Tuesday, June 15, 2010

Kes Apek : Astro & TV3 Beri Penjelasan; Seniman Pandang Serius

Selasa Jun 15, 2010

Saiful Apek. - Foto THE STAR Oleh MOHD SAHAR MISNI

PETALING JAYA: Stesen televisyen Astro dan TV3 mengesahkan pelawak Saiful Apek bukan residen artis mereka dan oleh yang demikian tidak timbul soal pelakon dan pelawak itu akan 'digam' dari kedua-dua stesen televisyen itu.

Unit perhubungan awam stesen televisyen Astro sewaktu dihubungi mengesahkan bahawa Saiful Apek tidak terikat dengan sebarang kontrak atau menjadi residen artis kepada stesen televisyen itu.

"Apek bukan artis kami dan kami tidak ada apa-apa tindakan terhadapnya," kata pihak Astro.

Astro ditanya mengenai status Saiful Apek kerana pelakon itu pernah muncul dalam beberapa program terbitan mereka sebelum ini.

Harun Salim Bachik. - Foto THE STAR Oleh NORAFIFI EHSAN

Sementara itu, pihak TV3 juga mengambil pendekatan serupa dan menyatakan pelawak itu tidak terikat dengan mereka walaupun beliau pernah muncul dalam program sepeti "Jangan Tidur Lagi" terbitan TV3 serta siri komedi "Senario".

Sementara itu Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) memandang serius kes melibatkan Saiful Apek akibat dakwaan memiliki 40 gram dadah dipercayai ganja malam kelmarin.

Presidennya Harun Salim Bachik berkata sepatutnya kes-kes seumpama itu yang sering berlaku dikalangan artis selama ini menjadi iktibar kepada Apek dan semua pihak.

Katanya, mereka perlu menjauhkan diri daripada najis dadah.

"Nampaknya masih ada artis yang tidak ambil pusing dengan kes-kes penyalahgunaan dadah," katanya kepada mStar Online.

Sehubungan itu, Harun menggesa artis-artis supaya mengelakkan diri daripada terjebak dalam perangkap dadah.

"Saya minta kerjasama artis-artis tolong jauhkan diri daripada dadah kerana ia tidak membawa mereka ke mana-mana. Apabila disiarkan di media ia akan menjejaskan reputasi individu terbabit.

"Fikirkanlah tentang keluarga. Kalau bersalah dah tentu masyarakat akan pandang serong," katanya.

Memandangkan gejala penyalahgunaan dadah masih berleluasa di kalangan artis, Harun berkata, Seniman terpanggil untuk mengadakan program kesedaran untuk golongan itu.

Katanya, Seniman akan bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (ADDK) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) untuk merangka program tersebut.

Saiful atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohammad Yusoff ditahan bersama lima rakannya ekoran dakwaan memiliki 40 gram dadah dipercayai ganja malam kelmarin.

Mereka ditahan di rumah Saiful di Jalan PJS7 Subang Jaya di sini kira-kira pukul 10 malam.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39A(1), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/6/15/mstar_hiburan/20100614185937&sec=mstar_hiburan

Jimmy Pilih Anak Jutawan Bukan Kerana Harta

Selasa Jun 15, 2010

Jimmy ketika melangsungkan pertunangannya Jumaat lalu

BARU sahaja melangsungkan pertunangan dengan Nursuhaila Eliani Datuk Suhaimy, pengacara Akademi Fantasia musim ke lapan (af8), Jimmy Shanley menafikan dia memilih anak jutawan kerana harta.

Menurutnya, tiada istilah mencari kekayaan dalam memilih kekasih terutamanya dengan wanita yang bakal berkongsi hidup dengannya.

"Saya tidak pernah memilih untuk berkawan dengan perempuan yang berlatarbelakang daripada keluarga yang mewah.

"Pertemuan kami tidak dirancang sama sekali dan soal status kehidupan keluarganya itu hanyalah secara kebetulan sahaja. Tuduhan kononnya pertunangan itu disebabkan faktor lain adalah satu tuduhan mereka yang tidak mengelai saya," katanya yang telah melangsungkan pertunangan dengan anak kepada pengasas produk kecantikan Natasya.

Kata Jimmy, sebelum ini dia telah berkawan dengan ramai perempuan dan cuba mengenali mereka tanpa mengetahui latar belakang kemewahan masing-masing" ujarnya ketika dihubungi mstar online.

Jimmy yang akan menamatkan zaman bujangnya pada Oktober tahun ini selamat bertunang dengan Nursuhaila Eliani di rumah pihak perempuan di Sunway Rahman Putra, Sungai Buloh, Jumaat lalu.

Ketika mengimbau kembali detik pertemuan pasangan itu, kisah cinta mereka terjalin sejak Jimmy bertemu dengan Nursuhaila di Genting Highlands sewaktu dia menjalani rakaman Trek Selebriti bersama Noni AF pada pertengahan tahun 2006.

“Nursuhaila merupakan peminat saya dan mahu mengambil gambar dengan saya ketika kami bertemu waktu itu.

“Selepas empat tahun, saya diundang menghadiri majlis hari jadinya pada 31 Januari lalu.

"Sejak itu kami menjadi rapat dan akhirnya saya melamarnya pada bulan lalu ketika AF8 hampir melabuhkan tirainya,” kata Jimmy

Khabarnya, Nursuhaila telah lama menyimpan perasaan kepada Jimmy sejak lima tahun lalu. Sebelum ini dia hanya melihat Jimmy menerusi televisyen, akhbar dan majalah.

Anak kedua daripada tiga beradik itu juga tidak pernah bercinta dan pernah menyimpan impian untuk mempunyai teman lelaki seperti Jimmy.

Ditanya apakah yang menarik minat Jimmy untuk memperisterikan Nursuhaila, Jimmy menjawab: “Dia sangat memahami kerja saya dan keluarga dia juga dapat menerima diri saya seadanya. Ibu dan bapanya juga sangat supportive dan sporting.”

Majlis pertunangan itu dihadiri kira-kira 300 yang terdiri daripada keluarga dan sanak-saudara kedua-dua belah pihak.

Sementara Jimmy yang merupakan anak yatim piatu dan bongsu daripada lapan beradik itu ditemani keluarga terdekat yang terdiri daripada abang dan kakaknya.

Majlis tersebut mendapat khidmat perunding perkahwinan Bahar Azman. Malah Bahar juga akan bertindak sebagai perunding majlis perkahwinan Jimmy pada Oktober nanti.

Jimmy berkata tiga majlis resepsi dijangka akan dilangsungkan iaitu di Kuala Lumpur, kampung pihak perempuan di Sungai Petani, Kedah dan kampung pihak lelaki di Ipoh, Perak.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/6/15/mstar_hiburan/20100614190612&sec=mstar_hiburan

Korban Jezamine demi Harith




BUKAN mudah untuk seorang wanita meniti hari bahagia diijabkabulkan tanpa keluarga di sisi. Namun, demi cinta kepada pelakon dan pelawak berusia 44 tahun, Harith Iskander Musa, semangat kental yang ada dalam diri Jezamine Lim, seorang doktor dan model telah berjaya menangani perasaan pilunya itu.

Hakikatnya, wanita cantik itu sanggup memeluk Islam walaupun ditentang keluarga demi berkahwin dengan lelaki yang dicintanya, Harith. Pengorbanan bekas penganut Buddha ini benar-benar memberi impak yang besar terhadap penerimaan keluarganya.

Faham benar bahawa soal agama adalah hal yang begitu sensitif bagi sesiapa pun, sebagai seorang anak yang memahami perasaan ibu dan bapanya, Jezamine akur dengan ketidakhadiran keluarganya itu.

Malah doktor berusia 27 tahun itu bersama Harith sedang berusaha untuk melembutkan hati keluarganya agar mereka dapat diterima dengan baik walaupun sudah berbeza fahaman sekarang.


DENGAN sekali lafaz, Harith sah memperisterikan Jez yang merupakan seorang model dan doktor.


Masih lagi mampu tersenyum pada hari bahagianya, Jez percaya setiap perkahwinan mempunyai dugaan yang tersendiri. Malah sepanjang badai yang terpaksa dilaluinya, Harith adalah lelaki yang menjadi tulang belakangnya tatkala dia terpaksa melalui dugaan yang besar dengan keluarga.

"Bila terpaksa berdepan dengan halangan keluarga, kekuatan saya hadir melalui cinta Harith kepada saya. Diakui, memang saya sedih dengan hal ini tetapi dia membantu saya untuk mengharungi cabaran besar ini.

"Saya sedih mereka tidak hadir pada hari ini. Bagaimanapun saya yang membuat keputusan untuk berkahwin dengan Harith, jadi saya harus berdepan dengan cabaran di depan saya," tuturnya penuh emosi yang bercampur-baur sewaktu ditemui media usai akad nikah di kediaman pengurus Harith, Sue Hussain di Kota Damansara, Kuala Lumpur.


CINTA sejati antara Harith dan Jez mendapat tentangan keluarga Jez.


Bagi Harith pula, dia percaya, satu hari nanti keluarga Jezamine pasti akan menerima mereka berdua memandangkan arwah ibunya, Farida Jane Musa yang berbangsa Inggeris dan beragama Kristian juga mempunyai masalah yang sama ketika berkahwin dengan ayahnya, Kolonel Musa Mohamad sebelum ini kerana memeluk agama Islam.

"Ringkas kata, keluarga Jez belum lagi menerima perubahannya. Tapi saya percaya, mengikut pengalaman yang diceritakan oleh ibu saya mengenai tentangan keluarganya bila mahu berkahwin dengan ayah dulu, akhirnya kedua mereka diterima.

"Masa akan berubah. Begitu juga dengan keluarga Jez. Saya faham, keluarga dia pasti tertanya-tanya, dahlah saya ni tua dan seorang selebriti, hal ini turut mengganggu fikiran mereka sama ada adakah anak mereka selamat bila disamping saya.

"Saya pun terkejut bila lihat dia sanggup tegar dengan keputusannya untuk bersama saya," kata Harith terharu.

Kenal di Facebook


CINCIN sebagai tanda batal air sembahyang.


Alam maya nyata bukan sahaja medium yang banyak memberi informasi, tetapi rangkaian laman sosial seperti Facebook adalah rangkaian yang juga paling banyak menemukan jodoh seseorang.

Begitu juga yang terjadi kepada pasangan ini. Cinta mereka sebenarnya bertaut di laman Facebook. Dan huluran cinta itu bukan dibuat oleh Harith, sebaliknya Jez yang memulakan langkah pertama untuk mengenali dengan lebih serius tentang diri pelawak tersebut.

"Saya pun tak pasti kenapa saya begitu teruja setiap kali menghantar mesej kepadanya melalui Facebook. Bayangkan, sehari kadang kala saya menghantar sebanyak 200 mesej kepada Harith! Walaupun saya tak percaya perkenalan melalui Internet, perkara ini hadir tanpa diduga.

"Dia seorang yang sangat serius. Tak kelakar langsung. Tidak seperti kerjayanya sebagai seorang pelawak. Pertama kali keluar dengan dia, dia lebih suka senyum. Saya yang mula membuka bicara agar pertemuan pertama kali kami itu tidak kekok," katanya sambil ketawa.

Belum pun Jez selesai berbicara, Harith pula mencelah, "Kira ayat saya hebat juga kan? Cuma ketika membalas mesej Jez di Facebook, saya akan pastikan untuk meninggalkan satu soalan supaya dia dapat membalas mesej saya (ketawa) pada masa akan datang. Itu satu tips yang berguna bagi sesiapa yang ingin memerangkap cinta!"

Menyifatkan isterinya sebagai wanita yang mempunyai hati murni dan gemar melihat Jez ketawa, pasangan ini berkata perancangan bulan madu mereka mungkin akan dibuat selepas Aidilfitri memandangkan Harith kini sibuk dengan latihan teater Cuci The Musical.




Bukan gay

Perkahwinan Harith juga membenamkan dua status dirinya yang selama ini menjadi tanda tanya. Banyak yang beranggapan Harith adalah seorang duda atau pun mahu menambah isteri. Tidak kurang juga yang menuduh bahawa lelaki bertubuh gempal dengan otak geliga ini sebagai seorang gay.

Hakikatnya, kata Harith, kedua-dua tanggapan itu jauh tersasar. Dia bukan gay, juga bukan seorang duda atau mahu menambah bilangan isteri.

Ditanya adakah perkahwinannya dengan Jez ini akhirnya dapat menutup kata Harith: "Tentang status gay itu saya abaikan sahaja. Cuma yang kelakarnya bila saya berjumpa dengan imam ketika kursus berkahwin, mereka tanya 'kahwin kali kedua atau ketiga?' saya terkejut. Mereka sangka selama ini saya sudah pernah berumah tangga."

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0615&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm

KWSP senarai lebih banyak penyakit kritikal

2010/06/15

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini membenarkan pengeluaran meliputi lebih banyak lagi penyakit kritikal membabitkan anggota keluarga berusia bawah 16 tahun sama ada disebabkan penyakit atau kemalangan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Azlan Zainol berkata, senarai penyakit kritikal itu sudah ditambah daripada 13 kepada 36.


“Senarai baru itu mengambil kira kos signifikan diperlukan bagi merawat penyakit kritikal ini dan bertujuan membantu ahli menyelesaikan sepenuhnya atau mengurangkan beban kewangan mereka ketika menjalani rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.


Beliau berkata, untuk merawat anggota keluarga di bawah usia 16 tahun, pengeluaran bersama boleh dilakukan dengan anggota keluarga lain bagi menampung perbelanjaan rawatan perubatan bergantung kepada jumlah baki dalam Akaun 2 dan jumlah keseluruhan rawatan.


Ini termasuk anggota keluarga termasuk suami atau isteri, anak-anak, anak tiri atau anak angkat yang sah di sisi undang-undang, ibu bapa, mentua, ibu bapa tiri atau ibu bapa atau adik-beradik angkat yang sah di sisi undang-undang.


Semua pengeluaran bergantung kepada kesahihan laporan perubatan, bil serta resit yang tidak melebihi tempoh setahun dari tarikh borang pengeluaran dikemukakan dan mestilah atas nama pesakit atau pemohon.


Pengeluaran tidak dibenarkan bagi penyakit di luar senarai yang diluluskan atau apabila kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan anggota berkenaan atau majikan anggota keluarga terbabit.


Mereka yang menerima rawatan kesuburan atau rawatan alternatif seperti perubatan tradisional atau akupuntur adalah tidak layak menikmati pengeluaran ini.


Berikut adalah senarai 36 penyakit kritikal iaitu Anemia Aplastik, Sindrom Appalik, Alzheimer, Tumor Otak Benigna, Buta, Kanser, Kardiomiopati, Penyakit Hati Kronik, Penyakit Paru-Paru Kronik, Koma, Penyakit Arteri Koronari, Pekak, Ensefalitis, Hepatitis Virus Fulminan, Serangan Penyakit Jantung, Penggantian Injap Jantung, Kegagalan Buah Pinggang dan Kehilangan Upaya Hidup Sendiri.


Penyakit lain ialah Kebakaran Parah, Trauma Kepala Utama, Pemindahan Organ Utama, Penyakit Medullary Cystic, Meningitis, Penyakit Neuron Motor, Sklerosis Berbilang, Distrofi Otot, Kelumpuhan, Penyakit Parkinson, Poliomielitis, Pulmonari Utama, Strok atau Angin Ahmar, Pembedahan Aorta, Sistemik Lupus Erythematosus (SLE) Dengan Lupus Mephritis, Penyakit Membawa Maut dan Hilang Upaya Kekal.


Untuk keterangan lanjut, anda boleh melayari laman web www.KWSP.gov. my, atau menghubungi 03-89226000 atau berkunjung ke mana-mana cawangan KWSP.- Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KWSPsenarailebihbanyakpenyakitkritikal/Article

Lelaki ugut bunuh isteri ketika bercuti direman

2010/06/15

PORT DICKSON: Percutian seorang lelaki bersama ahli keluarganya bertukar menjadi kenangan pahit apabila dia terpaksa bermalam di lokap polis selepas ditahan kerana mengugut membunuh isterinya, di sini, awal pagi kelmarin.

Lelaki berusia 35 tahun itu diberkas polis selepas dia dan isterinya bertengkar kira-kira jam 11 malam Sabtu lalu.


Bimbang dengan ugutan suaminya, wanita berusia 34 tahun itu kemudian membuat laporan polis.


Malah, lelaki itu dikatakan ingin membunuh dirinya apabila cuba terjun dari tingkat sembilan hotel yang disewa mereka.


Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baljeet Singh berkata, perbuatan lelaki itu disedari keluarga dan pengawal keselamatan hotel yang berjaya menghalang perbuatannya.


“Berdasarkan siasatan awal, pasangan itu dan beberapa lagi ahli keluarga datang dari Seremban menyewa tingkat satu hotel berkenaan.


“Ketika di hotel itu, mereka bergaduh dan lelaki berkenaan mengugut untuk membunuh isterinya menyebabkan wanita berkenaan takut dan membuat laporan polis,”
katanya di sini, semalam.


Beliau berkata, ketika di balai polis kira-kira jam 1 pagi, wanita berkenaan menerima panggilan telefon daripada ahli keluarganya memberitahu suaminya cuba terjun dari tingkat sembilan.


Menurutnya, sepasukan polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu bergegas ke tempat kejadian dan sebaik tiba, mangsa sudah diselamatkan ahli keluarga dan pengawal keselamatan hotel.


“Lelaki itu kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut berhubung tindakannya yang mengugut mahu membunuh isterinya dalam pergaduhan sebelum itu.


“Polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu dan turut menyiasat motif suspek cuba terjun daripada tingkat sembilan hotel yang disewa mereka,”
katanya.

Suspek kini ditahan reman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lelakiugutbunuhisteriketikabercutidireman/Article

Mahu cari duit

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my
2010/06/15

MASJID TANAH: “Saya tergamam menyedari wajah saya terpampang di dada akhbar lalu mengambil keputusan pulang ke rumah keluarga kerana timbul perasaan kurang enak tambahan pula menyusahkan ramai orang.”

Begitu kata Nur Izatul Amirah Yohanis, 16, yang kembali ke pangkuan keluarga di Kampung Permatang Darat, di sini, selepas didakwa lari bersama kekasih siber, selain meninggalkan sekeping nota buat ibunya, kelmarin.


Kepulangan Nur Izatul yang masih menuntut di tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Rahmat, Kuala Sungai Baru, dekat sini, sekali gus menceriakan keluarganya selepas menyembunyikan diri di Kuala Lumpur sejak lebih seminggu lalu.


Nur Izatul ketika ditemui berkata, dia mengambil keputusan nekad meninggalkan rumah seorang diri kira-kira jam 11 malam Jumaat 4 Jun lalu dan bukan bersama teman lelaki seperti didakwa ibunya sebelum ini.


Katanya, dia tertekan akibat pengaruh rakan sebaya dan bercadang menamatkan sekolah disebabkan perasaan mahu mencari duit sendiri timbul membuak-buak.


“Sebenarnya sudah lama saya merancang untuk lari dari rumah dan ketika emak tidur, saya menghubungi rakan di kampung berdekatan untuk menumpang tidur sebelum ke bandar Melaka keesokannya. “Saya mengambil bas di Terminal Melaka Sentral sebelum ke Kuala Lumpur pada waktu tengah hari dan tiba di Bukit Jalil kira-kira jam 3 petang. “Saya kemudian diambil rakan untuk bermalam di rumah saudaranya di Pandan Indah,” katanya ketika ditemui, di sini, kelmarin.


Harian Metro Sabtu lalu melaporkan seorang remaja perempuan lari dari rumah dengan meninggalkan nota meminta tidak mencarinya.

Monday, June 14, 2010

Kes Badrul Muhayat Disebut Semula 28 Jun

Published: Isnin Jun 14, 2010 MYT 1:28:00 PM
Updated: Isnin Jun 14, 2010 MYT 1:42:09 PM

Badrul Muhayat diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin

KUALA LUMPUR: Kes pelakon dan bekas model, Badrul Muhayat Ahmad Jailani, yang menghadapi dua pertuduhan mencederakan isterinya, akan disebut semula di Mahkamah Majistret Ampang di sini, 28 Jun ini.

Majistret Wan Karimah Wan Abdul Ghani menetapkan tarikh itu selepas dimaklum oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Husnita Mohd Radzi bahawa pendakwaan belum memperoleh kertas siasatan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mengetahui sama ada pertuduhan kedua terhadap pelakon itu perlu dipinda.

Nor Husnita berkata pihaknya juga tidak menerima sebarang arahan berkaitan pindaan bagi pertuduhan kedua itu.

Pada 6 April lalu, Badrul Muhayat, 42, yang diwakili peguam Abdul Rashid Tasin mengaku tidak bersalah menumbuk muka dan menendang perut Julia Daud, 29, di rumah mereka di Kampung Cheras Baru, Hulu Langat, pada 7 pagi, 24 Mac lepas.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memukul punggung dan kaki Julia dengan batang penyapu pada waktu dan di tempat yang sama. Pelakon tersebut didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun dan denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan Badrul Muhayat diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan. - BERNAMA

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/6/14/mstar_hiburan/20100614132639&sec=mstar_hiburan

Rakyat Malaysia Pemurah, Pengemis Terus Menadah

Isnin Jun 14, 2010

Isu pengemis tidak akan selesai jika rakyat Malaysia tidak mengambil jalan penyelesaian dengan menghulurkan sumbangan ke saluran yang betul.

KISAH kumpulan lima adik-beradik di Shah Alam yang siang harinya bekerja sebagai pengemis dan mengakhiri malam mereka dengan berjoli sakan hasil kutipan sedekah dengan bermain 'game' di kafe siber didedahkan mingguan mStar selama dua minggu berturut-turut.

Tiada apa lagi yang perlu diperkatakan tentang mereka kerana sudah terang lagui bersuluh mereka menjadikan aktiviti itu sebagai kerjaya, bukan kerana miskin derita.Kini, giliran masyarakat pula untuk berfikir sebelum mereka menyeluk poket dan menghulur wang di atas tangan si pengemis yang tidak pernah diketahui sampai bila mereka ini akan berhenti menadah.

Ikuti juga pandangan Penganalis Jenayah, Kamal Efendi Hashim dan Setiausaha Agung Majlis Madrasah India Muslim Malaysia, Mohammed Shariff Ghani berhubung isu ini.

Dua budak peminta sedekah menuju ke kafe siber selepas mengutip sedekah daripada orang ramai di sekitar Seksyen 7, Shah Alam.

PETALING JAYA: Sikap masyarakat kita yang terlalu 'memberi muka' terhadap pengemis dan budak peminta sedekah menjadi penyumbang utama kepada peningkatan jumlah golongan ini.

Penganalisis Jenayah, Kamal Efendi Hashim berkata perbuatan memberi sedekah kepada pengemis bererti masyarakat menggalakkan mereka supaya terus mengemis dan seolah-olah memberi keyakinan untuk mereka meneruskan hidup dengan melakukan aktiviti seumpama ini.

"Masyarakat kita bersimpati tak kena pada tempatnya. Bersedekah tak salah, tapi biarlah bersedekah di saluran yang betul," katanya kepada mingguan mStar.

Jelasnya, terdapat banyak cara dan saluran yang membolehkan orang ramai bersedekah dan dalam masa yang sama wang itu dijamin sampai ke tangan mereka yang benar-benar memerlukannya.

Bagi yang ragu-ragu terhadap status pengemis dan bimbang 'ditipu', mereka tidak semestinya menghulurkan wang sebaliknya boleh bersedekah dengan bentuk lain seperti membelanja si pengemis makan atau minum.

"Kalau ada duit lebih, mereka boleh derma kepada sekolah. Kalau ada lagi duit lebih, mereka boleh bersedekah ke rumah-rumah ibadat kerana setiap rumah ibadat mempunyai tabung kebajikan dan ada orang yang diamanahkan untuk menjaganya," katanya.

Kamal turut menggelar kumpulan pengemis yang menyalahgunakan wang orang ramai ini sebagai penjenayah yang menggunakan senjata halus seperti pakaian compang-camping, air mata, kecacatan dan wajah simpati untuk 'memerangkap' orang ramai demi kesenangan diri sendiri.

"Kita selalu membayangkan penjenayah akan gunakan senjata seperti pisau untuk memeras ugut. Tapi kita tak sedar senjata pengemis lebih tajam. Mereka tidak memeras ugut, tetapi memeras belas kasihan dan ihsan masyarakat secara halus," katanya.

Kamal meletakkan pengemis kepada dua kategori. Kategori pertama ialah kumpulan peminta sedekah yang diketuai atau didalangi individu atau sindiket, manakala satu lagi kategori ialah kumpulan pengemis yang menjalankan aktiviti secara bersendirian.

Dalam konteks kumpulan lima adik-beradik warga Myanmar yang menjadikan pengemis sebagai kerjaya, Kamal percaya mereka bergerak secara bersendiri.

Disebabkan tiada pengawasan di luar rumah, mereka bebas melakukan apa saja termasuklah menggunakan wang sedekah untuk tujuan keseronokan dan seterusnya terlibat dengan jenayah.

"Pengemis, terutamanya kanak-kanak wajar diberi peluang untuk hidup. Tapi, jika tindakan mereka itu dahsyat sehingga membuatkan masyarakat terganggu, mereka boleh terus melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan selanjutnya.

Isu penyalahgunaan wang sedekah turut mendapat reaksi daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mohammed Shariff Ghani

Setiausaha Agung Majlis Madrasah Indian Muslim Malaysia, Muafakat India Muslim Selangor (MIM), Mohammed Shariff Ghani berkata sudah tiba masanya kerajaan membuat kajian lebih terperinci dan mengambil tindakan sewajarnya sebelum negara kita tidak dibanjiri lebih ramai pengemis.

Katanya, ketiadaan undang-undang dan penguatkuasaan tegas oleh pihak berkuasa membolehkan mereka yang tidak bertanggungjawab menggunakan peluang dan keterbukaan ini untuk mengaut keuntungan dengan cara mudah.

"Walaupun kini ada banyak NGO, tetapi setiap pertubuhan itu tertakluk kepada enakmen dan undang-undang sendiri. Tapi, kita masih tiada pertubuhan atau badan khas untuk mengawasi aktiviti seperti ini," katanya.

Tidak menafikan sebahagian daripada kanak-kanak peminta sedekah terdiri daripada kaum India-Muslim dan ada di antara mereka memegang status pelarian, Mohammed Shariff turut membayangkan imej negara akan tercemar jika aktiviti ini dibiarkan berterusan.

Malah, dia turut mengaitkan aktiviti ini dengan gejala sosial dan akan menyumbang kepada lebih banyak kes-kes jenayah.

"Budaya meminta sedekah membuatkan kanak-kanak malas untuk belajar. Bila mereka besar, mereka malas untuk bekerja kerana sejak kecil lagi mereka sudah biasa mendapat wang dengan mudah.

"Kesudahannya, mereka terpaksa mencari wang dengan cara lain yang lebih mudah juga seperti mencuri dan sebagainya," katanya.

Mengulas nasib dan penderitaan kanak-kanak pelarian, terutama dari Myanmar dan Bangladesh ke negara ini, pihaknya turut berasa simpati dan berharap pihak kerajaan dapat melakukan sesuatu bagi membela nasib mereka di sini.

Selain menjadi mangsa kemelut politik, kelompok ini juga terhimpit kerana negara mereka tidak pernah mengiktiraf kaum ini sebagai warganegara dan menyebabkan mereka lari ke Malaysia melalui sempadan Thailand.

"Saya pernah dengar mereka sanggup mencacatkan diri sendiri atau ahli keluarga untuk menagih simpati orang ramai dan saya tahu cerita ini bukan rekaan sebab tindakan seperti itu sudah jadi perkara biasa di sana," katanya.

Namun, dia kesal kerana peluang dan bantuan yang diberikan oleh United Nations kepada mereka telah disalah guna di sini.

Justeru, dia berpendapat, jalan terbaik untuk membasmi kegiatan ini ialah dengan mengadakan kempen dan promosi supaya orang ramai berhati-hati sebelum bersedekah dan mengikis sedikit demi sedikit budaya murah hati yang ada dalam diri kebanyakan masyarakat Malaysia.

"Pengemis tak sepatutnya ada di Malaysia. Jangan sampai Malaysia dijadikan 'tapak' untuk membuka bisnes sedekah pada masa akan datang," katanya.

http://mstar.com.my/variasi/manusia_peristiwa/cerita.asp?file=/2010/6/14/mstar_manusia_peristiwa/20100614102448&sec=mstar_manusia_peristiwa

Kejutan Lelaki Merah

2010/06/14

KUALA LUMPUR: Sepasukan ‘Lelaki Berbaju Merah’ (Men in Red) Shell mengejutkan cuti hujung minggu orang ramai apabila mengadakan aktiviti istimewa membersih dan mencuci kenderaan secara percuma, di sini, semalam.

Aktiviti yang dijalankan bertujuan memberi maklumat kepada pengguna mengenai produk keluaran terbaru Shell yang akan dilancarkan di Hotel Sunway Resort, esok.

Pengarah Urusan Shell Malaysia, Azman Ismail, berkata pasukan khas berpakaian merah itu berada di beberapa kawasan padat seperti Bangsar, Hartamas, Kepong, Petaling Jaya, Putrajaya, Shah Alam, Subang Jaya, Taman Tun Dr Ismail dan Wangsa Maju.

Pekerja Swasta, Nur Zaliza Abdullah, 32, berkata aktiviti sebegini perlu dipuji kerana memberi pendedahan awal mengenai sesuatu keluaran baru kepada pengguna. “Pada mulanya saya terkejut. Tambah terkejut apabila mereka minta izin membersihkan kenderaan saya secara percuma. Tapi, selepas diberi sedikit maklumat tujuan sebenar, saya berasa bertuah pula,” katanya.

Cinta gelap terbongkar

Oleh Norfaisal Jahuri
am@hmetro.com.my
2010/06/14

JASIN: Sepasang kekasih layak digelar pasangan durjana apabila menjalin hubungan ‘cinta gelap’ walaupun masing-masing sudah bergelar sebagai isteri dan suami orang.

Mereka juga masih menjalinkan hubungan cinta walaupun menyedari diri masing-masing mempunyai batasan dan tanggungjawab, namun kerana tuntutan nafsu, mereka tewas untuk melaksanakannya.


Namun, hubungan cinta terlarang yang dibina pasangan membabitkan wanita berusia 21 tahun serta lelaki berusia 27 tahun itu terbongkar apabila mereka dicekup imam tempatan di daerah ini, awal pagi semalam.


Lebih mengharukan, pasangan terbabit ditahan di rumah lelaki berkenaan dan difahamkan ketika itu ibunya turut berada di rumah berkenaan.


Pasangan terbabit kemudian diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) untuk tindakan lanjut.


Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Rahimin Bani, berkata berdasarkan maklumat yang diterima, imam terbabit membuat serbuan di rumah berkenaan kira-kira jam 5 pagi sebelum menemui pasangan itu dalam keadaan berkurung.


“Soal siasat dilakukan terhadap pasangan terbabit mendapati kedua-dua mereka bukan mahram. Lebih memeranjatkan mereka pula berstatus isteri dan suami orang lalu ditahan untuk diserahkan kepada kami sebelum siasatan lanjut dijalankan,” katanya.


Rahimin berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit bertindak membawa masuk wanita berkenaan ke rumahnya selepas isterinya pulang ke kampung.


Katanya, peluang berikutan ketiadaan isterinya itu diambil lelaki berkenaan bagi melakukan perbuatan terlarang di rumahnya.


“Mereka dikatakan masuk ke rumah itu sejak tengah malam dan terus berkurung sebelum dicekup imam berkenaan,” katanya.


Beliau berkata, maklumat diperoleh juga menyatakan pasangan terbabit sering berada di rumah berkenaan.

Katanya, pasangan itu akan didakwa mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman dengan bukan mahram sehingga mendatangkan syak, di mana sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM3,000 atau penjara selama 24 bulan atau kedua-duanya sekali.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Cintagelapterbongkar/Article

Kekasih RM382,477

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my
2010/06/14

KUALA LUMPUR: Teruja ingin bertemu kekasih hati yang baru dikenali melalui laman sembang, seorang wanita berusia 27 tahun berputih mata apabila kerugian RM7,100 apabila diperdaya lelaki terbabit kononnya ditahan pihak berkuasa tempatan.

Tanpa menyedari ia helah lelaki Afrika yang bijak berlakon sebagai kasanova menjerat wanita tempatan menyebabkan mangsa yakin teman lelakinya itu dalam kesusahan. Menurut sumber, mangsa bekerja sebagai pembantu undang-undang hanya mengenali lelaki itu tidak sampai sebulan dan terkejut apabila diberitahu kekasihnya itu akan datang menemuinya minggu lalu.


“Mangsa menerima panggilan kira-kira jam 9 pagi Khamis lalu dari teman lelakinya yang dikenali sebagai David menyatakan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari London, United Kingdom,” katanya.


Namun, kegembiraan wanita itu hanya seketika apabila menerima panggilan daripada teman lelakinya yang mendakwa ditahan pihak kastam kerana membawa wang melebihi had memasuki negara ini iaitu kira-kira RM382,477.


“Suspek meminta wanita terbabit membantu membebaskannya dengan membayar cukai iaitu 10 peratus dari jumlah wang terbabit kira-kira RM38,247.


“Mangsa yang tidak mempunyai wang sebanyak itu mulanya enggan membantu, tetapi kemudian dihubungi pula seorang lelaki lain yang mendakwa pegawai kastam menyebabkan dia terpedaya lalu memasukkan RM7,100 ke dalam beberapa akaun seperti diarahkan,” katanya.


Bagaimanapun, suspek tidak berpuas hati dan mendesak mangsa supaya memasukkan sekurang-kurangnya RM10,000 dengan alasan untuk dibebaskan, tetapi enggan dituruti mangsa.


“Suspek terus mendesak dan menghubunginya bagi meminta wang menyebabkan mangsa menghubungi pihak kastam dan imigresen KLIA bagi mengesahkan penahanan teman lelakinya itu.


“Menyedihkan apabila mangsa diberitahu kedua-dua pihak berkuasa terbabit mereka tidak membuat sebarang penahanan pada hari terbabit menyebabkan mangsa merasa ditipu dan membuat laporan polis,” katanya.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abd Ghany mengesahkan menerima laporan itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KekasihRM382_477/Article

Pelaburan haram cecah RM1.7 bilion

2010/06/14

KUALA LUMPUR: Hanya dalam tempoh tidak sampai setengah tahun, pelaburan haram dengan nilai kutipan melebihi RM1.7 bilion membabitkan 170,000 pelabur dikesan aktif di negara ini sejak Januari lalu.

Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat Bank Negara Malaysia (BNM), Abu Hassan Alshari Yahaya, berkata jumlah itu dikesan berdasarkan siasatan pihaknya terhadap 10 kes membabitkan aktiviti pengambilan deposit tanpa lesen mengikut Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (APPWH).


Beliau berkata, jumlah itu melebihi nilai pelaburan dikesan dari 2003 hingga 2008 dijalankan 23 syarikat dengan jumlah kutipan pelaburan melebihi RM1.5 bilion, membabitkan 400,000 pelabur.


“Ini secara tidak langsung menunjukkan aktiviti pelaburan haram masih berlarutan dan ramai terjebak di negara ini selain tidak menunjukkan pengurangan,” katanya ketika ditemui.


Abu Hassan berkata, dalam tempoh sama, empat syarikat serta mereka yang menjalankan aktiviti skim cepat kaya sudah dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan perundangan, iaitu Gemilang Mirza Sdn Bhd, Noradz Travel & Services, Buluhmas Enterprise Sdn Bhd dan Eastana Farm Industries Sdn Bhd.


Selain itu, katanya, dari Januari hingga Mei lalu, BNM sudah membuat serbuan dan kini menjalankan siasatan terhadap tiga syarikat iaitu Semangat Teknologi Sdn Bhd dan syarikat berkaitan dengannya, Dencomm Sales & Services Sdn Bhd dan The Gold Label Sdn Bhd.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PelaburanharamcecahRM1_7bilion/Article

Wajar lapor tindakan zalim

Oleh Yusliza Yakimir Abdul Talib
yusliza@hmetro.com.my
2010/06/14

KUALA LUMPUR: “Tindakan keluarga mentua itu zalim kerana cuba memisahkan ibu dengan anaknya.

“Sebagai orang lebih tua, mereka tidak sepatutnya melakukan perkara sedemikian,” kata Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahya Mohamed Yusuf.

Bagaimanapun, katanya, tindakan wanita itu yang melaporkan kejadian adalah tepat dan wanita yang mengalami masalah sepertinya harus berani tampil membuat aduan sejak awal bukan selepas masalah sudah menjadi teruk.

“Wanita yang menjadi mangsa kezaliman suami ini disarankan membuat aduan kepada polis, jabatan agama Islam, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mendapatkan khidmat kaunseling serta pusat perlindungan. “Ada juga memberi alasan tidak mahu mengadu dan sanggup didera kerana berkorban untuk anak tapi pengorbanan yang sebenar adalah dengan memisahkan anak dengan bapa yang zalim supaya mereka tidak dibesarkan dengan suasana penderaan sebegitu.


“Jika anak terus dipertontonkan dengan sikap zalim bapa mendera ibu mereka, anak akan menganggap wanita patut dilayan sedemikian dan mempraktikkan perkara sama terhadap isteri mereka kelak,” katanya.

Yahya berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Metro Ahad, semalam, mengenai kejadian wanita malang yang didera suami dan keluarga mentuanya termasuk merampas dua anak mangsa.

Mangsa yang dipaksa berkahwin dengan suaminya enam tahun lalu selepas lelaki itu merogolnya turut mengalami kesedihan berganda apabila turut tidak dibenarkan berjumpa anak selepas suaminya itu maut kemalangan.

Justeru, katanya, satu mekanisme baru berkaitan institusi kekeluargaan perlu diwujudkan segera supaya masalah berkaitan keruntuhan rumah tangga dan penderaan terhadap wanita serta kanak-kanak dapat ditangani dengan berkesan.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Masyarakat Penyayang berkata, pendidikan formal mengenai alam rumah tangga penting supaya pasangan dapat menjalani kehidupan berkeluarga tanpa keganasan.

“Kita juga perlu mewujudkan kembali konsep ‘menjaga tepi kain’ di kalangan masyarakat supaya kejadian sebegini dapat dikurangkan. Menjaga tepi kain bukan bermakna kita mencampuri urusan orang lain tapi menunjukkan sikap prihatin dengan apa yang berlaku di sekeliling.


“Apa yang berlaku sekarang adalah masyarakat sudah tidak peduli jika ada jiran tetangga melakukan maksiat, buang bayi, penderaan, penyalahgunaan dadah,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Wajarlaportindakanzalim/Article

'Jiwa saya kini damai'

Oleh Togi Marzuki
am@hmetro.com.my
2010/06/14

PONTIAN: “Setiap kali bersolat dan berdoa, jiwa saya cukup tenang dan damai, suatu nikmat perasaan yang tidak pernah dirasai sebelum ini,” kata seorang mualaf, Muhammad Firdaus Goh, 42, yang berasal dari Kampung Pontian Besar dan memeluk Islam bersama isteri dan empat anak mereka, Khamis lalu.

Dia yang bekerja sebagai nelayan berkata, biarpun sudah lama mahu memeluk Islam, namun terpaksa menangguhkan hasrat itu kerana bimbang hasratnya tidak dipersetujui isteri mahupun anak.


Bagaimanapun, menurutnya, tanggapan itu meleset apabila ahli keluarganya menyambut baik keinginannya dan bersedia memeluk Islam dengan hati terbuka.


“Pergaulan bersama rakan nelayan sejak kecil membolehkan saya mengenali Islam dan tertarik dengan ajarannya yang mengajar kita mendekati perkara mulia, saling membantu dan paling utama mencintai Allah.


“Pada pandangan saya, agama memainkan peranan penting bagi membentuk keperibadian individu dan bersyukur kerana kami sekeluarga berpeluang memeluk Islam,”
katanya yang melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan Pegawai Agama Pontian, Montaha Tuah dalam Majlis Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Pontian anjuran Majlis Agama Islam Johor (Maij).


Majlis pengislaman Muhammad Firdaus turut dihadiri kira-kira 500 penduduk Islam setempat. Selain Goh dan isteri, Nur Aisyah Yasmin, 35, empat anak pasangan berkenaan yang turut memeluk Islam ialah Muhammad Hamzie Goh, 15, Nur Umairah Goh, 14, Nur Maisarah Goh,10 dan Nur Puteri Goh, tiga tahun.


Bagi Nur Aisyah, sebagai isteri dan ibu kepada empat anak, keputusan memeluk Islam secara serentak menjadi suatu rahmat tidak diduga.


Menurutnya, tiada mana-mana pihak memaksa mereka memeluk Islam, sebaliknya ia datang daripada hati yang ikhlas selain yakin dengan kekuasaan Yang Maha Esa.


“Syukur Alhamdulillah atas limpah kurnia-Nya. Semoga Allah memberkati kami sekeluarga selain menjadi pendorong merapatkan lagi silaturahim antara jiran sama ada jauh atau dekat selain mempelajari Islam dengan lebih mendalam.


“Terima kasih juga kepada penduduk yang hadir pada hari yang diberkati ini dan ia memberi semangat baru kepada kami sekeluarga untuk menjalani kehidupan sebagai umat Islam,”
katanya.


Katanya, bermula detik itu, mereka sekeluarga akan bertanggungjawab dan berusaha sebaik mungkin mendalami agama suci itu selain tidak sabar menunaikan ibadat puasa Ogos depan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jiwasayakinidamai/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...