Tuesday, October 21, 2008

Muhd Taib: Sokong Tabung Azan

Oct 17, 08 10:44am
Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib mahu orang Melayu terutamanya di Selangor memberi sokongan padu kepada objektif penubuhan Tabung Azan yang dicetuskan oleh Umno bahagian Cheras, awal minggu ini.

Katanya, penubuhan Tabung Azan itu juga bukan bertujuan politik, sebaliknya bagi mengagungkan laungan azan secara lebih berkesan serta ia merupakan usaha murni dalam membantu masjid dan surau membeli peralatan pembesar suara dan keperluan lain yang berkaitan.

"Mengumandangkan azan adalah adalah satu perkara yang rapat dengan hati umat Islam dan orang Melayu.

"Marilah kita sama-sama memperkasakan perpaduan Melayu dan kedaulatan agama Islam kerana hanya dengan cara itu, Umno dan orang Melayu boleh kukuh dan maju di bawah naungan ajaran Islam," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Bernama, beliau mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai mengulas kenyataan beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat yang mendakwa kononnya Tabung Azan itu bermotifkan politik.

Beliau berkata tabung itu merupakan usaha murni dalam menentukan surau dan masjid dapat dilengkapi dengan peralatan pembesar suara azan yang lebih baik dan pada masa yang sama membela akhbar Utusan Malaysia yang menghadapi saman RM30 juta oleh Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok kerana akhbar itu merupakan wadah perjuangan orang Melayu di negara ini.

Muhammad berkata kutipan Tabung Azan itu akan dapat digunakan untuk melatih muazzin muda (tukang azan) untuk menjadi pelapis kepada pentadbir surau dan masjid yang ada.

Sehubungan itu, katanya, Umno tidak mahu pembangkang menjadikan kewujudan tabung ini sebagai satu polemik politik yang boleh menjejaskan akidah umat Islam di negara ini.

"Malahan kita ingin bertanya apakah pendidirian PAS dalam mempertahankan kebebasan azan dan kenapa PAS tidak menasihatkan, membidas atau memberi kata dua ke atas rakan mereka anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok dalam isu laungan azan di negeri Selangor," katanya,

Beliau juga menyoal pendirian PAS yang sentiasa mendakwa sebagai parti penjaga Islam tetapi berdiam diri apabila

http://www1.malaysiakini.com/news/91426

Syed Ali pertahan 'Tabung Azan'


Abdul Rahim Sabri Oct 16, 08 7:41pm

Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee menjelaskan bahawa antara tujuan utama penubuhan 'Tabung Azan' adalah untuk membiayai dan melatih muazzin (bilal) muda untuk melaungkan azan di surau dan masjid.

"Kita nak beritahu mereka (DAP) bahawa kita mampu membentuk dan melatih muazzin muda kerana kita rasa tercabar orang yang mempertikaikan laungan azan," kata Syed Ali ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan seorang wakil rakyat DAP yang menyifatkan tindakan Umno bahagian Cheras melancarkan 'Tabung Azan' sebagai satu gimik dan mendakwa Umno masih tidak putus asa untuk memainkan sentiman perkauman dan agama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku, Lau Weng San juga berkata tindakan menubuhkan tabung tersebut juga merupakan bukti terdapat segelintir anasir negatif dalam Umno yang masih ingin mewujudkan sesuatu yang telah terbukti tidak pernah berlaku.

Sebaliknya, kata Syed Ali, pihaknya rasa terpanggil dan rasa bertanggungjawab untuk membantu surau dan masjid menyediakan pembesar suara bagi melaungkan azan kerana ianya adalah sebahagian daripada syiar agama Islam.

"Kita nak cari duit. Kenapa nak laungkan azan tak boleh. Ini Malaysia, sebuah negara Islam.

"Dan kita nak naikkan semangat orang Islam," kata Syed Ali.

Tambah Syed Ali lagi, beliau mensasarkan untuk mengutip derma RM30 juta sebagai usaha untuk memberitahu DAP pihaknya mampu berbuat demikian.

"Untuk tunjuk kepada (ahli Parlimen Seputeh) Teresa (Kok), orang Melayu nampak kuat," jelas Syed Ali lagi.

Ekoran itu, katanya, wang yang terkumpul adalah untuk membeli peralatan surau dan pembesar suara serta diberikan di surau-surau.

Ditanya mengenai laporan sebelum ini menyebut penubuhan tabung itu juga bertujuan untuk membantu Utusan yang disaman oleh Teresa, beliau berkata sebarang sokongan terhadap tersebut adalah dalam bentuk sokongan moral.

Katanya ini kerana Utusan merupakan kumpulan media yang besar dan mampu menyediakan sumber kewangan sendiri untuk membela diri.

Menurut Syed Ali lagi, beliau berusaha untuk mencari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang boleh mentadbir dan menguruskan tabung tersebut bagi mencapai hasrat dan tujuan beliau tersebut.

http://www1.malaysiakini.com/news/91415

Dr M nafi dalang di belakang Najib

Oct 16, 08 7:02pm

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyangkal cakap-cakap yang beliau akan menjadi perdana menteri penasihat, memainkan peranan di belakang Datuk Seri Najib Tun Razak seperti didakwa oleh bekas
Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertangunggjawab bagi undang-undang Datuk Zaid Ibrahim.

Zaid juga menganggap yang kejatuhan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah hasil daripada angkara Dr Mahathir.

Menyifatkan cakap-cakap itu sebagai "benar-benar karut", Dr Mahathir berkata Najib ada pendirian sendiri dan tiada jaminan yang timbalan perdana menteri itu akan mendengar apa juga yang dikatakan oleh bekas perdana menteri itu, demikian menurut laporan Bernama.

"Saya juga fikir bahawa apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilantik (perdana menteri), beliau mungkin akan merundingi saya mengenai sesetengah isu, tetapi seperti yang anda lihat beliau tidak pernah meminta apa-apa pandangan daripada saya. Malahan, beliau mengubah semua yang saya telah lakukan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan umum di Universiti Teknologi Petronas, di Tronoh hari ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menafikan cakap-cakap bahawa Dr Mahathir adalah perancang utama dalam meningkatkan popularitinya dan Najib sebagai pemimpin masa depan negara.

"Saya tidak fikir anda perlu dalam apa cara pun keliru kerana anda lihat kami bersama (dengan Mahathir). Pada hakikatnya kami bertemu dalam sesetengah

majlis tidak bermakna ada perkembangan besar berlaku," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan dan Pelaburan Bersama Malaysia-Indonesia pertama di Tronoh semalam.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata terpulang kepada pucuk pimpinan parti Gerakan untuk membuat keputusan sama ada terus kekal bersama Barisan Nasional (BN) ataupun sebaliknya.

Beliau berkata parti itu mempunyai dua pilihan sekiranya memutuskan untuk keluar dari BN iaitu menyertai pembangkang ataupun menjadi sebuah parti bebas.

"Dalam parti lawan (pembangkang) dia (Gerakan) akan jadi rakan kongsi yang amat junior pasal dia tak kuat, dia cuma bergerak di Pulau Pinang sahaja. Kalau tidak dia boleh jadi parti bebas, parti bebas ni tidak ada apalah... tidak pernah boleh jadi kerajaan pun," katanya mengulas sikap pemimpin Gerakan yang terus-terusan membangkitkan soal ingin keluar dari BN.

Bagaimanapun Dr Mahathir berkata sekiranya Gerakan kekal dalam BN, setidak-tidaknya parti itu mempunyai peluang untuk mengambil bahagian dalam kerajaan.

"Itu terpulanglah kepada pemimpin Gerakan untuk pilih yang mana satu. Duduk dalam BN dan ada peluang jadi kerajaan ataupun jadi parti bebas ataupun masuk letak diri di bawah (Datuk Seri) Anwar Ibrahim (penasihat PKR) dan kena ikutlah Anwar Ibrahim. Pilihan di tangan mereka," katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/91412

'Dulu lebih keras, tiada kontroversi'

Muda Mohd Noor Oct 16, 08 6:39pm


Penulis puisi Ratu Anjing: Yang Melengking Itu (Panggak Binasa Terlajak Kata) yang disiarkan dalam Utusan Malaysia hari ini berkata, ia hanyalah sekadar peringatan umum supaya apa sahaja yang ingin dilakukan, hendaklah dilakukan dengan bijaksana dan penuh kematangan.

Dr Ibrahim Ghaffar, 59, berkata, orang yang bercakap, perlu waspada dan jangan sampai terlajak kerana ia boleh membawa binasa.

"Ia seperti kata pepatah Melayu 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa'.



"Ia hanyalah sebuah puisi umum dan tidak ditujukan kepada sesiapa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr Ibrahim yang juga bekas pensyarah sebuah universiti menegaskan, beliau tidak mempunyai ideologi politik dan oleh kerana itu, tidak mahu terbabit dengan sebarang kontroversi.

Katanya, puisi tersebut seharusnya tidak menimbulkan sebarang kontroversi kerana ia tidak ditujukan kepada mana-mana pihak dan individu.

Tiada kontroversi

"Beberapa puisi saya sebelum ini, tidak menjadi kontroversi, walaupun ia secara khusus ditujukan kepada pihak tertentu.

Dua puisi Sejarah Penubuhan UiTM dan Melayu Yang Terancam dan Monolog Sebuah Kemerdekaan, yang dihasilkannya lima tahun lepas, "jauh lebih keras tetapi tidak menimbulkan kontroversi" orang ramai.

Bagaimanapun, tambahnya, polis memanggilnya untuk memberi penjelasan mengenai kedua-dua puisi tersebut selepas ia diterbitkan.

Puisi pertama penyajak mapan ini bertajuk Pulau diterbitkan pada 1969.

Sekarang beliau merupakan ahli jawatankuasa (AJK) Persatuan Penulis Nasional (Pena) sejak 10 tahun lalu.

"Sebagai seorang penulis saya bebas memberi pandangan dan membuat teguran secara jujur," katanya.

Jelas maksud 'Kok'

"Puisi Ratu Anjing: Yang Melengking Itu (Panggak Binasa Terlajak Kata) saya hasilkan daripada pembacaan, telaah dan pemerhatian keadaan sekeliling daripada apa yang telah berlaku.

"Dan saya serahkan kepada umum untuk menilai puisi tersebut."

Ketika ditanya maksud kok dalam pusinya itu, Dr Ibrahim berkata, ia peribahasa atau pepatah bahasa Minangkabau yang bermaksud "kalau, kalau-kalau atau takut-takut".

Katanya, kok dalam rangkap terakhir puisinya itu untuk menegaskan maksud "rasa hairan, marah dan lain-lain".

"Contoh ayat (penggunaan kata kok) kok masih pakai celana yang koyak-koyak?" katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/91409

Zaki dicalon sebagai ketua hakim negara

Kabilan Oct 16, 08 6:05pm
Majlis Raja-Raja Melayu hari ini memutuskan untuk mencalonkan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zaki Azmi sebagai ketua hakim negara yang baru untuk menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Mohamad yang akan bersara.


Keputan tersebut dibuat hari ini dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung di Kuala Terengganu hari ini, demikian sumber-sumber memberitahu Malaysiakini.

Abdul Hamid akan bersara esok dan Zaki, yang terkanan dalam badan kehakiman, akan dilantik memegang jawatan tersebut.

Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Majlis Raja-Raja melantik ketua hakim negara atas nasihat perdana menteri.

Perlantikan tersebut, yang belum dimumkan secara rasmi, dijangka mencetuskan kontroversi ekoran kaitan Zaki sebelum ini dengan Umno.

Beliau hanya dilantik ke Mahkamah Persekutuan September lalu dan dua bulan kemudiannya, dilantik sebagai presiden Mahkamah Rayuan.

Zaki kini berusia 63 tahun dan akan memegang jawatan tersebut sekurang-kurangnya selama tiga tahun kecuali perkhidmatannya dilanjutkan oleh kerajaan.

Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini bahawa pelantikan tersebut dibincangkan dalam mesyuarat hari, yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan semua menteri besar dan ketua menteri.

http://www1.malaysiakini.com/news/91404

Kenyataan khas Majlis Raja-Raja Melayu

Oct 16, 08 6:25pm

Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-215 yang berlangsung di Istana Maziah di Kuala Terengganu hari ini mengeluarkan satu kenyataan akhbar khas berhubung beberapa perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mesyuarat dua hari itu yang berakhir hari ini dipengerusikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Berikut adalah salinan penuh kenyataan akhbar khas berkenaan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah hari ini.

"Kenyataan akbar yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Mengenai Peranan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja Melayu, Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagan Persekutuan.

"Raja-Raja Melayu yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah berunding mengeluarkan kenyataan akhbar khas bersama pada hari ini.

"Raja-Raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, melindungi Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

"Tindakan pihak-pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan telah menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat.

Sebagai tindakbalas, beberapa pihak terutama pemimpin-pemimpin Melayu sama ada yang berada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan telah menyuarakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan dan menganjurkan forum-forum berkenaan.

"Antara sebab-sebab yang dikenalpasti berlakunya perkara ini ialah kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakang sejarah mengapa peruntukan-peruntukan tersebut dimaktubkan dalam Perlembangaan Persekutuan dan pengaruh prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini. Kepentingan politik sempit juga merupakan penyebab berlakunya perkara ini.

"Gejala ini jika tidak ditangani dengan segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara.

"Justeru, adalah perlu Majlis Raja-raja menegaskan dan memperingatkan semua pihak tentang peruntukan-peruntukan perlembagaan tersebut di samping memberi penekanan tentang jaminan perlindungan hak-hak sah kaum lain. Perlu ditegaskan bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah melalui proses perbincangan pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya bagi apa yang telah diperjuangkan, diperbincangkan, dipertimbangkan, dimanfaatkan serta dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat, sehingga wujudnya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai Social Contract.

Social Contract ini tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia. Untuk itu Raja-Raja Melayu wajar mempertingkatkan supaya isu berkaitan Social Contract tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.

"Sesungguhnya, angkatan pemimpin di era pra kemerdekaan, berfikiran dalam berpandangan jauh. Raja-Raja Melayu telah dibawa bersama semasa rundingan menuntut kemerdekaan. Institusi Raja dikekalkan dan dimaktubkan secara perundangan dalam Perlembagaan Malaysia Merdeka. Institusi raja diberikan kemuliaan, ditempatkan di puncak Kerajaan, sebagai Ketua Negara dan Ketua Negeri, laksana payung pelindung, menjamin berlakunya kesaksamaan di kalangan warga. Institusi Raja Berperanan sebagai faktor penyemak dan pengimbang, untuk merungkai sebarang kekusutan, sekiranya berlaku.

"Majlis Raja-Raja juga membuat seruan kepada orang Melayu supaya bersatu-padu untuk mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, melindungi agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Penekanan juga perlu dibuat bahawa agenda ini adalah lebih penting dan utama dari kepentingan politik atau kelompok.

"Kaum bukan Melayu tidak perlu merasa khuatir dan bimbang tentang hak-hak sah mereka kerana hak-hak tersebut telah dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri-negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

"Adalah diharapkan dengan penegasan tersebut, segala kekeliruan berhubung dengan perkara ini di kalangan rakyat jelata dapat dibendung dan suatu suasana yang harmoni, aman dan sikap saling hormat menghormati di kalangan rakyat dapat terus diwujudkan demi menjaga ketenteraman negara."

Kesemua Sultan dan Yang Dipertua Negeri menghadiri mesyuarat itu kecuali Pahang, Johor, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan.

Sultan Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Sultan Johor diwakili Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dan Sultan Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Negeri Sembilan diwakili Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Ja’afar dan Perlis diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Turut hadir menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri kecuali Sarawak yang diwakili Menteri II Perancangan dan Pengurusan Sumber Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah berkata, perkara-perkara berkaitan pertahanan, keselamatan, kedudukan ekonomi negara, Biasiswa Yang diPertuan Agong termasuk cadangan pelantikan Ketua Hakim Negara Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya telah dibincangkan dalam mesyuarat itu.

http://www1.malaysiakini.com/news/91407

2 pelajar cemerlang UPM dibuang kolej

Jimadie Shah Othman Oct 16, 08 4:32pm

kemaskini 8:19pm Dua pelajar cemerlang Universiti Putra Malaysia (UPM) dibuang daripada kolej kediaman kira-kira seminggu sebelum peperiksaan akhir semester bermula.

Pelajar wanita, kedua-duanya mencapai keputusan CGPA 3.5 mata, diarahkan meninggalkan Kolej Tun Perak mulai semalam, sehari selepas notis rasmi dikeluarkan.

Mereka menganggotai Kelab al-Biruni UPM, sebuah kumpulan rasmi pelajar cemerlang. Peperiksaan akhir mereka bermula Selasa depan.

UPM menyatakan, kedua-duanya berada di kolej itu "secara tidak sah" dan "tanpa pengetahuan pihak pengurusan kolej".

Mereka berdua, seorang daripadanya exco Persatuan Mahasiswa Islam UPM, diarahkan mengosongkan bilik kediaman mereka di Blok Lekir mulai 10 pagi.

"Jika saudari mengingkari arahan ini, saudari boleh boleh dikenakan tindakan tatatertib dan pihak kolej berhak menyita barang-barang di dalam bilik tersebut," surat pengetua kolej berkenaan Prof Madya Dr Jasni Sabri bertarikh 14 Oktober dipetik.

Malaysiakini belum berjaya mendapatkan reaksi pihak kolej dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti itu.

Difahamkan, kedua-duanya menetap di kolej itu sejak awal semester ini setelah pengurusan kolej meluluskan permohonan mereka.

Pada asalnya, nama mereka tidak tersenarai sebagai penghuni kolej itu semasa pendaftaran semester ini, awal Julai lalu, walaupun dimaklumkan mendapat tempat seminggu sebelumnya.

Hasil perbincangan dengan pentadbiran kolej, mereka akhirnya dibenarkan tinggal.

Namun, Jumaat minggu lepas, selepas menginap lebih tiga bulan di asrama berkenaan, pintu bilik mereka telah "disita" oleh pengurusan kolej tanpa sebarang notis rasmi.

Borang permohonan Mahasiswa Luar kampus (MLK) turut diselitkan bagi menyatakan mereka harus mencari kediaman di luar UPM.

Mereka bagaimanapun tidak mengisi borang itu kerana tidak berminat berbuat demikian.

Kedua-dua pelajar perempuan itu kini menumpang di sebuah rumah rakan di Seri Serdang.

Sewaktu memindahkan barang-barang mereka, seorang pegawai HEP didakwa memperlekehkan kedua-duanya dengan berkata "tidak guna bersembahyang jika tidak membayar yuran kolej."

Sejurus kemudian, selepas menyemak status pembayaran yuran kediaman mereka dengan Pejabat Bendahari, kedua-dua terkejut apabila didapati pembayaran telah dibuat pada 10 Julai lalu, sewaktu mereka mula menetap di kolej tersebut, tetapi dibatalkan keesokannya tanpa pengetahuan mereka.

Sumber-sumber memberitahu lagi, ketika kedua-duanya mengangkut keluar barang-barang milik mereka, beberapa anggota 'Geng Harimau Maut' dan kakitangan HEP berada di tempat kejadian.

'Geng Harimau Maut' gelaran bagi sekumpulan pelajar UPM yang didakwa sering membuat kacau di universiti itu menjelang dan semasa pilihanraya kampus.

Universiti itu dijangka mengadakan pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar awal tahun depan.

Lebih kurang lima anggota 'Geng Harimau Maut' didakwa hendak memberi tekanan kepada dua pelajar wanita tersebut.

http://www1.malaysiakini.com/news/91397

DAP pertikaikan puisi 'ratu anjing'

Oct 16, 08 4:23pm


Minggu ini sastera menjadi bahan perbincangan politik yang panas. Selepas cerpen dipertikaikan di Dewan Rakyat, hari ini puisi menjadi topik perbahasan seorang lagi wakil rakyat DAP.

Tokoh utamanya Lim Kit Siang mengecam 'Politik baru YB J' karya Datuk Chamil Wariya kelmarin, sementara wakil Segambut, Lip Lim Eng mempertikaikan puisi 'Ratu Anjing; Yang Melengking Itu' seperti diterbitkan di Utusan Malaysia hari ini.

Lip menganggap sajak itu berkaitan dengan wakil rakyat Seputeh, Teresa Kok, yang dituduh membangkitkan isu azan dan sensitiviti orang Islam - walaupun ahli parlimen itu menafikannya.

Selepas bebas daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hujung minggu lalu, kenyataan Teresa yang menyamakan makanan dalam tahanan seumpama "makanan anjing" menjadi kontroversi lagi.

Puisi lima rangkap itu dianggap kontroversi di beberapa bahagian kerana dipercayai mengupas persoalan semasa.



Antaranya di ketiga dan terakhir:

Suci suatu subuh itu terganggu,
salak anjing antara azan yang syahdu,
melihat kelibat siluman dan hantu,
tawakal muazin menuju nawaitu,
tertip titipan taqwa pada yang satu,
biarkan ratu anjing itu menyalak waktu,
bukit bukau tetap jitu,
gunung-ganang tetap padu,
manusia perlu berakal dan berilmu,

(ketiga)

Kok anjing biar menyalak,
kok bukit biar berpuncak,
kok terasa menyelar bijak,
bumi juga tempat berpijak,
padah kita bila kata terlajak.

(terakhir)

Menurut akhbar berkenaan, ia disiapkan pada 22 September lalu, dua hari sebelum Teresa, yang juga exco kanan kerajaan dibebaskan daripada tahanan ISA.

Sajak karya Dr Ibrahim Ghaffar itu asalnya dibacakan di majlis baca puisi Persatuan Penulis Nasional (Pena)-Dewan Sastera baru-baru ini.

Dalam penjelasannya kepada Malaysiakini hari ini, beliau berkata, karyanya itu hanyalah sekadar peringatan umum agar seseorang yang ingin berbuat sesuatu hendaklah bertindak dengan bijaksana dan penuh kematangan.

Dr Ibrahim menambah, seseorang yang bercakap perlu berwaspada dan jangan sampai terlajak kata kerana ia boleh membawa mudarat.

"Ia seperti kata pepatah Melayu 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa'.

"Ia hanyalah sebuah puisi umum dan tidak ditujukan kepada sesiapa," katanya.

DAP dijangka melaporkan puisi ini kepada polis esok.

Hari ini parti itu membawa cerpen tersebut, yang mengisahkan seorang wakil rakyat wanita Cina mati ditembak, kepada polis.


http://www1.malaysiakini.com/news/91395

BPR digesa siasat isu bank, helikopter


Oct 16, 08 2:35pm
Gerak Rakyat Anti Korupsi (Gerak Malaysia) menggesa campur tangan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dalam kes melibatkan pengambilalihan Bank International Indonesia (BII) oleh Maybank dan juga perolehan helikopter terbaru Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Eurocopter.

"Gerak juga menyokong sekiranya Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ingin menyiasat berkaitan pembelain yang meragukan tersebut," kata Pengerusinya, Mohd Nazree Mohd Yunus.

Katanya, kes tersebut memerlukan penelitian di peringkat BPR dengan melakukan siasatan terperinci.

"BPR wajib mengeluarkan kenyataan dan laporan lengkap berkaitan perkara itu," kata Nazree dalam satu kenyataan hari ini.

"Harapan rakyat ialah BPR bukan sahaja berani menerima laporan, bahkan BPR juga berani mendedahkan laporan kes yang jelas terbukti melibatkan rasuah dan penyelewengannya," katanya.

Katanya rakyat sudah jemu dengan sekadar mendengar berita rasuah dilaporkan kepada BPR, tetapi tiada tindakan yang konkrit dan memberangsangkan.

"Namun, usaha BPR sejak akhir-akhir ini menunjukkan ada usaha serius untuk menangani rasuah," katanya.

Bentuk nilai integriti

Nazree berkata, Gerak berpandangan bahawa usaha BPR itu wajar diteruskan dengan penuh komitmen yang konsisten serta bersifat bebas dan adil.

"Gerak juga menggesda penglibatan orang ramai dan rakyat dalam melaporkan apa jua isu dan kes yang melibatkan rasuah dan penyelewengan.

"Usaha ini penting bagi membentuk nilai integriti dalam masyarat dan kepimpinan Malaysia," tambahnya.

Dalam perkembangan yang lain, Nazree berkata, Gerak juga bersetuju dengan usaha perdana menteri untuk membentang tiga rang undang-undang suruhanjaya di Parlimen pada Disember dan Februari depan.

"Tiga rang undang-undang berkaitan penubuhan suruhanjaya pelantikan hakim pencegahan rasuah dan aduan khas adalah sangat perlu bagi menyediakan mekanisme bersifat undang-undang yang boleh memberi ruang untuk keadilan dan integriti dibina dalam negara kita," katanya.

Sehubungan itu, katanya, Gerak berharap pihak pembangkang juga akan mengambil bahagian membahaskan rang undang-undang tiga suruhanjaya tersebut.

Katanya, ini kerana ia harus dilihat sebagai usaha yang membawa erti kepada maslahat, pembelaan dan keadilan untuk rakyat.

http://www1.malaysiakini.com/news/91375

DAP: Cerpen Chamil teruk daripada ISA

Jimadie Shah Othman Oct 16, 08 2:22pm

DAP membuat laporan polis berhubung cerpen kontroversi Datuk Chamil Wariya, mengisahkan pembunuhan seorang wakil rakyat wanita Cina, yang dikaitkan dengan ahli parlimen popular partinya Teresa Kok.

Cerpen dalam Mingguan Malaysia baru-baru ini "satu bentuk keganasan politik" kerana "meletakkan undang-undang di tangan sendiri", kata timbalan ketua Pemuda DAP Chong Chieng Jen sebelum masuk ke ibu pejabat polis daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur tengah hari ini.

'Politik baru YB J' itu juga disifatkannya, juga ahli parlimen Bandar Kuching, lebih buruk daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Kalau kamu tanya saya, apa lebih buruk daripada ISA, sebelum saya membaca cerita ini saya tidak tahu.

"ISA undang-undang yang sangat buruk. Tetapi cerpen ini lebih teruk daripada ISA," katanya.

"Kamu meletakkan undang-undang dalam tangan sendiri. Cerita ini berakhir dengan mesej itu (pembunuhan ahli politik)."

Cerpen Chamil itu (foto) yang terbit Ahad lepas, tambahnya, menggalakkan tindakan seumpama itu.

Chong turut membacakan perenggan terakhir cerpen tersebut yang berbunyi:

"YB Josephine adalah ancaman terhadap keharmonian. Lebih baik riwayatnya ditamatkan supaya masyarakat berbilang kaum boleh tinggal aman damai di negara bertuah ini. Saya berkorban untuk masa depan."

Ditemani dua lagi wakil rakyat DAP Lip Lim Eng (Segambut) dan Teo Ning Ching (Serdang), Chong mencabar BN membuat pendirian berhubung cerpen itu dan bukannya mengelak daripada menyatakan pendirian.

“Semalam ahli parlimen Muar (Razali Ibrahim), dalam Dewan Rakyat, mengelak daripada persoalan sebenar dan tidak memberikan jawapan yang jelas,” katanya.

Tambahnya, walaupun cerpen itu tidak menyebut nama Teresa secara langsung, tetapi berdasarkan senario politik semasa, ia senang dikaitkan dengan ahli parlimen Seputeh itu, yang juga exco kanan kerajaan Selangor.


Ditanya sebab beliau membuat laporan terhadap pengarangnya dan penerbit akhbar itu Utusan Melayu Bhd, beliau berkata, mesej yang disampaikan dalam cerpen itu “tidak sihat”.

Diminta mengulas sama ada tindakannya bertentangan dengan sikap DAP pada 1999 yang senyap berhubung penerbitan novel kontroversi Shit, karya Sasterawan Negara Datuk Shahnon Ahmad yang mencerca perdana menteri ketika itu, Chong berkata:

“Saya tidak ada dalam senario politik ketika itu. Saya tidak boleh menjawabnya.”

http://www1.malaysiakini.com/news/91376

27 ditahan, halang Kg Plentong Tengah diroboh


Abdul Rahim Sabri Oct 16, 08 11:51am


kemaskini 8.00pm Kesemua 27 yang ditahan kerana menghalang kerja-kerja perobohan Kampung Baru Plentong Tengah di Johor Bahru dibebaskan awal malam ini.

Mereka, termasuk seorang pemimpin PAS Johor dan aktivis hak asasi, dibebaskan dengan jaminan RM1,000 setiap seorang.

Mereka diarahkan melaporkan diri di balai polis Johor Jaya - tempat mereka ditahan sejak pagi tadi - pada 30 Oktober depan jam 8 pagi.

Ketika mengesahkan perkara itu, setiausaha jawatankuasa bertindak penduduk terbabit, Taslim Nani berkata, beliau fahamkan lima orang peguam telah dilantik untuk membela mereka.

Beliau juga merupakan salah seorang mereka yang ditahan pagi tadi kerana cuba menghalang tindakan merobohkan kawasan setinggan tersebut.


Mereka - termasuk tiga wanita - ditangkap sewaktu mengadakan benteng manusia di jalan masuk ke kampung itu dengan memegang tangan antara satu sama lain.

Kira-kira 500 penduduk membantah usaha perobohan itu.

Ahli jawatankuasa badan perhubungan PAS negeri Syed Othman Syed Abdullah turut dibawa ke balai polis berkenaan.

Dalam kejadian tersebut, pengerusi jawatankuasa itu Jameon Abdullah pengsan sewaktu ditahan, dipercayai akibat pergelutan dengan pihak berkuasa.

Sebelum ini, Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hassan Karim memberitahu, Jameon dikatakan dirempuh oleh anggota polis, sebelum rebah dan pengsan.

Katanya, beliau difahamkan Jameon yang juga imam masjid di kampung tersebut, telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

Menurutnya lagi, kerja-kerja merobohkan rumah-rumah di situ dihentikan oleh pihak pemaju pada kira-kira jam 2.50 petang tadi setelah dimulakan kira-kira jam 10 pagi.

Pemaju kawasan itu Bukit Lenang Sdn Bhd merobohkan perkampungan itu selepas mendapat perintah mahkamah.




Hassan yang juga bertindak sebagai peguam kumpulan penduduk itu, rundingan sedang dibuat antara penduduk dengan pemaju tersebut dan 291 buah dijangka tidak akan dirobohkan.

Tambahnya, beberapa rumah yang dirobohkan, setakat ini, tidak berpenghuni.

Menurut seorang penduduk, kira-kira 100 anggota polis Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan 200 lagi anggota polis termasuk yang berpakaian biasa hadir di kawasan itu yang sedang dirobohkan.

Kampung Baru Plentong Tengah, seluas 113 ekar, dipercayai mula dibangunkan antara 25 hingga 30 tahun lalu. Ia didiami lebih 2,000 orang, sebahagian besarnya Melayu, dengan 310 buah rumah.

http://www1.malaysiakini.com/news/91355

Chua kesal permainan politik akhbar milik MCA


Oct 15, 08 5:36pm

Calon presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng hari ini mengecam akhbar harian berbahasa Inggeris - The Star milik parti itu - kerana didakwa cuba mencemarkan namanya menjelang pemilihan parti itu Sabtu ini.

Chua berkata, beliau kesal dengan sikap akhbar itu "yang secara terang-terang cuba mencemarkan seorang calon yang tidak sealiran dengan pemimpin politiknya".

"Reporter dan pihak editorial anda berusaha bersungguh-sungguh untuk 'menyumbat' perkataan ke mulut saya dan untuk memaparkan saya sebagai seorang yang gila kuasa," kata Chua dalam suara terbukanya kepada ketua pengarang akhbar the Star, Datuk Wong Chun Wai. [Klik untuk baca]

Dalam laporannya pada 11 Oktober lalu, akhbar tersebut memetik Chua sebagai berkata akan mengorbankan sesetengah rakannya supaya beliau boleh dilantik menganggotai kabinet sekiranya dipilih sebagai presiden.

"Saya ingin tegaskan dengan sejelas-jelasnya. Saya tidak pernah membuat kenyataan (mengenai) pengorbanan tersebut," kata Chua dalam suratnya itu.

"Akhbar anda sepatutnya membuat permohonan maaf kerana menyumbat perkataan ke mulut saya," tambahnya.

Chua menegaskan bahawa akhbar berkenaan juga gagal menyiarkan permohonan maaf berhubung perkara tersebut walaupun Wong telah bersetuju untuk berbuat demikian.


"Bagaimanapun saya kesal kerana pada 12 Oktober, anda telah menyiarkan satu artikel yang menyebut saya mendakwa kenyataan saya itu telah dipetik di luar kontak," kata bekas naib presiden MCA itu.

Dalam suratnya itu, Chua juga menjelaskan bahawa presiden MCA mempunyai budibicara untuk mengemukakan senarai nama calon menteri dan timbalan menteri dari parti itu kepada perdana menteri.

"Ini tidak menjadikan presiden MCA tu seorang yang gila kuasa," katanya.

Rakaman video

Chua juga berkata, pasukan kempennya memang menyedari sikap berat sebelah akhbar tersebut, dan oleh itu telah merakamkan temubual itu bagi memastikan'kejujuran' akhbar berkenaan.

"Rakaman video itu akan menunjukkan bagaimana wartawan berkenaan berusaha untuk memaparkan saya sebagai seorang yang gila kuasa, tetapi sebaliknya telah diberi pengajaran percuma mengenai proses politik Malaysia," katanya.

Chua berkata, beliau telah memuat-naik rakaman video tersebut dalam YouTube "untuk ditonton oleh semua rakyat Malaysia".

"Saya pasti ramai rakyat Malaysia yang berkongsi kekesalan saya terhadap kurangnya integriti kewartawanannya yang ditunjukkan oleh akhbar anda," katanya dalam surat satu halaman itu.

Sementara itu, ketika dihubungi, Wong berkata, akhbarnya telah menyiarkan satu penjelasan mengenai perkara itu, yang dianggapkan sudah mencukupi.

Chua akan berdepan dengan seorang lagi naib presiden, Datuk Ong Tee Keat untuk merebut jawatan presiden MCA Sabtu ini.

Beliau dianggap sebagai 'orang luar' berbanding dengan Ong yang mendapat sokongan presiden sekarang, Ong Ka Ting yang tidak akan mempertahankan jawatannya.



Adun DAP dakwa 'Tabung Azan' satu gimik

Oct 15, 08 3:39pm



Seorang waki rakyat DAP hari ini menyifatkan tindakan Umno bahagian Cheras melancarkan 'Tabung Azan' sebagai satu gimik dan mendakwa, sekali lagi menunjukkan Umno masih tidak putus asa untuk memainkan sentiman perkauman dan agama.

"Tindakan menubuhkan tabung tersebut juga merupakan bukti bahawa terdapat segelintir anasir-anasir negatif dalam Umno yang masih ingin mewujudkan sesuatu yang telah terbukti tidak pernah berlaku," ," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku, Lau Weng San.

Pada 12 Oktober lalu, Utusan Online melaporkan Umno bahagian Cheras telah melancarkan Tabung Azan pada 12 Oktober lalu, untuk membantu akhbar Utusan Malaysia yang disaman RM30 juta oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.


Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee dilaporkan berkata, tabung itu akan menjadi badan induk yang mengumpul hasil kutipan dari Umno bahagian lain dan badan-badan korporat.

Bercakap selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian berkenaan pada hari yang sama, Syed Ali berkata kutipan tabung itu juga akan digunakan untuk membantu masjid-masjid membeli peralatan pembesar suara selain keperluan lain yang berkaitan.

Sehubungan itu, Lau bertanya sama ada langkah menubuhkan tabung tersebut menunjukkan Umno di belakang seluruh sendiwara yang menurutnya, bukan sahaja menyebabkan ahli Parlimen Seputeh ditahan selama tujuh hari di bawah ISA tetapi juga menyebabkan keselamatan nyawa ahli keluarganya terancam.

Katanya, kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar merupakan hak asasi manusia dalam dunia moden dan "ianya harus dipraktis dengan bertanggungjawab, iaitu kenyataan seseorang itu harus berpandukan kepada kebenaran dan kenyataan.

Menuntut keadilan

"Hal ini juga demikian, khususnya untuk ahli politik dan para wartawan. Seseorang wartawan atau media yang melaporkan sesuatu yang tidak benar, berunsurkan fitnah, harus ditegur, apatah lagi laporan itu tidak berasas dan merupakan cerita rekaan semata-mata," katanya.

Lau berkata, mangsa-mangsa kepada laporan yang tidak benar itu mempunyai hak untuk menuntut keadilan melalui mahkamah.

"Biarpun begitu, kesilapan itu harus diperbetulkan terlebih dahulu tanpa sebarang tindakan perundangan diambil terhadapnya jikalau ianya adalah tidak disengajakan.

"Hak untuk menegur juga merupakan sebahagian daripada pelaksanaan hak bersuara. Lebih-lebih dalam kes ini, pelbagai peluang telah diberi untuk Utusan memberi penjelasan," katanya.

Bagaimanapun, kata Lau media arus perdana itu terus membisu, menyebabkan Teresa yang didakwanya menjadi mangsa fitnah akhbar tersebut, terpaksa menuntut keadilan melalui mahkamah.

Menurut Lau lagi, itupun belum tentu dapat menentukan Utusan Malaysia telah membuat kesalahan kerana akhbar itu masih dikira tidak bersalah sehingga terbukti bersalah di mahkamah.

"Jikalau Umno Cheras percaya kepada kebebasan media dan kebebasan bersuara, mengapa tabung itu tidak dinamakan sebagai 'Tabung Utusan Malaysia' tetapi diberi nama 'Tabung Azan'" tambahnya.

http://www1.malaysiakini.com/news/91309

Dinsman: Cerpen kontroversi Chamil 'berjaya'


Jimadie Shah Othman Oct 15, 08 1:03pm
kemaskini 8:04pm Cerpen 'Politik baru YB J', yang menggambarkan seorang wakil rakyat wanita mati ditembak di atas pentas, disifatkan sebuah "cerpen yang berjaya" sehingga menjadi topik perbahasan di Parlimen, kata budayawan terkenal Dinsman.

"Kita lihat, orang yang tidak pernah bercakap tentang cerpen pun bercakap tentangnya. Daripada aspek ini, saya fikir berjayalah cerpen itu," kata penulis kolum Harakah itu.

Dinsman atau nama sebenarnya Che Shamsudin Othman (kanan) berkata, sesebuah cerpen memang menggambarkan pendirian penulisnya tetapi kebebasan berkarya harus dihormati oleh semua pihak.

"Tidak perlu ambil tindakan selagi ia dalam kategori fiksyen," katanya, yang juga presiden Seniman Paksi Rakyat (Paksi), perkumpulan yang menghimpunkan seniman pro-Gerakan Reformasi.

Mengulas sama ada jalan cerita di penghujung cerpen itu keterlaluan kerana menyarankan pembunuhan, Dinsman berkata, beliau sendiri pernah "membunuh" watak presiden Amerika Syarikat, Goerge W Bush dalam sebuah dramanya 'Tamu dari Medan Perang'.

"Tetapi orang tahu, (pembunuhan) itu tidak boleh berlaku," katanya.


Beliau diminta mengulas karya bekas pengarang kanan Utusan Malaysia yang didakwa berkaitan dengan ahli parlimen DAP Teresa Kok.

Dalam cerpen Datuk Chamil Wariya (kiri) yang terbit di Mingguan Malaysia baru-baru ini, wakil rakyat Cina bernama Josephine dianggap seorang yang anti-Melayu dan anti-Islam pada pandangan parti orang Melayu (POM).

Tokoh utama DAP Lim Kit Siang semalam membidas pengarangnya dan akhbar berkenaan berhubung perkara itu dalam ucapannya di Dewan Rakyat.

"Saya bertanya, apakah reaksi wakil-wakil rakyat Umno dan BN jika perdana menteri atau timbalannya menjadi sasaran seumpama Teresa dalam satu cerpen tidak bertanggungjawab seperti karya Chamil," kata ahli parlimen Ipoh Timur di blognya.

Teresa (kanan), yang juga anggota exco kanan kerajaan Selangor, enggan mengulas cerpen itu dengan alasan beliau telah menfailkan saman terhadap penerbitnya Utusan Melayu Bhd berhubung laporan yang mendakwa beliau mempertikaikan azan, bulan lepas.

Pemuda DAP akan membuat aduan polis terhadap cerpen ini di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur tengah hari esok.

Diminta mengulas 'Politik baru YB J', pengarah filem terkenal Amir Muhammad pula menyifatkan karya itu "fasis" dan "kesasteraan yang menyebarkan kebencian".

"Ia amat kasar dan menganggap pembaca bodoh," katanya kepada Malaysiakini.

Pengarah dua dokumentari yang pernah diharamkan Lelaki Komunis Terakhir dan Apa Khabar Orang Kampung bagaimanapun berkata, cerpen yang kasar dan tidak menghormati tingkat intelektual pembaca sudah lama menjadi trend dalam kesasteraan Melayu.

Cerpen sebegini, tambahnya, bukan saja termuat dalam Utusan Malaysia tetapi juga dalam akhbar-akhbar pro-pembangkang.

Diminta mengulas reaksi pihak yang tidak selesa dengan cerpen Chamil itu, Amir (kiri) berkata: "Kalau tidak setuju, boikotlah."

Pengulas isu-isu seni budaya Hasmi Hashim juga bersetuju dengan saranan agar orang ramai memboikot akhbar itu.

"Provokasi terhadap isu-isu perkauman, apa jua tajuknya, tidak boleh diterima," katanya, sambil menambah kebebasan yang diberikan dalam cereka mesti datang dengan tanggungjawab.

"Bukan soal hak menulis, tetapi api perkauman yang keterlaluan. Provokasi, walau apa pun, tidak boleh dipertahankan," katanya, yang juga ketua penerangan PKR Johor.

Mengulas isu kebebasan kreatif dalam cerpen itu, beliau (kanan) berkata:

"(Karya) itu bukan kreatif. Dalam sejarah dunia, daripada (karya) Pramoedya Ananta Toer di Indonesia sampai dunia (sastera) Eropah, tidak pernah kita bertemu karya yang sebegitu jelek."

Cerpen 'Politik baru YB J' mengisahkan perjalanan ahli parlimen Alam Maya, Josephine menghadiri dialog dengan "generasi muda seketurunan dengannya yang yang pernah mempersendakan lagu Negaraku sewaktu menuntut di luar negara".

Dalam perjalanan itu, beliau yang lebih dikenali sebagai YB J kelihatan "resah", "gelisah" dan "seolah-olah tidak menentu" tidak seperti selalu.

Pada masa itu, Josephine dilihat pro-Cina dan tidak mewakili pelbagai kaum, terutamanya oleh POM, antaranya kerana mahu menghapuskan tulisan jawi dan menggantikannya dengan tulisan Cina.

Bagaimanapun, menurut Josephine, beliau sekadar memperjuangkan kepentingannya, sama seperti pemimpin Melayu dalam POM dan pemimpin Parti Orang Islam (POI) berjuang untuk bangsa mereka.

Dalam pilihanraya lalu, ahli politik lantang yang mendukung Gagasan Baru Politik Baru turut mendapat sokongan Melayu di kawasannya.

Tiba di tempat yang dituju, ketika menuju ke rostrum, seorang daripada 500 hadirin menghala kepadanya. Tanpa berkata apa-apa, dia mengeluarkan sepucuk pistol dan menembak YB J.

Anak muda itu mati ditembak balas.

Sewaktu pemeriksaan mayat dibuat, terselit sehelai nota berbunyi:

"YB Josephine adalah ancaman terhadap keharmonian. Lebih baik riwayatnya ditamatkan supaya masyarakat berbilang kaum boleh tinggal aman damai di negara bertuah ini. Saya berkorban untuk masa depan."

Usaha Malaysiakini untuk mendapatkan ulasan Chamil, setakat ini, gagal.

http://www1.malaysiakini.com/news/91289

Tee Keat nafi belanja besar hasil DVD kempen


Oct 14, 08 6:37pm

Calon Presiden MCA, Datuk Ong Tee Kiat hari ini berkata beliau tidak mengeluarkan belanja yang besar untuk menghasilkan filem pendek dalam bentuk DVD bagi kempen pemilihan jawatan itu.

Beliau yang juga ahli Parlimen Pandan berkata modal untuk menghasilkan DVD itu dapat dikurangkan kerana mendapat pertolongan kawan-kawan rapatnya tetapi beliau tidak menyebut jumlah sebenar yang dikeluarkan bagi penghasilan DVD itu.

"Kalau nak ikut kadar yuran profesional berat la tu...tapi krew yang buat rakaman itu sebenarnya terdiri daripada kawan-kawan saya. Jadi kalau sahabat handai yang usahakan tidak semestinya mengikut kadar profesional," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Bengkel Kecemerlangan SPM - Matematik Tambahan dan Fizik anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pandan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Mewah di ibunegara hari ini, demikian menurut laporan Bernama.

Ong yang juga Menteri Pengangkutan berkata langkahnya memuatkan filem pendek itu ke dalam lamanweb YouTube juga membolehkan kempennya itu dengan mudah dapat dilayari penyokongnya selain menerangkan manifestonya kepada orang ramai khususnya golongan muda.

"YouTube bukan saja serasi dengan selera peminat remaja, pada masa yang sama saya yakin ia dapat mendekatkan lagi kaum remaja dengan pemimpin politik seperti saya," katanya.

Filem pendek selama tujuh minit itu memaparkan manifesto bertemakan "Agenda Ong Tee Keat untuk Perubahan" yang menyasarkan kepada pembaharuan semula supaya anggota parti itu mampu menghadapi cabaran global dan tempatan. Ia dilancarkan pada bulan lepas.

Dalam pemilihan MCA Sabtu ini, Ong yang juga Naib Presiden MCA akan berhadapan dengan bekas Naib Presiden parti itu, Datuk Chua Jui Meng bagi merebut kerusi Presiden MCA.

http://www1.malaysiakini.com/news/91262

PAS beralih angin - kini yakin '16 Sept'

Jimadie Shah Othman Oct 14, 08 6:00pm
dikemaskini 6:44pm PAS akhirnya yakin dengan "projek 16 September" Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menghantar lima pemimpin berprofil tinggi parti itu menyertai mesyuarat pembentukan kerajaan baru dengan PKR dan DAP.

Keputusan biro politik parti itu minggu lalu telah pun direstui mesyuarat jawatankuasa pusat bersama ahli-ahli parlimennya kelmarin.

Selain Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pemimpin kanan yang diberikan mandat untuk mengetuai delegasi parti itu termasuklah timbalannya Nasharudin Mat Isa, dua naib presiden Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu serta setiausaha agung Datuk Kamarudin Jaffar.

Selain dikritik akibat berunding dengan Umno, Nasharudin sebelum ini tidak pernah dilaporkan terlibat rundingan bersama Pakatan Rakyat, manakala Mohamad menyatakan keraguannya berhubung rancangan penasihat PKR itu.


Abdul Hadi pula, walaupun pernah menyertai mesyuarat peringkat tertinggi pemimpin PKR dan DAP, dianggap menolak projek perubahan kerajaan Anwar - asalnya diuar-uarkan menjelang 16 September - selepas berkata beliau enggan menjadi "ahli politik Mat Jenin" apabila mengulas kemungkinan beliau dicadangkan sebagai perdana menteri apabila Pakatan mengambil alih kuasa persekutuan.

Rundingan dengan Pakatan sebelum ini didominasi golongan pro-kerjasama dengan Pakatan seperti Husam, Kamaruddin, ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub dan bendahari Dr Mohd Hatta Ramli.

Beberapa pemimpin PAS yang dihubungi Malaysiakini berkata, keputusan menghantar lima pemimpin berprofil tinggi parti dibuat kerana perbincangan ke arah pembentukan kerajaan baru "sampai ke tahap lebih tinggi" yang melibatkan perbincangan dasar-dasar dan persediaan membentuk jemaah menteri.

Salahuddin berkata, keputusan menghantar pemimpin kanan itu dibuat kerana usaha menumbangkan kerajaan BN sudah "sampai ke tahap akhir" dan "setiap tindakan memerlukan keputusan segera".

"Dulu, kita lebih kepada (hal-hal) teknikal seperti (menyusun) agenda bertindak... boleh katakan sekretariat. Sekarang kita berada pada tingkat lebih tinggi yang memerlukan perbincangan tentang dasar-dasar politik," katanya.

Dalam mesyuarat Ahad lalu, menurutnya lagi, perbahasan tentang delegasi lima pemimpin tertinggi PAS berlangsung dengan "sangat positif" dan mesyuarat bersetuju sebulat suara menerima mereka.

Suasana perbincangannya digambarkan sebagai "berterus-terang" dan dalam keadaan "bebas mengeluarkan pandangan".




Barisan pemimpin atasan PAS sebelum ini terbelah dua berhubung isu pertukaran kerajaan persekutuan, khususnya antara Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan pesuruhjaya PAS Terengganu dan juga ahli strategi parti Datuk Mustafa Ali, menjelang 16 September lepas.

Mohamad, yang pernah berkata "PAS bersikap tunggu dan lihat terhadap 16 Septermber", berkata beliau menerima keputusan itu.

"Itu keputusan parti, saya terima," katanya, yang hadir di mesyuarat itu, kepada Malaysiakini hari ini.

Ditanya sebab kelima-lima pemimpin berprofil tinggi itu, beliau berkata: "Hendak pilih lima orang, kita pilih limalah. Kalau enam, kita pilih enamlah. Kalau lapan, kita pilih lapanlah."

Husam - disebut-sebut sebagai penggerak utama dalam PAS yang mendukung usaha Anwar - pula menyifatkan barisan pemimpin tertinggi yang dipilih itu "bukan wakil baru", "tidak ada perubahan" dan "tidak berbangkit".

"Saya ingat salah faham. Tiada yang istimewa," katanya, mengulas keputusan dalam mesyuarat biro politik parti itu minggu lalu.

Sementara itu, timbalan pesuruhjaya II PAS Selangor, Khalid Samad yang dikatakan pihak pertama mencadangkan idea menghantar pimpinan utama PAS berkata "semua khilaf dan salah faham sudah selesai".


"Sebelum ini mungkin ada yang tidak nampak bangunan Parlimen. Sekarang tidak ada khilaf lagi," katanya, yang menganggotai biro politik PAS, hari ini.

Khalid bagaimanapun mendakwa khilaf yang dimaksudkan itu hanya di peringkat teknikal akibat sumber-sumber maklumat yang berbeza antara pemimpin parti.

"Tetapi akhirnya, dengan semua sumber itu, semuanya saling melengkapi," katanya, yang juga ahli parlimen Shah Alam.

Tambahnya, salah faham dalam parti itu mula reda hasil pertemuan Nik Abdul Aziz, Abdul Hadi dengan Anwar di Kota Bharu hujung bulan lalu (foto atas, kiri).

http://www1.malaysiakini.com/news/91255

Monday, October 20, 2008

Gagal kesan adik hilang


MELAKA: Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di bandar raya ini yang hilang sehari sebelum menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bermula 13 Oktober lalu, masih gagal dikesan sehingga kini.

Kehilangan mangsa, Noorhidayah Md Salleh, 15, yang menetap di Taman Pandan Jaya, sekali gus menghampakan keluarganya yang ingin melihat anak keenam daripada lapan beradik itu mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan itu.

Abangnya, Mohd Najibeh, 25, berkata adiknya itu memberitahunya hendak beraya di taman berhampiran dengan kawannya.

Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai Noorhidayah boleh menghubungi Mohd Najibeh di talian 016-2329370 atau balai polis berdekatan.

http://www.hmetro.com.my/20102008

Nasi ayam Hainan


Kejutan pengakuan Jolie


PITT dan Jolie.

--------------------------------------------------------------------------------

LOS ANGELES - Aktres terkenal, Angelina Jolie mengaku bahawa dia adalah punca perkahwinan aktor Brad Pitt dengan Jennifer Aniston berakhir, lapor sebuah akhbar semalam.

Jolie, 33, mengaku bahawa dia dan Pitt, 44, jatuh cinta ketika di set penggambaran filem Mr. and Mrs. Smith semasa aktor itu masih menjadi suami kepada Aniston, 39, yang juga seorang aktres popular.

Sebelum ini, pasangan itu menegaskan bahawa mereka mula jatuh cinta selepas Pitt berpisah dengan Aniston yang popular menerusi siri televisyen Friends.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada Jolie memang berniat untuk membuat pengakuan itu atau terlepas cakap ketika diwawancara oleh sebuah akhbar.



Aniston

--------------------------------------------------------------------------------

Jolie membuat pengakuan itu ketika memberitahu bahawa dia terlalu gembira apabila anak-anaknya melihat bapa dan ibu mereka dalam filem Mr. and Mrs. Smith.

"Tidak ramai orang berpeluang menonton sebuah filem yang memaparkan bagaimana ibu bapa mereka jatuh cinta," jelasnya.

Namun, Jolie menegaskan bahawa dia bimbang apabila anak-anaknya itu nanti akan mengkaji kisah hidupnya sebagai artis.

"Saya bimbang anak-anak saya nanti akan melihat beberapa gambar saya yang seksi dan artikel yang tidak benar mengenai diri saya," jelasnya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/20102008

Krisis kewangan tingkatkan jualan basikal di Taiwan


DUA wanita berbasikal di Taipei, Taiwan.

--------------------------------------------------------------------------------

TAIPEI - Sejak enam bulan lepas, Wayne Hsu mengayuh basikal selama 45 minit setiap hari ke pejabat dan gembira melakukannya kerana dia dapat mengurangkan kos petrol.

Petugas sektor penerbangan di daerah Taoyuan, utara Taiwan itu menyumbang kepada peningkatan orang ramai yang memilih untuk berbasikal berbanding memandu kereta berikutan kenaikan inflasi dan kemelesetan melanda pulau itu.

"Mengayuh basikal merupakan satu cara senaman murah dan saya menggalakkan rakan-rakan sekerja dan bos supaya mengikuti jejak langkah saya," katanya.

Minat orang ramai yang semakin meningkat dengan aktiviti berbasikal menjadi pemangkin kepada industri pengeluaran basikal tersebut di Taiwan.

Sebelum ini, pulau itu adalah pengekport basikal terbesar di dunia tetapi penjualan menjadi lemah sejak pertengahan tahun 1990-an ekoran kenaikan kos menyebabkan kilang-kilang basikal berpindah ke tanah besar China. Kini China merupakan pembekal basikal murah utama dunia manakala Taiwan kekal sebagai pengeluar produk yang lebih mahal seperti basikal lumba dan gunung yang berharga sekitar AS$222 (RM783).

Setakat ini belum ada maklumat rasmi berhubung jumlah penjualan basikal di pasaran tempatan tetapi badan-badan pemantau industri menganggarkan ia dijual sekitar satu juta kepada penduduk Taiwan pada tahun lepas.

"Perniagaan berkembang pada tahun lalu dan tahun ini merupakan tahun terbaik," kata jurucakap syarikat pengeluar utama basikal dunia, Giant Inc., Jeffrey Sheu.

Penjualan basikal keluaran Giant pada Ogos dan September lepas masing-masing meningkat 27 dan 35 peratus kepada AS$120 juta (RM423.5 juta) dan AS$126 juta (RM444.6 juta).

"Pekerja-pekerja kami terpaksa bekerja lebih masa bagi memenuhi permintaan yang meningkat," tambahnya.

Menurut Sheu, ketika inflasi meningkat dan pasaran kewangan kian runtuh, pengeluaran basikal dan perniagaan-perniagaan yang membantu orang ramai berjimat-cermat semakin popular apabila rakyat mula mengurangkan perbelanjaan mereka.

Seorang peminat aktiviti berbasikal di ibu kota Taipei, Ed Lu berkata, mengayuh basikal membantunya untuk memenangkan fikiran.

"Jika lebih ramai orang mula berbasikal dan tidak berkereta, kita dapat meningkatkan kualiti udara di bandar-bandar selain mengurangkan kesesakan jalan raya," katanya.

Pemikiran pemuda itu membayangkan peningkatan tahap kesedaran orang ramai dalam memulihara alam sekitar sekali gus mendorong kepada peningkatan jualan basikal di Taiwan. - AFP

http://www.kosmo.com.my/20102008
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...