Thursday, April 30, 2009

Coklat bernafsu

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


menunjukkan beberapa jenis gula-gula seks yang
dirampas dari sebuah kilang " title="BUKTI...pegawai penguatkuasa Farmasi, Azidah Abdul Aziz
menunjukkan beberapa jenis gula-gula seks yang
dirampas dari sebuah kilang " height="290" width="300" border="0">
BUKTI...pegawai penguatkuasa Farmasi, Azidah Abdul Aziz 
menunjukkan beberapa jenis gula-gula seks yang 
dirampas dari sebuah kilang

KUALA LUMPUR: Pembongkaran mengejutkan apabila intipan mendapati lambakan pelbagai produk ubatan seks haram umpama gula-gula atau dikenali sebagai ‘coklat stim’ dihasilkan dengan berselindung di sebalik sebuah kilang pengeluar gula-gula dan coklat kanak-kanak.

Difahamkan, syarikat menghasilkan coklat dan gula-gula untuk kanak-kanak itu yang beroperasi di Tampin, Negeri Sembilan, menggunakan peralatan moden untuk mengadun ramuan `istimewa' gula-gula maut berkenaan dengan pelbagai nama, antaranya coklat ginseng, gula-gula Formula 193, Mentalk dan coklat Maca Gin.

Agak mengelirukan apabila gula-gula seks yang dihasilkan kilang berkenaan dan dijual pada harga RM10 sebiji tidak jauh beza, sama ada dari segi saiz atau bentuk dengan gula-gula yang dijual kepada kanak-kanak.

Bagaimanapun, ujian kimia mendapati gula-gula seks terbabit yang boleh membawa maut itu mengandungi kimia berbahaya Sildenafil yang berupaya merangsang nafsu lelaki ke arah perlakuan seks.

Jurucakap Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, pihaknya menjalankan risikan sejak sekian lama bagi mengesankan pihak bertanggungjawab mengedar dan menghasilkan gula-gula rangsangan seks berkenaan secara sulit.

Menurutnya, jika sebelum ini, produk kopi campuran sering dijadikan `alat' untuk dicampurkan bahan kimia berbahaya berkenaan, namun kini sindiket pengedaran ubat-ubatan seks haram cuba berselindung di sebalik gula-gula.

“Selepas mengumpul maklumat, seramai 30 pegawai penguat kuasa farmasi KKM Negeri Sembilan, Melaka dan ibu pejabat, melakukan serbuan dan pemeriksaan mengejut di lima kilang milik syarikat pengeluar gula-gula itu jam 11 pagi kelmarin.

“Operasi besar-besaran itu diketuai Timbalan Pengarah Penguat kuasa Farmasi KKM, Wan Hamid Wan Ibrahim, turut dilakukan serentak di beberapa syarikat pengedar gula-gula seks berkenaan di ibu kota, Selangor, Kelantan dan Johor bagi memastikan ‘gula-gula seks’ berkenaan dibanteras sepenuhnya,”
katanya.

Menurutnya, ketika awal operasi, pegawai penguat kuasa farmasi dibantu lima anggota polis cawangan Narkotik daerah Tampin, gagal mengesan bukti pengilangan gula-gula seks itu di syarikat berkenaan.

“Namun petunjuk yang dicari akhirnya muncul apabila pegawai penguat kuasa menemui bungkusan gula-gula seks berkenaan di satu kilang memproses gula-gula itu.

“Siasatan rapi akhirnya berjaya menemui beberapa kotak berisi gula-gula rangsangan seks dengan jenama coklat ginseng dan gula-gula formula. Kebanyakan gula-gula berbahaya itu ditemui disembunyikan dalam pejabat pengurusan di kilang berkenaan,”
katanya.

Turut ditemui empat bungkusan berisi ribuan biji gula-gula seks seberat satu kilogram setiap plastik serta dokumen mengandungi kaedah dan bahan untuk menghasilkan gula-gula seks berkenaan. 

“Ketika disoal siasat, penyelia kilang terbabit mendakwa ‘gula-gula’ itu ditempah sebuah syarikat di Kuala Lumpur untuk pasaran tempatan selain dieksport ke China dan Timur Tengah,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi sama di empat lokasi di Sentul dan Cheras, Kuala Lumpur, pegawai penguat kuasa farmasi berjaya merampas 68,000 biji gula-gula seks berkenaan yang dianggarkan bernilai lebih RM680,000.

Difahamkan operasi yang berakhir jam 2 petang berjaya merampas gula-gula seks bernilai hampir RM1 juta yang menunggu masa untuk diedarkan ke pasaran.

Bahan kimia dalam gula-gula itu amat berbahaya terutama kepada individu yang menghidap darah tinggi, sakit jantung dan kandungan kolestrol tinggi. Ia boleh menyebabkan tekanan darah dalam tubuh menjadi terlalu rendah. Akibatnya mangsa boleh pengsan dan mati mengejut.

“Penjual atau pengedar produk itu boleh didakwa mengikut Akta Jualan Dadah Pindaan 2000. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak kurang RM5,000 atau dua tahun penjara mengikut Akta Racun 1957 dan denda antara RM25,000 hingga RM50,000 serta dua tahun penjara,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090430073454/Article/index_html

Dicekup ketika tonton TV

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipercayai terbabit menyamun sebuah stesen minyak menggunakan pistol palsu Selasa lalu, ditahan ketika menonton televisyen bersama keluarganya, malam kelmarin.

Dalam serbuan jam 12.30 malam itu, suspek berusia 20-an tergamam apabila rumahnya diserbu polis.

Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, suspek ditahan selepas pihaknya mengesan alamat rumahnya menggunakan nombor pendaftaran motosikal yang digunakan melakukan jenayah.

“Hasil siasatan polis membawa kepada penahanan suspek yang terbabit dalam samun stesen minyak di Batu 6, Jalan Ipoh, Selasa lalu.

Siasat kenaikan harga ayam

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjalankan siasatan terperinci mengenai dakwaan Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) bahawa harga ayam daging mencatat kenaikan antara 40 sen dan 60 sen sekilogram.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihaknya tidak dimaklumkan mengenai kenaikan harga ayam berkenaan dan ternyata tidak dapat menerima kenyataan dikeluarkan FLFAM.

“Kami tidak tahu mengenai kenaikan harga ayam ini dan agak terkejut kerana minggu lalu harga ayam turun 10 sen, bagaimana hari ini (semalam) boleh naik pula?,” katanya ketika berkunjung ke pejabat Perbadanan Nasional Berhad (PNS), semalam.

Menurutnya, alasan cuaca panas menjejaskan pembiakan ayam tidak boleh diterima memandangkan ia baru berlaku.

“Pembiakan ayam mengambil masa agak lama dan mustahil penternak menaikkan harga ayam kerana cuaca panas berlaku sejak kebelakangan ini.

“Saya tidak boleh terima alasan cuaca diberi dan meminta pegawai menyiasat hal ini,” katanya.

Ismail Sabri berkata, beliau tidak menolak kemungkinan harga ayam meningkat kerana ia bukan barang kawalan seperti gula dan tepung gandum.

“Harga ayam boleh meningkat kerana ia berdasarkan permintaan pengguna. Jika permintaan tinggi, maka harga mungkin melambung,” katanya.

Menurutnya, tidak semua barangan yang berada di pasaran boleh dikawal kementerian kerana ia mungkin bergantung kepada pengeluar.

Amah mengaku rompak dipenjara tujuh tahun

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu rumah warga Indonesia dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen semalam, selepas mengaku bersalah merompak Mak Wan Ayob, ibu Timbalan Ketua Umno Bahagian Putrajaya, Datuk Khairuddin Samad.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat memerintahkan Zuraidah, 30, menjalani hukuman itu berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 3 Januari 2006

Pada 27 September 2007, seorang pekerja binaan warga Indonesia, Khairul Remah, 22, dari Sumatera, yang juga terbabit dalam kes itu, dijatuhi hukuman tujuh tahun penjara selepas menukar pengakuan kepada bersalah terhadap tuduhan sama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. 

Zuraidah yang berasal dari Riau, Indonesia, didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas merompak tujuh gelang emas dan jam tangan Mak Wan, 74. 

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di No 6, Jalan Puncak Setiawangsa, Sentul antara jam 7.15 pagi hingga jam 1.30 tengah hari, 3 Januari 2006. 

Bagi perbuatan itu dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun penjara dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fuad Othman manakala Zuraidah diwakili peguam bela T Narendran. 

Mengikut fakta kes, ketika cucu kepada Mak Wan iaitu Abbas Abdul Rashid sampai ke rumahnya iaitu selepas balik dari sekolah, Abbas memanggil Mak Wan, namun tiada jawapan. 

Abbas kemudian masuk ke dalam biliknya (Mak Wan) dan mendapati mangsa terbaring di atas katil dengan seluruh badan ditutupi selimut, tangan diikat dengan tali, kepala diikat dengan kain, dan kakinya diikat dengan tuala berwarna putih dan merah jambu. 


Abbas cuba membuka ikatan namun tidak berjaya dan mendapati Zuraidah menghilangkan diri. 

Dia meminta pertolongan jirannya Mohammad Murad Mohamad Ali. 


Mereka berjaya merungkai ikatan namun mendapati mangsa sudah tidak bernyawa dan apabila melihat keadaan itu Murad terus menghubungi polis. 

Siasatan mendapati Zuraidah bersamaa rakan jenayahnya (Khairul Remah dan seorang lagi yang masih bebas) membuat pakatan dan Zuraidah berperanan menyalurkan maklumat mangsa mempunyai barang kemas.

Drebar jahanam

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin



KUALA LUMPUR: Kegiatan rompakan licik didalangi pemandu teksi sejak beberapa bulan lalu ditumpaskan apabila polis memberkas seorang lelaki sejurus selepas sejam merompak seorang pekerja kilang.

Penjenayah itu digelar pemandu ‘teksi jahanam’ kerana kerap kali merompak pelanggan teksi bersama seorang rakannya yang menyamar penumpang.

Dalam kejadian terbaru, seorang pekerja kilang warga Bangladesh menjadi mangsa apabila tiba-tiba ditarik masuk ke dalam teksi berkenaan sebelum dirompak wang dan telefon bimbitnya.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa yang berusia 21 tahun berjalan bersendirian berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Tun Perak di sini.

Sumber polis berkata, mangsa yang masih bujang dan bekerja sebagai operator kilang kayu tiba-tiba ditahan dua lelaki tidak dikenali yang berusia 40-an.

“Dalam keadaan terkejut, suspek mengheret mangsa masuk ke dalam teksi merah putih yang diletakkan tidak jauh dari pusat beli-belah itu.

“Ketika berada dalam teksi berkenaan, suspek dipaksa supaya menyerahkan wang tunai dan telefon bimbit,”
katanya.

Menurutnya, mangsa cuba melawan dan enggan akur permintaan suspek sebelum cuba keluar dari teksi berkenaan.

“Suspek mengugut mangsa sebelum merampas wang tunai RM10 dan telefon bimbit mangsa.

“Mangsa kemudian dibawa suspek menaiki teksi berkenaan berpusing-pusing sekitar ibu kota sebelum diturunkan di kawasan berhampiran stesen minyak di Jalan Raja Chulan,”
katanya.

Menurutnya, mangsa menceritakan pengalaman dirompak terbabit kepada beberapa orang awam yang berada di kawasan berkenaan.

“Pada masa sama, beberapa orang awam yang simpati terhadap mangsa sempat mengambil nombor pendaftaran teksi milik penjenayah terbabit sebelum kejadian itu dilaporkan kepada polis.

“Difahamkan sepasukan anggota polis Dang Wangi kemudian menjalankan operasi bersepadu untuk mengesan teksi dan pemandu terbabit sejurus selepas laporan dibuat,”
katanya.

Menurutnya, polis mengesan suspek di hadapan sebuah kedai makan berhampiran Jalan Pudu kira-kira sejam selepas kejadian.

“Suspek ditahan dan hasil pemeriksaan, polis menemui telefon bimbit yang disamun daripada mangsa,” katanya.

Difahamkan, polis kini menyiasat kaitan suspek dengan beberapa kes jenayah sama yang turut dilaporkan berlaku sejak beberapa bulan lalu.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090430072211/Article/index_html

Mahu vaksin

SUBANG JAYA: Demi keselamatan semua pihak, Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) mahu Kementerian Kesihatan mempercepatkan penyuntikan vaksin untuk ternakan babi dan menguatkuasakan penggunaannya di seluruh negara.

Pengerusi Unit Ternakan Babi FLFAM, Beh Kim Hee, berkata meskipun ketika ini tiada ternakan dilaporkan terkena jangkitan virus selsema babi, pihaknya tetap merasakan vaksin pencegahan itu perlu bagi mengelak perkara lebih serius.

Katanya, semua ahli persatuan termasuk 797 pengusaha ladang babi menyatakan persetujuan untuk membeli vaksin itu.

Hanya demam, lenguh sendi

PUTRAJAYA: Seorang pegawai pemasaran yang dikuarantin di Hospital Sungai Buloh (HSB), Selangor kerana demam dan lenguh sendi selepas pulang dari Mexico, tidak menghidap selesema babi, sebaliknya hanya demam biasa.

Perkara itu disahkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika dihubungi lewat petang semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata pengesahan itu dibuat selepas mendapati sampel yang dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) negatif selesema babi.

“Lelaki terbabit dijangka dibenarkan keluar dari hospital beberapa hari lagi,” katanya.

Semalam, akhbar melaporkan seorang pengurus pemasaran yang pulang dari Amerika Syarikat dan Mexico dua hari lalu kini dikuarantin di Hospital Sungai Buloh, dipercayai berkaitan selesema babi.

Penjenayah junior tertinggal beg sekolah

KUALA LUMPUR: Usia mereka baru mencecah 13 tahun dan menuntut dalam tingkatan satu, namun dua pelajar lelaki sudah berani berjinak-jinak sebagai penjenayah geng samun tepi jalan dengan kerap menjadikan wanita sebagai mangsa.

Lebih mengejutkan penjenayah junior berkenaan memakai pakaian seragam sekolah ketika melakukan jenayah itu. 

Namun, identiti suspek terbongkar selepas beg sekolah seorang daripada suspek tercicir ketika cuba melarikan diri sejurus menyamun seorang mangsa kelmarin.

Sumber polis berkata, penjenayah terbabit sebelum itu memukul seorang wanita dan melarikan beg wanita itu dalam kejadian samun di Desa Setapak, dekat sini, kelmarin. 

Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, mangsa berusia 27 tahun berada di kawasan letak kereta sebuah Tabika sebelum dihampiri dua remaja berkenaan. 

Mangsa yang terkejut melawan suspek dan berlaku pergelutan. 

Kejadian itu disedari orang awam yang berada di kawasan berhampiran dan kemudian mengejar kedua-dua suspek. 

“Suspek sempat meloloskan diri, namun beg sekolah seorang daripadanya tercicir di tempat kejadian,” katanya. 

Sejurus kejadian itu, mangsa yang bekerja sebagai kakitangan syarikat teknologi maklumat membuat laporan sebelum polis memberkas suspek yang berusia 13 tahun itu.

“Usaha kini dilakukan bagi mengesan seorang lagi rakannya,” katanya.

Cuba cabul rakan sekelas ikut aksi VCD

KUALA LUMPUR: Terangsang dengan aksi panas ditonton melalui rakaman video cakera padat (VCD) lucah, seorang murid perempuan cuba mencabul rakan sekelasnya sendiri dengan meniru aksi dipercayai dilihat dalam VCD berkenaan.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku di sebuah sekolah di Kota Kemuning, Shah Alam apabila murid berusia 11 tahun itu menyelak skirt rakan sekelasnya sebelum bertindak cuba memasukkan tangan ke dalam seluar dalam mangsa menyebabkan mangsa terkejut dan melarikan diri.

“Mangsa yang tergamam dengan kejadian itu tidak memberitahu apa dialami kepada guru atau ibu bapanya sebaliknya terus pergi ke balai polis membuat laporan berhubung kejadian itu, Jumaat lalu.

“Siasatan polis percaya murid berkenaan mungkin pernah menonton VCD lucah dan cuba meniru pelakuan pelakon lucah dalam filem itu.

“Setakat ini, mangsa sudah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menjalani pemeriksaan doktor berhubung kejadian cabul berkenaan. Polis turut sudah mengambil keterangan murid terbabit untuk tujuan siasatan,” katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun membuat laporan polis selepas mendakwa dicabul abang kandungnya yang mempunyai masalah mental.

Sumber berkata, mangsa mendakwa tinggal bersama abang dan ibunya saja di rumah selepas berlaku perceraian ibu bapanya.

Pelajar ponteng dicekup khalwat

Oleh Zuliaty Zulkiffli



ALOR STAR: Tindakan seorang pelajar perempuan tingkatan tiga menipu keluarganya kononnya dia pergi ke sekolah, akhirnya memakan diri apabila dia dicekup berkhalwat bersama teman lelakinya oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) di sebuah hotel murah, di sini, pagi kelmarin.

Remaja berusia 15 tahun itu dicekup bersama pasangannya yang berusia 21 tahun di sebuah bilik hotel murah di Jalan Teluk Wanjah, dekat sini, dalam serbuan kira-kira jam 11.45 pagi.

Dia yang sepatutnya belajar di sekolah menengah di Kuala Kedah dikatakan mengikut teman lelakinya yang juga seorang peniaga burger ke hotel berkenaan untuk melepaskan rindu.

Ketika soal siasat, lelaki itu memberi alasan mahu menumpang mandi di bilik hotel itu bersama pasangannya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jaik, Sheikh Muhammad Suhaimi Salleh, berkata pihaknya membuat pemeriksaan di hotel murah itu selepas menerima maklumat orang awam yang mendakwa ada pasangan Islam bukan mahram menyewa di situ.

Beliau berkata, lapan anggota penguat kuasa diketuai Mohd Nasir Dali membuat pemeriksaan di hotel murah terbabit dan mendapati kebanyakan pintu di situ tertutup dan berkunci dari dalam.

“Selepas mengetuk pintu dan memperkenalkan diri, pintu bilik itu dibuka seorang lelaki dan pemeriksaan lanjut menemui seorang remaja perempuan di dalam bilik terbabit.

“Hasil soal siasat mendapati, pasangan itu bukan mahram atau suami isteri dan ditahan mengikut Seksyen 9(1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana berkurung sehingga mendatangkan syak.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali,”
katanya ketika ditemui di sini, semalam. 

Dalam serbuan yang sama, penguat kuasa Jaik turut menahan tiga pasangan bukan mahram berusia 20-an hingga 50 tahun yang disyaki berkhalwat di bilik masing-masing, dalam serbuan serentak, petang kelmarin.

Muhammad Suhaimi berkata, pihaknya akan terus membuat pemantauan di beberapa hotel murah di bandar raya ini dan daerah lain dalam usaha untuk membanteras maksiat.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090430071751/Article/index_html

Mulut terkoyak

KUALA TERENGGANU: Gara-gara ingkar nasihat ibu, seorang pelajar tingkatan tiga nyaris maut apabila motosikal ditunggangi terbabas di Jalan Felcra, Kampung Pulau Manis, Manir dekat sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu menyebabkan Mohd Amirudi Salahuddin, 15, dari Kampung Pulau Manis, Manir luka teruk pada mulut dan tangan.

Mangsa yang cedera dihantar ke Klinik Kesihatan Kuala Telemong (KKKT) sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Menurut Mohd Amirudi, sebelum kejadian, dia menunggang motosikal mengelilingi kawasan kampung dan ketika membelok ke rumah rakannya, motosikalnya hilang kawalan sebelum tercampak ke tengah jalan.

“Saya tergamam apabila motosikal sebelum terbabas ke bahu jalan menyebabkan mulut terkoyak terkena pemegang motosikal.

“Hanya Allah yang tahu kesakitan ketika itu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Ibunya, Faezah Mamat, 38, berkata dia terkejut selepas sepupunya memberitahu mengenai kejadian berkenaan.

“Sebaik dimaklumkan, saya bergegas ke KKKT sebelum mengiringinya ke HSNZ. Sebelum ini, saya melarang menunggang motosikal tetapi tetap berdegil,” katanya.

Lima isu perlembagaan ke Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan dipertanggungjawab menentukan kesahihan penukaran agama kanak-kanak daripada satu perkahwinan sivil kepada agama Islam oleh bapa atau ibu tanpa persetujuan dan pengetahuan bapa atau ibu yang tidak menukar agama.

Mahkamah Rayuan semalam merujukkan kes hak penjagaan anak Shamala-Ridzwan ke Mahkamah Persekutuan bagi penentuan terhadap lima persoalan perlembagaan.

Mahkamah tertinggi itu perlu membuat penghakiman terhadap percanggahan antara undang-undang Islam dan sivil berkaitan penukaran agama dan hal ehwal keluarga dan juga Perlembagaan Persekutuan termasuk mengenai kesamaan dan kebebasan beragama.

Satu daripada persoalan itu ialah sama ada Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 yang memberikan hak kepada ibu atau bapa yang menukar agama untuk menukar agama anaknya daripada perkahwinan sivil tanpa pengetahuan atau persetujuan bekas pasangannya tidak konsisten dengan Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961. 

Pindaan Akta Penjagaan Kanak-Kanak itu memberikan hak sama rata kepada ibu bapa dalam membesarkan anak-anak mereka.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdull Hamid Embong yang bersidang bersama Hakim Datuk Hasan Lah dan Datuk Abdul Malik Ishak, sebulat suara membenarkan permohonan bagi perintah rujukan dikemukakan S Shamala yang terbabit dalam pertikaian hak penjagaan anak dengan suaminya yang memeluk agama Islam, Dr Jeyaganesh C Mogarajah. 

Shamala, 37, berkahwin dengan Jeyaganesh, 41, pada 1998 mengikut upacara agama Hindu dan perkahwinan mereka didaftarkan mengikut Akta Pembaharuan Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976.

Pada 2002, empat tahun selepas berkahwin, Jeyaganesh memeluk agama Islam dan turut menukar agama anaknya Saktiwaran dan Theiviswaran, yang ketika itu berumur tiga dan dua tahun, kepada agama Islam tanpa persetujuan Shamala. 

Permohonan untuk merujuk persoalan perlembagaan kepada mahkamah dibuat dengan persetujuan Jeyaganesh, yang nama Islamnya Muhammad Ridzwan Mogarajah dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Jeyaganesh yang diberikan hak melawat anaknya mendakwa, dirinya tidak bertemu dua anaknya itu sejak lima tahun lalu.- Bernama

Selesai segera kemelut

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang bekas menteri Kabinet mendesak kementerian berkaitan menyelesaikan segera kelewatan ratusan tuntutan fasakh ‘tegar’ di mahkamah syariah bagi mengelakkan lebih ramai isteri teraniaya dan menjadi gila akibat perbuatan suami yang tidak bertanggungjawab. 

Tindakan itu perlu bagi memastikan institusi keluarga Islam pada masa depan tidak porak-peranda apabila pertikaian suami dan isteri membabitkan tuntutan berkenaan berlarutan terlalu lama.

Bekas menteri berkenaan, Tan Sri Zaleha Ismail, berkata desakan itu juga dibuat selepas mengambil kira pelbagai rungutan dan aduan mengenai keperitan isteri yang menjadi mangsa dan penderaan suami yang menjadikan mahkamah sebagai ‘alat’ membalas dendam. 

Zaleha berkata, masalah itu perlu diberikan perhatian serius kerana yakin ia membabitkan terlalu ramai golongan isteri yang didera akibat kes fasakh terlalu lama di mahkamah.

“Saya percaya ramai isteri dan wanita yang akan menjadi gila dan mengalami tekanan emosi serius akibat tuntutan fasakh mereka yang tergantung di mahkamah.

“Malah, paling mengecewakan masalah kelewatan itu dikesan berpunca daripada sikap suami yang sering tidak hadir ke mahkamah,” katanya.

Beliau diminta mengulas laporan Harian Metro baru-baru ini, mengenai seorang isteri jelita menjadi gila akibat tidak mampu menahan tohmahan dan desakan hidup apabila tuntutan fasakh tidak diselesaikan walaupun berbelas tahun difailkan di mahkamah syariah.

Zaleha yang juga Menteri Kebajikan Masyarakat pada 1990-an berkata, sudah tiba masanya menteri berkaitan berbincang dengan hakim syarie dan alim ulama bagi mencari jalan menyelesaikan isu yang semakin membimbangkan masyarakat Islam di negara ini.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090429062615/Article/index_html

Ketamakan jejas imej industri ubat herba

Oleh Noordin Zakaria
noordin@ini.my


PADA 14 April lalu, Kementerian Kesihatan mengumumkan pengharaman beberapa produk ubat tradisional berasaskan herba.

Herba, berdasarkan kajian saintifik, memang terbukti mengandungi bahan aktif yang mampu merawat masalah kesihatan.

Namun, apabila dicampurkan dengan bahan berbahaya oleh segelintir pengusaha tidak bertanggungjawab, ia bukan sahaja boleh memudaratkan kesihatan, malah boleh membawa maut.

Atas dasar menjaga kepentingan awam Kementerian Kesihatan menguatkuasakan pengharaman produk tertentu yang dikesan dicampur dengan bahan berbahaya.

Menurut kenyataan terbaru Kementerian Kesihatan, selaras pengumuman pengharaman keluaran terbabit, produk ubat tradisional itu diharamkan daripada diedarkan dan digunakan kerana didapati mengandungi bahan campuran berbahaya iaitu sibutramine dan seldenafil.

Antara produk berkenaan ialah untuk lelaki dan perampingan. Ia amat berbahaya terutama kepada yang mengalami masalah jantung, darah tinggi serta mereka yang menjalani rawatan kesihatan tertentu.

Sebagai langkah perlu, katanya, Kementerian Kesihatan juga mengambil langkah membatalkan semua pendaftaran produk terbabit.

Pengarah Kanan Bahagian Perkhidmatan Farmaseutikal, Eisah A Rahman, berkata kebanyakan produk berkenaan dikaitkan dengan herba tongkat ali.

Menurut beliau, sibutramine dan seldenafil hanya dibenarkan diambil dengan nasihat doktor atau bahan ubat berkenaan dibeli di farmasi dengan preskripsi khusus.

Justeru, beliau menasihatkan sesiapa yang menyimpan stok ubat terbabit agar menghentikan jualan, edaran serta penggunaannya serta-merta.

Mereka yang didapati masih menyimpan, menjual atau mengedar ubat terbabit boleh didakwa mengikut Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dengan hukuman maksimum RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Ini bukan kali pertama Kementerian Kesihatan terpaksa bertindak mengharamkan produk ubat tradisional sama ada berasaskan herba atau bahan semula jadi lain, malah berkali-kali berdasarkan peruntukan sedia ada seperti Akta Racun 1952, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Jualan Bahan Dadah 1952 dan Akta Perubatan (Jualan dan Pengiklanan) 1956.

Kawalan terhadap semua aktiviti bukan terhad kepada jualan dan edaran, malah pengiklanan. Setiap pengusaha perlu mematuhi peraturan sedia ada sebelum boleh mengiklankan produk masing-masing di media massa.

Kawalan berkenaan, terutama oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) di bawah Kementerian Kesihatan mewajibkan setiap produk ubat tradisional didaftarkan bagi memastikan diperbuat daripada herba dan bahan semula jadi.

Bagaimanapun, penemuan bahan berbahaya dalam ubat tradisional dari semasa ke semasa oleh Kementerian Kesihatan membuktikan masih wujud segelintir pengusaha tamak dan rakus tanpa memikirkan keselamatan dan kesejahteraan orang ramai.

Ini sekali gus mengancam nama baik industri herba dan rawatan alternatif di Malaysia.

Memang pada asasnya, berdasarkan kajian saintifik, bahan semula jadi tertentu termasuk herba, mempunyai bahan aktif yang mampu sama ada mencegah, merawat atau mengurangkan risiko masalah kesihatan.

Kemampuan ini turut ditentukan beberapa faktor lain. Antaranya dari segi dos pengambilan bahan berkenaan, kaedah pemprosesan dan formula ramuan.

Dalam soal formula ramuan inilah sering kali berbangkit kegiatan tidak bertanggungjawab oleh segelintir pengusaha produk ubat tradisional yang tamak dan rakus mencampurkan bahan berbahaya untuk mengaut keuntungan banyak serta cepat tanpa mengambil kira kesan terhadap orang ramai.

Memang jumlah pengusaha sebegini tidak ramai. Pengusaha yang benar-benar jujur mematuhi semua peraturan berkaitan serta menjaga kepentingan dan kesejahteraan pengguna adalah jauh lebih ramai.

Malah, lebih berbahaya, ia boleh mengancam peluang industri herba Malaysia untuk lebih berjaya di pasaran antarabangsa.

Setakat ini, Kementerian Kesihatan dilaporkan ada menerima laporan dari luar negara berhubung penemuan bahan campuran berbahaya dalam beberapa produk tradisional dari negara ini.

Ini sudah tentu merosakkan imej produk herba negara di mata dunia luar.

Sementara usaha pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap ubat tradisional yang dicampur bahan berbahaya terus dijalankan, orang ramai perlu disedarkan mengenai kebarangkalian wujud segelintir produk berbahaya di pasaran.

Ini kerana kini sudah ada kecenderungan orang ramai untuk mempercayai sepenuhnya bahawa semua produk herba adalah lebih selamat berbanding ubat moden.

Sebenarnya, jika anda seorang daripadanya dan mahu terus kekal dengan kepercayaan itu, perhatikan kenyataan ini:

“Banyak ubat komplimentari (termasuk herba) tidak berkesan, malah sesetengahnya berbahaya.”

Kenyataan itu dikeluarkan Profesor Edzard Ernst, warga Britain pertama mendapat gelaran profesor perubatan komplimentari di negara itu.

Kenyataan ini boleh ditemui di dalam panduan kesihatan dikenali Desktop Guide To Complementary and Alternative Medicine: An Evidence Based Approach.

Tanpa menafikan kewujudan produk herba yang benar-benar berkesan serta selamat di pasaran tempatan, pengguna perlu lebih berhati-hati ketika membuat pilihan bagi mendapatkan produk terbaik untuk kegunaan sendiri atau keluarga.

Setiap produk herba mengandungi bahan aktif tertentu yang boleh memberi kesan mudarat kepada fungsi tubuh.

Malah, ada sesetengah produk herba dikesan mengandungi unsur dadah, racun atau toksid yang memudaratkan sistem tubuh sama ada dalam jangka pendek atau jangka panjang.


Tambahan pula, industri perubatan herba berasaskan sains dan teknologi di Malaysia masih baru walaupun ia rentetan daripada ilmu perubatan tradisional yang diwarisi sejak lama. Aspek penyelidikan saintifik dan ujian klinikal bagi perubatan herba di negara ini masih ‘muda’, malah dalam sesetengah kes, cuba dielakkan oleh pihak pengeluar kerana ia membabitkan kos tinggi dan tempoh masa lama.

Ini diburukkan lagi oleh segelintir pengusaha yang rakus dan tamak mengejar keuntungan semata-mata dengan langsung mengabaikan kesejahteraan dan keselamatan pengguna.

Semua langkah berkenaan - pemantauan, pemeriksaan, penguatkuasaan, pengharaman dan kempen kesedaran - perlu berterusan demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan orang ramai demi kemajuan industri herba di negara ini.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090429062348/Article/index_html

Sah bebas selesema babi

Oleh Kamarulzaman Pid
amar@hmetro.com.my


PUTRAJAYA: Malaysia disahkan bebas daripada wabak Swine Influenza atau selesema babi, justeru, rakyat dinasihat tidak perlu bimbang mengenainya.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata bagi memastikan keadaan itu berkekalan, Bahagian Kawalan Penyakit dibuka kelmarin bagi memantau situasi wabak itu di samping mengadakan saringan tanda jangkitan selesema babi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang serta di semua pintu masuk utama negara ini. 

“Daripada pemerhatian terhadap kes yang mempunyai tanda atau gejala ‘influenza-like illness’, tiada peningkatan kes dan kes berkelompok dilaporkan setakat ini. 

“Kementerian juga akan mengadakan satu mesyuarat bersepadu bersama beberapa agensi berkaitan esok (hari ini) bagi membincangkan langkah yang boleh diambil untuk mencegah dan mengawal penyebaran wabak itu. 

“Kementerian akan membuat kenyataan akhbar dari semasa ke semasa untuk memaklumkan kepada orang ramai perkembangan wabak itu serta langkah kawalan dan pencegahan yang diambil,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Dr Ismail berkata, laporan terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan terdapat 40 kes berkaitan wabak Swine Influenza A (H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal dikesan di Amerika Syarikat.

“Sebanyak 1,840 kes yang disyaki H1N1 turut dilapor di Mexico yang mengakibatkan 104 kematian. 

Enam kes turut dikesan di Kanada, dua di Scotland serta satu di Sepanyol, manakala 25 kes dilapor di New Zealand,”
katanya.

Beliau berkata, berikutan situasi terkini wabak itu, WHO meningkatkan amaran Influenza Pandemik daripada Fasa 3 ke Fasa 4.

Ini menunjukkan terdapat kemungkinan berlakunya pandemik.

Fasa 4 bermaksud berlaku penularan antara manusia ke manusia dan boleh menyebabkan wabak di kalangan komuniti, tetapi setakat ini, WHO tidak mengenakan sebarang sekatan dari segi kesihatan, perjalanan dan perdagangan yang perlu dilakukan oleh setiap negara bagi perlindungan kesihatan antarabangsa.

“Peningkatan fasa ini tidak bermakna pandemik tidak boleh dibendung, tetapi ia boleh menurun dan meningkat ke fasa lebih tinggi bergantung kepada situasi dan maklumat terkini wabak itu,”
katanya.

Berikutan itu, orang ramai dinasihat supaya tidak melakukan lawatan antarabangsa, terutama ke negara yang dilanda wabak itu.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090429062045/Article/index_html

Sanggup tipu ayah

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my

dalam bilik anaknya." title="BUKTI...Aziz menunjukkan pil khayal yang ditemui
dalam bilik anaknya." height="200" width="300" border="0">
BUKTI...Aziz menunjukkan pil khayal yang ditemui 
dalam bilik anaknya.

KUALA LUMPUR: Seorang bapa hanya mampu terkedu dan hampir menitiskan air mata apabila menemui sejumlah pil khayal Nospan disembunyikan di bilik anak remajanya yang baru berusia 15 tahun.

Bapa berkenaan yang hanya dikenali sebagai Aziz, 45, berkata dia mula mencurigai perbuatan anaknya itu selepas melihat dia kerap menelan pil walaupun sihat.

“Apabila disoal, anak saya memberitahu sakit kepala, namun lama-kelamaan saya mula curiga dan memeriksa biliknya.

“Keraguan saya terjawab apabila menemui sejumlah pil itu dan percaya kelakuannya yang sering berkhayal dan menyendiri kesan lalok daripada pengambilan pil terbabit,”
katanya yang ditemui, semalam.

Aziz berkata, sebelum ini, anak keduanya itu seorang yang periang dan pintar di sekolah, namun sejak kebelakangan ini sikapnya berubah dan sering keluar bersama rakan-rakannya.

“Selama ini saya menyangka dia sakit kepala, tetapi dengan penemuan pil itu, kerisauan mula timbul apabila mengetahui dia menelan pil berkenaan yang boleh menyebabkannya terbabit kegiatan penagihan dadah.

“Pendedahan yang kerap dalam akhbar membuatkan saya mempunyai sedikit pengetahuan tentang bahaya pil itu, namun tidak mampu berkata apa-apa apabila menemuinya dalam bilik anak saya,”
katanya yang bercadang menghantar anaknya menghadiri kaunseling sebagai usaha memulihkannya.

Selain itu, Aziz khuatir anaknya diperangkap pihak tertentu untuk dijadikan sebagai ‘pusher’ menjual pil itu di kalangan pelajar sekolah.

“Saya percaya bekalan pil ini diperoleh dari pasaran gelap memandangkan ia tidak dijual di farmasi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Kang Chez Chiang berkata, penggunaan pil lalok itu menjadi pilihan remaja bersekolah kerana harganya yang murah sekitar 50 sen dan RM 1 sebiji.

“Kami percaya remaja terbabit hanya mencari keseronokan dengan menelan pil psikotropik Nospan yang selama ini menjadi buruan penagih dadah kerana dipengaruhi rakan sebaya.

“Namun, polis memberi amaran jika ada antara mereka yang ditahan atau didapati menggunakan pil itu tanpa nasihat doktor bertauliah, tindakan boleh diambil mengikut Akta Racun dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,
katanya ketika dihubungi semalam.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090429061328/Article/index_html

Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my

bas RapidKL, semalam." title="LEKAT...Sabtu melekatkan poster Rakan Cop dalam
bas RapidKL, semalam." height="229" width="300" border="0">
LEKAT...Sabtu melekatkan poster Rakan Cop dalam 
bas RapidKL, semalam.

KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang sebelum ini menggunakan kemudahan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja pada setiap hari kini trauma apabila menjadi mangsa samun sekumpulan penjenayah berkeliaran di hentian bas dan stesen sistem Transit Aliran Ringan (LRT) sekitar ibu kota. 

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam Khamis lalu di Stesen Masjid Jamek, mangsa berusia 21 tahun dihampiri dua lelaki tidak dikenali sebelum disamun.

Ketika kejadian, mangsa menggunakan jalan belakang stesen itu yang sunyi sebagai jalan pintas sebelum dihampiri kedua-dua suspek bersenjatakan pisau.

Dalam dalam kejadian kedua keesokan harinya kira-kira jam 7 pagi di Stesen Pasar Seni, seorang lagi mangsa berusia 26 tahun kerugian hampir RM800 apabila disamun lima lelaki. 

Mangsa bukan hanya disamun, malah dibelasah kumpulan lelaki terbabit.

Sementara itu Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Mohammad Sabtu Osman, berkata pihaknya menyedari kejadian samun berlaku berhampiran kawasan tumpuan orang awam itu dan sentiasa menjalankan pemantauan.

Katanya, peningkatan jenayah membabitkan pengangkutan awam sepanjang tempoh Januari hingga Mac tahun ini, 12 kes jenayah dilaporkan berbanding 12 kes bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lalu.

“Antara kejadian kerap dilaporkan samun berkawan tanpa menggunakan senjata, ragut serta seluk saku. Kami percaya jenayah ini membabitkan sindiket tertentu dan sudah dikenal pasti.

“Hasil maklumat orang ramai dan kerja keras pihak polis, kami berjaya menumpaskan satu geng seluk saku membabitkan warga Filipina dan mereka sedang menjalani perbicaraan,”
katanya.

Sebelum itu Sabtu, melancarkan program cegah jenayah Rakan Cop bersama Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd, (RapidKL) di Stesen LRT Pasar Seni.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suffian Baharuddin, berkata dalam kempen itu pihaknya menampal 1,500 pelekat Rakan Cop dalam 660 bas pihaknya untuk kemudahan orang ramai melaporkan kejadian jenayah.

“Selain itu, kami dalam usaha melatih lebih ramai pegawai keselamatan sebagai polis bantuan bagi memastikan keselamatan orang ramai menggunakan kemudahan pengangkutan kami,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090429061221/Article/index_html

Kawasan panas denggi

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


GOMBAK: Walaupun pelbagai usaha dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menangani wabak denggi di kawasan pentadbirannya, ia tidak menampakkan kesudahan apabila satu lagi ‘kawasan panas’ dikenal pasti menjadi tempat pembiakan aedes membabitkan perumahan Desa Tun Hussein Onn di zon Setapak.

Ini berikutan sepanjang minggu lalu, daripada 48 kes yang dicatatkan sebanyak 10 kes berlaku di kawasan berkenaan, sekali gus menjadikannya kawasan paling tinggi mencatatkan kes denggi, diikuti Cheras, Kepong, kawasan pusat bandar, Klang Lama dan Damansara.

Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur, Dr Salehuddin Abu Bakar, berkata walaupun wujudnya kawasan baru, jumlah kes denggi secara keseluruhan mencatatkan penurunan berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu sebanyak 100 kes.

“Berdasarkan rekod, memang bilangan kes di Kuala Lumpur menunjukkan penurunan namun yang menjadi masalahnya kini timbul pula kawasan baru dikenal pasti menjadi kawasan panas kes berkaitan denggi.

“Ini yang kita tidak mahu kerana apa yang kita harapkan supaya jumlah kes serta bilangan kawasan dikesan mempunyai bilangan kes juga turut berkurangan dalam masa yang sama,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Gaya Hidup Sihat 2009, di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan DBKL, Dr Zainol Ariffin Pawanchee.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program itu termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, sukaneka, aktiviti mencari harta karun, pameran keusahawanan serta kesihatan yang disertai pelbagai agensi seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Menurutnya, punca kes aedes terus berlaku ialah kurangnya kerjasama penduduk ketika operasi pencegahan dilakukan terutama sikap penduduk di kawasan perumahan bertaraf elit dan kediaman bertingkat seperti kondominium dan projek perumahan rakyat (PPR).

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090427050939/Article/index_html

Bulan madu Mexico bertukar mimpi ngeri


IAIN dan Dawn Askham (kiri) semasa majlis perkahwinan mereka di London baru-baru ini.


LONDON - Dua rakyat Britain dijangkiti penyakit selesema babi ketika mereka berbulan madu di Mexico baru-baru ini, lapor sebuah akhbar semalam.

Iain dan Dawn Askham yang berasal dari Polmont tiba dari Cancun pada Selasa lalu dengan tanda-tanda penyakit selesema sebelum diuji positif malam kelmarin.

Seramai tujuh daripada rakan dan seorang anggota keluarga pasangan tersebut menunjukkan jangkitan selain 17 orang warga Britain yang turut diuji positif.

Seorang jiran Askham, Rachel Anderson berkata, kumpulan paramedik tiba kelmarin sebelum membawa pasangan tersebut ke hospital.

Perkembangan terbaru itu membimbangkan ramai rakyat yang melancong di Mexico kerana mereka mungkin membawa pulang virus berkenaan.

Rakyat Britain kini dinasihat untuk mengelak ke negara-negara yang mempunyai kes selesema babi terbabit berikutan semakin banyak agensi percutian mula membatalkan penerbangan.

Dalam perkembangan berkaitan, sepasang suami isteri, Faye dan Russ Cavis tiba di Lapangan Terbang Manchester setelah membatalkan percutian mereka.

"Kami takut untuk ke luar negara terutama ketika berita ini mendapat tumpuan meluas media. Saya simpati terhadap nasib penduduk Mexico," kata Faye.

Sementara itu, Setiausaha Kesihatan, Alan Johnson memberitahu, hospital-hospital kerajaan mempunyai cukup ubat Tamiflu yang diuji positif terhadap selesema burung di Mexico. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0429&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Dunia diambang pandemik


SEKUMPULAN pelajar sekolah Mexico mendengar arahan selepas tiba 
di Lapangan Terbang Barajas di Madrid, Sepanyol semalam.


BANDAR RAYA MEXICO - Para pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meningkatkan tahap amaran pandemik atau wabak global ketika jumlah negara terjejas akibat penyakit itu meningkat dengan mendadak semalam.

Pihak berkuasa di Mexico menyatakan 152 orang mati akibat selesema babi namun jumlah kes di Amerika Syarikat melonjak lebih dua kali ganda manakala enam negara lain mengesahkan kes pertama masing-masing.

Setakat ini, pihak berkuasa di Asia yang pernah terjejas akibat wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003, masih optimis dapat mengawal penyebaran virus selesema babi, H1N1 menerusi saringan ke atas para penumpang penerbangan dari lokasi-lokasi terjejas selain mengeluarkan amaran tidak berkunjung ke Mexico.

Bagaimanapun, WHO dalam satu sidang akhbar semalam mendakwa, proses saringan di pintu masuk negara seperti lapangan terbang tidak berkesan dalam membendung wabak itu.

"Kawalan sempadan tidak berkesan. Begitu juga dengan proses saringan," kata jurucakap WHO di Geneva, Gregory Hartl.

"Jika seseorang individu terdedah atau dijangkiti H1N1, dia mungkin tidak menunjukkan tanda-tanda jangkitan di lapangan terbang. Kami banyak belajar daripada SARS," tambahnya.

WHO meningkatkan amaran pandemik daripada tiga pada tahap tertinggi iaitu empat semalam sekali gus membayangkan dunia semakin hampir dilanda wabak selesema babi.


PEGAWAI kuarantin Korea Selatan cuba mengambil sampel air liur daripada seorang bayi di Lapangan Terbang Incheon, Seoul semalam.


"Ketika penduduk dunia bebas dan pantas bergerak ke merata tempat menggunakan pesawat, tiada tempat di dunia yang tidak berisiko dijangkiti virus H1N1," kata pemangku timbalan ketua pengarah WHO bagi hal ehwal kesihatan, keselamatan dan alam sekitar, Keiji Fukuda.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa badan kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu tidak menggalakkan mana-mana negara untuk menutup sempadan dan menguatkuasakan larangan perjalanan.

"Dengan keupayaan virus H1N1 menular dengan amat pantas, penutupan sempadan atau larangan perjalanan tidak akan berkesan dalam membendung penyebaran selesema babi," jelasnya.

Sementara itu, kerajaan Mexico menyatakan jumlah kes disyaki H1N1 bertambah kepada 1,614 setakat ini.

Di ibu kota Mexico yang dihuni 200 juta orang, keadaan semalam sunyi apabila banyak tempat awam termasuk, zoo, muzium, gereja dan restoran ditutup manakala orang ramai memilih untuk tidak keluar rumah.

Di Britain, dua rakyatnya disahkan diserang selesema babi selepas mereka pulang dari percutian bulan madu di bandar peranginan Cancun, Mexico pada minggu ini.

Selain Britain, kes selesema babi di Eropah hanya berlaku di Sepanyol namun terdapat beberapa kes disyaki penyakit maut itu sedang dipantau di Jerman dan Austria.

Sejumlah 51 orang dijangkiti selesema babi di Amerika Syarikat manakala Kanada pula berdepan dengan enam kes.

Virus H1N1 turut merebak ke Israel dan New Zealand apabila pihak berkuasa negara berkenaan mengesahkan kes pertama selesema babi masing-masing.

Di Asia, pihak berkuasa kesihatan Thai mengasingkan seorang wanita di hospital selepas dia disyaki dijangkiti H1N1 manakala Korea Selatan memantau kes pertama disyakki selesema babi.

Di Australia pula, pihak berkuasa negara itu sedang menyiasat 70 kes jangkitan selesema babi yang menyaksikan pesakitnya mengalami simptom demam mengejut, sakit tekak, batuk dan sakit sendi diikuti dengan radang paru-paru.

Wabak maut itu menular melalui jangkitan antara manusia dengan manusia dan mampu tersebar melalui udara.

Sebelum ini, wabak 'selesema Sepanyol' yang melanda dunia pada 1918 telah mengorbankan antara 20 dan 100 juta orang di seluruh dunia. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0429&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...