Tuesday, October 21, 2008

Tee Keat nafi belanja besar hasil DVD kempen


Oct 14, 08 6:37pm

Calon Presiden MCA, Datuk Ong Tee Kiat hari ini berkata beliau tidak mengeluarkan belanja yang besar untuk menghasilkan filem pendek dalam bentuk DVD bagi kempen pemilihan jawatan itu.

Beliau yang juga ahli Parlimen Pandan berkata modal untuk menghasilkan DVD itu dapat dikurangkan kerana mendapat pertolongan kawan-kawan rapatnya tetapi beliau tidak menyebut jumlah sebenar yang dikeluarkan bagi penghasilan DVD itu.

"Kalau nak ikut kadar yuran profesional berat la tu...tapi krew yang buat rakaman itu sebenarnya terdiri daripada kawan-kawan saya. Jadi kalau sahabat handai yang usahakan tidak semestinya mengikut kadar profesional," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Bengkel Kecemerlangan SPM - Matematik Tambahan dan Fizik anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Pandan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Mewah di ibunegara hari ini, demikian menurut laporan Bernama.

Ong yang juga Menteri Pengangkutan berkata langkahnya memuatkan filem pendek itu ke dalam lamanweb YouTube juga membolehkan kempennya itu dengan mudah dapat dilayari penyokongnya selain menerangkan manifestonya kepada orang ramai khususnya golongan muda.

"YouTube bukan saja serasi dengan selera peminat remaja, pada masa yang sama saya yakin ia dapat mendekatkan lagi kaum remaja dengan pemimpin politik seperti saya," katanya.

Filem pendek selama tujuh minit itu memaparkan manifesto bertemakan "Agenda Ong Tee Keat untuk Perubahan" yang menyasarkan kepada pembaharuan semula supaya anggota parti itu mampu menghadapi cabaran global dan tempatan. Ia dilancarkan pada bulan lepas.

Dalam pemilihan MCA Sabtu ini, Ong yang juga Naib Presiden MCA akan berhadapan dengan bekas Naib Presiden parti itu, Datuk Chua Jui Meng bagi merebut kerusi Presiden MCA.

http://www1.malaysiakini.com/news/91262

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...