Sunday, September 21, 2008

Jenayah Semakin Berleluasa, Kreadibiliti Dan Integriti Polis Wajar Dipersoalkan

Dilulus terbit pada Sunday, September 21 @ 16:15:00 MYT oleh SongkokPutih

Oleh: cucumatkilau

Kematian ngeri adik Ying Xin baru-baru ini jelas sekali menggambarkan kepada kita bahawa negara Malaysia kini bukan lagi sebuah negara "Selamat, Aman dan Makmur" seperti yang dicanangkan dalam slogan BN dalam pilihanraya umu lalu. Sesungguhnya, kematian ngeri beliau itu jelas membuktikan kepada kita bahwa para penjenayah di negara ini sudah semakin berani bertindak "drastik" dan diluar batas kemanusian.

Apa lagi yang harus diperkatakan sebenarnya?. Bermula dengan siri pembunuhan demi pembunuhan seperti Canny Ong, Noritta Shamsuddin, adik Nurul Huda, Farah Deeba, Nurin Jazlin serta ramai lagi mangsa yang dikenalpasti, dan kini kehilangan adik Sharlinie masih lagi menjadi tanda tanya yang tidak berpenghujung.


Apakah ini menunjukkan bahawa negara kita ini selamat, aman dan makmur seperti yang diwar-warkan?. Mengapakah ini semua berlaku dalam keadaan pasukan keselamatan kita dianggap antara yang terbaik di rantau ini malahan juga di dunia?. Persoalannya, mengapakah penjenayah-penjenayah ini masih berleluasa di Malaysia?. Mengapa mereka gagal dibenteras dan diambil tindakan?.

Kes Nurin Jazlin misalnya, hingga kini sudah lebih setahun kejadian ini berlaku. Namun, difahamkan penjenayah terbabit masih gagal untuk ditangkap apatah lagi ditemui. Jika pasukan polis kita cekap dan betul, mereka seharusnya melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab. Apakah ukuran standard pasukan polis kita boleh dipertikaikan? Mengapakah ini berlaku. Walhal dalam kes Nurin Jazlin, khidmat FBI dari Amerika telah digunakan untuk mengenalpasti dan mengecam gambaran penjenayah yang terdapat di CCTV. Namun, dengan bantuan FBI itupun kes ini masih belum dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin. Apakah kita mahu melihat penantian ini berakhir dengan lebih banyak tragedi ngeri?.

Inilah yang berlaku kepada adik Ying Xin baru-baru ini. Beliau bukan sahaja dibunuh malahan mayatnya telah dibakar dalam usaha untuk menutup serta menghapuskan bukti. Kaedah yang digunakan ini seolah-olah mengingatkan kita kepada kejadian pembunuhan ngeri wanita Monggolia Altantunya Sharibuu dulu. Mayatnya tidak dibakar tetapi diletupkan dengan bom C4 dalam usaha penjenayah untuk menghilangkan bukti. Kes ini akan didengar keputusannya pada 31 Oktober 2008 ini. Apakah keputusannya juga akan sama dengan kes Noritta Shamsuddin, dimana akhirnya semua penjenayah terlepas? Bahkan, individu yang dituduh iaitu Hanif Basree juga dibebaskan oleh mahkamah selepas itu. Akhirnya kes itu menjadi tanda tanya, siapakah pembunuh sebenar Noritta?. Polis mengeluarkan kenyataan terdapat "dua lembaga" yang tidak dikenalpasti terlibat. Soalannya siapakah lembaga itu? Apakah mereka "orang minyak" atau mungkin juga "orang bunian". Lantara itu terlalu sukar untuk pihak polis melakukan penyiasatan secara terperinci dalam kes ini. Segalanya berakhir dan kes itu dilupakan kini.

Namun, bila timbul kes terbaru yang melibatkan pelajar pintar seperti Ying Xin baru-baru ini maka terbukalah semula mata kita. Heboh disana sini tentang keselematan yang semakin tidak terjamin. Penjenayah yang semakin berleluasa dan ganas. Membunuh, merompak dan merogol kini sudah menjadi "lumrah" dalam kehidupan rakyat Malaysia. Terasa takut untuk kita berhadapan dengan situasi ini. Seolah-olah negara kita ini sudah tidak selamat lagi. Anak-anak kita bebas ditangkap dan diculik oleh penjenayah. Bulan Ramadhan ini pun penjenayah masih beroperasi sehingga menggundang "mimpi ngeri". Lihat sahaja kes pembunuhan "tebusan" selepas bersahur di ibukota baru-baru ini. Bukankah semua ini mengundang padah, penjenayah sudah mula nampak bahawa negara Malaysia "selamat" untuk mereka melakukan kerja-kerja terkutuk itu. Mengapakah ini terjadi? Siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini.

Apakah kejadian demi kejadian ini menunjukkan yang mereka sudah nampak "ruang yang terbuka luas" untuk beroperasi di negara ini. Saban hari kita disajikan dengan adengan jenayah ini. Bukti jelas dapat kita lihat dalam rancangan 999 yang disiarkan di media arus perdana TV3. Jenayah sering berlaku hingga menakutkan kita. Mungkin mereka melihat sememangnya Malaysia tempat paling sesuai untuk tujuan itu.

Sesuatu perlu dilakukan. Kreadibiliti pasukan polis perlu dipertingkatkan, bukan sahaja integriti semata-mata. Pulihkan kembali imej dan preastasi jika mahu dihormati. Ada pihak yang kini sudah mula "benci" dan "tidak percaya" kepada polis di negara ini. Menurut mereka, polis lebih gemar melakukan operasi bila berhadapan dengan pihak pembangkang. Mereka seolah-olah akur dengan arahan pihak atasan yang menerima tekanan daripada pucuk pimpinan kerajaan. Apakah ini benar? Atau sekadar telahan semata-mata.

Lihat sahaja dalam kes liwat terbaru Anwar Ibrahim. Pihak polis begitu cepat dan cekap melakukan siasatan dengan menampilkan 18 orang saksi kes itu pada awalnya. Namun kini segalanya bagai "wayang" semata-mata. Kes telah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, biarpun banyak terdapat percanggahan fakta. Masih kita ingat laporan perubatan yang dibuat oleh seorang doktor di Pusat Rawatan Islam (Pusrawi), bahawa Saiful tidak diliwat. Namun pihak polis menolak laporan tersebut atas alasan doktor itu bukan "pakar perubatan yang sah" dan hanya sekadar pembantu. Namun, sehingga ke hari ini laporan perubatan Saiful dari Hospital Kuala Lumpur seperti yang diharap-harapkan tidak juga muncul. Maka sepatutnya kes ini boleh dibuang begitu sahaja. Apakah yang disiasat oleh pihak polis agaknya. Hinggakan mereka tidak "perasan" Saiful membuat pengakuan berbelit-belit "sekejap dipaksa" kemudia bertukar "suka sama suka". Kejadian tanpa "masa dan tarikh" bahkan banyak lagi keraguan timbul selepas itu. Namun polis terus menyiasat kes itu. Apa yang disiasat agaknya?

Lebih parah lagi, bila prosedur biasa untuk kita membeli "laporan polis" juga dinafikan. Peguambela Anwar tidak dibenarkan membeli laporan itu selagi Anwar tidak menyerahkan sampel DNAnya kepada pihak polis. Kita sebagai orang awam pun naik hairan, jika ini berlaku kepada orang lain mungkin ia sudah dilepaskan. Lihat sahaja, laporan polis yang dibuat terhadap seorang artis veteran yang popular dengan gelaran "Raja Gelek" berhubung dengan kes liwat. Mana pergi siasatan dan laporan kes itu? Senyap menyepi begitu sahaja. Mungkin kerana beliau bukan ahli politik agaknya. Namun bila berhadapan dengan kes Anwar, mereka menerima segala apa yang dinyatakan oleh pengadu iaitu Saiful Bukhari Azlan tanpa menyiasat apakah dakwaan itu benar ataupun sekadar fitnah semata-mata. Senario ini jelas sekali membuktikan kepada kita bahawa kreadibiliti pasukan polis kini semakin dipertikaikan oleh rakyat terbanyak.

Justeru itu, pihak polis perlu mengambil ikhtibar akan hal ini. Reformasi ke arah menjadikan serta mempertingkatkan kreadibiliti dan integriti polis perlu dilakukan segera bagi tidak menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap institusi itu. Rakyat yang sudah muak dan jelek dengan pihak polis ini akan terus memberontak mahukan perubahan. Inilah yang perlu dilakukan demi menyelamatkan mereka. Kita tidak mahu negara ini dianggap sebagai "selama, aman dan makmur" bagi penjenayah untuk bermaharajalela. Kes-kes yang berlaku mutakhir ini perlu dijadikan bukti bahawa memang mereka sudah tidak gusar dengan pihak polis. Mungkin mereka berkata bahawa pihak polis di Malaysia hanya akan bertindak cepat dan cekap kepada pemimpin pembangkang di negara ini. Maka mereka bebas melakukan jenayah. Sebab itulah semasa pilihanraya kecil Permatang Pauh dulu, awal-awal lagi sudah berlaku kes jenayah rompakan bernilai jutaan ringgit di Lapangan Terbang Bayan Lepas Pulau Pinang. Ini maknanya, mereka tahu jika berlaku seperti ini sudah pasti "line clear" untuk mereka lakukan jenayah terbabit. Semoga perubahan besar dapat dilakukan oleh pihak polis selepas ini.

[Kes tangkapan seorang blogger di Kuantan Pahang yang dikenali sebagai cucumatkilau, sehingga ke hari ini masih belum tahu perkembangannya. Biarpun sudah lebih 8 bulan berlalu dan laporan polis sudah dibuat. Namun status siasatan masih diragui ketelusannya. Apakah ini bermakna, pihak polis cuba menutup kes yang melibatkan anggota mereka sendiri. Jemput masuk ke Blog Pahang Daily ] (http://pahangdaily.blogspot.com/)

http://www.tranungkite.net/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...