Tuesday, January 27, 2009

Gerhana matahari cincin jelas dilihat dari Indonesia

Oleh YUSAIRY YUSOF
berita@kosmo.com.my



MERIAH... Sebahagian pelajar memenuhi dataran untuk melihat gerhana matahari separa di Planetarium Negara, Kuala Lumpur semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR – Fenomena gerhana matahari yang jarang-jarang terjadi berulang lagi tahun ini tetapi agak berbeza dengan keadaan di Indonesia.

Ini kerana, rakyat Malaysia hanya berpeluang menyaksikan gerhana matahari separa berbanding di Indonesia yang mengalami gerhana matahari cincin.

Menurut Pengarah Ukur, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Dr. Azhari Mohamed, keadaan itu disebabkan laluan gerhana yang terjadi kali ini berada berdekatan dengan negara tersebut.

“Garisan laluan bulan berada betul-betul atas langit Indonesia, jadi hanya mereka yang dapat lihat keadaan bulan menutupi matahari sehingga kelihatan seperti cincin,” ujarnya kepada pemberita pada majlis Solat Sunat Gerhana Matahari dan Cerapan Gerhana Matahari di Masjid Wilayah Persekutuan, semalam.

Azhari berkata, kali terakhir gerhana matahari cincin dapat dilihat di Malaysia pada 1998 dan fenomena itu memang dinanti kerana keadaannya lebih cantik berbanding gerhana matahari separa.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

Kerajaan isytihar perangi aedes


NYAMUK aedes boleh dikenali dengan badan yang berbelang hitam dan putih.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR – Kerajaan mengisytiharkan perang terhadap musuh nombor satu Malaysia kini – nyamuk aedes selepas angka kematian akibat denggi mencecah 12 orang tahun ini daripada 4,221 kes.

Angka itu meningkat sekali ganda berbanding lima kematian daripada 2,103 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Kes terbanyak dilaporkan di Selangor dengan 1,727 kes dengan dua kematian diikuti Kuala Lumpur (307 kes).

Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai berkata, kini bukan masanya untuk menuding jari terhadap mana- mana pihak tetapi bertindak menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Untuk itu, beliau menggesa pemimpin masyarakat dan pihak berkuasa tempatan menjalankan gotong-royong untuk membersihkan kawasan persekitaran.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Imigresen mahu serbu Plaza Low Yat


KERATAN Kosmo! semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR – Kehadiran ramai warga asing terutama dari Bangladesh yang semakin menguasai perniagaan komputer di Plaza Low Yat, Jalan Bukit Bintang di sini mula mendapat perhatian Jabatan Imigresen.

Malah Ketua Pengarahnya, Datuk Mahmood Adam berkata, pihaknya akan membuat pemeriksaan di situ dalam masa terdekat untuk mengenal pasti sama ada warga asing yang menjual komputer di plaza itu mempunyai permit atau tidak.

Katanya, walaupun warga asing boleh bekerja dalam sektor perkhidmatan termasuk menjadi jurujual, mereka tidak boleh memiliki perniagaan.

“Kalau mereka langgar peraturan kita akan tangkap dan usir mereka,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dominasi warga asing sebagai peniaga di plaza berkenaan seperti yang didedahkan Kosmo! semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Tolak jodoh ustaz

Oleh HISHAM IDRIS dan NURUL IZZA ROSLY
berita@kosmo.com.my


KUALA LUMPUR – Tolak ustaz untuk pilih lelaki Bangladesh!

Itulah pengakuan pelajar tahun tiga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Nor Syuhada Naina Mohamad, 23, (gambar) kepada bekas majikannya sebelum dia menghilangkan diri.

Pengusaha restoran yang hanya mahu dikenali sebagai Hamdan itu berkata, Nor Syuhada yang bekerja sebagai juruwang pernah mengadu dia akan dijodohkan dengan rakan abangnya yang sama-sama menuntut di Mesir tetapi gadis itu menolak mentah-mentah pilihan keluarganya itu.

Hamdan memberitahu, Nor Syuhada begitu menyukai Rauf dan apabila ditunjukkan gambar, lelaki itu kelihatan kacak bagaikan pelakon Bollywood.

“Saya juga lihat dia tidak lekang dengan telefon bimbit untuk hantar SMS (khidmat pesanan ringkas) walaupun ketika berada di kaunter juruwang,” kata Hamdan.

Sementara itu, dua minggu sebelum melarikan diri dengan Rauf, Nor Syuhada pernah memberitahu rakan karibnya bahawa dia mahu mengahwini lelaki tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

‘Nak pengsan nampak Adik’

Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.azde@kosmo.com.my




PULANG AKHIRNYA... Noor Aishah yang hilang selama 15 hari balik semula ke pangkuan Nazaah di rumahnya di Petaling Jaya semalam. Gambar ZAINI HUSSIN

--------------------------------------------------------------------------------


PETALING JAYA – Setelah 15 hari melarikan diri daripada keluarganya, Noor Aishah Izan, 15, tanpa diduga kembali ke rumahnya di Taman Paramount di sini pada pukul 11 pagi semalam sehingga menyebabkan ibunya, Nazaah Hassan hampir pengsan.

Aishah pulang seorang diri dalam keadaan sehelai sepinggang dengan menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) dan turun di Stesen Taman Paramount sebelum berjalan kaki sejauh 400 meter untuk pulang ke rumah.

Nazaah, 72, berkata, kepulangan anak bongsunya itu disedari apabila dia terdengar bunyi loceng rumahnya.

“Masa itu mak cik ada di ruang tamu dan baru nak menelefon ahli keluarga tetapi terdengar bunyi loceng. Mak cik buka pintu rumah dan seolah-olah tidak percaya melihat Adik (Aishah) berdiri di situ.

“Mak cik terus menjerit dan rasa macam nak pengsan ketika itu,’’
kataya kepada Kosmo! di rumahnya semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Arena Wati meninggal dunia


KUALA LUMPUR – Sasterawan Negara, Muhammad Dahlan Abdul Biang atau lebih dikenali sebagai Arena Wati (gambar) meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras pagi semalam akibat barah paru-paru.

Allahyarham yang berumur 84 tahun meninggal pada pukul 1.40 pagi.

Beliau terkenal di kalangan pelajar sekolah menengah satu ketika dahulu menerusi novelnya Sandera yang dijadikan teks sastera.

Beliau yang menerima rawatan di HUKM sejak 20 Sept lalu meninggal di sisi isterinya, Halimah Sulong dan dua anak, Ratna Siti Akbari dan Hasanuddin.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta di sini tengah hari semalam untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pukul 3 petang.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

Jangan jual kereta bersama geran


REMBAU – Jika perlu jual kereta yang telah rosak teruk (total loss) kepada bengkel kenderaan, jangan serahkan sekali geran.

Itu antara cadangan bagi membendung kegiatan sindiket curi kereta yang ada hubung kait dengan kereta total loss atau kenderaan yang dikategorikan sebagai barang buangan, kata Hanif Mualud (gambar).

Beliau yang berpengalaman selama 24 tahun dalam bidang insurans memberitahu, jika kereta seumpama itu dijual kepada bengkel berserta geran, maklumat pada casisnya boleh diguna semula.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Jadi pemboros sebelum hilang

Oleh LUQMAN HAKIM AB. RAHIM
luqmanhakim.abrahim@kosmo.com.my




NAZIRAH menunjukkan seluar jean Nor Syuhada yang dipakai sewaktu cuti semester lalu di rumahnya di Kota Bharu semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


KOTA BHARU – Jika dulu dia suka berbaju kurung dan bertudung labuh, penampilan Nor Syuhada Naina Mohamad tiba-tiba berubah.

Perangainya mula meresahkan keluarga apabila secara tiba-tiba memiliki beberapa helai seluar jean selain potongan tudung yang lebih singkat.

Malah, beberapa bulan sebelum menghilangkan diri dipercayai mengikut seorang buruh kontrak warga Bangladesh sejak Julai tahun lalu, Nor Syuhada kerap meminta wang sedangkan dia sudah diberi RM300 sebulan oleh keluarganya.

“Dia tak pernah beritahu nak buat apa dengan duit itu, jadi kami pelik kerana sebelum ini semuanya cukup.

Nor Syuhada hanya guna duit pinjaman untuk perbelanjaan dan wang pemberian saya disimpan untuk masa terdesak,”
kata ibunya, Nazirah Mohamad Yusoff, 54, ketika ditemui di sini semalam.

Pelajar tahun tiga jurusan Sains Kemanusiaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu seorang yang pandai berjimat sebelum ini sehingga dapat mengumpul wang untuk membeli komputer riba.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Telefon awam dedah lokasi Aishah


KERATAN Kosmo! Ahad semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


PETALING JAYA – Dua panggilan yang dibuat menggunakan telefon awam oleh Noor Aishah Izan (gambar) kepada rakannya baru-baru ini sudah cukup untuk mendedahkan lokasi gadis itu yang disyaki lari bersama teman lelakinya.

Maklumat mengenai lokasi panggilan tersebut yang dibuat di sebuah pondok telefon awam di Seksyen 24, Bukit Kemuning, Klang disampaikan oleh sebuah syarikat telekomunikasi yang membantu polis mengesan gadis berkenaan selepas dia meninggalkan rumah sejak 11 Januari lalu.

Kawasan itu terletak cuma 20 kilometer dari rumahnya di Taman Paramount, Petaling Jaya.

Noor Aishah, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Aman, Petaling Jaya membuat dua panggilan iaitu pada 11 Januari dan 13 Januari lalu dan ia disahkan sendiri oleh rakannya, Nur Fatin Norrizan, 16.

“Dia (Nor Aishah) telefon saya dua kali. Dia mengakui mempunyai teman lelaki dan marah kerana ibunya merampas telefon bimbitnya.

“Bila saya tanya mana dia tinggal, dia hanya jawab ‘adalah’,”
katanya ketika dihubungi semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Jerat pakej komputer


Oleh ASRON MUSTAPHA,
AMMAR JAZLAN MAD LELA dan
JUNHAIRI ALYASA
khas@kosmo.com.my



SEORANG penjual komputer warga Bangladesh melayan pelanggan di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur.

--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR – Jika dulu sebut sahaja Plaza Low Yat dan Plaza Imbi di Jalan Bukit Bintang di sini, pasti kita terbayang betapa rancak aktiviti penjualan produk Teknologi Maklumat (IT) yang dikuasai peniaga kaum Cina.

Kini, wajah-wajah rakyat tempatan itu mulai tenggelam dengan kemunculan kumpulan penjual baru warga Bangladesh dan Pakistan yang semakin ramai mencuri hati pelanggan dengan memperdagangkan bukan sahaja penampilan yang menarik dan memikat tetapi juga menawarkan pakej komputer murah.

Berdasarkan pemerhatian wartawan Kosmo!, kira-kira 50 daripada 300 gerai komputer di Plaza Low Yat dikendalikan oleh warga asing tersebut.

Berselindung di sebalik ‘pakej’ tambahan pembelian komputer riba, kumpulan peniaga itu cuba memikat pelanggan dengan menawarkan pakej naik taraf yang pada akhirnya boleh menjerat pemilik komputer.

Akibatnya, pelanggan mungkin terbeli komputer riba baru tanpa jaminan antara satu hingga tiga tahun yang sepatutnya mereka peroleh.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Obama cemerlang selama 100 jam


WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama berjalan dengan cemerlang sepanjang 100 jam beliau berada di White House.

Beliau turut dipuji kerana pantas memadamkan peninggalan bekas Presiden AS, George W. Bush dengan menghapuskan beberapa dasar domestik dan keselamatan.

“Saya rasa sehingga kini Obama melakukan dengan baik dan beliau menjauhkan diri daripada pentadbiran sebelum ini (Bush),” kata seorang profesor di University of New Hampshire, Dante Scala. – AFP


http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Tentera AS bunuh penduduk awam


SEJUMLAH penunjuk perasaan membantah serangan tentera Amerika Syarikat (AS) dalam perhimpunan di Mehterlam, Afghanistan semalam. - AP

--------------------------------------------------------------------------------


KABUL - Presiden Afghanistan, Hamid Karzai mengecam satu operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) yang menyebabkan 16 orang awam terbunuh.

Hamid berkata, pembunuhan orang awam di Afghanistan oleh tentera AS tersebut menyebabkan kumpulan pengganas semakin kuat.

Beliau juga mengarahkan menteri pertahanan Afghanistan pergi ke Washington bagi merangka satu perjanjian teknikal bagi memberikan Afghanistan kuasa untuk mengawasi setiap operasi ketenteraan AS.

Hamid juga mengarahkan menteri itu mengunjungi pejabat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk membincangkan perkara yang sama.

Para pegawai tentera AS memberitahu bahawa seramai 15 pejuang bersenjata berjaya dibunuh dalam satu serangan pada awal pagi kelmarin.

Bagaimanapun, beberapa pegawai Afghanistan menafikan laporan tentera AS tersebut dan mendakwa mangsa yang terbunuh sebenarnya adalah orang awam.

Sementara itu, beratus-ratus penduduk kampung di wilayah Laghman yang berhampiran lokasi operasi tersebut mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah serangan tersebut. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Virus komputer misteri


SEORANG lelaki menggunakan komputer di sebuah kafe Internet di Sydney, Australia. - Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------


LONDON - Satu virus komputer misteri kini merebak dengan pantas dan sudah menjangkiti lebih 15 juta komputer di seluruh dunia, lapor sebuah akhbar semalam.

Dalam tempoh tiga hari sahaja, sebanyak enam juta komputer dijangkiti virus itu yang merupakan jenis cecacing dikenali sebagai Downadup, Conficker atau Kido.

Sehingga kini pakar-pakar masih belum mengetahui apakah tujuan virus misteri itu dicipta dan kesannya terhadap komputer.

Pakar-pakar berpendapat virus itu mungkin tidak mempunyai apa-apa fungsi kerana penciptanya hanya mahu menunjuk kepakaran yang dimilikinya.

Bagaimanapun, beberapa pakar keselamatan berasa ragu kerana tidak mungkin sejenis virus cecacing yang canggih tidak mempunyai tujuan tertentu.

Pengurus Teknikal F-Secure, Tom Gaffney berkata, cecacing itu mungkin dicipta untuk mencuri maklumat sulit pengguna komputer seperti maklumat akaun dan kata laluan.

Menurutnya, cecacing itu tidak memberi kesan kepada pengguna sistem operasi Apple Macs tetapi boleh menjejaskan pengguna Windows yang tidak memasang perisian anti-virus yang dibekalkan oleh Microsoft. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Askar Israel diberi perlindungan


AFP
SEBAHAGIAN kanak-kanak Palestin berbaris sebelum menghadiri kelas pembelajaran dalam khemah di Rafah, selatan Gaza semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


JERUSALEM - Askar-askar Israel yang terlibat dalam operasi ketenteraan di Genting Gaza diberikan perlindungan undang-undang oleh kerajaan daripada tuduhan melakukan jenayah perang, kata Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert semalam.

"Komander dan askar yang dihantar ke Gaza adalah selamat daripada mana-mana tribunal dan kerajaan akan membantu serta melindungi mereka," kata Olmert.

Olmert juga mengesahkan bahawa beliau melantik Menteri Perundangan, Daniel Friedman untuk mempengerusikan satu jawatankuasa melibatkan menteri-menteri.

Jawatankuasa itu ditubuhkan bagi mengatur usaha-usaha Israel bagi menawarkan perlindungan undang-undang kepada setiap individu yang terlibat dalam operasi di Gaza.

Tentera Israel sebelum ini mengharamkan media mendedahkan identiti ketua unit tentera yang terlibat dalam operasi di Gaza itu kerana bimbang mereka mungkin menghadapi dakwaan jenayah perang.

Pada minggu lalu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menggesa pihak yang bertanggungjawab mengebom bangunan badan itu di wilayah Palestin dihadapkan ke pengadilan.

Beliau juga menuduh Israel menggunakan kekerasan terlampau dalam operasi selama tiga minggu itu yang bertujuan menghentikan serangan roket Hamas.

Kumpulan hak asasi manusia Israel juga menggesa kerajaan menyiasat jumlah kematian penduduk Palestin dan menggambarkan jumlah wanita serta kanak-kanak yang terkorban adalah besar.

Israel melancarkan serangan pada 27 Disember lalu sebelum menamatkan operasi pada 17 Januari lalu. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Pak Tam dah tak tahan


Oleh AZIZI MAJID
azizi.majid@kosmo.com.my

OMAR dan isterinya, Hadiah menatap surat Pak Tam sambil diperhatikan dua anak mereka di Pekan Nenas, Pontian semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


PONTIAN – “Meskipun agak mustahil untuk membebaskan Pak Tam tetapi saya tetap berharap agar tempoh penjaranya dikurangkan.”

Itulah luahan hati Omar Yaini, 55, bapa Sheikh Faeizan, 20, yang kini dijatuhi hukuman penjara 25 tahun oleh mahkamah di Taipei, Taiwan setelah didapati bersalah membawa dadah pada perbicaraan 24 Jun tahun lalu.

Sheikh Faeizan atau lebih dikenali sebagai Pak Tam ditahan di Taipei pada 24 Mei lalu sewaktu hendak berlepas pulang ke Malaysia setelah didapati membawa heroin seberat 2.141 gram.

Menurut Omar, meskipun reda dengan keputusan tersebut, dia tetap berharap agar kerajaan dapat membantu membuat rayuan kepada pihak berkuasa Taiwan agar dapat mengurangkan tempoh penjara tersebut.

“Kami tak tahu kepada siapa lagi hendak mengadu tetapi berharap agar kerajaan dapat membantu kami,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Seri Kiambang, Pekan Nenas di sini semalam.

Ujarnya, anaknya itu ada menghubungi telefon bimbitnya pagi tadi (semalam) untuk bertanyakan khabar selain mengatakan rasa rindu terhadap keluarga.

“Itulah panggilan pertama yang kami terima sejak Pak Tam dipenjara setahun lalu selain hanya berhubung melalui kiriman surat sebelum ini.

“Dia ada mengatakan sudah tidak tahan lagi tinggal di penjara,”
katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Syarikat Jepun terus ambil pekerja


Oleh AZIZI MAJID
azizi.majid@kosmo.com.my

JOHOR BAHRU – Kegawatan ekonomi sehingga berlaku pemberhentian pekerja tidak menjejaskan syarikat multinasional Jepun yang beroperasi di negara ini untuk terus mengambil pekerja baru.

Pengerusi Bahagian Hal Ehwal Pengurusan Dewan Perniagaan, Perdagangan dan Perindustrian Jepun di Malaysia (Jactim), Akira Hashimoto berkata, pihaknya tetap membuka peluang pekerjaan termasuk kepada graduan universiti.

“Sekurang-kurangnya 10 syarikat multinasional menjanjikan peluang pekerjaan kepada permohonan yang layak biarpun dunia dilanda krisis ekonomi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pameran kerjaya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini kelmarin.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Lari merajuk ditegur bermain SMS

Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.azde@kosmo.com.my



NAZAAH menunjukkan gambar Noor Aishah di rumahnya di Taman Paramount, Petaling Jaya semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


PETALING JAYA – Lari selepas ditegur main SMS!
Itu yang didakwa berlaku kepada Noor Aishah Izan, 15, yang dikatakan merajuk dan menghilang diri dari rumah di Taman Paramount di sini pada 11 Januari lalu dan sehingga kini masih belum ditemui.

Ibunya, Nazaah Hassan, 72, berkata, anak bongsunya yang lebih mesra dipanggil Adik itu pada mulanya bermain khidmat pesanan ringkas (SMS) di dalam gelap di rumahnya pada hari kejadian.

“Masa itu saya nampak dia sedang menangis tapi saya tak tahu kenapa... jadi saya tegur Adik supaya jangan bermain SMS dalam gelap.

“Saya bukannya berniat untuk marah tetapi sekadar tegur. Pulanglah Adik... kami semua rindui dan sayang Adik. Tiada siapa yang nak marah Adik lagi,”
rayu Nazaah di sini semalam.

Menurut Nazaah yang kerap menangis mengenangkan nasib anaknya itu, beberapa minit selepas memarahi Noor Aishah, dia berasa bersalah dan pergi semula melihat anaknya tetapi terkejut apabila anaknya itu sudah menghilangkan diri.

Anak bongsunya itu meninggalkan rumah pukul 7.45 malam dan sehingga kini tidak pernah menghubungi mereka sekeluarga.

Aishah, satu-satunya anak perempuan daripada empat beradik, meninggalkan rumahnya melalui balkoni dalam keadaan sehelai sepinggang.

Bagaimanapun, Nazaah difahamkan bahawa dua hari sebelum kehilangan Aishah, dia kelihatan muram seolah-olah mempunyai masalah tetapi enggan bercerita kepada ahli keluarganya.

Sementara itu, abang kedua Aishah, Dzulkafley Abdul Samad, 49, memberitahu, usaha untuk mencari adik kesayangan itu digerakkan sejurus mendapat tahu kehilangannya.

“Selepas ketahui Adik sudah ‘hilang’, kami berusaha mencarinya di sekitar taman perumahan sehinggalah ke Pelabuhan Klang.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Institusi perbankan Britain hampir muflis


LONDON – Sistem perbankan Britain di ambang keruntuhan sebelum bantuan kerajaan dikeluarkan pada musim luruh ini, kata Menteri Perkhidmatan Kewangan, Paul Myners.

Beliau yang dipetik laporan akhbar The Times of London menjelaskan, ramai pendeposit besar mahu mengeluarkan simpanan mereka dalam masa terdekat walaupun terpaksa membayar penalti.

Saham bank-bank di Britain merudum kelmarin berikutan spekulasi yang mendakwa industri itu memerlukan bantuan tambahan atau terpaksa dimiliknegarakan. – AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm

Kellogg’s tarik biskut mentega kacang

SAN SALVADOR – Syarikat makanan Amerika Syarikat (AS), Kellogg’s menarik semula beberapa jenama biskut yang mengandungi mentega kacang dari Amerika Tengah, kata syarikat itu di El Salvador kelmarin.

“Kami secara sukarela menarik biskut jenama Austin, Famous Amos dan Keebler yang mengandungi mentega kacang berikutan ia berkemungkinan dicemari bakteria Salmonella,” kata satu kenyataan.

Wabak Salmonella yang berpunca daripada pencemaran najis haiwan sehingga kini menyebabkan 388 penduduk AS jatuh sakit manakala 67 lagi terpaksa dirawat di hospital. – AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Anak Presiden AS jadi nama mainan



WASHINGTON – Wanita pertama Amerika Syarikat (AS), Michelle Obama berang apabila mendapati sebuah syarikat menggunakan dua nama anaknya sebagai watak terbaru produk anak patung, lapor sebuah akhbar.

Syarikat tersebut, Ty yang terkenal dengan produk Beanie Babies kini menjual anak patung bernama Sweet Sasha dan Marvelous Malia. Jurucakap syarikat itu bagaimanapun menjelaskan ia tidak ada kena mengena dengan anak Presiden Barack Obama.

“Kami berasa kurang sesuai untuk menggunakan nama anak kecil untuk tujuan pemasaran,” kata setiausaha akhbar Michelle, Katie McCormick Lelyveld kelmarin. – Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...