Monday, August 18, 2008

Nomad terakhir

Oleh ZAKI SALLEH
zaki.salleh@kosmo.com.my


Kaum Bateq lebih gemar hidup terpencil dan menghidupkan api menggunakan kayu dan tali seperti zaman prasejarah.




BEBERAPA kanak-kanak Orang Asli suku kaum Bateq berlari-lari ke pondok keluarga masing-masing yang hanya beratapkan daun cucuh atau daun salak, ketika rombongan kami tiba di perkampungan mereka. Mungkin mereka terkejut melihat wajah-wajah asing.
Namun setelah dipujuk oleh Tok Batin Medan a/k Keladi yang merupakan ketua rumah di situ, perlahan-lahan mereka merapati kami yang menghulurkan makanan ringan sebagai buah tangan.
Dengan berpakaian agak lusuh, kanak-kanak ini kelihatan sungguh gembira sambil menyuap keropok Double Decker yang diberi.
Melihat keadaan ini, beberapa lagi anak-anak kaum Bateq ini perlahan-lahan merapati rombongan kami yang diketuai Pengarah Tourism Malaysia Kelantan (TMK), Muhammad Zaki Talib.
Namun, ada juga yang malu-malu bersembunyi di sebalik ibu masing-masing, tetapi tersenyum sebaik dihulurkan makanan ringan tadi.
Kehadiran kami kemudian disambut mesra. Sambil mata menjengah kehidupan ringkas mereka di pondok masing-masing, lensa jurugambar, Hafiz Johari tidak lepas terarah merakamkan gelagat spontan suku kaum yang dianggarkan telah ratusan tahun mendiami hutan rimba Gua Musang sehingga ke Kuala Tahan ini.
Terletak kira-kira dua kilometer dari Taman Negara Kuala Koh (TNKK), di sini terdapat kira-kira 75 penduduk suku kaum Bateq yang terdiri daripada 30 keluarga yang sebahagian besarnya kanak-kanak.
Mereka yang mendiami satu kawasan lapang seluas padang bola sepak itu bergantung hidup dengan mencari hasil hutan untuk dijual kepada peraih dengan kebenaran Perhilitan selain berburu.
Kediaman mereka beratapkan daun cucuh iaitu sejenis daun palma tidak berbatang atau daun salak, manakala lantai dan dindingnya mengunakan buluh.
Di satu sudut penempatan pula terdapat tiga pondok yang dibina ringkas menggunakan kayu-kayu hutan dan daun palma sebagai penginapan sementara atau dipanggil hayak sebelum penghuninya membina kediaman tetap.




SUDAH beratus tahun suku kaum ini hidup berpindah randah di sekitar hutan di Gua Musang.

Hasil jualan seperti kayu gaharu, damar atau tumbuhan hutan diguna membeli barang keperluan seperti beras, tepung, gula dan garam di kedai runcit kampung berhampiran yang terletak 40 kilometer dari situ dengan bantuan kakitangan Perhilitan.
Menurut kakitangan Perhilitan yang mengiringi kami, mereka merupakan satu-satunya suku kaum Bateq yang masih mengamalkan kehidupan nomad dan baru menetap di situ kira-kira lima bulan lalu.
Ujarnya, terdapat tiga kumpulan suku kaum ini di Gua Musang iaitu yang menetap Linggi, Aring 5 dan di sini, tetapi hanya perkampungan ini sahaja yang masih mengekalkan kehidupan tradisional.
"Berbeza dengan suku kaum Orang Asli lain, kaum Bateq lebih suka mengasingkan diri dan tidak gemar bercampur dengan kaum-kaum lain.
"Atas sebab itu, mereka cenderung untuk mengamalkan cara hidup nomad dengan membuka perkampungan di kawasan terpencil.
"Bagi mereka, wang ringgit sebenarnya tidak menjadi soal kerana semua yang mereka perlukan ada di sini, cuma sesekali menggunakan wang untuk membeli benda-benda yang tiada di dalam hutan," jelasnya.
Malah, di Kuala Koh ini pun hanya mereka satu-satunya kaum Orang Asli yang membuka penempatan berdekatan kawasan TNKK. Walau pun bertutur dalam bahasa percakapan sendiri, namun rata-rata lelaki remaja dan dewasa kaum ini fasih berbahasa Melayu loghat Kelantan Gua Musang.
Difahamkan suku kaum ini menetap juga di beberapa kawasan di sekitar Taman Negara Pahang dan Kelantan, tetapi jumlah keseluruhannya tidak diketahui.
Suku kaum ini mendapat gelarannya kerana keadaan kulit mereka yang bercorak seakan-akan batik dipercayai akibat genetik. Ia bukan tanda kelahiran dan tidak menyakitkan, dan keadaan fizikal yang berbeza ini menjadikan mereka cukup istimewa berbanding kaum-kaum yang lain.
Bagaimanapun, punca bagaimana corak ini terhasil sukar untuk dijelaskan. Yang pasti, ia akan hilang sebaik meningkat dewasa.
Satu lagi fakta yang menarik untuk diketahui ialah salah seorang daripada mereka (kanak-kanak lelaki) yang memiliki corak ini pada kulitnya berkemungkinan akan menjadi pemimpin kaum di masa hadapan.
Kehidupan nomad juga menyebabkan anak-anak kaum Bateq tidak bersekolah dan hanya menghabiskan masa bermain atau mengikut ahli keluarga ke hutan. Biasanya kawasan penempatan yang dipilih bebas daripada ancaman binatang buas, selain memasang perangkap di sekeliling kampung.



UNGGUN api dihidupkan 24 jam di dalam pondok bagi menghalau binatang buas.


Kebanyakan kanak-kanak memakai pakaian yang diberi orang ramai (atau mereka yang berkunjung ke situ melalui Perhilitan), manakala kaum wanitanya hanya memakai baju T dengan kain batik atau hanya berkemban sahaja.
Dan pakaian yang sama akan dipakai berminggu-minggu sehingga lusuh sebelum dibuang dan dipakai yang lain pula.
Menurut Tok Batin Medan, kebiasaannya mereka makan lima kali sehari dan wajib makan secara tradisi beramai-ramai pada pukul 12 tengah malam.
"Kami makan apa yang ada saja, misalnya ubi bakar, pisang rebus atau binatang hasil buruan. Walaupun tak banyak tetapi kami tak pernah kehabisan makanan kerana mudah dicari.
"Isteri tidak dibenarkan bekerja, mereka duduk rumah menjaga anak-anak dan hanya kaum bapa atau lelaki keluar ke hutan atau mencari makanan," ujarnya sambil menghembuskan asap rokok daun.
Memang benar, wanita suku kaum ini agak pemalu dan kebanyakan mereka hanya duduk di dalam pondok memerhatikan kami sambil melayan anak-anak mereka.
Cuma sesekali ada yang tersenyum sambil berkata sesuatu antara mereka, mungkin merasa gelihati melihat telatah kami yang ibarat 'rusa masuk kampung'.
Satu lagi keunikan kaum Bateq ialah mereka mampu menghidupkan api menggunakan kayu dan tali seperti kaedah yang diguna manusia prasejarah.
Dan menjadi kemestian mereka membiarkan api menyala 24 jam di pondok masing-masing dipercayai bagi menghalau binatang buas.





WAJAH-WAJAH suku Bateq. Mereka mendapat gelaran ini kerana keadaan kulit mereka yang bercorak seakan-akan batik dipercayai akibat genetik.


Peredaran masa menyaksikan perkakasan elektrik seperti radio, televisyen serta pemain video cakera padat turut menghiasi beberapa pondok di sini.
Tetapi menurut Tok Batin Medan, peralatan itu bagaimanapun 'jarang-jarang' digunakan kerana tiadanya bekalan elektrik ke kampung itu dan sesekali anak-anak muda ke TNKK untuk menonton televisyen.
Di satu sudut pula kelihatan beberapa remaja anak suku kaum Bateq asyik mendengar siaran radio Kelantan FM mendendangkan lagu-lagu rancak sambil tersenyum semasa diperhatikan.
Ketika disapa, salah seorang daripada mereka yang hanya dikenali sebagai Ubek memberitahu meminati kumpulan May, Wings dan Jinbara tetapi malu-malu apabila disuruh menyanyikan lagu kegemarannya.
"Saya suka lagu Cintamu Mekar Di Hati dan Farhana, sedap sangat dan kalau boleh teringin tengok konsert mereka," ujarnya yang turut tertarik dengan rancangan Akademi Fantasia (AF).
Tok Batin Medan memberitahu, masyarakatnya berhasrat untuk tinggal kekal di Kuala Koh memandangkan keadaan di situ lebih selamat dan terjamin berbanding tinggal berpindah-randah di dalam hutan.
"Walaupun kami diberi keistimewaan menebang pokok atau memburu binatang untuk makanan, tetapi rata-rata penduduk ingin menetap lama di sini.
"Tengoklah, jika selesa mungkin kami tidak berpindah-randah lagi tetapi tak tau la jika keadaan berubah," ujarnya yang mengakui kehidupan nomad masih menjadi pilihan kaumnya.



PENGUNJUNG tidak ketinggalan menghulurkan buah tangan kepada kanak-kanak.


Hampir setengah jam berada di situ, kami perlu beredar untuk menuju ke destinasi seterusnya. Berbeza semasa menjejakkan kaki ke sini, kali ini langkah pulang kami diiringi dengan lambaian kanak-kanak suku kaum Bateq yang tersenyum girang.



http://www.kosmo.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...