Tuesday, October 21, 2008

Chua kesal permainan politik akhbar milik MCA


Oct 15, 08 5:36pm

Calon presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng hari ini mengecam akhbar harian berbahasa Inggeris - The Star milik parti itu - kerana didakwa cuba mencemarkan namanya menjelang pemilihan parti itu Sabtu ini.

Chua berkata, beliau kesal dengan sikap akhbar itu "yang secara terang-terang cuba mencemarkan seorang calon yang tidak sealiran dengan pemimpin politiknya".

"Reporter dan pihak editorial anda berusaha bersungguh-sungguh untuk 'menyumbat' perkataan ke mulut saya dan untuk memaparkan saya sebagai seorang yang gila kuasa," kata Chua dalam suara terbukanya kepada ketua pengarang akhbar the Star, Datuk Wong Chun Wai. [Klik untuk baca]

Dalam laporannya pada 11 Oktober lalu, akhbar tersebut memetik Chua sebagai berkata akan mengorbankan sesetengah rakannya supaya beliau boleh dilantik menganggotai kabinet sekiranya dipilih sebagai presiden.

"Saya ingin tegaskan dengan sejelas-jelasnya. Saya tidak pernah membuat kenyataan (mengenai) pengorbanan tersebut," kata Chua dalam suratnya itu.

"Akhbar anda sepatutnya membuat permohonan maaf kerana menyumbat perkataan ke mulut saya," tambahnya.

Chua menegaskan bahawa akhbar berkenaan juga gagal menyiarkan permohonan maaf berhubung perkara tersebut walaupun Wong telah bersetuju untuk berbuat demikian.


"Bagaimanapun saya kesal kerana pada 12 Oktober, anda telah menyiarkan satu artikel yang menyebut saya mendakwa kenyataan saya itu telah dipetik di luar kontak," kata bekas naib presiden MCA itu.

Dalam suratnya itu, Chua juga menjelaskan bahawa presiden MCA mempunyai budibicara untuk mengemukakan senarai nama calon menteri dan timbalan menteri dari parti itu kepada perdana menteri.

"Ini tidak menjadikan presiden MCA tu seorang yang gila kuasa," katanya.

Rakaman video

Chua juga berkata, pasukan kempennya memang menyedari sikap berat sebelah akhbar tersebut, dan oleh itu telah merakamkan temubual itu bagi memastikan'kejujuran' akhbar berkenaan.

"Rakaman video itu akan menunjukkan bagaimana wartawan berkenaan berusaha untuk memaparkan saya sebagai seorang yang gila kuasa, tetapi sebaliknya telah diberi pengajaran percuma mengenai proses politik Malaysia," katanya.

Chua berkata, beliau telah memuat-naik rakaman video tersebut dalam YouTube "untuk ditonton oleh semua rakyat Malaysia".

"Saya pasti ramai rakyat Malaysia yang berkongsi kekesalan saya terhadap kurangnya integriti kewartawanannya yang ditunjukkan oleh akhbar anda," katanya dalam surat satu halaman itu.

Sementara itu, ketika dihubungi, Wong berkata, akhbarnya telah menyiarkan satu penjelasan mengenai perkara itu, yang dianggapkan sudah mencukupi.

Chua akan berdepan dengan seorang lagi naib presiden, Datuk Ong Tee Keat untuk merebut jawatan presiden MCA Sabtu ini.

Beliau dianggap sebagai 'orang luar' berbanding dengan Ong yang mendapat sokongan presiden sekarang, Ong Ka Ting yang tidak akan mempertahankan jawatannya.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...