Thursday, July 15, 2010

Untung goyang kaki

Oleh Muhammad Apendy Issahak dan Asmah Rusman
am@hmetro.com.my
2010/07/15

KUALA LUMPUR: “Dulu skim cepat kaya, sekarang skim piramid tapi kedua-duanya dilakukan dengan langkah yang serupa,” kata Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman mengenai penipuan segelintir pemilik syarikat yang menjalankan perniagaan berbentuk piramid atau berperingkat (MLM).

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan perniagaan yang menjana keuntungan melalui skim berperingkat iaitu mereka perlu merekrut ahli bagi memastikan keuntungan diperoleh secara berterusan.


“Dulu mereka menggunakan kaedah skim cepat kaya tetapi apabila akhbar mula melaporkan penipuan membabitkan skim itu, mereka bertindak memberhentikan aktiviti perniagaan masing-masing.


“Namun, mereka muncul pula dengan kaedah baru untuk menjana keuntungan melalui skim berbentuk piramid atau berperingkat yang kononnya boleh memberi keuntungan kepada ahli dengan cepat,”
katanya.


Mohd Yusof berkata, pengguna tidak seharusnya terpedaya dengan perniagaan yang menjanjikan kekayaan melalui skim tertentu kerana ia akhirnya menjerat diri.


Mana ada perniagaan yang memberi keuntungan dengan hanya ‘goyang kaki’ tanpa perlu berusaha dan bertungkus lumus menjalankan aktiviti jual beli. Itu hanya dakwaan palsu segelintir syarikat MLM yang mahu mengaburi mata pengguna,” katanya.


Katanya, perniagaan yang sah dan tidak berunsur penipuan memerlukan peniaga menjual barangan atau perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat bukan hanya ‘memeras tenaga’ ahli bawahan.


Semalam, Harian Metro melaporkan penyampai berita TV3, Saiful Nizam Ismail dan isteri, Khairul Noormaidah Zali atau Aida yang juga juara program realiti Gadis Melayu di TV9 menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat pemasaran pelbagai peringkat (MLM) atau jualan langsung malah, mereka juga dituduh turut bersubahat dengan syarikat terbabit.


Mangsa mengalami kerugian sebanyak RM30,000 apabila melabur dengan syarikat terbabit tetapi tidak mendapat pulangan sebagaimana dijanjikan dan sudah membuat laporan polis berhubung penipuan berkenaan. Menurut Saiful Nizam, dia tidak meragui kewibawaan syarikat MLM itu dan yakin pelaburannya akan mendapat pulangan dijanjikan kerana jenama syarikat yang menghasilkan produk kesihatan dan kecantikan itu stabil, sudah dikenali dan sering terbabit kerja amal.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan terbabit dan menurutnya siasatan sedang dijalankan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Untunggoyangkaki/Article

'Derhaka moden'

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my
2010/07/15

KUALA LUMPUR: Perbuatan anak tidak bertanggungjawab hingga memaksa ibu bapa membawa kes ke mahkamah semata-mata untuk bersua muka adalah satu antara ribuan contoh derhaka ‘moden’ yang semakin melingkari generasi masa kini.

Pakar motivasi dan penceramah bebas, Zawawi Yusoh berkata, seorang anak berdosa kerana mengabaikan tanggungjawab kepada kedua-dua ibu bapanya dan apabila dia derhaka, ia mengundang kemurkaan Allah.


Katanya, apabila Allah murka disebabkan derhaka kepada ibu bapa, maka kehidupan seseorang itu sukar bahagia walaupun mungkin bergaji besar atau mempunyai status sosial tinggi dalam masyarakat.


“Apalah ertinya kehidupan kita di atas muka bumi ini jika Allah sudah murka sedangkan semua yang ada di dunia ini termasuk tanah yang kita pijak dan udara yang kita sedut milik Allah,” katanya ketika dihubungi semalam.


Semalam, Harian Metro melaporkan seorang warga emas, Mustafa Ismail, 64, memfailkan permohonan tuntutan nafkah ke atas anaknya, Nasrun Mustafa, 37, di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu dengan harapan dapat bersua muka dengan anaknya itu.


Dalam tuntutan difailkan melalui peguamnya, Fazru Anuar Yusoff, warga emas berkenaan menyatakan Nasrun meninggalkan seorang anak perempuan berusia enam tahun dan anak lelaki berusia sembilan tahun kepadanya selepas bercerai dengan isteri pertama pada 30 Disember 1998 sebelum kedua-duanya berkahwin lain.

Nasrun yang berkhidmat sebagai pengurus di sebuah syarikat cari gali minyak di Kuala Lumpur dengan pendapatan RM17,000 sebulan gagal dihubungi bapanya menyebabkan Mustafa yang tidak bekerja dan bergantung kepada wang simpanan nekad memfailkan permohonan tuntutan di mahkamah.

Zawawi berkata, tidak salah untuk ayah itu membuat tuntutan melalui mahkamah kerana ia haknya selain secara tidak langsung sudah mengambil langkah menuntutnya di dunia sebelum anaknya dituntut di akhirat kelak.


“Seorang lelaki pernah mendatangi Nabi Muhammad saw pada suatu hari dan bertanya mengenai kehendak bapanya yang mahukan hartanya, nabi menjawab ‘kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu’,” katanya.


Katanya, jawapan itu cukup untuk menunjukkan seseorang bapa itu mempunyai hak terhadap harta anaknya, maka tidak salah untuk seorang ayah membuat tuntutan di mahkamah supaya anaknya itu bertanggungjawab bukan saja terhadap ibu bapanya tetapi kepada anak-anaknya sendiri.


Zawawi berkata, pelbagai bentuk derhaka berlaku sekarang dan ia bukan semata-mata melukakan hati ibu bapa malah sikap sesetengah anak mengabaikan tanggungjawab menjaga anak sendiri dengan menyerahkan kepada ibu bapanya juga adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Derhakamoden/Article

Dua penjenayah minta wang lepas culik, perkosa

2010/07/15

PETALING JAYA: Malang berganda dialami seorang gadis pencuci di sebuah hotel apabila tidak hanya diculik untuk mendapatkan wang tebusan, malah turut dijadikan pemuas nafsu serakah dua penjenayah yang melarikannya.

Lebih menyedihkan apabila penjenayah melayan mangsa tidak ubah seperti binatang apabila mangsa diperkosa bergilir-gilir.


Menurut sumber, ketika kejadian jam 7 malam kelmarin, mangsa berjalan bersendirian ke perhentian bas di tepi Lebuh Raya Persekutuan untuk pulang ke rumahnya.


“Bagaimanapun, sebuah Proton Wira dinaiki dua lelaki berhenti berhampiran mangsa sebelum suspek menarik mangsa masuk ke dalam kereta dan memecut.


“Mangsa dibawa ke sebuah hotel murah di SS15, Subang Jaya di sini. Seorang daripada suspek mengacukan pisau ke pinggang mangsa menyebabkan gadis terbabit terpaksa mengikut mereka masuk ke sebuah bilik,” katanya.


Menurutnya, ketika berada di dalam bilik itu, suspek bergilir-gilir merogol mangsa selepas mengancam akan membunuh mangsa sekiranya melawan.


“Selepas merogol mangsa, suspek meminta mangsa menghubungi ahli keluarga supaya membayar wang tebusan RM5,000 sebagai syarat pembebasannya.


“Mangsa yang berasal dari Johor memaklumkan dia tidak mempunyai saudara-mara di sini selain seorang adiknya yang tinggal di Subang Jaya,”
katanya Sumber memberitahu, suspek memaksa mangsa menghubungi adiknya meminta supaya wang tebusan terbabit disediakan segera.


Beliau berkata, adik mangsa yang tidak mempunyai wang, bagaimanapun cuba memperdaya suspek supaya bersetuju menerima barang kemas palsu bagi membebaskan kakaknya.


Namun, taktik digunakan adik mangsa gagal memperdayakan suspek kerana penjenayah mengenal pasti barang kemas itu palsu selepas ia diserahkan kepada mereka.


“Berang mereka ditipu, suspek melarikan mangsa sekali lagi. Mereka membawa gadis itu pergi ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) berhampiran dan memaksanya mengeluarkan wang miliknya RM1,000.

“Selepas mengeluarkan wang, suspek merancang membawa mangsa kembali ke hotel untuk dirogol, namun mangsa melepaskan diri ketika dalam perjalanan.


“Mangsa menyelamatkan diri selepas berpura-pura mahu berhenti pergi ke tandas di sebuah stesen minyak di SS 15 di sini, kira-kira jam 2 pagi, semalam,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Duapenjenayahmintawanglepasculik_perkosa/Article

VIP dipanggil



Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my
2010/07/15

KUCHING: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk bersama isterinya dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes penyeludupan bayi dipercayai dari Indonesia susulan penahanan tujuh suspek termasuk dua pasangan suami isteri dalam serbuan ke sebuah rumah mewah di Stampin di sini, semalam.

SELAMAT ...seorang kanak-kanak dipercayai mangsa sindiket penjualan bayi berjaya diselamatkan polis, semalam.
SELAMAT ...seorang kanak-kanak dipercayai mangsa sindiket penjualan bayi berjaya diselamatkan polis, semalam.
Pasangan itu dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, berikutan penemuan tiga lagi bayi berusia antara 27 hari hingga dua tahun 11 bulan di rumah berkenaan dalam serbuan berkenaan.

Menurut sumber polis, rumah berkenaan didakwa dijadikan transit membawa masuk bayi dipercayai diseludup dari Indonesia sebelum dijual di sekitar bandar raya ini.

Difahamkan, lelaki bergelar Datuk dan isterinya dipanggil memberi keterangan selepas penahanan wanita warga Indonesia serta lelaki tempatan dipercayai cuba menjual bayi perempuan berusia 23 hari, malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner II Huzir Mohamad berkata, polis mengesan kegiatan itu selepas penahanan wanita Indonesia bersama lelaki tempatan di Batu Kawa.

Beliau berkata, hasil penangkapan itu, polis menjalankan siasatan susulan sebelum menahan seorang lagi lelaki tempatan di bandar raya ini pada hari sama.

“Susulan itu, polis mendapat maklumat sebelum menyerbu rumah mewah berkenaan dan menemui tiga lagi bayi. Dua bayi lelaki masing-masing berusia tujuh bulan dan dua tahun 11 bulan manakala bayi perempuan berusia 27 hari itu sedang disahkan identiti.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan sama ada wujud sindiket perdagangan manusia dengan tertangkapnya ketujuh-tujuh suspek terbabit,”
katanya.

Menurutnya, semua bayi berkenaan termasuk berusia 23 hari berada dalam keadaan sihat sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak untuk perlindungan sementara.

Katanya, mereka yang ditahan termasuk dua pasangan suami isteri kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.

“Siasatan kes itu dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Dagangan Orang dan polis tidak menolak kemungkinan ada tangkapan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dijalankan ke atas keempat-empat bayi berkenaan bagi membolehkan polis mengenal pasti identiti ibu bapa mereka.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang wanita sanggup menggadaikan rasa simpatinya terhadap seorang bayi perempuan untuk dijadikan bahan dagangan dalam sindiket penyeludupan di Bandar Baru Batu Kawa, di sini.

Kegiatan wanita berusia 32 tahun itu berjaya dikesan pihak berkuasa selepas ditahan di sebuah restoran ketika cuba menjual bayi berkenaan kira-kira jam 9 malam.

Wanita terbabit dipercayai menjadikan pasangan berkahwin dan tidak mempunyai anak sebagai sasaran menjual bayi berkenaan.

'Saya kesal jamin dia'




Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my
2010/07/15

AMPANG: “Perbuatannya memang kejam dan kali ini saya tak boleh maafkan dia lagi,” kata Julia Daud, 29, isteri pelakon popular, Badrul Muhayat, 42, yang mendakwa suaminya itu sekali lagi mengasari dirinya dan merampas wang jaminan mahkamah berjumlah RM2,500, Isnin lalu.

TAK SEHALUAN...Badrul Muhayat tidak menoleh pada Julia ketika bayar kompaun di mahkamah, Isnin lalu.
Menurutnya, kejadian itu membuatkan hatinya terus tertutup rapat buat pelakon terbabit yang berjanji akan berubah dan menjaganya dan anak-anak lebih baik.

“Bayangkan ketika dalam lokap, saya pergi melawat dan dia merayu supaya mencari wang untuk menjaminnya kerana tidak mahu tinggal lebih lama dalam lokap.

“Saya yang tak pernah menjejak kaki di lokap terpaksa bawa seorang anak kami dan Badrul ketika itu berjanji akan lebih menumpukan perhatian kepada keluarga apabila dibebaskan,”
katanya.

Julia berkata, isteri mana yang tidak sedih melihat suami dipenjarakan dan ini membuatkan hatinya mula cair dan sanggup berhutang semata-mata mahu memastikan suaminya keluar lokap.

“Namun, saya kesal kerana tak sampai berapa jam selepas mahkamah membebaskannya sejurus dia membayar kompaun, Badrul sekali lagi buat hal.

“Dia tergamak merampas wang jaminan RM2,500 yang ketika itu dipegang rakan kami sebelum melarikan diri dengan seorang wanita yang menunggunya dalam kereta,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, pelakon lelaki terbabit pada mulanya menghubungi rakan wanita mereka yang bertindak sebagai penjamin dan bertanyakan mengenai wang jaminan berkenaan.

Wang jaminan itu dimasukkan ke akaun penjamin berkenaan atas perintah mahkamah sebaik perbicaraan kes Badrul didakwa mencederakan Julia selesai apabila mahkamah memerintahkan dia membayar kompaun RM1,000 kepada isterinya, Isnin lalu.

Difahamkan, wang berkenaan dikumpul isterinya selain turut diberi ahli keluarga pelakon lelaki terbabit semata-mata untuk membayar wang jaminan bagi membebaskannya.

Badrul tidak puas hati dan meminta wanita itu mengeluarkan wang berkenaan dan menyerahkan kepadanya kerana mendakwa ia kepunyaannya.

“Bagaimanapun, saya menasihatkan rakan itu jangan mengikut kata suami saya dan meminta dia menunggunya di kaunter bank berhampiran Mahkamah Ampang. Bagaimanapun, Badrul terlebih dulu tiba kerana dia mengekori rakan kami itu hingga ke kaunter bank.

“Sebaik rakan kami mengeluarkan wang, suami saya terus merampasnya. Tidak lama selepas itu, saya tiba dan saya berjanji akan memberikan RM1,000 daripada wang itu kepadanya bagi membolehkannya membayar kompaun yang dikenakan mahkamah,”
katanya.

Menurut Julia, berikutan itu dia meminta suaminya menyerahkan baki wang jaminan berkenaan, namun Badrul berdegil sebelum berlaku pergelutan.

Dalam pergelutan itu, Badrul menolak badan dan kepala Julia sebelum tergesa-gesa meninggalkan kawasan itu dengan sebuah kereta bersama seorang wanita yang menunggu di dalam kenderaan itu selepas menyedari perbuatannya diperhatikan orang ramai.

Julia berkata, kini perasaannya bercampur baur dan menyesal kerana menjamin suaminya.

“Saya sedih kerana suami tergamak melakukan demikian sedangkan wang itu yang akan digunakan untuk keperluan saya dan anak-anak. Namun, Badrul langsung tak ambil peduli kehidupan kami sekeluarga, malah saya yang terpaksa menanggung segala hutang dipinjamnya,” katanya.

Berikutan itu, Julia membuat laporan polis kerana tidak puas hati dengan tindakan suaminya itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berkenaan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Jual bayi RM10,000



Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my
2010/07/14

BATU KAWA: RM10,000. Itulah harga ditetapkan untuk mendapatkan seorang bayi perempuan berusia 25 hari sebelum sindiket penyeludupan manusia beroperasi di Bandar Baru Batu Kawa di sini, ditumpaskan polis, malam kelmarin.

SELAMAT...anggota polis mendukung bayi berusia 25 hari cuba dijual sindiket.
SELAMAT...anggota polis mendukung bayi berusia 25 hari cuba dijual sindiket.
Seorang wanita warga Indonesia berusia 32 tahun dipercayai dalang sindiket terbabit, cuba menjual bayi berkenaan kepada dua anggota polis yang menyamar pasangan suami isteri, sebelum dia diberkas di sebuah restoran makanan segera, kira-kira jam 9 malam.

Suspek dipercayai menjadikan pasangan berkahwin tidak mempunyai anak sasaran menjual bayi berkenaan.

Difahamkan, sebelum ditahan, satu temu janji diatur antara sindiket terbabit dengan bakal pembeli di sebuah restoran bagi mendapatkan bayi itu dipercayai diseludup dari Kalimantan, Indonesia, dengan harga RM10,000.

Dua anggota polis menyamar sebagai suami isteri menghampiri wanita berkenaan sambil berpura-pura mahu membeli bayi itu sebelum perbincangan lanjut diadakan.

Kedua-dua anggota polis terbabit pergi ke tempat diarahkan sindiket terbabit selepas mengaku tidak memiliki anak walaupun lama mendirikan rumah tangga.

Sebaik tiba di tempat dijanjikan itu, wanita terbabit bersetuju menjual bayi berkenaan, namun belum sempat transaksi dilakukan, kedua-dua anggota polis berkenaan menunjukkan kad kuasa lalu menahannya.

Turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 20-an dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner II Huzir Mohamed berkata, pihaknya mengesahkan polis menyerbu sebuah restoran makanan segera dan berjaya menyelamatkan bayi berkenaan.

Beliau berkata, maklumat awal menunjukkan bayi berkenaan diseludup masuk oleh suspek untuk diserahkan kepada sindiket tertentu sebelum dijual di sekitar bandar raya ini.

“Sebelum itu, anggota kami sudah mengesan aktiviti berkenaan dan menghubungi sindiket terbabit dengan menyamar sebagai pasangan suami isteri dan menyatakan minat membeli bayi berkenaan pada harga RM10,000.

“Bagaimanapun, selepas bertemu suspek, dia akhirnya ditahan dan bayi seberat 1.8 kilogram itu berjaya diselamatkan,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan maklumat diperoleh, sindiket berkenaan menggunakan lorong tikus di sempadan Malaysia-Indonesia untuk membawa masuk bayi baru lahir ke negara ini sebelum disembunyikan di sebuah rumah di sini.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan sama ada wanita berkenaan orang tengah atau ibu kepada bayi berkenaan bagi membolehkan pendakwaan dilakukan terhadapnya.
“Bayi itu diserahkan kepada Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi pemeriksaan sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk perlindungan sementara.


“Selain suspek wanita, kita menahan seorang lelaki tempatan juga pemandu suspek. Kita menyiasat kemungkinan dia terbabit dengan sindiket berkenaan,”
katanya.

Beliau berkata, suspek kini direman 14 hari mengikut Akta Imigresen kerana kesalahan memasuki negara ini tanpa dokumen sah.

'Tak tipu, tapi ditipu'



Oleh Asmah Rusman
asmah@hmetro.com.my
2010/07/14

KUALA LUMPUR: “Kami tak menipu, sebaliknya kami turut ditipu,” demikian penjelasan penyampai berita TV3, Saiful Nizam Ismail mengenai dakwaan dia dan isteri, Khairul Noormaidah Zali atau Aida yang juga juara program realiti Gadis Melayu di TV9 turut bersubahat dalam penipuan sebuah syarikat pemasaran pelbagai peringkat (MLM) atau jualan langsung.

TERTIPU...Amirol Azery menunjukkan cek tendang dan borang keahlian syarikat MLM terbabit.
TERTIPU...Amirol Azery menunjukkan cek tendang dan borang keahlian syarikat MLM terbabit.
Saiful Nizam, 28, berkata dakwaan itu makin tersebar melalui laman sosial facebook di Internet menyebabkan dia perlu tampil memberi penjelasan bagi membersihkan namanya dan mengelak wujud salah faham terhadap dia dan isterinya.

“Hakikatnya, saya juga kerugian kerana pelaburan saya RM30,000 ke dalam syarikat itu tidak mendapat pulangan sebagaimana dijanjikan,” katanya.

Menurut Saiful Nizam, dia tidak meragui kewibawaan syarikat MLM itu dan yakin pelaburannya akan mendapat pulangan dijanjikan kerana jenama syarikat yang menghasilkan produk kesihatan dan kecantikan itu stabil, sudah dikenali dan sering terbabit kerja amal.

“Bagaimanapun, selepas beberapa bulan saya langsung tidak menerima pulangan dijanjikan. Jika mengikut perjanjian, setiap bulan saya akan menerima bayaran yang jumlahnya 10 hingga 30 peratus daripada wang yang saya laburkan.

“Saya bukan terlalu ghairah untuk menjadi kaya dengan pulangan yang dijanjikan itu, sebaliknya saya ingin membuat kebajikan kerana syarikat itu mendakwa sebahagian daripada keuntungan syarikat didermakan kepada badan kebajikan,” katanya.

Menurut Saiful Nizam, selepas tidak menerima sebarang pulangan pelaburan, dia menghubungi lelaki terbabit untuk mendapatkan maklum balas, namun pelbagai alasan diberikan sebelum dia langsung gagal dihubungi.

Berikutan itu, Saiful dan isteri membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada 9 Julai lalu.

“Secara jujur saya dan Aida tidak tahu langsung mengenai kegiatan penipuan syarikat itu, jauh sekali bersubahat seperti didakwa sesetengah pihak menerusi facebook. Jadi, saya berharap semua pihak berhenti melemparkan tuduhan yang bukan-bukan terhadap saya dan Aida.

“Saya tampil membuat penjelasan ini kerana tidak mahu ramai lagi menjadi mangsa penipuan syarikat itu memandangkan mereka masih bergiat aktif mencari ahli di laman facebook serta tidak takut membuat promosi besar-besaran di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Aida, 25, enggan mengulas lebih lanjut mengenai kegiatan syarikat MLM terbabit kerana dia sudah melantik peguam bagi menyelesaikan masalah yang timbul.

“Apapun, saya mengakui tertipu dengan ‘permainan’ syarikat itu. Saya serahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan dan meminta orang ramai tidak menyalahkan saya dan suami kerana kami juga menjadi mangsa.

“Saya juga ingin membuat penjelasan saya dan suami bukan menyertai skim cepat kaya seperti dilaporkan dalam ruangan gosip sebuah akhbar, tapi kami menyertai sebuah syarikat MLM yang kami sangka jujur serta banyak membuat kebajikan,”
katanya.

Selain pasangan selebriti itu, Harian Metro menerima aduan seorang juruteknik, Amirol Azery Abd Rahim, 26, yang mendakwa turut menjadi mangsa penipuan syarikat MLM sama selepas gagal mendapat sebarang pulangan daripada pelaburannya RM60,000.

“Saya tidak menyangka syarikat itu yang terkenal dan sudah beroperasi sejak 2000 itu rupa-rupanya melakukan penipuan profesional. Sesiapa pun boleh terpedaya dan yakin dengan perniagaan yang dijalankan mereka berdasarkan bukti ditunjukkan mereka,” katanya yang datang ke pejabat Harian Metro di sini.

Amirol Azery berkata, syarikat terbabit mendakwa memberi sumbangan mencecah RM200,000 kepada satu pertubuhan kebajikan dan menjalankan pelbagai aktiviti promosi di seluruh negara.

“Pemilik syarikat itu bijak bermain kata-kata dengan menggunakan ayat al-Quran dan hadis ketika berucap dalam seminar di sebuah hotel terkemuka di ibu kota,” katanya.

Menurut Amirol Azery, dia mula mendaftar sebagai ahli skim pelaburan itu penghujung tahun lalu bagi menjana pendapatan sampingan untuk melangsungkan perkahwinan dan menyambung pelajaran.

Bagaimanapun, kedua-dua hasrat itu musnah apabila cek diberikan syarikat terbabit tidak boleh ditunaikan selepas sebulan dimasukkan dalam akaun.

“Saya menghubungi bank untuk mengetahui status cek yang saya terima dan pihak bank memaklumkan ia cek tendang kerana akaun syarikat terbabit sudah ditutup pemiliknya,” katanya.

Tuntut nafkah 2 cucu



Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my
2010/07/14

KUALA TERENGGANU: “Saya terpaksa buat begini kerana ini saja cara untuk bertemu semula dengan dia,” kata Mustafa Ismail, 64, yang memfailkan permohonan tuntutan nafkah ke atas anak kandungnya di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.

TUNTUT HAK ...Mustafa pada perbicaraan tuntutan terhadap anak lelakinya di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu.
TUNTUT HAK ...Mustafa pada perbicaraan tuntutan terhadap anak lelakinya di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu.
Mustafa selaku plaintif membuat tuntutan terhadap Nasrun Mustafa, 37, supaya membayar tunggakan nafkah penjagaan dua cucunya yang juga anak defendan, sejak dia menjaga dua beradik itu tujuh tahun lalu sebanyak RM20,000 serta bayaran nafkah RM800 sebulan secara potongan gaji.

Dalam tuntutan difailkan melalui peguamnya, Fazru Anuar Yusoff, warga emas berkenaan menyatakan Nasrun meninggalkan seorang anak perempuan berusia enam tahun dan anak lelaki berusia sembilan tahun kepadanya selepas bercerai dengan isteri pertama pada 30 Disember 1998 sebelum kedua-duanya berkahwin lain.

Nasrun yang berkhidmat sebagai pengurus di sebuah syarikat cari gali minyak di Kuala Lumpur dengan pendapatan RM17,000 sebulan gagal dihubungi bapanya menyebabkan Mustafa yang tidak bekerja dan bergantung kepada wang simpanan nekad memfailkan permohonan tuntutan di mahkamah.

Hakim Kamarulazmi Ismail menasihatkan kes berkenaan diselesaikan di luar mahkamah dan menetapkan 24 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula.

“Kita tunggu sajalah 24 Ogos ini, dia (Nasrun) ada masa dan saya harap masalah ini dapat diselesaikan dengan baik,” kata Mustafa ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Kampung Beladau Kolam di sini, semalam.

Mustafa berkata, dia buntu memikirkan masa depan dua cucunya dan terpaksa memilih jalan terakhir dengan membawa perkara itu ke mahkamah bagi membolehkan dia bertemu Nasrun.

Pesara syarikat cari gali itu berkata, dia sudah tidak bekerja, malah kesihatannya juga kurang baik kebelakangan ini menyebabkan dia tidak mampu menyediakan kewangan mencukupi untuk dua cucu kesayangannya itu yang masing-masing kini bersekolah dalam tingkatan satu dan tiga.

“Saya hanya mahu dia pulang supaya kami dapat bertemunya. Selama tujuh tahun dia tidak pernah menjenguk kedua-dua ibu bapanya dan dua anaknya... dia tidak pernah memberi nafkah kepada anaknya. Kami mahu dia menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang anak dan bapa dengan baik,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Mariam Abdullah, 54, berkata anak sulungnya itu berkahwin dengan isteri pertamanya yang berasal dari Kampung Batu Hampar, Telemong, Hulu Terengganu pada 1994, sebelum bercerai pada 1 Julai 1997, dan perceraian mereka disahkan pada 30 Disember 1998.

Katanya, selepas pasangan itu bercerai, dua cucunya dijaga bekas menantunya sehingga 2004, manakala anak lelakinya tidak pernah mengambil tahu perihal anak mereka. Bagaimanapun, selepas berkahwin baru, bekas menantunya menyerahkan penjagaan cucunya itu kepada dia dan suami.

“Anak lelaki mak cik pun berkahwin lain. Entah di mana silapnya, sejak itulah dia berubah, tidak pernah menjenguk kami dan anak-anaknya. Malah, perbelanjaan anaknya juga tidak pernah diberi. Mak cik bukan nak memuji, tapi sebelum berkahwin kali kedua, Nasrun seorang anak yang sangat baik.

“Bercakap dengan mak ayah pun sopan santun, sembahyang tidak pernah tinggal, malah sebagai anak sulung dan abang kepada enam adik, dia sangat mengambil berat hal keluarga. Siapalah yang tidak sedih bila perkara begini terjadi pada keluarga...tanya hati masing-masinglah,” katanya sambil mengelap air mata dengan tudung dipakainya.

Tuesday, July 13, 2010

Penyelesaian inkontinens urinari



MEREKA yang obes perlu menurunkan berat badan mereka sebelum mendapatkan rawatan.


LEE, 41, tidak pernah mengerti mengapa dia kerap membuang air kecil sama ada ketika memandu ke tempat kerja atau bersama keluarga semasa membeli-belah dan bersenam di gimnasium. Wanita itu sering dihantui perasaan perlu melegakan pundi kencingnya.

"Kadang-kadang saya rasa lebih banyak masa diperlukan ke tandas daripada bersenam," kata beliau.

Sementara itu, ibu kepada seorang anak, yang hanya mahu dikenali sebagai Rohaiza, 29, berkongsi pengalaman yang sama. "Bila berada di kompleks beli-belah, rasa stres bila terasa nak buang air kecil , lebih-lebih lagi apabila terpaksa menunggu giliran," katanya.

Rohaiza mula perasan perubahan pada dirinya selepas setahun dia melahirkan anak. Beliau mengalami rasa ingin buang air kecil setiap kali bersin atau batuk. Rohaiza mendapati dia tidak boleh menahan kencingnya seperti sebelum ini.

Ada beberapa kali beliau tidak sempat sampai ke tandas dan berlakulah insiden yang tidak diingini.

"Masalah yang saya alami telah menggugat keyakinan diri saya. Dulu saya gemar bersosial tetapi kini nak keluar makan malam dengan rakan-rakan pun saya khuatir. Apakah akan terjadi bila saya tidak sempat sampai ke tandas dan terbuang air kecil di khalayak ramai?," soalnya.

Bagi J. Perez, 36, beliau sudah lupa bila kali terakhir beliau tidur lena pada waktu malam.

"Saya akan terjaga dua atau tiga kali pada satu malam kerana nak buang air kecil. Lepas saya meluru ke tandas pada tengah malam, memang sukar untuk melelapkan mata. Kesannya, saya akan jadi terlampau penat dan letih pada keesokan hari," kata beliau.

Lee, Rohaiza dan Perez adalah antara mereka yang mengalami tanda-tanda pundi kencing terlampau aktif (OAB) atau dikenali juga sebagai inkontinens urinari.

Masalah itu dikatakan mengganggu setiap satu daripada enam orang dewasa. Masalah itu juga kerap didiagnosis secara kurang tepat.

Ramai yang mengalami OAB terutamanya wanita enggan mendapatkan rawatan walaupun masalah itu mengganggu kehidupan harian mereka. Ada yang menganggap inkontinens adalah sebahagian daripada proses penuaan dan tidak perlu dirawat.


AKTIVTI bersosial atau beli-belah sesuatu yang dielakkan oleh penghidap penyakit inkontinens urinari.


"OAB atau inkontinens urinari bukanlah sejenis penyakit yang disebabkan oleh penuaan. Ia adalah sejenis masalah perubatan dan boleh dirawat", kata Presiden Persatuan Urologi Malaysia Datuk Dr. Rohan Malek.

Enggan jalani pemeriksaan

Menurut beliau, ramai wanita yang mengalami masalah tersebut tetapi enggan menjalani pemeriksaan, bahkan mereka tidak mengetahui ada kaedah yang boleh merawat masalah tersebut.

"Faktor utama yang membuatkan mereka enggan datang untuk pemeriksaan mungkin kerana malu menceritakan masalah itu kepada doktor.

"Ramai juga yang berpendapat ia adalah sebahagian daripada proses penuaan atau mungkin kesan sampingan selepas melahirkan anak. Mereka rasa tidak perlu berbuat apa-apa dan rasa tidak boleh merawatnya," kata Rohan yang juga seorang pakar urologi Hospital Selayang.

Statistik di 11 buah negara menunjukkan prevalens OAB adalah 53.1 peratus. Majoritinya adalah mereka yang berumur di antara 29 hingga 59 tahun.

Di Malaysia, OAB dialami di antara 11 hingga 22 peratus daripada jumlah penduduk. Melahirkan anak adalah risiko utama tetapi OAB juga boleh disebabkan oleh beberapa faktor lain.

Menurut Rohan terdapat beberapa kaedah bagi merawat OAB termasuk fisioterapi dan perubatan. Hanya beberapa kes sahaja yang memerlukan pembedahan.

"Rawatan OAB boleh dijalankan dan jarang sekali kita perlu melakukan pembedahan terhadap pesakit OAB," kata Rohan.

Jenis inkontinens yang prevalens adalah daripada jenis terdesak dan stres. Inkontinens stres disebabkan lemah otot pelvik yang disebabkan melahirkan anak dan obesiti.

"Inkontinens stres boleh menyebabkan kebocoran kencing ketika bersin atau batuk. Kadangkala ada juga kes inkontinens terdesak bila mereka tidak boleh menahan kencing sebelum sampai ke tandas," kata beliau.

Rawatan meliputi fisioterapi dan mengenalpasti masalah terbabit. Senaman otot pelvik juga boleh membantu.

Pesakit yang gemuk juga boleh mengurangkan berat badan manakala mereka yang menghidap asma dan batuk perlulah mendapatkan rawatan terlebih dahulu.

Sementara itu, mereka yang mengalami inkontinens terdesak terpaksa berkejar ke tandas beberapa kali sehari.

"Tanda-tanda OAB adalah buang air kecil lebih lapan kali satu hari dan tidak boleh tahan bila tiba masanya.

"Pesakit juga akan mengalami nokturia iaitu kerap bangun kencing waktu malam," kata Rohan. Kesemua faktor itu boleh mengganggu tidur pesakit dan mereka akan rasa amat letih pada keesokan hari.

Ada juga pesakit terpaksa pakai lampin dan terpaksa meninggalkan aktiviti fizikal seperti bersukan. Ini akan mengganggu keyakinan diri dan membawa kepada kemurungan.


SENAMAN otot pelvik dapat membantu menangani masalah inkontines urinari.


Walaupun ada kes yang boleh dirawat dengan antibiotik, pesakit perlu berjumpa doktor bagi memastikan tiada masalah lain yang tersembunyi.

"Adakalanya tanda-tanda yang sama seperti masalah OAB dicetuskan oleh penyakit lain antaranya diabetes, angin ahmar, kanser pundi kencing atau batu karang. Penyakit-penyakit ini dikenalpasti melalui ujian air kencing sebab itulah penting bagi menjalani pemeriksaan dan saringan perubatan.

"Rawatan meliputi senaman otot pundi atau ubat antikolinergik," katanya.

Di Malaysia tidak ada statistik tentang OAB jadi agak sukar untuk mengetahui sejauh mana masalah itu telah menjangkau.

Dalam usaha untuk menyedarkan masalah OAB dan inkontinens urinari bagi wanita, Persatuan Urologi Malaysia bersama Kementerian Kesihatan serta hospital awam yang terpilih menjalankan Kempen Inkontinens Urinari Di Kalangan Wanita di seluruh negara yang bermula sejak 26 Jun lalu. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0712&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Merendahkan hormon leptin




PADA petang itu Sazzy Falak, 29, beria-ria menolak pelawaan hidangan berasaskan daging atau ayam. Seolah-olah menikmati menu tersebut merupakan kesalahan besar yang sukar dimaafkan.

"Maaf bukan cerewet tapi saya hanya makan ikan. Sudah setahun saya mengamalkan pescetarianisme iaitu makan sayur-sayuran dan ikan sahaja. Langkah drastik ini saya praktikkan bagi menjalani kehidupan yang lebih sihat.

"Sebelum ini rejim kesihatan saya lebih cenderung pada amalan bersenam di gim dan aktiviti yoga berbanding terlalu memikirkan aspek pemakanan. Meskipun jarang makan makanan yang berkalori tinggi tetapi badan saya masih belum cergas dan bertenaga khususnya untuk bangun pada waktu pagi," kata Sazzy sambil menjamu ikan kembung dan kerabu sayur.

Sejak mengamalkan rutin pemakanan tersebut dia dapat merasakan perubahan positif pada dirinya. Dia tidak menyangka pengambilan ikan dalam menu harian dapat membantu meningkatkan stamina, sekali gus mengurangkan keletihan walaupun bekerja sejak awal pagi hingga lewat malam.

Malah, anak kelahiran Kuala Lumpur itu juga mendapati kulit wajah dan badannya semakin cerah. Akui Sazzy: "Minda semakin cerdas dan pergerakan badan bertambah cergas. Bayangkan pada sebelah pagi saya sibuk dengan tugasan menguruskan syarikat dan memenuhi sesi fotografi pada sebelah petang, namun pada sebelah malam saya masih bertenaga menjalani penggambaran drama.

"Bukan itu sahaja, badan terasa lebih ringan dan saya mampu menikmati tidur nyenyak. Barangkali, protein dan zat yang terkandung dalam ikan membantu menjadikan saya individu yang sihat.


IKAN mengandungi vitamin D dan K yang tinggi.


Jelas anak sulung daripada tiga adik-beradik itu, biasanya dia mengelakkan ikan goreng kerana lebih gemar ikan yang dikukus atau dibakar. Semasa mengukus Sazzy tidak lupa mencampurkan sayur-sayuran dan rempah ratus agar semua ramuan sebati bersama ikan.

Menyedari kehilangan zat dan nutrisi yang terdapat dalam ayam dan daging, Sazzy yang ditemui di restoran Theborama Chocolate, The Curve, Petaling Jaya memberitahu, dia menggantikan produk tenusu dan serat yang memberi tenaga.

Dalam pada itu penyelidik dari Klinik Mayo Rochester, Minnesota, Amerika Syarikat (AS), Prof. Virend Somers mendedahkan, kajian mendapati diet berasaskan ikan merupakan rutin pemakanan yang sihat.

Buktinya rejim diet itu membantu mengurangkan kadar hormon leptin yang mempengaruhi nafsu makan secara berlebihan.

Berat ideal

"Hormon leptin yang terdapat dalam tubuh manusia berfungsi menghasilkan sel lemak dan berperanan memberi amaran kepada individu sama ada tahap pengambilan makanan yang diambil sudah mencukupi atau berlebihan.

"Selain itu berat badan ideal juga boleh dicapai dengan mengamalkan diet ikan. Ini bermakna individu yang hanya makan ikan dapat merendahkan risiko obesiti berbanding golongan yang obses makan ayam atau daging," ulas Somers yang turut memberitahu diet ikan masih berada di tahap rendah di kalangan rakyat AS.

Sementara itu, Nur Aina Najha Ahmad Mukhtar, 26, yang tidak gemar makan ikan sejak berusia tujuh tahun menjelaskan: "Tidak dinafikan jika terlalu banyak makan ayam atau daging ia boleh menyebabkan penambahan berat badan, tetapi masalah kegemukan dapat diatasi sekiranya individu bijak memilih makanan yang ideal dan sihat.

"Saya lebih cenderung makan ayam dan daging, jadi sewaktu memasak atau membeli makanan saya pastikan makanan tersebut kurang berminyak dan berlemak. Kaedah ini dapat mengelakkan berat badan meningkat mendadak. Paling menggembirakan sehingga kini berat badan saya tidak pernah melebihi 48 kilogram (kg)," katanya yang geli pada ikan.

Berbicara mengenai kekurangan protein dalam dietnya, graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu menjelaskan, dia menggantikannya makanan berprotein yang lain seperti kacang soya, susu, keju dan tauhu.

Selain itu Nur Aina turut menyatakan dia tidak pernah mengalami sebarang penyakit atau kurang bermaya gara-gara kehilangan protein ikan. Saban hari sebelum memulakan aktiviti harian dia meminum segelas susu dan melebihkan sayur-sayuran dalam setiap hidangan.

Menurut pakar diet dari Hospital Pantai Ampang, Kuala Lumpur, Nor Lizawati Che 'Lah, selain masalah obes, pengambilan ayam dan daging yang tidak terkawal juga mengakibatkan penyakit jantung dan masalah kolesterol tinggi. Memandangkan ayam dan daging mempunyai kadar nutrisi, jumlah lemak tepu dan kolesterol yang berbeza daripada ikan.


SAZZY mengakui tubuhnya semakin cergas sejak mengamalkan makan ikan.


Menguatkan tulang

Sehubungan itu, Nor Lizawati menyarankan supaya makan lebih banyak ikan berbanding ayam dan daging.

Ikan merupakan salah satu sumber protein yang penting. Badan memerlukan protein untuk proses pertumbuhan, perkembangan dan pembaikan tisu, enzim dan hormon. Pada masa yang sama, ia membekalkan vitamin dan mineral untuk pembentukan tulang.

"Malangnya saya dapati kebanyakan masyarakat tempatan berpendapat kekuatan tulang hanya terbentuk dengan pengambilan kalsium dalam susu. Sedangkan, vitamin D dan vitamin K yang terdapat dalam ikan turut membantu menguatkan tulang.

"Misalnya, vitamin D dalam ikan air masin, ikan halibut, ikan tuna dan minyak hati ikan. Pengambilan vitamin D secara berterusan amat digalakkan bagi penyerapan dan penggunaan kalsium dan fosforus. Ia juga penting untuk tumbesaran tulang dan gigi kanak-kanak. Ia juga mencegah otot lemah dan ritma denyutan jantung dengan lebih baik," terang Nor Lizawati ketika ditemui Kosmo!.

Tegas Nor Lizawati individu tidak digalakkan mengehadkan satu-satu jenis ikan saja kerana setiap ikan itu mempunyai kandungan zat yang berbeza-beza untuk kesihatan tubuh .

Pengambilan ikan dalam sehari pula perlu bergantung kepada keperluan dan gaya hidup seseorang.

Makan ikan secara berterusan sama sekali tidak memudaratkan kesihatan. Cuma terdapat beberapa jenis ikan yang mungkin pengambilannya perlu dihadkan khususnya kanak-kanak dan wanita hamil.


NUR AINA tidak menggemari ikan sejak umurnya tujuh tahun.


Kumpulan pakar Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) dan Agensi Alam Sekitar AS menyatakan ikan yang tinggi paras merkuri harus dielakkan sama sekali kerana ia memberi kesan kepada tumbesaran kanak-kanak dan boleh perkembangan otak bayi dalam kandungan.

"Ikan todak, yu, salmon, tuna dan tenggiri antara ikan yang mempunyai paras merkuri yang tinggi. Walaupun rasanya enak dan isinya lembut tetapi semua ikan tersebut mengandungi sejenis logam cecair berbahaya yang memudaratkan kesihatan ibu dan kandungan melalui keracunan darah," kata Nor Lizawati yang menyarankan golongan vegetarian dan individu yang tidak menggemari ikan supaya menggantikannya dengan protein daripada produk-produk soya.

Kepada Pengurus Perundingan Perhubungan Awam di salah sebuah agensi pengiklanan, Subashini Rajandra, 30, yang mengamalkan makan sayur-sayuran (vegetarian) selama sedekad mengakui tidak memberi apa-apa kesan pada kesihatan tubuhnya.

Dia yang tidak makan makanan yang berasaskan haiwan termasuklah telur menggantikannya dengan sumber protein daripada vitamin dan makanan berasaskan soya.

"Kebanyakan sayur-sayuran hijau mempunyai kandungan protein walaupun kadar proteinnya tidak setinggi seperti ikan atau ayam. Bagi meningkatkan tenaga saya banyakkan makan kentang, labu dan soya," tambah Subashini yang memilih beras perang kerana proteinnya lebih tinggi berbanding beras biasa.

Selain menambah tenaga dan protein, beras perang juga membantu mengurangkan gula dalam badan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0712&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...