KUALA LUMPUR, 24 Dis: Salahuddin Ayub kesal dengan tindakan  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang cepat mahu membuat rayuan  terhadap kes peguam kanan Rosli Dahlan.Salahudin  yang juga anggota jawatankuasa khas suruhanjaya itu berkata, SPRM sebaliknya  dilihat masih berdolak dalih untuk bertindak ke atas bekas Pengerusi eksekutif  MAS Tan Sri Tajudin Ramli berhubung kerugian syaraikat penerbangan  itu.
"Saya terkilan dengan kenyataan SPRM tersebut untuk merayu terhadap  kes En Rosli Dahlan kerana mereka tidak menunjukkan minat dan ketangkasan yang  sama keatas aduan MAS yang dibuat terhadap Tan Sri Tajudin Ramli berhubung  kerugian yang ditanggung MAS semasa diterajui oleh Tan Sri Tajudin. 
"Dalam skandal Sime Darby yang terkini, tindakan sivil dan jenayah telah  pun diambil tetapi Tan Sri Tajudin kelihatan kebal dari proses undang-undang.  Rakyat bertanya kenapa bagitu jadinya," katanya yang juga Naib Presiden  PAS.
Tambahnya lagi, umum mengetahui bahawa En Rosli Dahlan adalah peguam  MAS yang mengendalikan kes terhadap Tan Sri Tajudin Ramli. 
Juga umum  mengetahui bahawa En Rosli Dahlan dikenakan pertuduhan semasa mewakili Datuk  Ramli Yusuff, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan, yang telah  mengesyorkan kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi bahawa Tan Sri  Tajudin wajar dikenakan pendakwaan atas beberapa pertuduhan.
Pada 20  Disember lalu, Rosli bebas tanpa dipanggil membela diri selepas Mahkamah Sesyen  di sini memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap  kegagalannya mematuhi satu notis untuk mendedahkan segala maklumat mengenai  asetnya.
Hakim Abu Bakar Katar memutuskan bahawa notis yang  ditandatangani Timbalan Pendakwa Raya Kanan SPRM Anthony Kevin Morais gagal  membuktikan peguam itu merupakan seorang daripada sekutu bekas pengarah Jabatan  Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Ramli Yusof.
Beliau juga  memutuskan pendakwaan gagal untuk membuktikan bahawa Rosli secara sengaja gagal  memberi maklum balas terhadap notis yang dikeluarkan Morais.
Pada 12  Oktober, Rosli dihadapkan ke mahkamah kerana kerana dituduh gagal mematuhi notis  untuk mendedahkan segala maklumat berhubung harta miliknya dalam tempoh dua  bulan sebagaimana disyaratkan mengikut notis bertarikh 17 Julai, yang  kemudiannya dilanjutkan ke 16 Ogos, satu kesalahan mengikut Seksyen 32 (2) Akta  Pencegah Rasuah 1997.
Rosli, 46, rakan kongsi sebuah syarikat guaman  terkenal dan seorang rakan karib Ramli, pada hari tuduhan dibaca ke atasnya pada  12 Oktober, 2007 memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan terhadapnya sehari  sebelum Aidilfitri akan menyebabkan beliau menjadi bahan cemuhan jika ke masjid  esoknya untuk bersolat raya.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Zulqarnain  Hassan berkata beliau akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu. 
Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS itu berkata Rosli adalah peguam  Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) yang mengendalikan kes terhadap bekas  pengerusi eksekutifnya Tan Sri Tajudin Ramli.
"Hal ini lebih mengecewakan  kerana SPRM juga tidak menunjukkan sebaran reaksi terhadap pendedahan bahawa  Peguam Negara Tan Sri Gani Patail mempunyai hubungan mencurigakan dengan proksi  Tan Sri Tajudin Ramli, seorang yang dikenali sebagai Shahidan Shafie iaitu bekas  OKT dalam kes rasuah beberapa tahun dahulu.
"Hali ini telah pun  dibangkitkan oleh Tan Sri Robert Phang, seorang Ahli Lembaga Penasihat SPRM.  Tapi sehingga kini Peguam Negara masih membisu," kata Salahudin  lagi.
Beliau juga jelasnya terpanggil untuk merujuk kepada ucapan En  Rosli Dahlan bahawa dia dimangsakan kerana dikenakan pertuduhan lebih awal  sedangkan pada masa itu Ramli masih belum pun dituduh atas sebarang kesalahan.  
Dan kesudahannya ialah setelah Ramli dibebaskan, SPRM masih enggan  menarik balik pertuduhan terhadap En Rosli.
"Ini menunjukkan seolah-olah  terdapat elemen salah guna kuasa oleh pihak SPRM dan Peguam Negara.
"En  Rosli juga menuduh bahawa terdapat konspirasi membabitkan media arus perdana  dengan “rogue elements in the government” atau elemen bajingan dalam kerajaan.  Hali ini amatlah menggerunkan," katanya.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30014:salahudin-kesal-sprm-abai-kes-mas-cepat-kes-rosli-dahlan&catid=1:utama&Itemid=50
 
 
No comments:
Post a Comment