Monday, August 18, 2008

Peluang Selangor tamat kemarau

Oleh WAN FAKHRUL BAKAR
mailto:fakhrul@kosmo.com.myy


GERAKAN pemain Johor FC, Mohd. Riduwan Maon (kiri) dihalang Asruddin Putra pada aksi separuh akhir Piala Malaysia malam kelmarin.

SELANGOR kini di landasan terbaik bagi menamatkan kemarau kejuaraan setelah mengesahkan slot pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini.
Jika sepanjang dua musim sebelumnya Selangor menamatkan saingan tanpa sebarang piala, kehadiran pengurus pasukan yang baru, Zakaria Ab. Rahim musim ini dilihat telah membawa tuah buat skuad Merah Kuning.
Sejak diumum memegang jawatan penting itu pada 9 Jun lalu, Zakaria telah berjaya membawa Selangor melangkah ke perlawanan akhir Piala FA.
Bagaimanapun Selangor tewas 2-3 kepada juara bertahan, Kedah.
Sebelum itu, Selangor yang tampil tanpa pengurus selepas Datuk Satim Diman meletak jawatan pada 18 Mac lalu, seakan-akan hilang arah sehingga menyaksikan mereka menjunam ke tangga keempat pada penghujung saingan Liga Super.
Kini Selangor melangkah ke perlawanan akhir kedua musim ini dan Zakaria sendiri mengimpikan ia akan berakhir dengan kejuaraan.
“Alhamdulillah, walaupun kita tewas 0-1 kepada Johor FC (separuh akhir kedua) semalam (kelmarin), tapi kita tetap menang berdasarkan agregat 2-1 untuk ke final.
“Kita ada menang, seri dan tewas sepanjang laluan ke final ini. Jadi, ia tidaklah suatu tekanan buat Selangor kerana kita lebih dianggap underdog pada final nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mengulas kekalahan tipis malam kelmarin, Zakaria berkata, jentera serangannya tidak beraksi baik serta gagal menyempurnakan beberapa peluang keemasan tetapi memuji kemantapan barisan pertahanannya.
“Kita akan gunakan tempoh seminggu ini untuk membetulkan kelemahan yang ada. Pesan saya, semua pemain tetap ada peluang untuk berada dalam kesebelasan utama Sabtu ini,” tambah Zakaria.
Skuad Selangor akan kembali menjalani sesi latihan di Padang PKNS, Kelana Jaya bermula petang ini tanpa sebarang pemain yang mengalami kecederaan atau digantung perlawanan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...