Monday, September 28, 2009

Kisah hidup individu fobia




NAZRUL AZAT JAMIL, 30, ada masalah dengan lori. Apabila mendengar sahaja bunyi lori dan bas bergerak, hatinya menjadi tidak tenang. Jantungnya mulai berdegup pantas.

Ketakutannya terhadap kenderaan-kenderaan berat bukan main-main. Segala-galanya bermula ketika dia mengambil ujian memandu buat kali pertamanya empat tahun lalu.

Menaruh harapan untuk lulus, Nazrul bagaimanapun gagal dalam ujian tersebut. Semuanya gara-gara dia terserempak dengan sebuah lori ketika memandu.

"Waktu itu, kereta saya nyaris-nyaris bergesel dengan lori. Jarak lori itu pun sangat dekat... kira-kira sejengkal sahaja. Saya jadi takut dan memandu pun tak betul.

"Lagipun, saya pandu kereta Kancil. Jadi, lori di tepi rasa macam nak hempap saya. Terus instruktor suruh saya berhenti tepi jalan dan dia ambil alih," katanya kepada Kosmo! dalam satu pertemuan di ibu negara baru-baru ini.

Dicengkam perasaan takut yang berlebihan, Nazrul hanya berani mengambil semula ujian memandu enam bulan kemudian. Malah, sehingga ke hari ini, perasaan takut itu belum lenyap.

Rasa takut

Pantang nampak kelibat kenderaan besar dan tinggi di lebuh raya, dia pasti akan memperlahankan keretanya. Alasannya cukup mudah. Semoga lori dan bas itu boleh meluncur pergi, membawa bersama-sama perasaan takutnya.


DALAM kebanyakan kes, fobia berlaku kerana rasa takut jika diri dicederakan.


Setiap kali memandu, anak kedua daripada enam beradik itu akan menggenggam erat dan merapatkan dadanya di stereng. Bagi pustakawan itu, tindakan tersebut disifatkan selamat andainya berlaku apa-apa kecelakaan.

Sebelum memiliki kereta, Nazrul gemar menumpang kereta kawannya untuk pergi balik ke pejabat. Lima bulan kemudian, dia membeli sebuah kereta Proton Gen-2.

Malangnya, saiz kereta sedan itu tidak sedikit pun membantu menyingkirkan perasaan takutnya. Lebih teruk lagi, jadualnya ke tempat kerja kini sudah berubah.

"Sepatutnya saya masuk kerja pukul 9 pagi. Tetapi, 6.30 pagi saya sudah keluar rumah. Balik pun lewat. Semata-mata nak guna jalan raya yang lengang. Tak nak bertembung dengan lori," tambahnya sambil tersipu-sipu.

Sedangkan jarak dari rumah Nazrul ke pejabat hanya memakan masa 10 minit!

Lelaki bertubuh gempal itu rupa-rupanya mempunyai lebih daripada satu jenis fobia. Dengar, sebut, tengok dan terbau darah, tubuhnya akan menggeletar, selain berpeluh meskipun dalam bilik berhawa dingin. Penglihatannya boleh jadi kabur dan dia seperti hendak pengsan.

Ironinya, ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, dia terpaksa mengharungi satu sesi pendidikan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) yang memeritkan. Duduk di depan kelas, sepanjang tempoh penjelasan bab pendarahan berlangsung, perasaan Nazrul bagaikan air yang berkocak tidak menentu.

"Saya tak sabar-sabar nak keluar dari kelas. Nasib baik hanya satu kelas PBSM," ujar penghidap hemofobia yang juga mempunyai fobia terhadap ketinggian.

Seingatnya, pernah sekali Nazrul cuba menderma darah. Atas niat untuk beramal, dia tidak sama sekali menyangka diri terpaksa mengalah kepada fobia hanya setelah satu suku pin darah diambil.


INDIVIDU yang mengakibatkan fobia boleh menjalani terapi pelaku kognitif.


Berkongsi fobia yang sama dengan Nazrul ialah Nor Zaileen Kamar, 27. Penganalisis di sebuah syarikat pembekal gas dan minyak gergasi itu menyedari diri mempunyai hemofobia sejak di sekolah menengah lagi.

Menggelikan

Bercita-cita menjadi doktor tetapi hasrat itu terpaksa dilupakan oleh Nor Zaileen. Bagaimana hendak membedah pesakit kalau mendengar tentang fungsi jantung mengepam darah pun sudah cukup menggelikannya.

Klimaks fobianya berlaku ketika dia dan keluarga bercuti di Amerika Syarikat (AS) tidak lama dahulu. Tiba-tiba ayahnya diserang sakit jantung.

"Di hospital, hanya ada saya dan emak. Kami perlu memberi kebenaran untuk ayah menjalani pemindahan darah. Saya diberi risalah untuk dibaca.

"Malangnya, saya tidak mampu membacanya. Pihak hospital terpaksa menghubungi adik perempuan saya untuk dibacakan isi kandungan risalah itu dan membuat keputusan," tambahnya.

Zaileen juga takut kepada kotoran dan kuman (misofobia). Ingin memastikan diri sentiasa bersih, sebotol sanitizer pasti menemaninya ke mana sahaja dia pergi.

Menurut Persatuan Psikiatri Amerika, fobia boleh ditafsirkan sebagai satu perasaan takut yang melampau dan tidak rasional terhadap sesuatu situasi mahupun objek.

Dalam kebanyakan kes, fobia berlaku kerana rasa takut jika diri dicederakan. Ambil contoh agorafobia. Penghidapnya besar kemungkinan takut terperangkap di dalam tempat yang sukar untuk melepaskan diri.

Rasa loya, pening-pening, takut untuk mati dan sukar bernafas merupakan antara simptom umum fobia.

Bantuan psikologi

Sementara itu, pakar psikiatri dan psikoterapi, Dr. Stephen Jambunathan ketika dihubungi Kosmo! berkata, tiada salahnya seseorang itu mempunyai fobia. Lagipun, ia bukan satu penyakit. Masalah perilaku itu boleh diatasi dengan mudah jika bantuan psikologi diperoleh seawal mungkin.

Malah, sepanjang kerjayanya dalam bidang psikologi sejak lebih sedekad lalu, kebanyakan pesakit yang menjalani rawatan telah sembuh seratus-peratus.


FOBIA dipercayai satu situasi yang tidak menimbulkan kesan serius.


"Fobia sebenarnya satu bentuk kebimbangan. Lazimnya, dalam situasi yang umum tidak akan ada sebarang kesan serius.

"Kalau ada paling serius pun, pesakit cenderung untuk mengurung diri di dalam rumah sepenuhnya. Pada tahap ini, pesakit perlu dirawat menggunakan Terapi Perilaku Kognitif (CBT)," katanya.

Kadar kelaziman fobia biasanya sama tanpa mengira gender, bangsa dan negara. Walaupun begitu, fobia boleh berlaku atas pengaruh pelbagai faktor - sistem kepercayaan, pengaruh budaya, didikan, tradisi dan evolusi.

Misalnya, penduduk luar bandar yang biasa 'bekerja' dengan binatang liar tidak mempunyai rasa takut terhadap ular. Tetapi, situasinya mungkin berbeza dengan penduduk bandar.

Biar apa pun puncanya, fobia adalah satu kondisi yang boleh dirawat. Namun, tempoh pemulihan pesakit banyak bergantung kepada tahap keseriusan dan kestabilan psikologi mereka.

Jambunathan menambah, kadangkala preskripsi perubatan sementara diperlukan oleh pesakit dan pengambilan ubat-ubatan ini adalah efektif dan selamat.

Apa yang lebih mustahak ialah pesakit tidak patut menghiraukannya. Sebaliknya belajar mengatasinya. Selepas itu fobia bukan lagi satu isu besar.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0928&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Sunday, September 20, 2009

Perginya Ibrahim Pendek di Syawal yang pilu


1 Syawal bakal menjelang tiba beberapa hari sahaja lagi, pasti ramai yang tidak sabar untuk pulang ke kampung beraya bersama keluarga tercinta.

Namun tarikh 1 Syawal juga ada menyimpan satu kenangan pahit atau sejarah di mana seorang seniman filem Melayu era Jalan Ampas telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari seluruh umat Islam sedang bergembira.

Seniman Ibrahim Pendek.

Seniman yang dimaksudkan itu ialah Ibrahim Pendek atau nama sebenarnya Ibrahim Hassan. Beliau telah dilahirkan di Taiping, Perak pada tahun 1932.

Beliau merupakan seniman filem Melayu terkenal bukan sahaja terhadap bidang lakonan tetapi juga istimewa kerana beliau dikurniakan dengan tubuh badan yang kerdil iaitu berketinggian 130 cm.

Sepanjang kehidupannya, beliau pernah berkahwin sebanyak dua kali dengan Che Hasnah Mohd Amin dan Asiah Osman.

Kedua-dua perkahwinan tersebut tidak berkekalan dan dalam tempoh perkahwinan tersebut, beliau juga telah dikurniakan tujuh orang cahaya mata.

Penglibatan dan kerjaya seni

Ibrahim telah memulakan kerjaya seninya sejak tahun 1950-an lagi. Beliau telah meninggalkan kampung halamannya pada tahun 1953 untuk ke Singapura merantau mencari rezeki.

Pada masa itu, tidak terlintas di fikirannya untuk menjadi pelakon. Rezeki untuk menapak dalam bidang perfileman datang kepadanya apabila diterima bekerja sebagai operator projektor di Studio Jalan Ampas.

Semasa berkelah, beliau bertemu dengan Run Run Shaw, pemilik syarikat tempat beliau bekerja dan menawarkannya bekerja sebagai budak pejabat di Studio Jalan Ampas.

Sewaktu bekerja di situ, beliau tinggal serumah dengan seniman S. Sudarmaji dan bermula ketika itulah beliau telah mendapat peluang berlakon dalam beberapa buah filem sebagai pelakon tambahan.

Ini berterusan sehinggalah beliau mendapat peluang lebih besar berlakon di dalam filem 'Panggilan Pulau' dengan memegang watak 'Ramli' bersama P. Ramlee, S. Kadarisman dan Normadiah pada tahun 1954.

Selepas itu, kerjaya lakonan beliau terus berkembang dan sesuai dengan karektor beliau yang kelakar, beliau telah diberi peluang berlakon di dalam beberapa buah filem lain, antaranya seperti 'Anakku Sazali', 'Kipas Hikmat', 'Pusaka Pontianak', 'Siti Muslihat' dan beberapa filem di bawah arahan P. Ramlee seperti 'Ali Baba Bujang Lapok' dan 'Nasib Labu-Labi'.

Cipta sejarah

Sewaktu berlakon dalam filem 'Ali Baba Bujang Lapok', pihak Universal International, Hollywood, yang mengadakan lawatan ke Studio Jalan Ampas telah tertarik dengan lakonan beliau dalam filem tersebut.

Dari saat itulah pihak Universal International telah menghantar surat tawaran kepadanya untuk berlakon sebagai pembantu seorang doktor dalam filem keluaran Hollywood.

Bermula detik indah itulah beliau telah mencatat sejarah agung perfileman Melayu kerana beliau adalah pelakon Melayu pertama berlakon dalam filem keluaran Hollywood bersama Rock Hudson dan Gene Rowlands dalam filem 'The Spiral Road' pada tahun 1962.

Selepas mencatat sejarah berlakon dalam filem tersebut, beliau telah ditawarkan sekali lagi oleh pihak Hollywood untuk terus berlakon dalam filem-filem keluarannya.

Salah satu adegan lakonan Ibrahim Pendek dalam filem Hollywood 'The Spiral Road' sekaligus mencipta sejarah menjadi pelakon Melayu pertama berlakon di Hollywood.

Tetapi hajat beliau tidak kesampaian untuk meneruskan kerjaya beliau di sana kerana pihak pemerintah pada ketika itu tidak meluluskan Visa beliau.

Setelah tertutupnya Studio Jalan Ampas di Singapura beliau meneruskan kerjaya beliau di Kuala Lumpur dan berlakon di dalam beberapa buah filem lagi antaranya 'Keluarga Si Comat', 'Penyamun Tarbus', 'Setinggan' dan 'Serampang Tiga'.

Filem terakhir beliau adalah 'XX Ray' arahan Aziz M. Osman pada tahun 1992.

Selepas lama menyepi dari dunia lakonan, beliau banyak menghabiskan masa dengan perniagaan menjual makanan di sekitar tempat tinggalnya di Cheras, Kuala Lumpur. Para pengunjung gemar membeli Nasi Lemak yang dijual oleh beliau.

Walaupun banyak menerima tawaran berlakon, beliau terpaksa menolak tawaran tersebut kerana kesihatan beliau yang tidak mengizinkan dan beliau bimbang tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya.

Bagaimanapun, beliau sempat menghabiskan sebuah telemovie (VCD) dan ia juga merupakan lakonan terakhir beliau bertajuk 'Selamat Hari Jadi Abah'.

Antara filem-filem yang pernah dibintanginya adalah 'Panggilan Pulau', 'Kipas Hikmat', 'Anakku Sazali', 'Ali Baba Bujang Lapok', 'The Spiral Road', 'Siti Muslihat', 'Nasib Do Re Mi', 'Pusaka Pontianak', 'Raja Bersiong', 'Keluarga Si Comat', 'Penyamun Tarbus', 'Setinggan', 'Da Di Du', 'Serampang Tiga Mata', 'Sikit Punya Gila' dan 'XX-Ray'.

Bagaimanapun, beliau telah mengembuskan nafas terakhirnya ketika berusia 71 tahun pada 25 November, 2003 pada pukul 9 pagi ketika umat Islam sedang menyambut Aidilfitri, selepas menjalani pembedahan di bahgian perut di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sebelum itu, beliau telah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama dua minggu akibat penyakit buah pinggang, paru-paru berair dan sesak nafas.

Jenazah beliau telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Midah, Cheras, Kuala Lumpur.

http://mstar.com.my/variasi/manusia_peristiwa/cerita.asp?file=/2009/9/18/mstar_manusia_peristiwa/20090916124625&sec=mstar_manusia_peristiwa

2 lelaki gagal mengurat pecah cermin kereta

KUALA LUMPUR: Dua Mat Rempit yang gagal memikat dua gadis bertindak memecahkan cermin kenderaan mangsa menggunakan topi keledar.

Difahamkan, mereka bertindak agresif selepas tindakan mereka mengurat mangsa tidak mendapat maklum balas diharapkan.

Dalam kejadian berkenaan, mangsa seorang pelajar berusia 21 tahun dikatakan sedang memandu kereta untuk mengambil rakannya yang pulang dari kerja di Jalan Kia Peng di sini.


Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 2 pagi kelmarin, ketika mangsa sedang memandu kereta Perodua Kelisa milik rakannya di bulatan Kampung Pandan menuju ke Bukit Bintang di sini.

Sumber polis berkata, mangsa bagaimanapun mula menyedari diekori dua lelaki menaiki dua motosikal dalam keadaan mencurigakan.

“Penunggang motosikal terbabit yang menunggang dalam keadaan berbahaya dikatakan sengaja menunjukkan pelbagai aksi berbahaya yang sering dilakukan golongan Mat Rempit dengan tujuan menunjuk-nunjuk.

“Namun gelagat berbahaya dua lelaki terbabit tidak diendahkan mangsa yang cuba untuk menjauhkan kenderaan dipandu dari mereka,” katanya.

Menurutnya, dua lelaki terbabit terus mengekori kereta mangsa sebelum cuba mengusik dan memikat mangsa serta rakannya yang berada di dalam kereta.

“Namun mangsa yang ketakutan enggan melayan perbuatan biadab mereka,” katanya.

Berlapar dua minggu demi isteri hamil, anak

anaknya." title="PERLU BANTUAN...Jasni bersama isteri, Norhaizan dan
anaknya." height="275" width="300" border="0">
PERLU BANTUAN...Jasni bersama isteri, Norhaizan dan
anaknya.

PEKAN: Disebabkan hidup dalam kedaifan selepas mengalami masalah penglihatan, seorang bapa, Jasni Muhamad, 34, terpaksa berlapar dua minggu bagi memberi peluang kepada isteri dan anaknya makan nasi.

“Saya terpaksa minum air sejuk dan makan roti untuk sahur dan berbuka puasa selama dua minggu pada Ramadan kali ini semata-mata untuk melihat isteri saya, Norhaizan Mohd Ismail, 21, yang sarat mengandung lapan bulan dan anak perempuan berumur setahun lima bulan tidak kelaparan.

“Demi kasih sayang, saya sanggup berhadapan sebarang kemungkinan disebabkan tidak makan yang akan memudaratkan lagi penyakit yang dihidapi,” katanya yang kini tinggal di Kampung Ganchong di sini.

Jasni berkata, kehidupannya sekeluarga menjadi miskin sejak matanya bermasalah akibat terkena serpihan kayu di kilang
papan tempatnya bekerja di Segamat, Johor dan lebih malang, disebabkan masalah itu dia diberhentikan oleh majikannya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090919092615/Article/index_html

Tunggu ibu pulang sambut Aidilfitri


dan Siti Aishah menunjukkan gambar ibu mereka, Rohayu." title="RINDU...Rubiah (kanan) bersama adik-adiknya, Hasmawi
dan Siti Aishah menunjukkan gambar ibu mereka, Rohayu." height="192" width="300" border="0">
RINDU...Rubiah (kanan) bersama adik-adiknya, Hasmawi
dan Siti Aishah menunjukkan gambar ibu mereka, Rohayu.

JOHOR BAHRU: “Kami tujuh beradik cemburu melihat suasana gembira Aidilfitri di kalangan keluarga rakan sebaya kerana ibu dan bapa masing-masing sibuk menguruskan persiapan termasuk membeli baju raya untuk anak-anak.

“Tidak seperti keluarga kami yang terpaksa meraikan Aidilfitri buat kali kedua pada tahun ini dalam keadaan masih menantikan kepulangan ibu yang menghilangkan diri sejak lebih setahun lalu,” kata kanak-kanak, Rubiah Sulaiman, 9, semalam.


Anak kelima daripada tujuh beradik itu berkata, dia masih tidak dapat melupakan detik ibunya, Rohayu Mustafar, 33, tergamak meninggalkan rumah keluarga mereka pada Februari tahun lalu, biarpun beberapa adik-beradiknya berada di rumah ketika itu dan cuba menghalang perbuatan wanita itu.

“Malah, saya sempat bertanya kepada ibu bila dia akan pulang semula tetapi dia hanya menggelengkan kepala dan tergamak menyatakan dia sudah benci dan bosan menjaga kami.

“Kami keliru dan tertekan ketika itu, tambahan pula adik bongsu, Siti Aishah, 7, menangis teresak-esak ketika ibu keluar meninggalkan rumah,” katanya.

Rubiah yang datang ke Pejabat Harian Metro dengan ditemani bapanya, Sulaiman Subramaniam Abdullah, 39, dan dua adiknya, Hasmawi, 8, dan Siti Aishah, mengakui mereka masih mengharapkan ibu pulang ke pangkuan keluarga.

Menurutnya, sejak wanita itu menghilangkan diri, kehidupan keluarganya kucar-kacir manakala sambutan Aidilfitri amat berbeza dan sayu berbanding ketika Rohayu masih bersama mereka.

“Tiada siapa pandai memasak seperti ibu dan kami masih merindui nasi beriyani yang menjadi juadah istimewa ibu setiap kali hari raya.

“Kami berharap ibu masih menyayangi keluarga dan pulang secepat mungkin bagi membolehkan kami meraikan Aidilfitri bersama-sama. Sudah pasti sekiranya ibu pulang, ia hadiah paling bermakna buat kami sekeluarga,”
katanya.

Jual tubuh demi baju baru 7 anak

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Tersepit dengan kemiskinan seorang ibu sanggup melacurkan diri dengan meninggalkan tujuh anaknya di Pahang sejak awal Ramadan lalu, semata-mata untuk mendapatkan wang bagi membeli pakaian raya baru anak-anaknya sempena Aidilfitri.

Ibu terbabit mendakwa apa yang dilakukannya pengorbanan kecil bagi memastikan anak-anaknya dapat menyarung baju raya selain bergembira seperti kanak-kanak lain.


Aktiviti ibu berkenaan dibongkar wartawan Harian Metro yang membuat tinjauan ke sebuah rumah pelacuran di Jalan Thamby Pillay, Jalan Brickfields di sini dan menemuinya yang menawarkan seks pada caj RM40 untuk sekali perkhidmatan.

Selepas dipujuk dan dibayar sejumlah wang, ibu terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Mek, 43, bersetuju mendedahkan kepayahan hidupnya hingga terpaksa menjadi pelacur pada bulan Ramadan.

Menurutnya, dia terdesak untuk membesarkan tujuh anak berusia empat hingga 18 tahun selepas ditinggalkan suami yang juga seorang penagih dadah tegar.

“Suami saya sudah kerap ditangkap polis dan disumbat ke pusat pemulihan hingga saya lali, malah tidak ingat berapa kali dia dihantar ke sana.

“Kali terakhir selepas dibebaskan dari pusat pemulihan di Kuala Lipis, Pahang, Januari tahun lalu, dia hanya insaf sebulan di rumah sebelum kembali terjebak atas hasutan kawan-kawan lamanya,”
katanya yang berkahwin pada usia 18 tahun.

Menurutnya, kehidupan suaminya itu menyebabkan dia dan anak-anak terabai.

“Hidup saya susah dan banyak bergantung belas ihsan keluarga, selain hasil pajakan seekar dusun buah-buahan.

“Kesempitan hidup saya menjerut perasaan dan diri saya selepas dipujuk rakan lama sekolah supaya berhijrah ke ibu kota untuk menjalankan kegiatan pelacuran dengan dijanjikan pendapatan lumayan,”
katanya.

Mek berkata, walaupun mulanya malu, namun dia menebalkan muka demi memastikan nasib anak-anaknya yang ditinggalkan sementara bersama ibu bapanya tidak terus sengsara.

“Walaupun mulanya, Ila (rakannya) memberitahu pekerjaannya sebagai GRO atau teman minum pengunjung kelab dangdut di Chow Kit, namun saya sebaliknya dibawa ke sebuah rumah tumpangan di Brickfields.

“Di situ, saya diperkenalkan kepada seorang lelaki yang juga ‘bapa ayam’ sebelum ditawarkan ‘kerja’ pelacur dengan pendapatan RM20 bagi setiap pelanggan. Lelaki itu menerima komisen RM20 bagi sewa bilik yang saya gunakan,”
katanya.

Menurutnya, walaupun pada mulanya dia ‘segan’ untuk menawarkan khidmat seks ‘pakej’, namun dia berubah fikiran apabila mendapati kerjaya barunya itu amat mudah dan tidak memenatkan.

“Sebelum bertolak ke ibu kota, tiga minggu lalu, saya menipu keluarga dan anak-anak kononnya ingin membantu rakan berniaga tudung sempena Ramadan di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini.

“Kerja saya bermula jam 9 pagi dan tamat jam 10 atau 11 malam. Dalam tempoh berkenaan saya memperoleh tidak kurang 10 pelanggan. Jika ditolak komisen, saya mengutip RM200 sehari,
katanya yang mendakwa turut ditemani lima rakan lain.

Katanya, dia diberikan kondom dan buku nota kecil oleh bapa ayam yang digunakan bagi menanda jumlah pelanggan diperoleh setiap hari sebelum pendapatannya itu dibayar serentak setiap hujung minggu.

“Setakat semalam, saya mengutip lebih RM5,400 dan separuh sudah saya kirimkan ke kampung halaman untuk persiapan menyambut Aidilfitri.

“Malah, saya menggunakan cuti Ahad lalu untuk membelikan baju Melayu, songkok dan baju kurung untuk tujuh anak saya,”
katanya.

Ditanya, sama ada dia sedar wang digunakan terbabit haram di sisi Islam, Mek memberi alasan dia tidak mempunyai pilihan lain apatah lagi dengan tahap pendidikannya yang rendah.

“Biar dosa ini ditanggung saya. Lagipun saya melakukan kerja ini hanya untuk sebulan sebelum kembali semula ke kampung di Pahang untuk menyambut hari raya bersama anak-anak.

“Lebih penting, anak saya tidak berlapar dan mampu tersenyum dan memakai baju baru di pagi raya. Jika keadaan masih tidak berubah dan saya masih gagal mendapat kerja tetap selepas ini...ada kemungkinan saya akan kembali semula ke sini,”
katanya tanpa rasa kesal pada riak wajahnya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Mutakhir/20090919092647/Article

Saturday, September 19, 2009

Doa tak lekat di hati

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Ini tanda mak tidak banyak berdoa untuk anak dan anaknya tidak dapat merasai apa perasaan mak. Hubungan jiwa mereka sudah hilang, kosong, malah terputus,” kata penceramah bebas yang juga perunding motivasi, Dr Rubiah Hamzah.

Beliau mengulas tindakan seorang anak lelaki yang sanggup meninggalkan ibunya yang uzur di pusat jagaan warga emas dan psikiatrik daripada membawa wanita malang itu pulang berhari raya.

Rubiah berkata, apabila doa seorang ibu hanya lekat di bibir tapi tidak di hati, malah tidak pula berdoa meminta kepada Allah untuk kesejahteraan menyebabkan hubungan jiwa antara dia, Tuhan dan anak hilang.

Katanya, meskipun fitrah manusia akan menyayangi ibu, namun kes tidak normal seperti itu (membiarkan ibu derita ditinggalkan) boleh berlaku akibat tidak cukup kasih sayang yang akhirnya menjadi sebahagian daripada fikirannya saja.

“Berdasarkan kes yang saya kendalikan sebelum ini, kebanyakan warga emas yang ditinggalkan mempunyai sejarah pahit tidak menerapkan kasih sayang secukupnya kepada anak tetapi melebihkan harta material semata-mata.

“Duit tidak boleh membeli kasih sayang...tak boleh, sebaliknya kita kena besarkan anak dengan kasih sayang. Sayangi mereka secukupnya dan daftarkan anak sebagai hamba Allah dengan mengajarnya mengucap kalimah Syahadah.

“Jika kita lakukan perkara ini semua, maka anak tidak akan memulangkan kembali apa yang kita buat dulu termasuklah sekiranya ada (ibu) yang meninggalkan anak, pilih kasih atau membiarkan mereka membesar di bawah jagaan orang lain,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Harian Metro, kelmarin melaporkan seorang lelaki tergamak membiarkan ibu yang uzur berlari mengejar keretanya sambil menggendong bungkusan pakaian kerana mahu mengikut pulang menyambut Aidilfitri.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090918093049/Article/index_html

Nafsu ayah luar tabii

Oleh Rashidi Karim dan Karimah Md Yusoff
am@hmetro.com.my


KANGAR: Terkutuk dan keji. Itu gambaran yang boleh diberikan kepada seorang duda muda yang berpisah dengan isteri sejak lebih setahun lalu apabila sanggup menjadikan anak perempuan sendiri yang berusia 10 tahun sebagai tempat melempias nafsunya.


Bapa berusia 28 tahun yang berkerja tukang paip dari Kampung Sentua, Utan Aji, dekat sini, dikatakan meliwat budak perempuan terbabit di rumah mereka sejak setahun lalu.


Lebih malang, perbuatan terkutuk bapa terhadap anak sulung daripada dua beradik itu yang sepatutnya menjadi pelindung turut diketahui adik lelaki suspek berusia 14 tahun iaitu bapa saudara mangsa yang turut mengambil kesempatan melakukan perbuatan sama dengan meliwat mangsa.

Dua beradik itu disyaki meliwat pelajar perempuan tahun empat itu sejak setahun lalu sebelum kegiatan mereka terbongkar dan diketahui ibu kepada kedua-dua suspek itu.

Berdasarkan maklumat, kegiatan keji dua beradik itu terbongkar berikutan pendedahan dibuat mangsa kepada seorang guru di sekolahnya yang melihat perubahan dirinya.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Yusof Mohd Diah, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes itu yang dibuat nenek mangsa berusia 60 tahun yang menetap bersama dua suspek di Kampung Sentua.

Katanya, kedua-dua suspek itu kini ditahan sejurus polis menerima laporan daripada seorang pengadu iaitu ibu suspek berhubung perbuatan seks luar tabii terhadap cucunya, malam kelmarin.

“Buat masa sekarang, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini (semalam) dan kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan.

“Jika sabit kesalahan, kedua-dua suspek itu boleh dihukum penjara antara lima hingga 20 tahun serta sebatan,”
katanya di sini, semalam.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090918074714/Article/index_html

Reda ibu, reda Allah

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


JOHOR BAHRU: “Umat Islam perlu sedar bahawa keredaan Allah terhadap seseorang bergantung kepada keredaan ibu terhadap dirinya,” kata Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Kiyai Samsudin.

Menurut beliau, menghargai ibu bukan hanya sehari dua kerana jasa yang tidak ternilai dan perbuatan anak yang sanggup menjadi si tanggang hingga tergamak menyisihkan ibu, apa lagi pada bulan puasa tidak selari dengan kehendak agama.


“Sekiranya kejadian berkenaan benar, ia bermaksud seseorang anak itu melupai segala kepayahan yang diharungi ibu termasuk memikul beban mengandungnya selama sembilan bulan selain membesarkannya menjadi insan berjaya,” katanya.

Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam, mengenai perbuatan tidak bertanggungjawab seorang anak lelaki yang tergamak memecut kereta meninggalkan seorang ibu tua berlari mengejar sejauh kira-kira 20 meter semata-mata mahu mengikutnya pulang beraya di rumah.

Wanita berusia 70-an yang menggendong bungkusan baju cuba mengejar kereta anaknya berusia 40-an yang semakin jauh meninggalkannya.

Suasana itu menghancurkan impian warga emas berkenaan yang juga penghuni rumah jagaan warga emas dan psikiatri di Jalan Denai 1, di Kempas di sini, yang begitu mengharapkan untuk pulang menyambut hari raya bersama anak dan cucunya di Masai, dekat sini.

Menurut Mohd Tahrir, segala pengorbanan yang dilakukan ibu adalah terbaik dan bertujuan bagi memastikan cahaya matanya dapat menikmati kehidupan selesa dan menjadi insan berguna.

Katanya, pengorbanan ibu mahupun bapa seharusnya dijadikan pedoman dalam hidup kerana apabila sudah berjaya, tidak patut melupakan asal-usul.


“Sama ada ibu berkenaan kafir mahupun tidak, tanggungjawab seorang anak ialah memberi layanan baik padanya dan apa salahnya, memastikan Aidilfitri mampu membawa keceriaan kepada ibu tersayang,” katanya.

Sementara itu, seorang sukarelawan dan juga pengasas Persatuan Kebajikan Tiram, Dr Salina Abdullah, berkata ungkapan ‘syurga di bawah tapak kaki ibu’ menunjukkan betapa pentingnya kedudukan ibu itu sendiri.

Menurutnya, sebagai anak kita seharusnya bersyukur kerana tanpa mereka tidak mungkin kita dilahirkan di dunia ini.

“Saya pernah mendengar cerita bagaimana ada ibu tunggal yang tidak berkemampuan sanggup melakukan kerja berat dan mengikat perut bagi memastikan dapat memenuhi hajat anak demi kasih kepada anaknya.

“Sempena Aidilfitri ini, kita seharusnya kembali menginsafi diri dan menghargai jasa ibu yang sanggup berkorban harta dan nyawa membesarkan kita,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090917072605/Article/index_html

Friday, September 18, 2009

Hidup mewah tipu bayar saman

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro@hmetro.com.my


PETALING JAYA: Jenayah yang dilakukan cukup ringkas, namun pulangan diperoleh mampu membuatkan empat lelaki hidup mewah dengan memiliki kereta selain melancong ke luar negara hasil kegiatan mencuri nombor rahsia kad kredit orang ramai.

Suspek yang berusia 19 hingga 23 tahun terbabit turut dipercayai mengutip hampir ratusan ribu ringgit selepas menawarkan perkhidmatan ‘palsu’ kononnya mampu membayar saman trafik, cukai jalan, insurans dan lesen memandu pada harga paling murah.


Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata kegiatan kumpulan terbabit dibongkar selepas suspek dikesan melantik beberapa ejen yang diarahkan mencari pelanggan yang berminat mendapatkan perkhidmatan mereka.

Menurutnya, mereka dikesan menipu orang ramai kononnya mampu menyelesaikan saman trafik dengan harga diskaun.

“Suspek juga menawarkan perkhidmatan membaharui cukai jalan, insurans kenderaan dan pembelian tiket kapal terbang dengan harga murah jauh lebih rendah.

“Kebanyakan mangsa yang berminat tawaran itu membuat pembayaran pada ejen sindiket terbabit yang berpura-pura menggunakan wang itu untuk menjelaskan saman atau cukai jalan,” katanya.

Arjunaidi berkata, suspek bagaimanapun tidak memaklumkan pembayaran terbabit dilakukan melalui penyedia perkhidmatan kerajaan elektronik Malaysia, MY EG Services Bhd (MYEG) yang mula diperkenalkan awal tahun ini.

“Siasatan mendapati suspek menggunakan nombor kad kredit orang ramai yang dicuri untuk dimasukkan ke dalam laman web MYEG ketika membuat pembayaran.

“Bagaimanapun, pihak MYEG yang menerima pembayaran terbabit mendapati pembayaran secara elektronik itu tidak sah sebelum membuat laporan polis berhubung penipuan licik itu,”
katanya.

Menurutnya, sehingga kini, pihaknya menerima enam laporan polis dari pihak MYEG dengan setiap satu laporan berkenaan membabitkan penipuan pembayaran antara 70 hingga 100 saman trafik.

Beliau berkata, polis mendapati kegiatan terbabit didalangi seorang pekerja juruwang sebuah pusat beli-belah yang mencuri maklumat dari kad kredit milik pelanggan.

“Suspek dikesan menjadikan warga asing menggunakan kad kredit jenis lama yang memiliki mikrocip sebagai sasaran. Ini kerana maklumat dari kad kredit jenis lama lebih mudah dipalsukan berbanding kad kredit yang menggunakan jalur magnetik.

“Suspek bekerjasama dengan tiga rakannya untuk membuat pembayaran palsu menggunakan nombor kad kredit bank asing yang dicuri itu,”
katanya.

Menurutnya, kegiatan terbabit membolehkan kumpulan itu hidup mewah hingga mampu membeli kereta bernilai ratusan ribu ringgit selain melancong.

“Semua mereka ditahan minggu lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis sehingga siasatan lanjut selesai. Mereka semua akan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Pertemuan sengsara

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my


SHAH ALAM: Dia baru pertama kali bertemu dengan kekasihnya, namun bernasib malang apabila dibawa ke rumah kosong, di Taman Sri Muda, sebelum dipaksa melakukan hubungan seks.

Mangsa seorang jurujual mendakwa dirogol lelaki terbabit pada 8 September lalu sebelum dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, kelmarin berhubung kejadian itu.


Sebelum insiden, mangsa dikatakan mengenali lelaki itu sejak beberapa bulan lalu menerusi menerusi telefon sebelum dia bersama rakannya ke ibu kota bagi mengadakan pertemuan dengan lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, berkata mangsa yang juga remaja bawah umur mendakwa mengadakan pertemuan dengan lelaki terbabit kira-kira jam 9 pagi sebelum bersiar-siar di ibu kota.

Menurutnya, kira-kira dua jam selepas berjumpa, mangsa berpecah dengan rakannya sebelum dia mengikut teman barunya itu menaiki bas ke Shah Alam kononnya untuk melihat rumah.

Bagaimanapun sebaik tiba di Taman Sri Muda, mangsa dibawa ke rumah kosong sebelum dipaksa melakukan hubungan seks.

“Selepas kejadian itu, mangsa dihantar pulang ke ibu kota oleh lelaki terbabit sebelum mereka membawa haluan masing-masing,”
katanya.

Difahamkan selepas melakukan perbuatan itu, mangsa dan lelaki terbabit sempat mandi bersama sebelum mereka pulang ke ibu kota.

Noor Azam berkata, sebaik laporan polis dibuat, pihaknya mengesan seorang lelaki berusia lewat 20-an bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

“Suspek sudah dikenal pasti dan akan ditahan dalam tempoh terdekat,” katanya.

“Nasihat saya kepada orang ramai terutama remaja supaya berhati-hati dan tidak mudah percaya kepada lelaki yang baru dikenali,” katanya.

Luluh hati ibu

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


JOHOR BAHRU: Sekeras-keras batu, keras lagi hati seorang anak lelaki yang tergamak memecut kereta meninggalkan ibunya.

Lebih memilukan, dia tergamak membiarkan wanita tua itu berlari mengejarnya kira-kira 20 meter kerana mahu mengikut si anak pulang menyambut Aidilfitri di rumah.


Namun, apalah kudrat seorang wanita berusia 70-an, apatah lagi terpaksa menggendong bungkusan baju dalam kain batik, untuk mengejar kereta anaknya berusia 40-an yang semakin jauh meninggalkannya.

Ia bukan babak menyayat hati dalam drama televisyen, tetapi realiti hidup ditempuhi seorang penghuni rumah jagaan warga emas dan psikatri di Jalan Denai 1, Kempas di sini, yang begitu mengharapkan untuk pulang menyambut hari raya bersama anak dan cucunya di Masai, dekat sini.

Kisah sedih pada pertengahan Ramadan itu diceritakan Pengasas Persatuan Kebajikan Nur Ehsan Negeri Johor, Norijah Bidin kepada wartawan Harian Metro, semalam.

Menurut Norijah, beliau masih mengingati detik cukup menyentuh perasaan itu, apatah lagi kakitangan rumah jagaan berkenaan terpaksa memujuk warga emas uzur terbabit supaya bersabar dan wanita tua itu hanya mampu menangis mengenangkan nasibnya ditinggalkan anak sendiri.

Katanya, kejadian bermula apabila lelaki berkenaan datang menziarahi ibunya di rumah penjagaan itu bagi memaklumkan dia tidak dapat dibawa pulang pada hari raya kali ini kerana tiada sesiapa menjaganya.

“Kami menyangka dia ingin membawa ibunya pulang bagi menyambut Aidilfitri kerana sudah dua tahun wanita berkenaan beraya di sini,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, terlalu seronok dengan kunjungan anak lelakinya, wanita tua terbabit terus menyalin pakaian dan bersiap untuk mengikut pulang ke rumah keluarganya di Masai.

“Kami melihat wanita itu bersungguh-sungguh membungkus pakaiannya ke dalam kain batik kerana mahu pulang ke rumah anaknya,” katanya.

Menurut Norijah, tanpa disangka-sangka, ketika si ibu sedang sibuk berkemas, lelaki berkenaan beredar dari situ secara senyap-senyap tanpa memaklumkan sesiapa.

“Menyedari anak lelakinya mahu beredar, wanita itu panik dan mengejar kereta anaknya yang mula meninggalkan kawasan rumah kebajikan.

“Wanita tua itu berlari kira-kira 20 meter untuk mengejar kereta berkenaan, tetapi anaknya tetap meninggalkannya.

“Si ibu yang terkilan dengan perbuatan anaknya bukan saja mengalami masalah kesihatan, malah kemurungan selama beberapa hari kerana hampa tidak dapat pulang beraya di rumah,”
katanya.

Norijah yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Permai di sini, berkata daripada 11 warga emas yang mendapatkan perlindungan di pusat jagaan berkenaan, segelintir masih mempunyai ahli keluarga termasuk anak.

Menurutnya, lebih mengecewakan, waris warga emas berkenaan yang juga bekas pesakit psikiatri tidak datang menjenguk mereka menjelang 1 Syawal yang bakal tiba.

“Ia mengakibatkan warga emas itu menyambut Aidilfitri bersama penghuni lain di pusat jagaan ini walaupun mereka merindui suasana beraya dengan keluarga di kampung.

“Sempena Aidilfitri kali ini, kami amat berharap jika anak warga emas mahupun waris penghuni di sini, datanglah berkunjung bagi menggembirakan mereka. Kalau bukan selalu, setahun sekalipun cukuplah,”
katanya.

Baru-baru ini, pusat jagaan berkenaan menerima kunjungan lebih 20 ahli Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Usahanita) Negeri Johor di sini.

Pengerusi Usahanita, Datuk Rokiah Omar, tampil menyampaikan sumbangan pakaian, wang dan barangan keperluan harian kepada penghuni rumah kebajikan itu bertujuan memeriahkan sambutan Aidilfitri mereka.

Rokiah berkata, pihaknya akan berusaha membantu rumah kebajikan berkenaan yang turut berdepan masalah kekurangan kemudahan.

“Kami akan berusaha bagi mendapatkan van selain kemudahan kerusi roda bagi warga emas yang uzur supaya memudahkan mereka bergerak,” katanya.

Amah perompak

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


SUBANG JAYA: Jatuh cinta dengan koleksi set pinggan mangkuk berjenama dan barangan perhiasan mewah milik majikannya mendorong seorang amah warga Indonesia bertekad menyewa lori satu tan bagi mengangkut semua set berkenaan sebelum menghilangkan diri.

Pembantu rumah berusia 38 tahun terbabit hanya memilih set pinggan mangkuk buatan luar negara selain permaidani dan langsir milik majikannya selepas merancang perbuatan jenayah itu sejak lebih tiga bulan lalu.


Majikan suspek yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 52, berkata dia langsung tidak percaya kejadian terbabit menimpanya berikutan pembantu rumah yang dikenali Lindawati atau Leni dianggap seperti adik kandung.

Menurutnya, Leni yang berasal dari Medan mula bekerja dengannya sejak tiga tahun lalu selepas dia membayar lebih RM3,000 kepada ejen pembantu rumah tempatan.

“Sejak mula bekerja di rumah saya, Leni menunjukkan sikap lemah-lembut dan rajin menguruskan rumah kami walaupun saya suri rumah tangga sepenuh masa.

“Sukar untuk percaya Leni sanggup melakukan perbuatan jenayah terancang itu berikutan dia kerap menunaikan solat lima waktu selain membaca al-Quran hampir setiap malam,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tembelang sebenar pembantu rumahnya itu hanya terbongkar Ahad lalu apabila tuan rumah berkenaan dan suami keluar untuk mengambil anak lelaki mereka berusia 11 tahun yang tamat menghadiri perkhemahan di sekolah.

“Saya dan suami keluar rumah kira-kira jam 10 pagi sebelum pulang semula tiga jam kemudian.

“Bagaimanapun, perasaan curiga timbul apabila mendapati Leni tidak muncul untuk membuka pintu seperti kebiasaannya. Akibatnya saya yang puas memanggil namanya dari pintu pagar terpaksa menggunakan kunci pendua untuk masuk ke rumah,” katanya.

Menurutnya, dia dan suami bagaimanapun terkejut apabila mendapati pintu jeriji besi di belakang rumah terbuka dengan kunci dicampak ke lantai dapur.

“Ketika itu baru saya menyedari pelbagai set pinggan mangkuk dan barang perhiasan hilang. Malah, semua beg pakaian milik Leni turut tiada dalam biliknya.

“Beberapa jiran berhampiran mendakwa sempat melihat pembantu rumah saya itu keluar dan membuat panggilan telefon di pondok telefon berdekatan,”
katanya.

Menurutnya, tidak lama kemudian, sebuah lori satu tan muncul dan masuk ke lorong di belakang rumah teres didiami sebelum berhenti tidak jauh dari pintu belakang rumahnya.

“Ketika itu, pembantu rumah saya mengusung keluar puluhan kotak berisi barang curi yang dimuatkan dalam lori berkenaan. Apabila beberapa jiran bertanya, Leni dengan selamba memberitahu kononnya tuan rumah mahu berpindah.

“Dia terus cabut lari bersama perkakas dapur, koleksi pinggan mangkuk dibeli dari United Kingdom, permaidani, langsir, baju serta basikal milik suami saya yang dianggarkan semuanya bernilai lebih RM10,000,”
katanya.

Menurutnya, dia tidak sangka segala kebaikannya selama ini dibalas ‘racun’ oleh pembantu rumah terbabit sedangkan dia tidak pernah berkasar apatah lagi meninggikan suara.

“Selain gaji RM450 sebulan yang dibayar tetap, makan dan pakaiannya turut disediakan. Perbuatannya itu sekali gus membuktikan kehilangan misteri wang tunai dalam rumah sebelum ini turut dilakukan Leni.

“Sebelum ini, kerap kali wang saya atau suami hampir RM3,000 lesap, namun kami menyangka ia disorokkan makhluk halus tanpa mengesyaki ia perbuatan Leni,”
katanya.

Susulan itu, mangsa yang masih menyimpan pasport milik suspek membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya di sini.

“Saya percaya dia masih berada di negara ini dan orang ramai yang mengenalinya diminta menghubungi polis supaya dia dapat diberkas dan dihukum,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090916094306/Article/index_html

300 ditipu lagi

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my

membuat laporan polis, malam tadi." title="TAK PUAS HATI...mangsa yang ditipu syarikat MLM
membuat laporan polis, malam tadi." height="200" width="300" border="0">
TAK PUAS HATI...mangsa yang ditipu syarikat MLM
membuat laporan polis, malam tadi.

KUALA LUMPUR: Biarpun pernah menjadi mangsa tipu sebuah syarikat jualan langsung pelbagai peringkat (MLM) yang sama tahun lalu, kira-kira 300 ahli bagaikan tidak serik apabila sekali lagi terjebak dan masuk perangkap apabila ditipu pengurusan sama.

Kemuncaknya, semua mangsa terbabit ‘menyerang’ Balai Polis Setapak, kelmarin apabila mendapati seorang lelaki yang didakwa sebagai penyumbang dana syarikat terbabit dibawa ke balai itu untuk siasatan.

Mangsa turut membuat laporan di balai polis sama berikutan berasa tertipu.

Semua mangsa mula membuat laporan jam 3 petang hingga jam 12 tengah malam tadi.

Harian Metro difahamkan, kejadian bermula sejak pagi kelmarin apabila beberapa mangsa berkunjung ke pejabat syarikat terbabit untuk menuntut bonus yang dijanjikan.

Bagaimanapun, harapan mereka untuk menggunakan wang bonus terbabit sempena Aidilfitri tidak kesampaian apabila pihak syarikat enggan melayan dan membayar wang terbabit.

Malah, seorang wanita yang ditemani anak lelakinya turut dihalau dan ditengking seorang pekerja syarikat itu yang mengatakan mangsa sebagai pengemis dan tidak tahu malu mahu menuntut wang bonus.

Cacian itu didengari anak lelaki wanita terbabit yang geram sebelum mereka mengumpulkan semua mangsa dan akhirnya membuat laporan polis.

Seorang daripada mangsa yang juga ibu tunggal, Siti Rafiah Mat Sah, 57, tidak dapat perasaan marah dengan tindakan pihak syarikat itu.

Menurutnya, ini kali kedua syarikat itu menghilangkan diri menjelang musim perayaan.


Menceritakan lebih lanjut, Siti Rafiah berkata, tahun lepas pihak pengurusan menggunakan nama lain bagi syarikat itu dan mengenakan bayaran RM160 hingga RM260 untuk setiap lot yang dibeli.

Bagaimanapun, katanya, imbuhan bonus yang dijanjikan tidak dibayar pada tarikh yang ditetapkan selain pihak pengurusan itu menghilangkan diri.

“Namun, pengurus syarikat itu datang semula dan menghubungi bekas ahli dan memaklumkan mereka boleh mendapatkan semula bonus tahun lalu.

“Bagaimanapun, semua bekas ahli perlu mendaftar sebagai ahli baru di bawah syarikat yang dinamakan lain dan diminta membayar sebanyak RM280,” katanya ketika ditemui di pekarangan Balai Polis Setapak di sini, malam tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090918093640/Article/index_html

Polis tahan empat pelajar tidak sampai 24 jam selepas menyamun

KUALA LUMPUR: Polis menahan empat pelajar lelaki dari sebuah institut pengajian tinggi dalam satu serbuan di sebuah hotel murah di bandar raya, kurang 24 jam selepas seorang wanita warga Sri Lanka membuat laporan polis yang beliau disamun empat lelaki yang menyamar sebagai polis.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata hasil maklumat orang awam, kesemua suspek yang berumur antara 19 dan 23 tahun itu berjaya ditahan di sebuah bilik hotel kira-kira jam 6.30 petang semalam.

"Kami berjaya merampas semula sejumlah wang kira-kira RM5,000 dan telefon

bimbit mangsa. Suspek sedang ditahan reman sebelum didakwa tidak lama lagi,"
katanya kepada pemberita hari ini.


Beliau berkata, suspek memasuki kawasan kondominium kediaman wanita yang

berumur 38 tahun itu di Jalan Klang Lama kira-kira jam 4 pagi semalam dengan memperkenal diri sebagai polis kepada pengawal keselamatan.

Wan Abdul Bari berkata, semasa di kediaman wanita itu, suspek mengugut akan mencederakan mangsa dan dua lagi

rakannya jika enggan memberikan wang serta telefon bimbitnya sebelum mereka melarikan diri. -Bernama

'Bantu saya bawa pulang anak, suami'


SYAMIMI (dua dari kiri) menunjukkan gambar anaknya kepada Rahmah dan dua anak saudaranya di Kluang, Johor semalam.



KERATAN Kosmo! semalam.


KLUANG - Syamimi Rosli yang pulang semula ke tanah air kelmarin selepas sembilan tahun dilarikan ke Indonesia melahirkan hasrat membawa anak dan suami untuk tinggal dan menetap di negara ini.

"Saya ingin bawa anak dan suami ke negara ini, jika tiada sesiapa boleh membantu, mungkin saya akan tinggal terus di Riau," katanya sambil menangis.

Syamimi, 21, yang diculik dan dilarikan dua lelaki ke Indonesia ketika berusia 13 tahun berkata, hasrat itu sukar dilakukan pada masa kini kerana tidak mempunyai wang yang cukup.

Dia yang ditemui di rumah ibu saudaranya, Rahmah Albi di Taman Suria di sini memberitahu akan pulang semula ke Kilo Lima, Riau, Indonesia dalam tempoh sebulan lagi untuk bertemu suami, Jamhari, 26, dan anak perempuannya, Nornazowa, 3, dan seterusnya membawa mereka ke negara ini.

Kosmo! semalam menyiarkan kisah Syamimi yang selamat kembali ke negara ini setelah dipukau dan dilarikan ke Indonesia ketika berusia 13 tahun.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0918&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

Gadis dilarikan ke Riau selamat pulang

Gadis dilarikan ke Riau selamat pulang


SYAMIMI diiringi abangnya, Azrul sebaik sampai
di Pelabuhan Melaka di Banda Hilir semalam.


MELAKA - Setelah sembilan tahun diculik dan dilarikan ke Indonesia, akhirnya Syamimi Rosli, 21, kembali semula ke negara ini semalam.

Syamimi amat gembira kerana selepas sekian lama, dia akhirnya dapat beraya bersama keluarganya di Kluang, Johor selepas sembilan tahun berada di Riau, Indonesia.

Bagaimanapun, katanya, dia terkilan kerana kematian ibu pada tahun 2003.

Syamimi tiba di Pelabuhan Melaka, Banda Hilir di sini pada pukul 5.30 petang dengan menaiki feri Indomal Express dari Pekan Baru, Indonesia.

"Jika boleh saya mahu tinggal di sini tetapi anak perempuan saya berumur tiga tahun dan suami, Jamhari pula di Riau, Indonesia.

"Saya harap Jamhari dan anak dapat pulang ke sini suatu hari nanti," katanya.

Bercerita mengenai kejadian dia dilarikan dua warga Indonesia pada tahun 2001, Syamimi berkata, dua lelaki itu merupakan jiran keluarganya di Kampung Melayu, Kluang.

Katanya, ketika itu, dia seolah-olah dipukau kerana mengikut semua kata-kata mereka.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Pasangan khalwat disebat


KERATAN Kosmo! 23 Julai.


SHAH ALAM - Selepas Pahang mencatatkan sejarah dalam melaksanakan hukuman sebat dalam kes Kartika Sari Dewi Shukarnor, kini Selangor menyusul apabila sepasang kekasih dikenakan hukuman sebat enam kali dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini selepas kedua-duanya mengaku bersalah cuba melakukan persetubuhan haram Mei lalu.

Mereka yang merupakan kerani akaun dan kerani di sebuah syarikat swasta merupakan individu pertama dijatuhi hukuman sebat mengikut peruntukan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

Bagaimanapun, Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee@Shai semalam membenarkan hukuman sebat ditangguhkan selepas mendengar permohonan rayuan peguam syarie, Shahida Elias mewakili Mohd. Shahrin Abd. Majid, 29, dan Nadiah Najat Hussin, 24.

Dalam hujahnya, Shahida berkata, kedua-dua anak guamnya sudah menjelaskan denda dan pihaknya sudah memfailkan rayuan terhadap hukuman tersebut.

Permohonan itu tidak dibantah pendakwa syarie Shafezan Rusli.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0918&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...