Thursday, July 15, 2010

Untung goyang kaki

Oleh Muhammad Apendy Issahak dan Asmah Rusman
am@hmetro.com.my
2010/07/15

KUALA LUMPUR: “Dulu skim cepat kaya, sekarang skim piramid tapi kedua-duanya dilakukan dengan langkah yang serupa,” kata Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman mengenai penipuan segelintir pemilik syarikat yang menjalankan perniagaan berbentuk piramid atau berperingkat (MLM).

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan perniagaan yang menjana keuntungan melalui skim berperingkat iaitu mereka perlu merekrut ahli bagi memastikan keuntungan diperoleh secara berterusan.


“Dulu mereka menggunakan kaedah skim cepat kaya tetapi apabila akhbar mula melaporkan penipuan membabitkan skim itu, mereka bertindak memberhentikan aktiviti perniagaan masing-masing.


“Namun, mereka muncul pula dengan kaedah baru untuk menjana keuntungan melalui skim berbentuk piramid atau berperingkat yang kononnya boleh memberi keuntungan kepada ahli dengan cepat,”
katanya.


Mohd Yusof berkata, pengguna tidak seharusnya terpedaya dengan perniagaan yang menjanjikan kekayaan melalui skim tertentu kerana ia akhirnya menjerat diri.


Mana ada perniagaan yang memberi keuntungan dengan hanya ‘goyang kaki’ tanpa perlu berusaha dan bertungkus lumus menjalankan aktiviti jual beli. Itu hanya dakwaan palsu segelintir syarikat MLM yang mahu mengaburi mata pengguna,” katanya.


Katanya, perniagaan yang sah dan tidak berunsur penipuan memerlukan peniaga menjual barangan atau perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat bukan hanya ‘memeras tenaga’ ahli bawahan.


Semalam, Harian Metro melaporkan penyampai berita TV3, Saiful Nizam Ismail dan isteri, Khairul Noormaidah Zali atau Aida yang juga juara program realiti Gadis Melayu di TV9 menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat pemasaran pelbagai peringkat (MLM) atau jualan langsung malah, mereka juga dituduh turut bersubahat dengan syarikat terbabit.


Mangsa mengalami kerugian sebanyak RM30,000 apabila melabur dengan syarikat terbabit tetapi tidak mendapat pulangan sebagaimana dijanjikan dan sudah membuat laporan polis berhubung penipuan berkenaan. Menurut Saiful Nizam, dia tidak meragui kewibawaan syarikat MLM itu dan yakin pelaburannya akan mendapat pulangan dijanjikan kerana jenama syarikat yang menghasilkan produk kesihatan dan kecantikan itu stabil, sudah dikenali dan sering terbabit kerja amal.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan terbabit dan menurutnya siasatan sedang dijalankan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Untunggoyangkaki/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...