Saturday, December 25, 2010

Rajagobal kagum semangat pemain


TENANG... Barisan pemain negara turun menjalani latihan ringan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam sebagai persiapan menghadapi Indonesia, malam esok.


JURULATIH skuad bola sepak kebangsaan, K. Rajagobal tidak senang duduk menjelang perlawanan akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.

Dia bukan takut, tetapi pening memikirkan kesebelasan utamanya kerana semua pemain dalam skuadnya berebur-rebut untuk merampas tempat kerana terlalu memiliki semangat yang cukup tinggi untuk membelasah Indonesia.

Mereka tidak sabar dan setiap pemain telah mempamerkan komitmen yang tinggi malah semua berazam untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

Begitupun, Rajagobal hanya akan memilih yang terbaik untuk menggalas perjuangan negara pada perlawanan malam esok dan dia kini memerlukan sedikit ketenangan untuk merencanakan strateginya.

Namun pengendali berusia 54 tahun itu enggan mendedahkan apakah bentuk persiapan yang menjadi tumpuannya bagi mengekang Indonesia daripada mendapat bekalan selesa dari tempat lawan.

"Persiapan kita tak banyak beza. Cuma kita sedang menilai bahagian mana yang perlu diberi fokus lebih. Tapi saya tak boleh mendedahkannya.

"Apa pun, para pemain saya sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi final. Saya mahu mereka turun dengan mempamerkan aksi terbaik dan mencatat kemenangan.

"Saya sendiri menjangkakan aksi final bertemu Indonesia ini bakal menampilkan satu perlawanan yang cukup menarik," kata Rajagobal pada sidang media selepas mesyuarat pengurus pasukan di Stadium Nasional petang semalam.

Mesyuarat tersebut turut memutuskan bahawa Malaysia bakal turun dengan jersi biru dan seluar putih manakala Indonesia pula dengan jersi putih dan seluar hijau.

Dalam pada itu, Rajagobal memberitahu, pemain sayap kanan, Amirulhadi Zainal sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut kanan yang dialami ketika aksi separuh akhir menentang Vietnam di Hanoi minggu lalu.

"Keadaan Amirulhadi nampak okey. Tapi ada dua hari lagi untuk saya menilai tahap kecergasannya. Kemungkinan besar dia boleh diturunkan.

"Cuma Khyril Muhymeen Zambri yang juga cedera lutut masih belum pulih seratus peratus," jelas Rajagobal sebelum bergegas ke Wisma FAM, Kelana Jaya untuk sesi latihan petang semalam.

Sebelum memulakan latihan tersebut, mereka menerima kunjungan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang telah memberikan kata-kata semangat kepada pemain bagi menghadapi Indonesia, malam esok.

Skuad kebangsaan bakal menjalani latihan terakhir di Stadium Nasional pada pukul 5 petang ini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1225&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm

Polis bersiap sedia buat kawalan

POLIS telah membuat persiapan sepenuhnya untuk memastikan keselamatan terkawal pada perlawanan akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki antara Malaysia dengan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

"Kita telah bersedia sepenuhnya dengan jumlah anggota yang cukup termasuk anggota tambahan dari daerah lain. Kita mampu untuk mengawal keselamatan dalam dan luar stadium," kata Ketua Polis Cheras, ACP Mohan Singh Tara Singh semalam.

Namun, katanya, polis memerlukan kerjasama penyokong kedua-dua pasukan supaya mematuhi arahan keselamatan untuk mengelak perkara yang tidak diingini.

"Anggaplah ini sebagai satu perlawanan bola sepak berunsurkan sosial dan bukannya untuk melakukan perkara yang tidak diingini," kata Mohan Singh.

Sekitar 90,000 penyokong Malaysia dan Indonesia dijangka membanjiri Stadium Nasional itu seawal pukul 5 petang.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperuntukkan 70,000 tiket berharga RM30 dan 2,500 tiket berharga RM50 kepada penyokong Malaysia dan 15,000 tiket lagi berharga RM30 dan 500 tiket berharga RM50 kepada penyokong Indonesia.

Mohan Singh mengingatkan penyokong supaya tidak membawa barang yang dilarang seperti mercun, botol atau bunga api ke dalam stadium.

Ayuh, sokong skuad negara

TABUNG Akujanji Ganjaran Piala AFF Suzuki, yang bertujuan mengumpul sumbangan kepada skuad bola sepak kebangsaan jika memenangi Piala AFF tahun ini, kini menerima ikrar sumbangan sebanyak RM80,700 sejak dimulakan Isnin lalu.

Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Isa berkata, tabung yang dikendalikan oleh persatuan itu sehingga kini hanya menerima ikrar sumbangan daripada syarikat-syarikat kecil dan orang perseorangan.

"Penonton-penonton menunjukkan sokongan kepada skuad kebangsaan dengan membeli tiket berharga RM50 dan RM30 bagi perlawanan akhir Piala AFF Suzuki antara Malaysia dengan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

"Kini tiba masanya syarikat-syarikat korporat di negara ini menunjukkan bukti sokongan mereka kepada pasukan bola sepak kebangsaan dengan turut menyumbang kepada tabung tersebut," katanya semalam.

Ahmad Khawari berkata, jika penulis blog persendirian seperti Muhammad Rizal Hashim boleh memberikan ikrar sumbangan sebanyak RM100 bagi setiap pemain dan pegawai skuad, tentunya syarikat korporat mampu memberikan sumbangan yang lebih besar lagi.

Tugas mengendalikan Tabung Akujanji Ganjaran Piala AFF Suzuki diserahkan kepada SAM oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang sebelum itu memberikan ikrar bahawa kementeriannya menjanjikan RM5,000 bagi setiap pemain jika mereka berjaya membawa pulang gelaran sulung saingan bola sepak serantau itu.

Pihak berminat untuk menyumbang boleh menghubungi Pejabat SAM dengan menghubungi talian 03-20780985 (Isnin, Selasa & Khamis, 10 pagi hingga 4 petang) ataupun faksimili 03-20706294.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1225&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm

Kos sidang wanita pertama RM4.5 juta

Kos sidang wanita pertama RM4.5 juta
Regina Lee
Dis 22, 10
4:19pm

Sidang Kemuncak Wanita Pertama yang diilhamkan dan dinaungi isteri perdana menteri Rosmah Mansor mencatatkan perbelanjaan kerajaan hampir RM4.5 juta.

NONEDalam jawapan bertulis di Dewan Negara, Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil mendedahkan perbelanjaan untuk program tiga hari itu sebanyak RM4,498,949.99.

Program melibatkan 15 wanita pertama dariapda seluruh dunia - kebanyakan yang hadir daripada negara-negara Africa - berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober.

Ekoran penjelasan itu, senator Syed Husin Ali daripada PKR membangkitkan persoalan kewajaran Rosmah dianjurkan oleh isteri perdana menteri sedangkan menurutnya dalam negara ini wanita pertama adalah Permaisuri Agong.

NONEDalam sidang media hari ini, Syed Husin yang juga bekas timbalan setiausaha agong mempertikaikan asas peruntukan sebanyak itu diberikan sedangkan tiada peranan oleh Permaisuri Agong.

[Baca berita penuh]

http://malaysiakini.com/news/151447

Ipar nafsu setan

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

KLANG: Seorang pengawal peribadi dipenjara 12 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, selepas didapati bersalah merogol adik iparnya di kuarters kerajaan, di Putrajaya, dekat sini, lima tahun lalu.

Hakim Yong Zarida Sazali menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh yang juga bapa kepada tiga anak berusia 34 dan memerintahkan hukuman penjara itu, bermula semalam. Tertuduh yang memakai kemeja putih dan seluar gelap kelihatan tenang, tetapi mulutnya terkumat-kamit seperti sedang membaca doa ketika keputusan itu dibacakan.

Sementara untuk satu lagi pertuduhan iaitu memiliki gari, lelaki itu dijatuhi hukuman denda RM300 atau sebulan penjara.

Yong Zarida dalam penghakimannya berkata, mahkamah berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Lelaki itu didapati bersalah merogol mangsa yang berusia 25 tahun di rumahnya, antara jam 5 pagi dan 7.20 pagi, 22 Mei 2005. Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia juga didapati bersalah memiliki gari di tempat dan hari sama, suatu kesalahan mengikut Seksyen 89(a) Akta Polis dan boleh dihukum mengikut Seksyen 94 akta sama.

Terdahulu, peguam bela mewakili lelaki itu, Badrul Munir Bukhari memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman ringan kerana anak guamnya menanggung keluarga. “Tertuduh selepas kejadian berkerja secara sambilan di kelab malam dengan pendapatan RM500 sebulan. Dia juga berkerja sebagai ‘call man’ yang memberinya komisen berdasarkan jika ada kemalangan.

“Dia turut membantu rakannya berniaga di pasar tani. Sekali kawal, dia akan dapat RM50. Oleh itu, sebulan dia boleh mendapat RM200,” katanya. Beliau berkata, jika tertuduh dipenjarakan, isteri anak guamnya terpaksa mengambil alih tanggungjawab untuk membesarkan anak pasangan itu termasuk yang baru berusia 12 bulan.


Selain itu, katanya, mahkamah harus mempertimbangkan pengakuan lelaki itu sejak awal perbicaraan bahawa kesalahan itu dilakukan secara sukarela antara tertuduh dan mangsa.

“Tertuduh juga sudah insaf dan ini dapat dilihat apabila dia memberi keterangan di mahkamah,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Aimi Syazwani Sarmin, membantah permohonan itu kerana kesalahan itu menyebabkan mangsa trauma. Dia yang sedikit sebak berkata, tertuduh perlu dikenakan hukuman berat bagi memberi pengajaran kepada masyarakat. “Sebagai abang ipar yang menjadi sebahagian daripada keluarga, tertuduh seharusnya menjadi pelindung dan bukan sebaliknya,” katanya.

“Kesalahan ini akan menyebabkan masyarakat berpandangan sudah tidak selamat berada di kalangan ahli keluarga sendiri,” katanya.

Berdasarkan keterangan saksi, tertuduh merentap seluar sukan mangsa sebelum menggunakan pistol bagi menakutkan wanita itu sebelum merogolnya. Ketika kejadian, isteri tertuduh tiada di rumah kerana bertugas di luar kawasan.

Difahamkan, mangsa yang kini sudah berumahtangga masih menjalani rawatan akibat kejadian itu. Pada prosiding semalam, pendakwaan dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Siti Norbaya Jamil.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Iparnafsusetan/Article/index_html

PAS mohon Agong tangguh RUU pengangkutan jalan

PAS mohon Agong tangguh RUU pengangkutan jalan
Abdul Rahim Sabri
Dis 23, 10
11:39am

PAS hari ini menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, memohon Seri Paduka menitahkan supaya Rang Undang-undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 yang baru diluluskan, dibahaskan semula di Parlimen.

NONE"Ia tidak dibahas dengan masak. Tempoh perbahasan dalam dua jam, ahli parlimen berbahas hanya lima minit," kata Datuk Mahfuz Omar yang juga ahli parlimen Pokok Sena.

"Akta yang begitu penting, yang menyentuh kepentingan rakyat, tetapi dibuat begitu tergesa-gesa. Jadi kami fikir tidak wajar dan mohon kepada baginda menitah supaya dibawa balik ke parlimen (untuk dibahaskan kembali)."

Mahfuz yang juga pengerusi jawatankuasa anti saman ekor (KASE) mengetuai delegasi beberapa wakil rakyat PAS dan dua orang peguam mereka ke istana negara pagi ini.

Antara terlibat ahli Khalid Samad (Shah Alam), Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Taib Azamuddin (Baling), Taufek Abd Ghani (ADUN Paroi) dan Zulhazmi Shariff.

Dalam sidang media selepas menyerah memorandum tersebut, Mahfuz berkata rang undang-undang tersebut tidak menyelesaikan pelbagai masalah besar berbangkit, antaranya berkaitan kemalangan maut, kesalahan memandu secara merbahaya, saman ekor dan masalah senarai hitam pemilik kenderaan.

"Kebanyakkan yang dinaikkan (dalam rang undang-undang) adalah kesalahan teknikal, katanya.

Wakil istana terima baik

Sebagai contoh, Mahfuz berkata masalah pertukaran alamat atau kegagalan memberi maklumat yang betul menyebabkan pengguna jalan raya akan dikenakan hukuman penjara.

"Ini bukan satu kesalahan jenayah yang berat," katanya.

Dalam memorandum yang diserahkan kepada wakil Seri Paduka, dilampirkan juga hansard perbahasan di parlimen berhubung akta tersebut.

NONEMereka kelihatan memasuki Istana Negara pada jam 10.20 pagi dan kelihatan keluar kira-kira 15 minit kemudian.

Ditanya mengenai reaksi pihak Istana, Mahfuz yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kedah berkata: "Wakil Tuanku menerimanya dengan baik".

Sementara itu, Taufek yang juga naib pengerusi KASE berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk menyusun langkah penerangan mengenai isu berkenaan kepada rakyat.

"Selagi rakyat tidak mendapat maklumat yang jelas tentang perkara ini, saya rasa rakyat tidak akan melihat isu ini sebagai isu yang besar," katanya.

http://malaysiakini.com/news/151501

Dan Penglipur Berita Malaysiakini 2010 adalah...

Dan Penglipur Berita Malaysiakini 2010 adalah...
Dis 22, 10 3:52pm

Pergolakan sepanjang 2010 mencetuskan gelombang yang sekaligus turut membentuk dan merobah pasir politik negara.

NONENamun, semuanya digerhanakan oleh individu ini yang paling menonjol dalam arena politik tanahair dan mendominasi tajuk utama berita akhbar negara.

Dan orangnya ialah - tidak lain dan tidak bukan - ahli parlimen Bebas Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang menerajui badan ultra-Melayu - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).

Dia mungkin digelar 'super-katak' yang sering galak melompat, tetapi dapat dipertikaikan bahawa Ibrahim adalah Penglipur Malaysiakini bagi 2010.

Dilahirkan pada 25 Januari 1951 di Kampung Pasir Pekan di Tumpat, Kelantan, Ibrahim merupakan anak kelima dan anak sulung daripada 13 adik beradik. Dia anak manja ayahnya - seorang ketua kampung.

Ibunya yang merupakan seorang yang kuat agama, memastikan Ibrahim mendapatkan pendidikan agama sejak dari kecil lagi.

Ayahnya, meskipun tidak berpendidikan, adalah seorang yang berpengaruh. Bagaimanapun, elaunnya tidak seberapa untuk menanggung keluarga yang besar. Maka sewaktu kecilnya, Ibrahim menjalani kehidupan yang sederhana.

NONEIbrahim yang mengisytiharkan dirinyas sebagai 'rakyat Kelantan tulen' membesar bersama-sama dengan rakan-rakannya, termasuk dari kalangan bukan Melayu, kebanyakannya dari keturunan Thai dan segelintir rakan Cina.

Ketika Ibrahim berada dalam Tingkatan Enam pada 1969, bapanya - seorang penyokong setia PAS - ditahan di bawah Akta Ketenteraman Awam 1958 dan peristiwa itu sekaligus membentuk masa depannya.

Penglibatannya dalam poltik bermula ketika Ibrahim menuntut di Universiti Teknologi Mara, yang ketika itu dikenali sebagai Institut Teknologi Mara.

Ibrahim meneruskan perjuangan ayahnya dalam membela nasib orang Melayu. Secara harfiahnya, dia mengikuti jejak langkah ayahnya, apabila dia ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dia berkongsi bilik tahanan di Kamunting pada 1974 dengan pemimpin pelajar ketika itu, Anwar Ibrahim.

Ibrahim kemudiannya menyertai Umno dan menjadi pejuang setia parti itu sehinggalah penubuhan parti serpihan Semangat 46 (S46).

NONEIbrahim mengikuti presiden S46, Tengku Razaleigh Hamzah. Pada 2008, dia bertanding atas tiket PAS dan memenangi kerusi parlimen Pasir Mas untuk ketiga kalinya.

Ibrahim mungkin merupakan satu-satunya ahli parlimen yang memenangi kerusi yang sama di bawah tiga parti yang berbeza - Umno (1986), S46 (1990) dan PAS (2008) - sehinggalah mendapat gelaran super-katak.

Bagaimanapun, beberapa bulan selepas memenangi parlimen Pasir MAS atas tiket PAS, Ibrahim telah 'berselisih dan berpisah' dengan kepimpinan parti itu, dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Tahun lalu, Ibrahim kembali menonjol di arena politik tanahair apabila beliau menubuhkan PERKASA yang memperjuangkan Ketuanan Melayu dan hak istimewa orang Melayu.

[Baca berita penuh]

http://malaysiakini.com/news/151445

Diskaun 75 peratus kerana cuaca sejuk


SUASANA lengang di luar gedung beli-belah Harrods di Knightsbridge, London kelmarin yang pada kebiasaannya sibuk dengan orang ramai.


LONDON - Banyak pusat beli-belah termasuk Marks & Spencer dan John Lewis melancarkan jualan barang termasuk pakaian di laman web masing-masing di Internet dengan diskaun sehingga 75 peratus, lapor sebuah akhbar semalam.

Potongan harga itu dibuat kerana cuaca terlalu sejuk yang menyebabkan orang ramai tidak dapat keluar membeli-belah sempena perayaan Krismas.

Promosi agresif itu dibuat selepas ramai pasar raya dan gedung beli-belah mengalami kerugian berjuta-juta pound akibat ketiadaan ramai pembeli disebabkan cuaca sejuk.

Salji dan ais yang kini melanda Britain dan dianggap fenomena paling buruk dalam tempoh 30 tahun telah memberi kesan terhadap ekonomi dan sektor pengangkutan.

Penganalisis dalam bidang peruncitan, Tarlok Teji dari Sekolah Perniagaan Manchester berkata: "Krismas menjadi dahsyat buat ramai peruncit dan saya menjangkakan ramai peruncit akan membuat satu keputusan memotong harga sebagai usaha untuk melariskan jualan." - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1225&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Konvensyen Pendidikan Islam malam ini, esok

Harakahdaily

SHAH ALAM, 25 Dis: Konvensyen Pendidikan Islam Malaysia 2010 yang diadakan Hotel Grand Bluewave, di sini bermula malam ini dan esok antaranya akan membincangkan isu yang membabitkan perkembangan akhlak pelajar yang semakin kritikal.

Ianya meliputi masalah gejala sosial dalam kalangan pelajar sekolah rendah, menengah, IPTA dan IPTS seperti isu pergaduhan, penyalahgunaan dadah, arak, samun, seks bebas, membuli, mengandung tanpa nikah dan membuang bayi, merempit, merokok, pembunuhan dan lain-lain lagi memperlihatkan bahawa sistem pendidikan negara gagal dalam mendidik dan membangun para pelajar.

Turut dibincangkan ialah isu pembiayaan pendidikanjuga turut dipersoalkan apabila RMK-10 telah mengurangkan bajet untuk tujuan pendidikan, isu pembiayaan pelajar di IPTA yang masih tidak berkesudahan dan isu pinjaman PTPTN yang membebankan pelajar IPT.

Soal lain ialah soal sistem pengukuran dan penilaian yangterpaksa dilalui oleh pelajar sekolah sehingga guru-guru, ibu bapa dan pelajar memberi tumpuan terhadap keperluan sistem tersebut yang kesannya lahirlah budaya ”exam-oriented” sehingga mengabaikan pembentukan akhlak pelajar kerana ibu bapa dan guru berbangga dengan pencapaian akademik sahaja tetapi bukan akhlak anak-anak.

Isu transformasi pendidikan yang tidak diuruskan secara sistematik dan sengaja mengabaikan kepentingan bahasa Melayu dan Pendidikan Islam dalam kurikulum sama ada di peringkat sekolah mahupun universiti kerana setiap perubahan yang dicapai tidak dibincangkan dengan lebih mendalam dengan pakar-pakar pendidikan sebelum dikuatkuasakan di samping isu kerajaan mengabaikan pendidikan Islam di sekolah Agama Rakyat dan kurikulum sekolah.

Tujuan konvensyen itu ialah untuk memahami dan menguasai isu-isu pendidikan terkini berdasarkan penyelidikan dan fakta yang diyakini agar mampu melahirkan masyarakat yang peka terhadap keperluan sistem pendidikan yang mampu membentuk sahsiah para pelajar seterusnya mampu mengurangkan isu gejala sosial dalam kalangan remaja masa kini.

Ia juga untuk mengenalpasti dan mendapatkan pandangan positif dan realistik daripada pakar dan masyarakat terhadap perjalanan dan kemajuan pendidikan negara masa kini ke arah pembentukan masyarakat yang sihat dan seimbang dari aspek jasmani, rohani dan intelek di samping mengumpul tenaga pakar, pemikir, penggerak dan pengamal pendidikan untuk merealisasikan sistem Pendidikan Islam sebagai alternatif utama menyelesaikan permasalahan masyarakat.

Selain itu, konvensyen juga bertujuan untuk memastikan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri tidak mengabaikan perkembangan pendidikan Islam terutama Sekolah Agama Rakyat dalam perancangan perkembangan pendidikan negara.

Bermula jam 8.30 hingga 10.30 malam ini diisi dengan wacana bertajuk “Transformasi Pendidikan: Realiti, Globalisasi dan Harapan” di mana ahli panel terdiri daripada Prof. Madya Haji Zainal Abidin Kidam, Timbalan Naib Cancelor Hal Ehwal Pelajar UNISEL, Dr. Mohd Nor Manuty, Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Ummat dan Ustaz Abdul Ghani Shamsudin, Pengerusi Sekretariat Majlis Ulama Asia Tenggara (SHURA).

Pagi esok, majlis bermula pada jam 8.30 pagi dengan ucapan pengarah program, Azrin Ab Majid, diikuti ucaptama oleh Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik bertajuk “Membangun Gagasan Baru Pendidikan Islam Malaysia” yang merupakan tema konvensyen.

Seterusnya pembentangan kertas kerja 1 bertajuk “Falsafah dan Hala Tuju Pendidikan Malaysia: Satu Tinjauan dan Kesesuaian Terhadap Pendidikan Islam” oleh Dr. Noor Hisham Md. Nawi, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah Universiti Malaysia Kelantan, “Pendidikan Islam: Tajdid Gerakan Islam” oleh Dr. Asiah Ali, Pengarah Institut Latihan Kepimpinan dan Perkaderan Dakwah (ILHAM).

Ucapan Pleno 1 bertajuk “Pembentukan Dasar dan Perlaksanaan Program Pendidikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat: Ke Arah Membangun Masyarakat Adil dan Sejahtera” oleh Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains Dan Teknologi Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim, diikuti pembentangan kertas kerja 3 “Membangun Pendidikan Prasekolah di Malaysia: Pengalaman PASTI” oleh Azrin Ab Majid, Ketua Pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Malaysia, “Sumbangan dan Peranan PAS dalam Bidang Pendidikan di Malaysia” oleh Ustaz Riduan Mohd Nor, Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat, “Bahasa dan Integrasi Kaum di Malaysia” oleh Prof. Emeritus Abdullah Hassan, UPSI.

Pembentangan dan soal jawab kertas kerja 6 bertajuk “Di bawah Bayangan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) : Undang-undang dan Mahasiswa” oleh Prof. Datuk Paduka Mohamad Abu Bakar, Universiti Malaya, “Nilai dan Moral (Akhlak): Kepentingannya dalam Pendidikan” oleh Ustazah Wahibah Tahir, “Permasalahan Remaja di Malaysia Masa Kini: Pengabaian Terhadap Pendidikan Islam” oleh Dr. Che Noraini Hashim, “Membina Generasi Ulul Albab dalam Sistem Pendidikan di Malaysia : Konsep, Aplikasi, Cabaran dan Harapan” oleh Prof. Madya Dr. Ishak Sulaiman.

Ucapan Pleno 2 bertajuk “Pembentukan Dasar dan Perlaksanaan Program Pendidikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat: Ke Arah Membangun Masyarakat Adil dan Sejahtera” oleh Dr Halimah Ali, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Kerajaan Negeri Selangor dan pembentangan kertas kerja 10 “Sekolah Agama Rakyat dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan : Realiti, Cabaran dan Masa Depan” oleh Encik Azizi Umar.

Pada jam 4.30 petang, Ustaz Datuk Harun Taib, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat merangkap Pengerusi Majlis Permuafakatan Pendidikan PAS Kebangsaan (MPPK) akan menyampaikan ucapan penutup.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30015:konvensyen-pendidikan-islam-malam-ini-esok&catid=1:utama&Itemid=50

Kedai nasi kandar kotor dikompaun


AH TEONG (kiri) menunjukkan bahan makanan yang digoreng diletakkan di atas kertas surat khabar lama dan dibiarkan terdedah di sebuah premis di George Town semalam.


GEORGE TOWN - Gara-gara meletakkan bahan makanan yang sudah digoreng di atas surat khabar lama, sebuah premis nasi kandar di Ayer Itam di sini semalam berdepan dengan enam kesalahan kebersihan dengan kompaun berjumlah RM510.

Bukan setakat itu, selain itu, sisa-sisa masakan turut dibuang ke dalam longkang sehingga menyebabkan berlaku pencemaran.

Menurut Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ong Ah Teong, operasi kebersihan yang dijalankan oleh pihaknya itu berdasarkan aduan pelanggan di situ.

Beliau berkata, selain faktor kebersihan, empat pekerja premis tersebut juga didapati tidak mendapat suntikan typhoid termasuk tidak menggunakan apron, topi dan sarung tangan ketika bekerja.

"Selepas pemeriksaan, kita tidak teragak-agak mengeluarkan kompaun sebanyak RM510 kepada restoran berkenaan.

"Kita juga memberikan tempoh pembayaran semula kompaun iaitu selama dua minggu mulai hari ini (semalam). Sekiranya pemilik premis berkenaan dapat membuat pembayaran dalam tempoh tersebut, diskaun sebanyak 50 peratus akan diberikan," katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1225&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

Salahudin kesal SPRM 'abai' kes MAS, 'cepat' kes Rosli Dahlan

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Dis: Salahuddin Ayub kesal dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang cepat mahu membuat rayuan terhadap kes peguam kanan Rosli Dahlan.

Salahudin yang juga anggota jawatankuasa khas suruhanjaya itu berkata, SPRM sebaliknya dilihat masih berdolak dalih untuk bertindak ke atas bekas Pengerusi eksekutif MAS Tan Sri Tajudin Ramli berhubung kerugian syaraikat penerbangan itu.

"Saya terkilan dengan kenyataan SPRM tersebut untuk merayu terhadap kes En Rosli Dahlan kerana mereka tidak menunjukkan minat dan ketangkasan yang sama keatas aduan MAS yang dibuat terhadap Tan Sri Tajudin Ramli berhubung kerugian yang ditanggung MAS semasa diterajui oleh Tan Sri Tajudin.

"Dalam skandal Sime Darby yang terkini, tindakan sivil dan jenayah telah pun diambil tetapi Tan Sri Tajudin kelihatan kebal dari proses undang-undang. Rakyat bertanya kenapa bagitu jadinya," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Tambahnya lagi, umum mengetahui bahawa En Rosli Dahlan adalah peguam MAS yang mengendalikan kes terhadap Tan Sri Tajudin Ramli.

Juga umum mengetahui bahawa En Rosli Dahlan dikenakan pertuduhan semasa mewakili Datuk Ramli Yusuff, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan, yang telah mengesyorkan kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi bahawa Tan Sri Tajudin wajar dikenakan pendakwaan atas beberapa pertuduhan.

Pada 20 Disember lalu, Rosli bebas tanpa dipanggil membela diri selepas Mahkamah Sesyen di sini memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kegagalannya mematuhi satu notis untuk mendedahkan segala maklumat mengenai asetnya.

Hakim Abu Bakar Katar memutuskan bahawa notis yang ditandatangani Timbalan Pendakwa Raya Kanan SPRM Anthony Kevin Morais gagal membuktikan peguam itu merupakan seorang daripada sekutu bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Ramli Yusof.

Beliau juga memutuskan pendakwaan gagal untuk membuktikan bahawa Rosli secara sengaja gagal memberi maklum balas terhadap notis yang dikeluarkan Morais.

Pada 12 Oktober, Rosli dihadapkan ke mahkamah kerana kerana dituduh gagal mematuhi notis untuk mendedahkan segala maklumat berhubung harta miliknya dalam tempoh dua bulan sebagaimana disyaratkan mengikut notis bertarikh 17 Julai, yang kemudiannya dilanjutkan ke 16 Ogos, satu kesalahan mengikut Seksyen 32 (2) Akta Pencegah Rasuah 1997.

Rosli, 46, rakan kongsi sebuah syarikat guaman terkenal dan seorang rakan karib Ramli, pada hari tuduhan dibaca ke atasnya pada 12 Oktober, 2007 memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan terhadapnya sehari sebelum Aidilfitri akan menyebabkan beliau menjadi bahan cemuhan jika ke masjid esoknya untuk bersolat raya.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Zulqarnain Hassan berkata beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS itu berkata Rosli adalah peguam Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) yang mengendalikan kes terhadap bekas pengerusi eksekutifnya Tan Sri Tajudin Ramli.

"Hal ini lebih mengecewakan kerana SPRM juga tidak menunjukkan sebaran reaksi terhadap pendedahan bahawa Peguam Negara Tan Sri Gani Patail mempunyai hubungan mencurigakan dengan proksi Tan Sri Tajudin Ramli, seorang yang dikenali sebagai Shahidan Shafie iaitu bekas OKT dalam kes rasuah beberapa tahun dahulu.

"Hali ini telah pun dibangkitkan oleh Tan Sri Robert Phang, seorang Ahli Lembaga Penasihat SPRM. Tapi sehingga kini Peguam Negara masih membisu," kata Salahudin lagi.

Beliau juga jelasnya terpanggil untuk merujuk kepada ucapan En Rosli Dahlan bahawa dia dimangsakan kerana dikenakan pertuduhan lebih awal sedangkan pada masa itu Ramli masih belum pun dituduh atas sebarang kesalahan.

Dan kesudahannya ialah setelah Ramli dibebaskan, SPRM masih enggan menarik balik pertuduhan terhadap En Rosli.

"Ini menunjukkan seolah-olah terdapat elemen salah guna kuasa oleh pihak SPRM dan Peguam Negara.

"En Rosli juga menuduh bahawa terdapat konspirasi membabitkan media arus perdana dengan “rogue elements in the government” atau elemen bajingan dalam kerajaan. Hali ini amatlah menggerunkan," katanya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30014:salahudin-kesal-sprm-abai-kes-mas-cepat-kes-rosli-dahlan&catid=1:utama&Itemid=50

Rumah jadi makmal dadah


MOHAMAD NASIR (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di Muar semalam.


MUAR - Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM70,000 dalam serbuan di sebuah rumah yang dijadikan sebagai makmal dadah di Jalan Daud di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, pada serbuan pukul 5.30 pagi itu, polis turut menahan dua suspek masing-masing berusia 25 dan 27 tahun.

"Polis juga merampas wang tunai berjumlah RM1,400 dan sebuah kereta Proton Perdana yang dilaporkan hilang di Larkin, Johor Bahru pada tahun 2008 di rumah berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Mohamad Nasir berkata, hasil pemeriksaan, polis menjumpai dadah jenis ekstasi, ketamin dan syabu serta peralatan-peralatan untuk memproses dadah.

Jelas beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, polis yakin sebanyak lima kes pecah kilang di sekitar daerah Muar berjaya diselesaikan dengan tertangkapnya lima warga negara Vietnam selepas menahan sebuah teksi pada satu sekatan polis di persimpangan lampu isyarat Bukit Pasir di sini kelmarin.

Mohamad Nasir berkata, dalam kejadian pukul 4.40 pagi itu, kesemua suspek yang berusia lingkungan 19 hingga 30 tahun cuba melarikan diri tetapi anggota polis berjaya memberkas mereka.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1225&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Kampung Warisan: Muafakat kesal sikap DBKL

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 24 Dis: Majlis Permuafakatan Perkampungan Tradisi Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Muafakat) kesal dengan sikap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang masih enggan memenuhi tuntutan mereka untuk mengisytiharkan Kampung Padang Balang dan 6 kampung lain di sekitarnya, di sini, sebagai Perkampungan Melayu Warisan.

Pengerusi Muafakat, Ishak Surin menegaskan, pengisytiharan Perkampungan Melayu Warisan ke atas 7 buah kampung terbabit amat penting bagi menyelamatkan perkampungan tersebut dari menjadi mangsa perlaksanaan Pelan DBKL 2020 yang akan menghakis tanah rezab Melayu di kawasan itu.

Menurut beliau, selain itu, ia juga bertujuan untuk menyelamatkan warisan Melayu dari terus terhakis sekiranya pelan DBKL 2020 dilaksanakan di kawasan itu.

"Sekiranya Pelan DBKL 2020 dilaksanakan di perkampungan kami ini, tanah-tanah rezab Melayu di kawasan ini bukan sekadar hilang dari pemilikan Melayu, tetapi kawasan ini juga akan bertukar menjadi pusat pembangunan komersial yang sekali gus akan menghilangkan identiti Melayu seratus peratus.

"Itulah sebabnya kami menuntut pengisytiharan itu. Jika kawasan ini diisytiharkan sebagai Perkampungan Melayu Warisan, kawasan ini akan selamat dari menjadi mangsa pelan tersebut dan tidak lagi boleh diganggu gugat oleh sebarang pihak," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Kampung-kampung terbabit terdiri daripada Kampung Bandar Dalam, Kampung Padang Balang, Kampung Chubadak, Kampung Puah, Kampung Sungai Merali, Kampung Sungai Mulia dan Kampung Kuah Seberang.

Bagaimanapun setelah sekian lama berjuang menentang perancangan itu, para penduduk di 7 buah kampung terbabit masih belum menerima tindak balas yang baik dari pihak DBKL.

Katanya, pada 29, 30 dan 31 November lalu, sempena Hari Terbuka DBKL, pihak DBKL telah memanggil beliau dan AJK Muafakat untuk mendengar taklimat mengenai perkembangan terkini hasil dari tuntutan mereka itu.

"Taklimat itu diadakan di tingkat 31 bangunan DBKL. Saya hadir bersama 10 AJK Muafakat. Taklimat itu disampaikan oleh perunding DBKL. Dalam taklimat itu, kami diberitahu tuntutan kami telah dipersetujui tetapi dipinda kepada 'Urban Villege' (Perkampungan Bandar).

"Selain 7 kampung terbabit, kawasan lain yang turut dimasukkan dalam 'Urban Villege' itu ialah India Settlement Kampung Pandan (penempatan India di Kampung Pandan) dan Kampung Malaysia Tambahan di Bandar Tun Razak," katanya yang juga YDP PAS Kawasan Batu.

Pindaan tersebut, menurutnya, tetap dibantah oleh pihaknya kerana ia masih tidak memenuhi tuntutan mereka. Perjuangan Muafakat bukanlah untuk mendapatkan title 'Urban Village' bagi kawasan itu, tetapi Perkampung Melayu Warisan.

Tambahan pula, pengisytiharan ke atas 7 perkampungan terbabit sebagai Perkampung Melayu Warisan telah dibuat sendiri oleh pihaknya pada 10 Oktober lalu menerusi satu perhimpunan besar-besar yang dihadiri para penduduk di kampung-kampung terbabit.

"Pengisytiharan itu dibuat hasil muafakat kami. Ia dah tak boleh diubah lagi. Jadi, apa pun berlaku, kami mesti teruskan perjuangan kami sehingga berjaya," tegasnya yang juga AJK Badan Bertindak Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi PAS Pusat.

Beliau yang juga AJK Lajnah Kemajuan Tanah dan Wilayah PAS Pusat kesal kerana pindaan yang dibuat itu bukan sekadar memperlihatkan keengganan pihak DBKL memenuhi tuntutan mereka, tetapi masih turut menunjukkan hasrat pihak terbabit untuk mengagungkan bahasa Inggeris dengan ingin menamakan kawasan mereka sebagai 'Urban Villege'.

Turut dikesalkan oleh beliau, taklimat yang diadakan oleh pihak DBKL itu bukannya disampaikan oleh pihak DBKL sendiri, tetapi hanya perundingnya. Ia seolah-olah memperlihatkan sikap pihak DBKL yang enggan bertemu dengan mereka untuk mengadakan perbincangan lanjut.

Sehubungan itu, pihaknya bercadang untuk mengadakan satu perhimpunan kesyukuran pada 1 Januari 2011 nanti di Madrasah Tarbiyah Kampung Bandar Dalam bermula solat Maghrib, bagi mengadakan satu memorandum khas untuk mendesak DBKL memenuhi tuntutan mereka.

"Memorandum itu akan dihantar kepada pihak DBKL, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim, Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Ketua Pembangkang, Ahli-ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pemimpin-pemimpin politik termasuk yang berada dalam Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) khususnya yang berada di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," jelasnya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30010:kampung-warisan-muafakat-kesal-sikap-dbkl&catid=1:utama&Itemid=50

Bekas ADUN Semenyih Bebas 4 Tuduhan Rasuah

Published: Jumaat Disember 24, 2010 MYT 5:20:00 PM
Updated: Jumaat Disember 24, 2010 MYT 8:58:57 PM

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Ahamad Kuris bersama isteri, Datin Hamidah Ahmad Sujak (kiri) berjalan keluar dari bilik Mahkamah Sesyen selepas dibebaskan tanpa dipanggil membela diri daripada empat pertuduhan meminta rasuah tiga tahun lalu di Shah Alam, Jumaat. - Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Ahamad Kuris Mohd Nor dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri atas empat pertuduhan rasuah yang dakwa dilakukannya tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Ahmad Sazali Omar membuat keputusan itu pada Jumaat, selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap tuduhan untuk dijawab oleh Ahamad Kuris.

Ahamad Kuris, 53, didakwa atas tuduhan meminta suapan wang tunai RM170,000 daripada pengarah syarikat Ufuk Rata Sdn Bhd, Azlan Ahmad Marshid pada pukul 11.53 pagi, 26 Februari 2007 di pejabat syarikat tersebut, nombor 10B, tingkat 1, Jalan Mesra Niaga, Batu 13, Jalan Cheras, Kajang, dekat sini.

Beliau juga didakwa atas tuduhan menerima RM20,000 daripada Azlan pada pukul 12.30 tengah hari, 11 Mei 2007 di pejabat ADUN Kawasan Semenyih, tingkat 1, Kompleks Penghulu Mukim Semenyih, Kajang.

Ahamad Kuris juga didakwa menerima RM5,000 di tempat yang sama pada pukul 12.30 tengah hari, 17 Ogos 2007 manakala bagi pertuduhan terakhir, beliau didakwa menerima suapan RM5,000 sebagai bayaran kad kredit Maybank bernombor 4842 8100 3023 7719.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Banking Berhad, nombor 28-30, Jalan Tukang, Kajang pada 27 Februari 2007.

Datuk Ahamad Kuris bersama isteri, Datin Hamidah Ahmad Sujak (kanan) melambai kepada media.

Semua suapan tersebut didakwa sebagai dorongan untuk Ahamad Kuris yang semasa itu sebagai ADUN Semenyih dan Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) membantu syarikat Ufuk Rata untuk mendapatkan tender membina jalan keluar masuk 100 kaki (30 meter) Taman Impian Ehsan, Balakong, Cheras, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Ahamad Kuris juga menghadapi tiga pertuduhan alternatif, iaitu telah secara curang menyalahgunakan semua wang tersebut yang milik UMNO Hulu Langat untuk kegunaan sendiri.

Pada penghakimannya, Ahmad Sazali yang mendengar keterangan 24 saksi pendakwan berkata, bukti menunjukkan wang yang menjadi asas dalam pertuduhan itu hanya timbul selepas Azlan memperoleh tender tersebut.

“Saya putuskan isu wang sebagai dorongan untuk mendapatkan tender tersebut tidak dapat dibuktikan. Saksi pendakwaan 19 (SP 19- Azlan) tidak ada berbincang dengan Ahamad Kuris untuk mendapatkan tender.

“SP19 hanya memaklumkan Ahamad Kuris bahawa dia masuk tender tersebut dan tiada apa-apa usaha dilakukan oleh Ahamad Kuris untuk SP19 mendapatkan tender seperti yang didakwa,” katanya.

Selain itu, Ahmad Sazali juga memutuskan bahawa tiada keterangan yang dapat menunjukkan bahawa Ahamad Kuris telah secara curang menggunakan wang milik UMNO untuk kegunaan diri sendiri.

Sebaik sahaja keputusan itu dibacakan, beberapa ahli keluarga Ahamad Kuris yang hadir untuk memberikan sokongan dilihat menangis dan saling berpelukan.

Sementara itu, Ahamad Kuris apabila ditemui berkata, beliau sangat bersyukur dengan keputusan tersebut.

“Alhamdulillah, syukurlah. Saya tidak bersalah,” katanya.

Ahamad Kuris juga memberitahu, beliau akan terus melibatkan diri dalam politik dan setia bersama UMNO.

Pada prosiding itu, Ahamad Kuris diwakili peguam Akbardin Abdul Kader manakala Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fariza Hamzah hadir bagi pihak pendakwaan.

http://mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2010/12/24/mstar_mahkamah/20101224171942&sec=mstar_mahkamah

5 penculik budak didakwa


SALAH seorang tertuduh diiring keluar dari Mahkamah Tinggi Melaka atas
tuduhan menculik budak berusia tujuh tahun semalam.


MELAKA - Angkara menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun bagi meminta wang tebusan, lima lelaki berhadapan dengan hukuman mati selepas mereka didakwa di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Lima tertuduh berkenaan ialah Mohd. Shahir Axma Ab. Rahim 27; Mohd. Khairul Faizi Mohd. Yassin, 27; Mohd. Fazali Ab. Kudus, 22; Syamsul Amin Razali, 27; dan Norman Mahat, 20.

Ketika pertuduhan dibacakan, kelima-lima tertuduh menganggukkan kepala tanda faham terhadap kes yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, kelima-lima tertuduh didakwa menculik Ahmad Shamil Azamiraib, 7, pada 31 Mei lalu di sebuah rumah di No. 24 Jalan Nirwana 4, Taman Nirwana Batang Tiga di sini pada pukul 3.30 petang.

Selain menculik mangsa itu, kelima-lima tertuduh kemudian meminta wang tebusan sebanyak RM120,000 daripada bapa mangsa Azamiraib Bakar, 43.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1225&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Mahasiswa pilih kerajaan adil, amanah


Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 24 Dis: Mahasiswa hanya memilih kerajaan yang adil dan amanah dalam pemerintahan serta tidak mengamalkan politik sempit dan bersifat perkauman, tegas Gerakan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

Setiausahanya, Mohd Ridzuan Othman berkata, mahasiswa sememangnya bersikap bebas dan sentiasa menilai kerajaan BN atau Pakatan Rakyat serta menjadi 'check and balance' kepada kedua-dua pihak.

"Tidak ada pertikaian jika seseorang mahasiswa itu menyokong kerajaan ataupun pembangkang kerana bukan agenda politik yang kita lihat tetapi kita menilai sejauh mana ketelusan, keadilan dan kesaksamaan yang dibawa oleh sesebuah parti dalam negara," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas nasihat Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir agar penuntut di institut pengajian tinggi (IPT) membuat perbandingan di antara kerajaan BN dan Pakatan rakyat serta tidak terpedaya dengan janji-janji Pakatan Rakyat kerana didakwa akan merugikan mereka.

SMM, katanya menganggap pandangan Muhkriz bahawa mahasiswa lebih cenderung menyokong pembangkang sebagai pendangan peribadi sebaliknya beliau berkata, mahasiswa merupakan '3 force' yang boleh menghukum mana-mana kerajaan yang gagal memerintah dengan baik melalui pilihan raya.

"Kenyataan Datuk Mukhriz memperlihatkan bahawa seluruh mahasiswa pro kepada pembangkang. Saya kira itu pandangan beliau sebagai seorang Menteri. Kita tidak mahu campur tangan terhadap kenyataan itu.

"Saya yakin dan percaya, ‘ketakutan’ yang dirasai oleh sesetengah pihak terhadap mahasiswa adalah pandangan sisi yang perlu dinilai sebaik mungkin.

"Mana-mana parti pun yang memerintah, tanggungjawab sebagai kerajaan adalah membantu rakyatnya. Jika parti itu tidak mampu menunaikan tanggungjawab, maka mahasiswa akan menghukum di dalam pilihanraya, berteraskan konsep Demokrasi Berparlimen," katanya.

Beliau turut menegaskan, kerajaan seharusnya memastikan kebajikan mahasiswa terjamin sebelum melabelkan mereka sebagai penyokong mana-mana parti.

"Tidak perlu melabelkan mahasiswa pro kerajaan atau pro pembangkang. Yang penting jika hak mahasiswa dijamin, jika mahasiswa diberikan ruang bebas berbicara dan melontarkan pendapat, jika AUKU tidak mengekang hidup mahasiswa, jika PTPTN tidak menyusahkan hidup mahasiswa dengan kadar faedah yang tinggi, saya yakin dan percaya mahasiswa sudah celik dan mampu berfikir siapa yang mereka perlu pilih untuk perjuangkan hak-hak mahasiswa ini," katanya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30009:mahasiswa-pilih-kerajaan-adil-amanah&catid=1:utama&Itemid=50

Makanan mamak naik harga


SEORANG pekerja restoran mamak di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur menebar roti canai yang harganya dijangka naik tahun depan.


KUALA LUMPUR - Di sebalik peningkatan kos sara hidup yang terus membebankan rakyat, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) mahu menaikkan harga semua makanan dan minuman yang dijual disemua restoran ahli persatuan itu mulai awal tahun depan.

Tindakan yang dilihat agak tergesa-gesa itu tanpa perlu melakukan rundingan dengan kerajaan jelas membuktikan bahawa persatuan tersebut mempunyai kuasa penuh untuk menaikkan harga setiap jenis makanan dan minuman di antara lima hingga 10 peratus.

Seperti biasa alasan yang diberikan oleh Presma untuk menjustifikasikan kenaikan harga itu ialah ahli-ahlinya yang kini seramai 2,700 orang sudah tidak lagi sanggup menanggung kos operasi berikutan kenaikan kos bahan mentah.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1225&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Program 100 Hari PR atasi 53 tahun BN

Muhayat Jasmin

ALOR SETAR, 24 Dis: Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Pusat, Mohd Firdaus Jaafar menyifatkan reaksi mengelabah para pemimpin Barisan Nasional (BN) terhadap janji pakatan rakyat sekiranya memerintah, khususnya Program 100 Hari kerana ia akan mengatasi pencapaian BN selama 53 tahun mentadbir negara.

Kata beliau, apa yang terkandung dalam 'Buku Jingga' PR adalah sesuatu yang diluar jangkauan BN sendiri, sebaliknya bagi PR ia adalah satu aspirasi yang akan menjadi realiti sekiranya berjaya menjadi pemerintah.

"Setelah 53 tahun memerintah BN tidak mampu untuk memberi apa yang tercatat dalam Program 100 Hari PR tersebut," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Jerai.

"Misalnya, pemberian imbuhan khas pendidikan kepada para guru dan pegawai pendidikan tidak dilakukan oleh BN. Tapi PR akan lakukan, ini sudah mencabar dasar yang selama ini BN amalkan.

"Malah imbuhan ini juga akan menelan belanja sebanyak RM3.2 bilion setahun. Ia lebih baik daripada menyalahgunakankan wang dengan penyelewengan, korupsi dan pembaziran melalui projek tidak berfaedah seperti diamalkan pemerintah ketika ini," kata beliau mengulas serangan bertali arus pemimpin BN terhadap janji PR melalui saluran media.

Sebelum ini PR mengeluarkan Buku Jingga yang mengariskan rancangan jangka pendek dan jangka panjang mentadbir negara sekiranya diberi peluang mengambil alih pemerintahan dalam pilihan raya akan datang.

Buku Jingga yang merupakan dasar bersama dipersetujui parti-parti dalam PR itu dikeluarkan melalui Konvensyen Ke-2 PR di Pulau Pinang pada 19 Disember lalu.

Antara yang menjadi perhatian, Buku Jingga itu turut mengariskan sepuluh perkara yang akan dilakukan oleh PR dalam tempoh 100 hari pertama memerintah, iaitu :

  1. Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.
  2. Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.
  3. Menghargai peranan guru sebagai pendidik bangsa dengan Menaikkan memperkenalkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang.
  4. Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.
  5. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
  6. Menyediakan perkhidmatan internet wifi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.
  7. Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannyakepada generasi kedua dan ketiga Felda.
  8. Menaikkan royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak kepada 20%.
  9. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memulihkan sistem kehakiman.
  10. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.

Mengulas lanjut, Firdaus berkata perancangan PR yang merangkumi pendidikan, ekonomi, pengurusan negara, merombak struktur subsidi dan menitiberatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat itu bukan satu pembohongan sepert dakwaan pemimpin BN.

"Kenapa BN mesti takut dengan cadangan PR sekiranya mereka benar-benar yakin bahawa rakyat sememangnya menyokong kepimpinan mereka. Apa yang jelas mereka gentar kerana Program 100 Hari tersebut mencabar kewibawaan dan kredibilit mereka," ujarnnya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30007:program-100-hari-pr-atasi-53-tahun-bn&catid=1:utama&Itemid=50

Melacur untuk beli susu anak

KUALA LUMPUR - "Sejak bercerai dua tahun lalu, saya mula melacur dan duit itu saya gunakan untuk beli susu anak dan belanja rumah."

Bukan itu sahaja, malah Nora 30-an (bukan nama sebenar) memberitahu, dia seronok dengan pekerjaan itu kerana mampu memperoleh pendapatan setaraf dengan gaji eksekutif iaitu kira-kira RM3,000 sebulan.

Ibu kepada dua anak berusia di antara tiga dan lima tahun mendakwa dia terjebak dengan aktiviti persundalan selepas bergaul dengan pelacur asing yang turut menjual diri di kaki lima bangunan Wisma Indah, Jalan Pudu di sini.

Wanita yang mempunyai paras sederhana itu memberitahu, dia tidak perlu bersusah payah bekerja mengikut masa seperti di pejabat atau kilang kerana waktu kerja terserah kepadanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1225&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

PAS: Kita sedia kenal siapa SPR

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 24 Dis: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 22 dan 30 Januari depan iaitu hari cuti sebagai tarikh penamaan dan pengundian bagi PRK Dun Tenang, jelas memperlihatkan sikap 'double standard' suruhanjaya itu.

Menurut Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa, SPR dilihat tidak konsisten apabila pada PRK Galas 4 November lalu, pengundian dibuat pada hari bukan cuti umum sehingga memaksa kerajaan negeri Kelantan pada waktu itu mengumumkan tarikh itu sebagai cuti peristiwa.

Katanya, apabila berdepan PRK di kerusi yang dikuasai Pakatan Rakyat, SPR dilihat cenderung mengadakan proses penamaan dan pengundian pada hari bekerja, sedangkan apabila di kerusi BN, tindakan sebaliknya dilakukan SPR.

"Kita dapat melihat dengan jelas perbezaan ini dan ini bukannya pelik dalam negara kita ini.

"Kita kenal siapa SPR ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Bachok.

SPR hari ini mengumumkan tarikh PRK Dun Tenang, Johor pada 30 Januari tahun depan manakala penamaan calon pula pada 22 Januari.

Walaupun berdepan situasi itu, Nasharuddin mahu jentera PAS berkerja bersungguh-sungguh bagi memenangkan calon PAS yang akan bertanding kelak.

Kepada jentera yang sudah mula menjalankan tugas, beliau mahu semua tenaga kerja yang ada dimobilisasi pada tahap terbaik berdepan Umno BN.

"Bagi kita cuti ke tak cuti ke, kita tetap masuk dengan niat untuk menang dengan memberi tentangan sehebat mungkin kepada lawan kita, BN," katanya lagi.

Beliau juga optimis PAS berpotensi menang apabila pada pilihan raya umum lalu mereka dapat mengurangkan majoriti kepada 2,492 undi berbanding sebelumnya.

"Kejayaan mengurangkan majoriti pada PRU lalu akan menjadi perangsang kepada PAS untuk menambah satu lagi kerusi di Johor nanti," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan PAS akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan isu PRK Tenang termasuk soal pemilihan calon.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30006:pas-kita-sedia-kenal-siapa-spr&catid=1:utama&Itemid=50

PMR: Maahad Muhammadi Perempuan catat 99%

Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 24 Dis: Maahad Muhammadi Perempuan (MMP) Yayasan Islam Kelantan (YIK) di sini memprolehi 99 peratus dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 berbanding 98 peratus pada 2009.

Pencapaian peratus kelulusan itu melepasi target pihak sekolah apabila seramai 109 pelajar mendapat ‘A’.

Pengetuanya, Ustaz Mohd Mansor Mohd Daud ketika mengumumkan keputusan Peperiksaan PMR 2010 memaklumkan pencapaian keputusan PMR 2010 meningkat berbanding 2009.

“Pencapaian pelajar mendapat ‘A’ juga meningkat kepada 26 peratus, seramai 109 pelajar berbanding pencapaian 2009, 24 peratus seramai 88 pelajar,” katanya kepada media di sini, semalam.

Beliau yang juga mantan Pengetua Maahad Tahfiz Wal-Qiraat Pulai Chondong itu memaklumkan, antara program dilaksanakan MMP dalam usaha mempertingkatkan kecemerlangan pelajar dalam Peperiksaan PMR membabitkan empat program khusus.

“Program yang menjadi factor kecemerlangan ini, selain daripada factor kesungguhan para pelajar berkenaan iaitu program dijalankan MMP membabitkan empat program khusus.

“Pertama, Program Imtiaz iaitu program diatur berftujuan untuk memilih pelajar cemerlang dan terbaik, manakala program kedua mewujudkan kumpulan dengan pencapaian 100 peratus mengikut target sekolah.

“Mengikut target kita, pencapaian pelajar dalam PMR bagi 2010 seramai 100 orang, namun pencapaian sebenar yang diperolehi 109 orang, alhamdulillah, melebihi target kita,” katanya.

Menurutnya, kumpulan ketiga ialah Kumpulan Lonjakan di mana golongan itu merupakan golongan pelajar pencapaian ‘pertengahan’ di mana (target) lonjakannya daripada ‘B’ dan ‘C’ kepada ‘A’.

Sementara golongan keempat ialah apa yang disebut sebagai ‘An-Nusrah’ iaitu golongan pelajar yang mencapaiannya (dalam Peperiksaan Percubaan PMR) adalah rendah.

Dengan erti bahawa target MMP ialah mahu ‘clear’ semua dengan kelulusan cemerlang.

“Semua mata pelajaran yang diambil pelajar tahun ini lulus 100 peratus, kecuali mata pelajaran Bahasa Arab apa hanya empat orang gagal.

“Dalam semua mata pelajaran peperiksaan PMR yang diambil pelajar seramai 410 orang, hanya tiga pelajar saja yang gagal mendapat ‘A’,” katanya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29999:pmr-maahad-muhammadi-perempuan-catat-99&catid=51:negeri-kelantan-darul-naim&Itemid=96

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...