Monday, August 18, 2008

'Jangan ambil tanah kami'

Oleh ROSLI HASSAN
rosli@kosmo.com.my

SEBAHAGIAN daripada penduduk mengadakan demonstrasi secara aman membantah pengambilan tanah milik nenek moyang mereka di Kampung Empang Batu, Masjid Tanah, Melaka semalam. Gambar kecil Norazli Bashir.

ALOR GAJAH - "Jangan ambil tanah nenek-moyang kami!" Itulah tegas penduduk Kampung Empang Batu, Masjid Tanah di sini yang membantah pengambilan tanah bagi projek penebatan banjir.
Ahli Jawatankuasa Bertindak Projek Tebatan Banjir, Norazli Bashir, 38, berkata, pengambilan tanah itu melibatkan kira-kira 120 pemilik dengan keluasan tanah hampir lapan hektar.
Sebelum itu, ujarnya, pemilik tanah terbabit menerima surat dari Pejabat Tanah Alor Gajah mengenai pengambilan tanah itu pada 29 Julai lalu dan meminta mereka hadir untuk satu perbincangan pada 13 hingga 15 Ogos lalu di pejabat berkenaan.
"Namun yang kami tak puas hati, tender telah dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran pada 4 Ogos lalu dan lawatan tapak oleh kontraktor dilakukan 11 Ogos lalu.
"Sedangkan ketika itu, belum ada persetujuan dicapai antara pemilik dan pejabat tanah," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Norazli memberitahu, masalah banjir bukan merupakan masalah yang kerap berlaku di kampung berkenaan dan ia hanya berlaku sekali dalam tempoh 15 hingga 20 tahun sekali.
"Sepatutnya kerajaan mengambil langkah alternatif lain terlebih dulu yang tidak melibatkan pengambilan tanah penduduk.
"Saya percaya masalah banjir boleh diatasi jika sungai di sini dilebar, didalam dan diluruskan," katanya.

http://www.kosmo.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...