“Kalau ikutkan hati dan izin Allah, saya mahu kahwin secepat mungkin. Namun semuanya dalam perancangan lagi,” kata Linda.

Walaupun tidak berniat merahsiakan hal berkenaan, Linda tetap keberatan memberi komen lanjutan mengenai perancangan dan siapa lelaki yang bertakhta di hatinya sekarang selepas hubungan cintanya dengan pelakon, Fahrin Ahmad, terputus baru-baru ini.

Bagaimanapun Linda menjelaskan, dia masih dalam proses mengenali hati budi lelaki itu.

Selepas Fahrin, selebriti tinggi lampai ini pernah dikaitkan dengan Hans Isaac tetapi Linda berkata, hubungan mereka sekadar teman, tidak lebih daripada itu.

Malah, ketika menghadiri majlis resepsi perkahwinan Mawi dan Ikin di Palace of Golden Horses tidak lama dulu, Linda muncul bersama jejaka mat saleh bernama James Gibbs.

“James kawan lama yang saya kenali sejak 10 tahun dulu. Kami berkenalan di Kuala Lumpur dan dia pernah mempunyai restoran di sini satu ketika dulu. Dia ahli perniagaan dan yang saya boleh katakan, hubungan kami di peringkat serius sejak dua bulan lalu.

“Mengenalinya, saya dapati dia lemah-lembut, menghormati wanita, setia dan benak fikirannya selalu pandang ke depan,”
kata usahawan nasi ayam terkenal ini.

Adakah James lelaki bertuah itu? Linda tidak mengiyakan dan tidak menidakkan persoalan itu, tetapi mahu masyarakat menunggu perkembangan selanjutnya.

“Saya belum berani memberi komen,” katanya.

Namun Linda pernah memberitahu media baru-baru ini: “Yang boleh saya katakan, diri ini juga macam wanita lain yang ada hati nak berkawan. Lagi pun, tiada benda yang saya nak selindungkan.

“Ada jodoh saya dengan sesiapa sekalipun, biarlah lelaki itu baik. Insya-Allah, saya minta jodoh dengan sesiapa pun nanti berpanjangan.”

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090329045703/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...