Tuesday, November 23, 2010

Derita tidur narkolepsi


PENGHIDAP narkolepsi boleh tertidur walaupun semasa memandu kereta.


“SIAP satu muka surat, dia tertidur, siap satu muka surat, dia tertidur lagi. Selepas 15 minit tertidur, baru saya kejutkannya supaya menyambung semula kerja sekolah yang dibuatnya tadi.

“Kadang-kadang tengah makan pun dia boleh tertidur di meja makan,” ujar ibu kepada Melinda Tan Ming Hui, 12, tentang anaknya itu yang menghidap penyakit kerap tidur yang dikenali sebagai narkolepsi.

Melinda merupakan murid cemerlang yang mendapat 7A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini walaupun menderitai penyakit pelik itu.

Murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ping Ming, Melaka itu diceritakan ibunya akan tertidur setiap dua jam pada waktu siang. Ada masanya, 10 minit sekali dia boleh terlelap.

Apabila malam, untuk masuk tidur, dia boleh melelapkan mata dengan pantas iaitu dalam masa lima minit.

Simptom

Beberapa minit kemudian, lelapnya sudah mencapai tahap lena. Selepas satu jam tidur, Melinda akan mengalami mimpi seram, mengingau lalu menjerit.

Menurut ibunya, Irene Tan, Melinda pada asalnya tidak begitu. Malah, dia seorang yang sangat suka belajar.

Masalah itu hanya dialami bermula tahun lalu semasa kanak-kanak itu berada dalam tahun 5.

“Saya tidak pasti bagaimana ia bermula kerana ia berlaku secara tiba-tiba. Cikgunya kata dia malas sebab kerap tidur di dalam kelas.

“Mula-mula saya fikir, adakah anak saya stres sebab nak masuk tahun enam, tapi setelah saya melakukan kajian di Internet dan melihat simptomnya, saya mengesyaki anak saya menghidap penyakit narkolepsi.


JIMMY KIMMEL


“Saya merujuk kepada pakar neurologi kanak-kanak di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Cheras dan daripada simptom yang ditunjukkan, Melinda disahkan menghidap narkolepsi,” ujarnya yang tidak menyangka anak perempuannya itu mampu mendapat 7A.

“Saya pernah kata kepadanya, tidak mengapa kalau tak dapat A tapi dia marah dan menyifatkan saya memandang rendah kepadanya,” kata Irene.

Menurut doktor yang dirujuk Irene, antara simptom narkolepsi ialah kerap tidur pada waktu siang iaitu purata setiap dua jam dan tidur malam yang diganggu mimpi ngeri.

Selain itu, otot tubuh juga menjadi lemah dan itu boleh dilihat pada rahang Melinda yang semakin renggang.

Presiden Masalah Tidur Malaysia (SDSM), Profesor Dr. Syed Hassan Ahmad mengakui penyakit ini jarang berlaku di negara ini.

Perangkaan dalam kajian di luar negara pula menunjukkan kadar berlaku adalah di antara 0.02-0.16 peratus dalam kalangan orang dewasa.

Dikatakan, penyakit ini lebih agak lazim berlaku di negara maju seperti Jepun.

Stanford School of Medicine di California melaporkan setiap seorang daripada 2,000 rakyat Amerika menghidap narkolepsi.

Namun, penyakit ini lebih kerap menyerang golongan yang lebih muda seperti remaja.

Gangguan

Menurut Syed Hassan, narkolepsi adalah salah satu daripada pelbagai gangguan tidur.

Individu yang mengalaminya tidak terdaya menahan rasa mengantuk dan mereka akan terus tertidur di mana saja tanpa mengira apa yang sedang mereka lakukan.

Ia boleh terjadi secara tiba-tiba sama ada semasa makan, bercakap, menulis atau berdiri.

Apabila berlaku, individu terlibat akan rebah secara mengejut kerana kuasa otot-otot tidak berkesan. Selepas tertidur, mereka akan sedar semula seperti biasa.


KANAK-KANAK penghidap narkolepsi, Melinda Tan Ming Hui meraih keputusan cemerlang 7A dalam UPSR lalu.


“Dalam masa serangan, pesakit boleh mengalami persepsi luar biasa seperti halusinasi. Tetapi ia bukan penyakit sawan atau gangguan minda,” katanya.

Beliau yang tidak pernah berjumpa dengan pesakit seperti itu memberitahu, penyakit ini biasanya lebih kerap dirujuk kepada pakar neurologi.

Katanya, penyakit ini ada kaitan dengan kekurangan neurotransmiter hipokretin iaitu sejenis kimia dalam otak yang ada hubung kait dengan sistem saraf.

Tambahnya, rawatan dengan ubat-ubatan modafinil mungkin dapat membantu mengawal simptom penyakit itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1121&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Bicara klip video seks Ariel berlangsung 82 minit


ARIEL ditemu ramah pemberita dari dalam lokapnya sebelum kesnya didengar di Bandung semalam.


BANDUNG - Perbicaraan penyanyi band Peterpan, Ariel berhubung dakwaan dia menyebar klip video seks yang menampilkan lelaki yang memiliki wajah miripnya berlangsung selama 82 minit di sebuah mahkamah di sini semalam.

Perbicaraan itu diadakan secara tertutup bermula pada pukul 8.58 pagi dan berakhir pada pukul 10.20 pagi waktu tempatan.

Selepas perbicaraan itu selesai, Ariel dibawa menaiki sebuah kenderaan menuju ke pusat tahanannya di Rutan Kebonwaru.

Ariel yang merupakan penyanyi terkenal di Indonesia didakwa menyebarkan dua klip video di Internet.

Kes itu mengejutkan penduduk di Indonesia.

Salah satu klip video menunjukkan seorang lelaki yang memiliki wajah seperti Ariel sedang melakukan hubungan seks dengan wanita mirip kekasihnya, Luna Maya, 27, yang merupakan seorang pengacara TV.

Satu lagi klip video menampilkan seorang lelaki memiliki wajah mirip Ariel melakukan hubungan seks dengan wanita seperti bekas kekasihnya, Cut Tari, 33, yang kini sudah bersuami.

Ariel atau nama sebenarnya, Nazril Ariel, 29, muncul di mahkamah di sini dengan memakai baju berwarna kelabu dan seluar gelap.

Menurut pendakwa raya, Rusmanto, dia didakwa berdasarkan peruntukan undang-undang antipornografi 2008.

Lebih 500 anggota polis dikerah untuk mengawal kawasan sekitar mahkamah tersebut.

Sejumlah peminat Ariel terutama wanita muda turut hadir di luar mahkamah selain anggota-anggota kumpulan Islam yang melakukan tunjuk perasaan.

"Terdapat banyak kes seperti ini. Kenapa mereka (suspek klip video lucah) dibebaskan dan tidak Ariel.

"Adakah kerana dia (Ariel) seorang yang terkenal? Kami mahukan keadilan," kata seorang pelayan, Ruri Astara.

Kira-kira 20 peminat menyanyikan lagu-lagu popular Ariel dan membawa kain pemidang bagi menuntut pembebasan Ariel.

Penyanyi itu tidak mengaku bersalah mengedar klip video tersebut.

Seorang aktivis Islam, Hirman Firdaus berkata, perbuatan penyanyi itu merupakan satu ancaman ke atas masyarakat dan dia perlu dihukum dengan hukuman maksimum.

"Saya mahu dia dikenakan hukuman berat. Ini (perbuatannya) tidak bermoral," katanya.

Jika disabitkan kesalahan, penyanyi itu boleh dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak AS$672,000 (RM2.08 juta) kerana beberapa kesalahan termasuk mengedarkan pornografi di Internet.

"Ariel membantu untuk menyediakan kemudahan bagi mengedarkan video pornografi itu," kata Rusmanto.

Penyanyi itu kelihatan tenang semasa dia bercakap kepada pemberita di dalam lokap mahkamah.

"Saya sudah membaca dakwaan-dakwaan itu. Saya sudah bersedia untuk berdepan apa sahaja," katanya.

Dia dipenjarakan selepas menyerah diri kepada polis pada 22 Jun lalu ekoran pendedahan media mengenai penyebaran klip video tersebut.


SEORANG anggota sebuah pertubuhan Islam melakukan tunjuk perasaan bagi menuntut Ariel dihukum di luar sebuah mahkamah di Bandung semalam.


Kekasihnya, Luna Maya turut berada di mahkamah itu.

Bagaimanapun, Luna Maya dan Cut Tari tidak dikenakan sebarang pendakwaan walaupun golongan aktivis radikal mendesak supaya kedua-dua selebriti tersebut dikenakan hukuman rejam sampai mati.

Kedua-dua wanita itu turut kehilangan kontrak komersial ekoran skandal tersebut.

Menurut seorang hakim, perbicaraan itu diadakan secara tertutup bagi melindungi masyarakat daripada mendengar perbuatan seks yang didedahkan sepanjang Ariel dibicarakan.

Kes Ariel akan disambung semula pada 29 November depan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1123&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Gagal sekolah kerana sijil lahir



SITI ROBIAH menunjukkan sijil Tabika Kemasnya di Kampung Dalam Wang, Baling, Kedah semalam.


BALING - Berikutan sijil kelahirannya tercatat dia bukan warga negara Malaysia, Siti Robiah Muhamad Jamri, 8, tidak diterima memasuki Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Wang di sini pada awal persekolahan 2010 lalu.

Masalah itu menyebabkan pihak sekolah berkenaan enggan menerima kemasukannya walaupun bapanya, Muhamad Jamri Husin, 34, seorang warga negara Malaysia.

Ibunya, Aishah Wadot, 29, dilahirkan di Betong, selatan Thailand tetapi dibesarkan dan menetap di Kampung Dalam Wang sejak berusia tiga tahun hingga kini manakala adik perempuannya yang berusia lima tahun memiliki MyKid dan seorang lagi adik perempuannya berusia dua tahun mempunyai masalah sama seperti Siti Robiah.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1123&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

Patung bogel dijual secara terbuka di Perlis


PATUNG separuh bogel yang dijual secara bebas kepada pengunjung Pasar Sehari Wang Kelian di Padang Besar kelmarin.


PADANG BESAR - Mungkin hanya untuk tarikan, namun seorang peniaga tidak mempedulikan sensitiviti apabila dia dikesan menjual patung wanita separuh bogel secara terbuka di Pasar Sehari Wang Kelian di sini kelmarin.

Patung yang menampakkan buah dada wanita itu akan bergerak-gerak selepas dihidupkan dengan hanya menggunakan tenaga solar apabila coli patung itu ditanggalkan.

Menurut peniaga tersebut yang enggan dikenali, patung itu dijual pada harga RM10 sahaja dan permainan tersebut sesuai diletakkan di papan pemuka kenderaan untuk menghilangkan rasa mengantuk.

"Pelanggan yang berkunjung suka melihat patung ini apabila buah dadanya bergerak-gerak selepas colinya ditanggalkan.

"Dalam sehari lebih lima buah akan terjual. Patung ini sesuai diletakkan di dalam kereta dan kebanyakan pembeli adalah orang muda," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1123&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Jelapang padi Kerian terancam


SEORANG petani, Md. Rasid Salim menunjukkan paras air yang sepatutnya disalirkan ke sawah di Parit Buntar dekat Bukit Merah semalam.


BUKIT MERAH - Seorang petani mendakwa kawasan sawah padi di Kerian dekat sini akan pupus sekiranya projek ternakan ikan kelisa diteruskan di kawasan berdekatan.

Abdul Rahman Ahmad, 62, berkata, pihaknya telah membuat aduan beberapa kali kepada pihak berkuasa mengenai masalah tersebut yang bermula sejak sedekad lalu.

Beliau yang merupakan Ketua Kampung Parit Simpang Lima bagaimanapun berkata, tiada sebarang tindakan diambil terhadap pengusaha kolam ternakan ikan tersebut.

"Kami tak kisah kalau kolam tersebut masih ingin beroperasi sekiranya ia mendatangkan keuntungan kepada kerajaan atau mana-mana pihak, tapi tolonglah fikir masalah kami.

"Mereka dapat berjuta-juta, kami ini hanya petani yang cari makan sesuap nasi. Tapi kalau beginilah caranya, periuk nasi kami boleh lingkup," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1123&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Mahkamah Tolak Permohonan Anwar Dapatkan Nota Klinikal Mohd Saiful

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin menafikan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk akses pada nota klinikal yang diambil oleh tiga pakar Hospital Kuala Lumpur (HKL) ketika membuat pemeriksaan terhadap pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menolak permohonan Anwar untuk satu perintah bagi memaksa pihak pendakwaan membekalkan nota klinikal yang diambil oleh tiga pakar HKL itu semasa memeriksa Mohd Saiful Bukhari selama tiga jam di hospital tersebut pada malam 28 Jun, 2008.

Pihak pembelaan memohon untuk nota itu selepas pakar bedah am Dr Mohd Razali Ibrahim merujuk kepada mereka semasa testimoni beliau, di mana pihak pembelaan memikirkan bahawa nota itu jika dikeluarkan berkemungkinan bercanggah dengan keterangan lisan Dr Mohd Razali.

Dr Mohd Razali adalah saksi pendakwaan kedua pada perbicaraan Anwar, yang didakwa meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari, 25, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun, 2008.

Dalam penghakiman beliau, Hakim Mohamad Zabidin memutuskan bahawa pihak pembelaan gagal memenuhi keperluan perundangan yang diperlukan untuk mahkamah berkenaan memerintahkan pihak pendakwaan membekalkannya dengan nota doktor itu.

Katanya beliau berpandangan bahawa nota itu untuk tujuan sokongan atau mengingatkan kembali ingatan saksi dan ia adalah bagi pendakwaan untuk memutuskan sama ada mereka mahu menggunakannya atau tidak.

Beliau berkata tidak ada sesiapa pun, termasuk mahkamah boleh mendesak pihak pendakwaan untuk menggunakan nota itu untuk menyokong testimoni lisan Dr Mohd Razali, jika pendakwaan tidak mahu berbbuat demikian.

"Jika pendakwaan memilih tidak menggunakannya, bukan pembelaan dan mahkamah boleh memaksa mereka (pendakwaan) untuk berbuat demikian atau untuk membekalkannya kepada pembelaan," kata beliau.

Hakim Mohamad Zabidin juga menolak permohonan Anwar untuk menghapuskan laporan penuh perubatan bertarikh 13 Julai, 2008, yang disertakan dengan nombor makmal laporan kimia.

Pihak pembelaan mahu menghapuskan laporan penuh itu atas alasan nombor makmal laporan tosikologi Mohd Saiful Bukhari tidak dinyatakan dalam laporan penuh tersebut. Juga, laporan tosikologi belum diserahkan kepada pihak pembelaan.

Hakim Mohamad Zabidin dalam keputusannya berkata laporan tosikologi kini distapel bersama dengan laporan kimia dan ia tidak pernah ditanda sebagai barang bukti.

Beliau berkata pendirian pihak pendakwaan adalah mereka tidak pernah bercadang untuk mengemukakannya sebagai barang bukti dan sebab itulah ia tidak pernah diserahkan kepada pihak pembelaan. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2010/11/22/mstar_mahkamah/20101122190819&sec=mstar_mahkamah

Air Mani Boleh Berada Dalam Rektum Selama 72 Jam, Kata Pakar Bedah

Isnin November 22, 2010

KUALA LUMPUR: Seorang pakar bedah am memberitahu perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa dalam kes liwat, air mani boleh melekat dalam bahagian rektum selama 72 jam.

Dr Mohd Razali Ibrahim, bekas pakar bedah am di Hospital Kuala Lumpur (HKL), berkata beliau tidak dapat memberitahu tempoh tepat berapa lama air mani boleh berada dalam rektum, tetapi berdasarkan pembacaannya, ia adalah 72 jam.

Ketika diperiksa semula oleh Peguam Cara Negara 11 Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan, mengenai tempoh air mani boleh berada dalam rektum, beliau berkata ia bergantung pada fungsi dubur dan pada hakikatnya dubur bukan satu organ yang lurus di mana air mani boleh kekal di bahagian itu.

Dr Mohd Razali, yang kini berkhidmat dengan Hospital Putrajaya, adalah saksi kedua pada perbicaraan Anwar, yang didakwa meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, di Unit 11-5-1 Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun, 2008.

Kemudian ketika disoal balas oleh paguam Anwar S.N.Nair, mengenai pandangannya berkaitan tempoh 72 jam, Dr Mohd Razali berkata ia berdasarkan pada pembacaannya.

Tetapi apabila beliau ditanya mengenai tajuk buku itu, katanya beliau tidak ingat.

Terdahulu, ketika menjawab soalan peguam utama Anwar, Karpal Singh mengenai perut Mohd Saiful Buhari, Dr Mohd Razali berkata tidak ada najis dalam rektum Mohd Saiful Bukhari ketika diperiksa.

Karpal memberitahu Dr Mohd Razali bahawa Mohd Saiful Bukhari telah memberikan keterangan dalam mahkamah bahawa beliau tidak boleh buang air besar selama dua hari.

Dr Mohd Razali sekali lagi tetap dengan keterangannya bahawa rektum perut adalah kosong.

Saksi ketiga pendakwaan, Pakar Patologi Forensik HKL Dr Siew Sheue Feng, ketika disoal balas oleh Karpal, berkata beliau mencatat perihal perubatan Mohd Saiful Bukhari sebelum beliau diperiksa oleh Dr Mohd Razali.

Bagaimanapun, apabila Karpal bertanyakan kepada beliau sama ada beliau (Dr Siew) bersedia untuk mengeluarkan perihal perubatan Mohd Saiful Bukhari, pakar berkenaan berkata beliau bersedia memberitahu perihal perubatan bekas pembantu peribadi Anwar itu sedaya yang beliau boleh ingat dan menjawab soalan lisan di mahkamah.

Dr Siew berkata beliau mencatat perihal perubatan Mohd Saiful Bukhari berdasarkan aduannya bahawa dia diliwat oleh seorang yang berprofil tinggi selama dua bulan dan laporan perubatan berasaskan kes liwat.

Mengenai soalan Nair, Dr Siew berkata gambar-gambar diambil semasa memeriksa Mohd Saiful Bukhari dengan kehadiran polis dan polis menyimpan gambar berkenaan.

Ditanya lagi oleh Nair bahawa beliau menyediakan laporan perubatan itu tanpa merujuk gambar-gambar itu, Dr Siew berkata "ya", tetapi menambah bahawa beliau melihat gambar-gambar tersebut sebelum ia disimpan oleh polis.

Dr Siew juga menjelaskan bagaimana sampel itu diambil dan dilabel setelah beliau diminta berbuat demikian oleh Nair.

Ditanya lagi oleh Nair mengenai Piawaian Protokol untuk memeriksa pesakit dalam kes-kes liwat, Dr Siew berkata di HKL, seorang pakar bedah, seorang pakar kemalangan dan kecemasan dan seorang pakar forensik hendaklah hadir semasa pemeriksaan itu.

Ketika ditanya satu protokol bertulis rasmi, Dr Siew berkata beliau tidak menyedari mengenainya.

Tetapi, apabila Nair menunjukkan kepada beliau satu protokol bertulis dari Hospital Tuanku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang, Dr Siew berkata beliau tahu mengenainya dan akan membawanya ke mahkamah esok.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah disambung esok. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2010/11/22/mstar_mahkamah/20101122201625&sec=mstar_mahkamah

Tegang di mahkamah, polis dikerah kawal keadaan

Tegang di mahkamah, polis dikerah kawal keadaan

Hafiz Yatim
Nov 23, 10
10:44am

Ketegangan tercetus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur apabila Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin bertikam lidah dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa individu di galeri awam.

Semuanya gara-gara peguam utama pembela, Karpal Singh yang gagal dalam usahanya cuba mengasak saksi hari ini, Dr Siew Sheue Feng supaya merujuk kepada nota perubatan asal.

"Saksi-saksi ini sudah diprogram sebagai robot,” bidas Karpal.

Anwar juga dilihat hilang sabarnya hari ini kerana telah berulang-kali dinafikan hak mendapatkan nota perubataan asal yang dibuat oleh doktor-doktor di Hospital Kuala Lumpur.

"Ini sudah melampau kerana awak semua (pendakwa) cuba menyaring semua bukti,” kata Anwar.

Yusof menjawab: "Kau tidak tahu mengenai undang-undang."

Ia kemudian mencetuskan pertikaman lidah pula antara Yusof dengan beberapa individu di galeri awam.

Anggota polis yang berjumlah empat hingga lima orang, termasuk seorang yang berpangkat ASP kemudiannya dikerah bagi mengawal keadaan.

Anwar keluar dari mahkamah masuk beberapa kemudian sambil memberi petunjuk kepasda polis bahawa beliau akan bertenang.

Karpal kemudian berkata pihak pembelaan akan mengemukakan permohonan bagi melucutkan kelayakan hakim membicarakan kes itu kerana Zabidin didakwa gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

"Kita akan failkan permohonan pagi esok.”

Tak ingat

Sebelum itu, Karpal bertanya kepada Dr Siew berhubung apa yang diisi dalam borang perubatan.

Nama pesakit - saksi menjawab, "Mohd Saiful Bin Bukhari."

No IC - Dr Siew berkata dia tidak ingat.

Tarikh lahir - sekali lagi doktor itu berkata dia tidak ingat.

Pekerjaan - “pembantu peribadi”

Status - "bujang"

Dr Siew juga berkata dia tidak ingat nombor laporan polis berkenaan.

Karpal kemudian meminta Dr Siew merujuk kepada laporan perubatan. “ Bukankah awak ingin menyegarkan semula ingatan awak berdasarkan nota itu?”

Saksi berkata dia hanya merujuk kepada maklumat dalam laporan perubatan terakhir dan bukan nota perubatan yang asal.

"Saya ada laporan yang lengkap,” katanya.

Pagi tadi, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah sekali lagi menolak permohonan pihak peguambela bagi mendapatkan nota perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam perbicaraan kes liwat yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, mahkamah tidak boleh memaksa dokumen itu dikemukakan.

Keputusan mahkamah agung

Sebelum itu berlaku pertikaman lidah antara peguam utama pihak pembelaan Karpal Singh yang berhujah bahawa hakim gagal memahami Seksyen 45, Akta Keterangan 1950 yang mensyaratkan seseorang pakar perlu mengemukakan semua dokumen bagi menyokong semua hujah yang dikemukakan di mahkamah.

"Ini keputusan Mahkamah Agung.”

Hakim Mohamad Zabidin berkata: "Bagaiaman jika dia (saksi) tidak mahu melihatnya (dokumen)?”

Karpal berkata ini tidak adil dan ini menyukarkan tugas pihak pembelaan dalam melaksanakan tugas mereka.

“Apa yang mungkin Yang Arif catatkan adalah tidak berguna kecuali ia disokong oleh data dan ia tidak berguna dengan tulisan di atas kertas itu.”

anwar karpal 200910 01"Kenapa mesti Yang Arif duduk dan terdedah kepada tidak tentu arah?” soal Karpal.

Katanya, tindakan itu bagi membantu mahkamah mendapatkan gambaran dari sudut sains.

Justeru, menurut Karpal, adalah tidak adil kepada pihak peguambela jika data yang disertakan tidak menyokong kenyataan lisan dan bercanggah dengan sistem perundangan.

"Fungsi pakar (saksi) adalah mengemukakan kepada mahkamah setiap maklumat bagi menyokong keterangan dalam terma sains agar mahkamah tidak tersilap arah," kata Karpal.

Bagaimanapun Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin mencelah mengatakan saksi layak menjawab secara lisan selain tiada desakan untuk saksi mengemukakan data.

Katanya tugas pakar patologi HKL, Dr Siew hanya untuk mengambil sampel dan mengenalpasti kecederaan dan bukan mengenalpasti data.


[Berita penuh menyusul]

http://malaysiakini.com/news/148893



ANGKASA nafi gelapkan RM6.4 juta

Nov 22, 10 6:06pm

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum hari ini menafikan dakwaan kononnya berlaku penyelewengan wang sebanyak RM6.4 juta oleh lapan anggota jawatankuasa kerja tertinggi koperasi itu.

Beliau menyifatkan dakwaan oleh pengerusi Rangkaian Sahabat Dungun (KERABAT) Datuk Seri Noor Zainan Zainul itu sebagai tidak berasas dan dilakukan tanpa usul periksa serta bertujuan mencemar nama baik ANGKASA.

"Kenyataan yang dibuat ini mempunyai motif jahat, tohmahan palsu tanpa usul periksa dan merosakkan imej orang tertentu demi mereka yang berkepentingan," katanya kepada pemberita di Wisma Ungku Aziz di Petaling Jaya.

Menurut laporan media, Noor Zainan dan pengerusi Koperasi Ukhwah Mustapa Kamal Maulut telah membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan itu.

NONEMohd Ali (foto) berkata bahawa antara 27 pertuduhan yang dilaporkan dalam sebuah akhbar tempatan pada 17 Nov lepas ialah kononnya jawatankuasa kerja tertinggi ANGKASA menggunakan wang atau elaun tanpa mendapat kelulusan mesyuarat agung tahunan dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

"Mustahil kita akan mendapat wang atau elaun tanpa kelulusan SKM dan mesyuarat, dan semua bukti yang melibatkan pengeluaran masuk wang disimpan sebaiknya sekiranya kes seumpama ini berlaku," katanya.

Mohd Ali berkata dakwaan lain yang telah dibuat adalah mengenai elaun tahunan tetap sebanyak RM300,000 pada setiap anggota jawatankuasa itu selain menambah peruntukan sebanyak RM500,000 bagi persidangan kebangsaan tahunan yang sepatutnya hanya RM1.5 juta.

Beliau menjelaskan bahawa setiap elaun yang diterima oleh anggota jawatankuasa itu adalah mengikut kerja dan peranan yang dimainkan dalam ANGKASA.

"Tidak ada elaun tetap seperti yang didakwa," katanya.

Mohd Ali berkata peruntukan sebanyak RM2 juta yang digunakan pada persidangan itu telah mendapat kelulusan SKM dan tidak wajar perkara itu dipersoalkan.

Ditanya mengenai tindakan yang dikenakan kepada Noor Zainan dan Mustapa, beliau berkata mereka telah dilucutkan hak untuk menyertai mana-mana persidangan kebangsaan, negeri atau mesyuarat ANGKASA masing-masing selama tempoh tiga dan lima tahun bermula dari 25 Ogos.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/148866

PM: Rombakan kabinet hanya khabar angin

Nov 22, 10 3:17pm

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata satu laporan akhbar kononnya beliau akan mengadakan rombakan kabinet dan pilihan raya umum dalam masa terdekat ini adalah khabar angin semata-mata.

"Biasalah, Malaysia tidak pernah sunyi daripada khabar angin dan laporan," kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas merasmikan Forum Pemimpin Perniagaan Global 2010 di Kuala Lumpur hari ini apabila ditanya mengenai laporan itu yang disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris semalam.

Laporan itu, yang tidak memetik sebarang sumber, menyebut bahawa rombakan itu adalah bagi membolehkan Najib membentuk satu pasukan yang kuat untuk membantu beliau melaksanakan dasar ekonomi dan trasformasi yang beliau perkenalkan menjelang pilihan
raya umum ke-13 nanti.

NONEDitanya mengenai langkah Barisan Nasional meminda perlembagaannya supaya ia lebih inklusif dan terbuka kepada semua rakyat, beliau berkata itu tidak ada kaitan dengan pilihan raya."

"Ini adalah satu penambahbaikan politik BN. Pilihan raya adalah satu hal yang lain," kata Najib yang juga Pengerusi BN.

Beliau berkata penambahbaikan politik itu sejajar dengan Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi yang dilancarkan tahun ini bagi menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Mengenai sokongan kepada BN ekoran kemenangannya dalam pilihan raya kecil di Galas dan di Batu Sapi baru-baru ini, Najib berkata keputusan itu menunjukkan sokongan kepada BN semakin meningkat.

"Namun, kita tidak boleh ambil mudah dan menganggap kita sudah capai semuanya. Kita perlu teruskan usaha kerana kita sudah ada momentum bagi Program Transformasi Kerajaan, dan kita sedang mendapatkan momentum Program Transformasi Ekonomi, dan sekarang kita perlu pastikan (kejayaan) momentum politik," katanya.

vote barisan nasional bnMengenai langkah BN meminda perlembagaannya untuk menerima ahli bersekutu dan ahli gabungan sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan parti komponen mengenai calon dalam pilihan raya umum, Najib berkata BN akan menjelaskan mengenai kelayakan bagi ahli bersekutu dan ahli gabungan untuk bertanding dalam pilihan raya.

Beliau berkata bahawa pada asasnya, seseorang yang ingin bertanding sebagai calon BN mestilah menjadi ahli parti komponennya, dan sekiranya dalam kes-kes terpencil apabila tidak ada parti komponen yang mahu meletakkan calon di kawasan yang ditetapkan untuknya, maka kerusi itu akan dipertimbangkan oleh Dewan Tertinggi BN.

Keputusan untuk menyerahkan mana-mana kerusi kepada ahli bersekutu atau ahli gabungan hanya akan dibuat selepas perbincangan diadakan dengan semua komponen BN dan berdasarakan semangat BN, kata Najib.

"Kita tidak akan ambil kerusi daripada parti komponen BN dan menyerahkannya kepada ahli bersekutu dan ahli gabungan. Itu tidak betul," katanya.

Diminta mengulas mengenai kegagalan rakyat negara ini membayar balik pinjaman bank dan kad kredit akibat kos perubatan yang tinggi, Najib berkata rakyat perlu bijak membuat pilihan untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital tertentu.

Katanya sistem hospital di negara ini adalah yang terbaik di dunia namun mengalami kekangan disebabkan hospital perlu menyediakan perkhidmatan kepada bilangan pesakit yang begitu ramai.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/148833

PAS: Panduan siber untuk buta, pekakkan rakyat

Nov 22, 10 2:36pm

PAS menyifatkan tindakan kerajaan yang mahu memperkenalkan garis panduan berkaitan hasutan dalam dunia siber sebagai satu lagi usaha untuk membuta dan memekakkan rakyat untuk mendapat maklumat sebenar.

Ketua penerangannya Idris Ahmad mendakwa, tindakan itu lebih kepada usaha untuk membendung "maklumat penyelewengan" kerajaan BN daripada diketahui rakyat.

idris ahmad information chief pas muktamar in kota bharu"Seperti yang kita sedia maklum Umno-BN hanya bergantung kepada propaganda media perdana sahaja untuk mengekalkan pengaruh mereka di negara ini.

"Mereka tidak mampu untuk melawan serangan yang dibuat oleh media baru pada hari ini, walaupun mereka mengupah individu untuk melemparkan fitnah kepada PAS dan Pakataan Rakyat," katanya.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein dilaporkan berkata, garis panduan yang memberi definisi terperinci mengenai kesalahan hasutan dalam internet akan diperkenalkan dan dijangka siap minggu ini.

internet media and print mediaTanpa menyatakan bila garis panduan itu akan dikuatkuasakan, beliau berkata, ia sedang diperhalusi.

Dalam kenyataan hari ini, Idris mempersoalkan, tidak cukup lagikah "kongkongan" terhadap rakyat melalui akta sedia ada seperti ISA, Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta Akta Hasutan.

"Kerajaan boleh bertindak mengikut akta yang sedia ada dengan membawa pesalah ke muka pengadilan.

"Adakah salah rakyat pada hari ini mendapat maklumat yang benar supaya mereka boleh membuat pilihan yang tepat untuk melantik pemegang amanah khazanah di negara ini?" soalnya lagi.

Menurut Idris, jika maklumat yang didedahkan berkaitan dengan rahsian ketenteraan negara, penghinaan kepada agama dan bangsa, kerajaan masih boleh bertindak dengan akta sedia ada.

http://malaysiakini.com/news/148824

Pulau Pinang bukan negeri kontraktor, kata Guan Eng

Nov 21, 10 6:51pm

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengingatkan pemimpin MCA, terutama Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha bahawa rakyat adalah tuan sebenar, bukan kontraktor atau kementerian itu.

Justeru, setiausaha agung DAP itu berkata, Kong harus menjelaskan apa salahnya MMC-Gamuda JV Sdn Bhd (MMC-Gamuda JV) mengeluarkan surat jaminan bagi melindungi kepentingan awam berhubung kemungkinan berlakunya banjir di Pulau Pinang.

NONE“Apa salahnya MMC-Gamuda keluarkan surat jaminan kerana Kementerian Pengangkutan juga pernah mengeluarkan surat jaminan untuk syarikat swasta membabitkan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) bernilai RM12.85 bilion.

“Jadi, kita dapat lihat betapa pemimpin MCA hanya teruja dalam projek-projek mega berbanding kepentingan rakyat dan ini merupakan budaya yang sangat tidak sihat, ” katanya dalam satu kenyataan.

Kong baru-baru ini dilaporkan mengkritik kerajaan Pulau Pinang dengan mendakwa tindakan mengeluarkan arahan berhenti kerja kepada MMC-Gamuda melibatkan Projek Landasan Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar (EDTP) bernilai RM13 bilion sebagai tidak berasas.

Kerajaan negeri Pulau Pinang bagaimanapun menarik balik perintah berhenti kerja bagi projek landasan kereta api berkembar Ipoh-Padang Besar itu selepas (MMC-Gamuda JV) memberi surat jaminan mengenai langkah-langkah mencegah banjir.

NONEMengulas lanjut, Lim berkata, dengan tindakan Kong itu, banyak pihak kini tertanya-tanya apakah tindakan menteri pengangkutan itu membayangkan bahawa kerajaan ingin mengatakan syarikat swasta lebih penting dari warga awam.

Sehingga hari ini, katanya, kontraktor terbabit telah memberi kerjasama yang baik dan tidak membantah apabila arahan berhenti kerja itu dikeluarkan.

Ujar Lim lagi, Kong juga memutar-belit isu itu dengan mengatakan bahawa kerajaan negeri sengaja menjadikan kehidupan lebih sukar dengan tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dalam projek-projek mega.

Menurut Lim, jika dakwaan ini benar, masakan kerajaan negeri akan meluluskan projek bernilai RM13 bilion itu.

http://malaysiakini.com/news/148775

Isu Felda kini boleh diadu pada BAPAK

Nov 21, 10 3:59pm

Biro Aduan Peneroka Kebangsaan (BAPAK) merupakan alternatif baru bagi menyalurkan aduan dan pendapat untuk warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sekiranya terdapat sebarang masalah, perkara dan isu yang membabitkan warga peneroka.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata penubuhan BAPAK yang merupakan biro di bawah Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) sangat dialu-alukan kerana ia boleh berfungsi untuk membantu menjelaskan dan menyelesaikan sesuatu isu itu dengan lebih cepat.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merestui penubuhan Bapak dan berharap ia memberikan faedah kepada semua warga Felda terutamanya menyelesaikan isu berbangkit atau dibangkitkan di kalangan warga Felda,' katanya dalam sidang media selepas merasmikan Bapak di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata BAPAK dianggotai oleh 317 sukarelawan yang bersedia menerima aduan dan cadangan yang dikemukakan warga Felda tentang sesuatu isu dan berusaha menyelesaikan dalam tempoh paling minimum antara seminggu dan dua minggu hari bekerja.

Katanya BAPAK merupakan idea Pengerusi GWGF Tan Sri Rozali Ismail yang turut berbesar hati menaja segala perbelanjaan yang diperlukan oleh biro berkenaan.

Beliau berkata walaupun Felda mempunyai saluran aduannya sendiri, penubuhan BAPAK sangat relevan dalam menangani masalah lain yang dihadapi oleh warga peneroka seperti isu kebajikan dan pendidikan.

Katanya BAPAK yang beroperasi di Plaza SunwayMas di Seksyen 9 di Shah Alam, menerima aduan 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu melalui pelbagai kaedah termasuk faksimile, e-mel, SMS, portal atau talian bebas tol 1-800-88-4943.

Ahmad yang juga ketua penerangan Umno turut mencadangkan supaya GWGF menjadi anggota gabungan BN agar sama-sama dapat berjuang dan menjaga kebajikan serta masa depan warga peneroka.

Sementara itu, Rozali yang juga Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS) berkata beliau akan menulis surat kepada Dewan Tertinggi BN agar GWGF menyertai anggota gabungan BN itu.

Perdana menteri semalam mengumumkan bahawa Mesyuarat Dewan Tertinggi BN bersetuju meminda perlembagaan termasuk membuka penyertaan untuk anggota bersekutu, anggota bergabung, Kelab Sahabat BN dan Kelab Rakan Muda BN.

--Bernama

http://malaysiakini.com/news/148764

Keahlian terus BN tingkatkan penyertaan politik

Saifuddin Abdullah
Nov 21, 10
3:35pm

Keputusan BN bagi membolehkan seseorang menjadi ahli BN secara terus sebagai ahli bersekutu, penubuhan Kelab Sahabat BN dan mewujudkan Kelab Rakan Muda BN akan menghasilkan dua kesan utama:

  1. memperkasa BN, dan
  2. mewujudkan iklim politik lebih terbuka.
Kedua-dua kesan ini akan menyumbang terhadap peningkatan partisipasi rakyat, khususnya belia, dalam politik tanah air.

Dari segi memperkasa BN, ketika pembangkang masih tercari-cari formula pembentukan parti gabungan dan pemimpin utama yang diterima oleh semua, BN telah melangkah ke hadapan dengan melakukan satu pembaharuan politik yang berasaskan kefahaman mendalam terhadap realiti politik kontemporari.

Keahlian terus memberi peluang kepada mereka yang tidak mahu menjadi ahli parti komponen akibat beberapa faktor untuk tetap menjadi ahli BN.

Antara faktor tersebut ialah:
  • tidak selesa menjadi ahli parti komponen yang umumnya berasaskan kaum, kerana ia bukan daripada mana-mana kaum yang spesifik akibat berkahwin campur atau hasil perkahwinan campur. Jumlah ini semakin ramai, terutamanya di kalangan belia;
  • tidak berminat dengan parti komponen yang berasaskan kaum; dan
  • tidak berminat dengan tradisi atau sistem tertentu parti komponen.
Kelab Sahabat BN memberi peluang untuk mereka yang tidak berminat menyertai parti politik secara langsung; atau tidak dibenarkan menyertai parti politik oleh perundangan/peraturan tertentu; tetapi menyokong perjuangan BN, untuk mempunyai ruang membantu BN dengan aktif.

Ini penting kerana jumlah mereka yang menyokong BN dari luar adalah begitu ramai. Kelab Sahabat BN satu pengiktirafan rasmi akan kewujudan dan peranan mereka.

Kelab Rakan Muda BN memberi peluang partisipasi belia yang belum layak mengundi tetapi ingin menghayati dan menyokong perjuangan BN.

Ini penting untuk membolehkan mereka dan BN berinteraksi; memungkinkan berlakunya pendidikan politik; dan menangani masalah ramai belia yang menjauhkan diri daripada BN, malahan politik, akibat sinisme dan skeptikal terhadap BN/politik.

Di samping itu, keahlian Kelab Rakan Muda BN yang bermula dengan umur 18 tahun boleh menyediakan set minda bagi mula memikirkan untuk menurunkan umur layak mengundi daripada 21 tahun kini kepada 18 tahun.

Majoriti demokrasi maju telah menggunakan umur 18 tahun. Manakala Eropah sedang berdebat untuk menurunkannya kepada 16 tahun.
Hanya terdapat sedozen negara yang masih menggunakan umur 21 tahun, iaitu Malaysia, Singapura dan 10 negara kurang maju.

Di samping memberikan kelebihan kepada BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13, lebih penting lagi, keputusan tersebut adalah langkah kehadapan ke arah pembinaan iklim politik yang lebih terbuka, inklusif dan segar, yang akan meningkatkan partisipasi rakyat, terutamanya belia, dalam proses politik negara.

Datuk Saifuddin Abdullah merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno dan timbalan menteri pengajian tinggi.

http://malaysiakini.com/news/148760

NGO tolak, selar tawaran ahli bergabung BN

Nov 21, 10 1:36pm

Keputusan BN menerima kumpulan NGO, pertubuhan dan persatuan sebagai ahli bergabung dengan parti itu diselar kumpulan NGO yang berpendapat tindakan itu "bertentangan dengan norma masyarakat demokratik".

Menurut Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Muhammad Faisal Abdul Aziz, ini kerana selain kewujudan badan politik dan swasta, peranan NGO yang "tulen" sebagai "organ masyarakat sivil" tidak boleh dinafikan.

NONE"Bagi PKPIM, tujuan utama ditubuhkan NGO sebagai wadah yang membawa suara marhaen sebagai (agen) semak dan imbang terhadap setiap satu dasar yang digubal pihak pemerintah bagi memastikan ia benar-benar memenuhi kepentingan masyarakat umum," katanya.

Dalam satu kenyataan, Muhammad Faisal (kanan) mengumpamakan NGO sebagai "pusat roda yang dikelilingi parti politik".

"Walau siapa yang berada di atas atau siapa yang berada di bawah, NGO tetap utuh sebagai pusat di tengah-tengah yang bertanggungjawab memastikan roda secara keseluruhannya bergerak dengan lancar," katanya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat, pendekatan tidak memihak dan “independent political force” (kuasa politik bebas) harus dijadikan prinsip asas NGO.

barisan nasional bn 181110"Sebagai aktivis dan pimpinan NGO, kita seharusnya bebas dari keterikatan mana-mana parti politik dan ketaksuban politikus yang akhirnya akan mencengkam idealisme perjuangan NGO itu sendiri," katanya lagi.

Dalam PKPIM sendiri, tambahnya, mereka adakalanya senada dengan parti pemerintah dan adakalanya bersama parti pembangkang dalam sesuatu isu berlandaskan kepentingan masyarakat umum.

"Namun, PKPIM menyambut baik sebarang usaha pihak BN untuk meraikan kepentingan NGO sebagai rakan pembangunan negara atau smart partnership building dengan sentiasa mendengar pandangan dan kritikan NGO, serta menghormati prinsip dan pendirian sesebuah NGO dalam sesuatu isu," kata Muhammad Faisal.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) setakat ini dilaporkan berminat berhubung tawaran BN itu.

Pengerusi GWGF Tan Sri Rozali Ismail dilaporkan berkata, beliau akan menulis surat kepada Dewan Tertinggi BN agar gabungan itu menyertai BN sebagai ahli bergabung.

http://malaysiakini.com/news/148748

Syed Husin: Saya tak sangka jadi 'sebegini teruk'

Syed Husin: Saya tak sangka jadi 'sebegini teruk'

Abdul Rahim Sabri
Nov 21, 10
12:51pm

Ketika membuat keputusan tidak mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR, Dr Syed Husin Ali berkata beliau tidak menjangkakan persaingan bagi mengisi kekosongan itu "menjadi sebegini teruk".

"Ia menjadi teruk kerana ada pihak yang mengecam dan memburukkan parti, dengan bekerjasama dengan pihak-pihak luar, yang memusuhi parti dan pimpinan parti," kata veteran PKR itu.

Ketika diwawancara kelmarin, Dr Syed turut mengulas pelbagai perkara berhubung serangan bekas calon yang bertanding bagi menggantikannya Datuk Zaid Ibrahim dan sekitar kehangatan perebutan kerusi nombor dua itu.

Berikut sedutan wawancara tersebut yang dijalankan di pejabat Malaysiakini di Bangsar kelmarin:

Dalam ceramah Azmin, beliau menggunakan definasi Dr Syed tentang kesetiaan, pemimpin yang baik. Adakah Dr Syed Husin rasa selesa?

Saya sebut itu secara ikhlas. Saya hendak orang yang setia kepada perjuangan parti, pemimpin yang sanggup menjalankan tanggungjawab dan displin parti.

Kalau orang nak gunakan (nasihat) itu, gunakanlah. Seseorang boleh guna seperti itu, seseorang lagi boleh kata dia seperti itu. Dua-dua (calon) boleh guna perkataan itu.

NONEKeputusan (setakat minggu ketiga) menunjukkan Azmin sebelah kaki untuk menang?

Saya rasa dia (Azmin) boleh menang. Saya percaya kalau Zaid masuk pun, dia (Azmin) boleh menang. Saya percaya Zaid pun tahu, sebab dia tahu trend pencalonan. Tapi bila kita tahu, jangan memburukkan parti. Kenapa salahkan orang sahaja.

Jadi Dr Syed asalnya bukan buat keputusan untuk mengkritik Zaid?

Tidak... Saya jarang sekali berkata (mengeluarkan kenyataan), apatah lagi terhadap dia. Tetapi (sebaliknya) tengok apa yang dia sebut terhadap saya dan parti. Kita tidak mahu layan. Buat apa layan.

Dia selalu cakap apa yang dia buat (semata-mata) untuk baiki parti.

Kalau begitu, kita berbincang dalam mesyuarat parti. Kalau berterusan tujuh, lapan kali mesyuarat biro politik tak datang, apa ertinya?

Dan tak pernah waktu dia datang, dia menyebut, apa yang patut dilakukan oleh parti untuk memperbaikinya. Tak pernah sama ada melalui kata-kata atau melalui kertas. Semua ini dibuat diluar mesyuarat parti. Ini (punca) timbulnya (masalah).

Kalau misalnya kita tidak kemukankan dalam parti, mengikut proses parti, cara-cara untuk membaiki parti dan kita tahu Pakatan ada dasar terhadap akhbar tertentu, dan kita pergi ke situ, (jadi) seolah-olah kita melawan keputusan dan dasar Pakatan terhadap akhbar itu.

azlanDatuk Zaid dalam sidang akhbarnya, ketika ditanya apakah reaksi (peletakkan jawatannya) yang dijangka daripada parti, beliau berkata, Dr Syed akan gembira.

(Ketawa) Saya tidak faham kenapa (peletakan jawatan) berkuatkuasa pada 16 Disember... Gembira atau tidak itu tafsiran dia. Tetapi saya merasakan ini satu perkembangan yang baik untuk parti bergerak ke hadapan dan maju tanpa ada banyak kekacauan.

Orang bertanya, kenapa tidak kenapa tidak ambi tindakan? Kita merasakan, kalau ambil (tindakan) disiplin, akan ditafsirkan seolah-oleh menyekat dia untuk bertanding. Tapi apa yang dilakukannya melanggar displin dengan serang parti dan kecam pimpinan.

Semua itu melanggar disiplin. Dan memang dari awal sifatnya begitu. Sama ada saya gembira ataupun tidak terserah kepadanya.

Melepaskan jawatan timbalan presiden, kalau tahu jadi macam ini, adakah akan kekal (tidak berundur)?

Itu tidak mejadi perkiraan. Saya telah nyatakan bahawa umur saya lanjut. Ssaya sudah 74 tahun, ada orang anggap nyanyuk. Tapi alhadulillah saya tidak nyanyuk. Kalau tidak saya tidak ada di sini (ketawa).

Saya nak tumpu perhatian untuk kerja penulisan selain (tumpu) kepada isteri dan anak cucu saya. Jadi (saya) buat keputusan (tidak mempertahankan jawatan).

Saya memang sangka ada persaingan, tapi tak sangka sehingga menjadi begini teruk. Ia menjadi teruk kerana ada pihak yang mengecam dan memburukkan parti, dengan bekerjasama dengan pihak-pihak luar, yang memusuhi parti dan pimpinan parti.

Pihak luar, media misalnya, media yang akan kaitan dengan parti-parti tertentu. Sebab pemilihan ini bukan sahaja dikomen buruk oleh media tertentu, tetapi juga dikomen oleh pemimpin parti politik tertentu.

Adakah dia (Zaid) masuk untuk porak peranda parti?

Saya tidak tahu, kena tanya dia ah... Niatnya kita tidak tahu. Tapi kita boleh menilai dengan kata-kata dan tindakannya.

Jadi adakah dengan kata-kata dan tindakan itu, memperbaiki atau merosakkan parti. Dari situ secara objektifnya, walau apa pun dia kata, kalau misalnya kata-kata membawa kepada kemudaratan kepada parti, gelarlah apa pun.

Kalau tak, tak ada orang nak gelar trojan horse atau musuh dalam selimut. Jadi terserahlah.

pkr egm bangi zaid ibrahim joins pkr event 130609Setahun lebih beliau menyertai PKR, apa yang PKR harap daripada Zaid?

Saya tidak tahu, ada orang tuduh, saya tak ada bukti, dia minta masuk parti GERAKAN dulu. Tapi ada pihak dalam GERAKAN tidak mahu menerimanya kerana GERAKAN masih lagi dalam komponen BN.

Jadi kita terima dengan tangan terbuka. Sebelum dia masuk, dia minta nak jumpa saya, saya pergi jumpa dia di Tropicana Resort (di Petaling Jaya). Dia tanya beberapa soalan dan saya jawab. Saya ingat lagi, dan saya ada rekod soalan itu.

Saya berharap bahawa sesiapa sahaja yang masuk parti tentu ada niat yang baik untuk memberikan sumbangan kepada perkembangan parti.

Tapi saya kecewa, bila belum sempat beberapa bulan menjadi anggota, dia mulai serang parti kerana tidak sesuai dengan kehendak dia. Jadi saya rasa perbuatan ini tidak baik dan susah diterima.

Patutkah calon lain seperti Azmin memburukkan Datuk Zaid?

Sepatutnya tidak berlaku. Tapi jika kita lihat, benda itu bermula dengan satu pihak. Bermula dengan Zaid memburuk itu dan ini. Misalnya (kepada) saya sendiri. Dia bermula dengan interbiu saya dengan Merdeka Review.

Dalam Merdeka Review itu, saya serang kedua-dua (calon). Saya kata, yang satu ini kurang displin, tak datang mesyuarat. Yang satu lagi dianggap sombong, jarang menjawab SMS.

Jadi kedua-duanya mesti dibaiki. Saya percaya dia (Zaid) pun tidak baca interbiu itu. Dia kata dia dalam kereta, orang telefon dia, dia jawab saya ini nyanyuk.

Kalau dia baca, dia tak akan tuduh saya, (atau) menyatakan saya menuduh dia. Sebab saya (tegur) kedua-dua. Saya tidak beri indikasi untuk memihak kepada sesiapa.

Tapi dah jadi begitu... Itu pun saya tidak menjawab. Bila (dia) sebut saya nyanyuklah, nyanyulah, jadi saya tidak layan, sebab personal kan. Alhamdulillah, saya belum lagi nyanyuk. (ketawa).

Anwar Ibrahim Azmin Ali  at penanti nomination 23052009Apakah Azmin ada kelemahan yang perlu diperbaiki?

Sebenarnya saya dah beri pandangan kepadanya secara peribadi. Ada yang beliau terima dan ada yang tidak terima. Kadang-kadang saya pun ada majukan mesej orang lain terhadapnya, ada kala dia (Azmin) marah.

Kerja saya untuk meyakinkan kepadanya. Tapi saya tidak nafikan beliau mempunyai sifat menjadi seorang pemimpin parti dan calon timbalan presiden. Ada kelemahan, saya pun ada kelemahan.

Semua orang ada kelemahan. Anwar pun ada kelemahannya yang tersendiri. Cuma soalnya bagaimana untuk mengatasi kelemahan itu.

Zaid (dilaporkan) kata Dr Syed Husin seorang yang nyanyuk. Kemudian dia membuat penjelasan bukan nyanyuk tapi nyanyu, tapi ia tidak mengubah apa-apa. Adakah Dr Syed terasa?

Saya tak terasa. Macam macam orang kata, tuduh saya, label saya. Jadi perkara ini kecil. Jadi, timbul soalan kepada saya, siapa yang nyanyuk....

Saya menyatakan tidak ada keputusan oleh Pakatan tentang (jawatan) penyelaras pakatan. Tidak ada siapa yang dilantik sebagai penyelaras Pakatan. Dia menyatakan demikian.

Ataupun, kalau dia tidak berkata demikian, akhbar dan media internet berulang-ulang kali sebut. Dan dia tidak nafikan. Jadi siapa yang lupa? Saya lupa atau dia yang lupa tentang hal ini?

Dalam laman web menyebut beliau sebagi wakil kepada PKR.

Betul dia wakil. Tiap-tiap parti dalam Pakatan ada dua, tiga wakil dalam sekretariat Pakatan. Dari mula Pakatan ditubuhkan, saya pernah menjadi seorang wakil parti. Dan bila mesyuarat parti di pejabat parti tertentu, wakil daripada parti politik tersebut akan mempengerusi mesyuarat.

NONEJadi tidak ada salah seorang yang menyatakan awak (jadi) pengerusi tetap sekretariat. Kalau dia tidak sebut, media juga menyebutkan bahawa beliau menyiapkan manifesto Pakatan. Yang sebenarnya, saya tahu, deraf pertama itu ada orang lain yang tulis.

Dia sebagai anggota sekretariat bentangkan, tetapi seketariat bincang semula semula. Hantar balik kepada parti. Dan bila ia diputuskan (sebagai) manifesto yang terakhir, dia tidak ikuti mesyuarat kerana dia tidak suka ikuti mesyuarat (ketawa).

Yang dikemukakan dalam Konvensyen Pakatan adalah satu manifesto yang berbeza daripada yang asalnya. Dan masa diputuskan perkara itu, dia tidak berada dalam negara. Bila dia balilk, dia cuba nak berucap dalam konvensyen.

Ini soal kecil sebenarnya. Tetapi yang penting, kita mesti ikhlas dengan kebenaran. Kalau orang kata benda yang kita tidak buat, dan kita tidak nafikan, bahkan mengakui kita membuatnya, saya rasa ini satu masalah sikitlah.

Salah satu cadangan Zaid, supaya Anwar letak jawatan. Bukan sahaja beliau, tapi (bekas mufti Perlis) Dr Asri Zainul Abidin minta Anwar 'bersara politik'.

Dr Asri, Datuk Zaid Ibrahim dan Utusan Malaysia, dan pimpinan Umno, ia seolah-olah lagu sumbang dari okestra lapuk.

Anwar tetap relevan?

Saya rasa beliau tetap relevan dan mempunyai tenaga. Kadang-kadang saya kagum melihat (beliau) bertenaga dalam dan luar negara. Beliau masih boleh menyumbang dari segi tenaga dan pemikiran.

http://malaysiakini.com/news/148744
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...