Saturday, September 6, 2008

Ng Yen Yen pertaruh masa depan politik

05-09-2008 09:46:20 PM


KUALA LUMPUR: Mungkin tidak ramai yang menyedari bahawa Ketua Wanita MCA Datuk Dr Ng Yen Yen telah mencatat beberapa rekod sejak beliau menceburi bidang politik.


Selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas, beliau muncul sebagai anggota wanita pertama parti itu yang dilantik sebagai menteri, bagi menerajui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.


Kini, beliau mencipta satu lagi rekod iaitu sebagai anggota wanita pertama MCA yang menawarkan diri merebut satu daripada empat jawatan naib presiden parti itu. Sebelum ini, jawatan bekenaan hanya menjadi rebutan anggota lelaki.


Bagaimanapun, langkah beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan itu mengundang risko tinggi dan mungkin berdepan dengan kemungkinan akan kehilangan jawatan menteri yang disandangnya, jika apa yang beliau harapkan, tidak menjadi kenyataan.


Ini kerana, berdasarkan amalan parti itu, selalunya hanya presiden, timbalan presiden, setiausaha agung dan satu atau dua daripada empat naib presiden MCA disyor menyandang jawatan menteri dalam kerajaan Barisan Nasional (BN).


Hanya selepas pilihan raya umum lepas, dan itupun, mungkin disebabkan oleh kemerosotan prestasi MCA pada pilihan raya itu, ketua wanita dan pemuda parti berkenaan disyor mengisi empat jawatan menteri yang diperuntukkan kepada MCA.


Ini berlaku selepas presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting menolak daripada dilantik sebagai menteri, walaupun beliau memenangi kerusi Parlimen Kulai, sebagai tanda beliau bertanggungjawab bagi prestasi buruk parti itu pada pilihan raya umum berkenaan.


Timbalan presiden MCA Tan Sri Chan Kong Choy juga menolak daripada dilantik sebagai menteri.


Berikutan keputusan mereka, setiausaha agung parti itu Datuk Ong Ka Chuan dipilih menyandang jawatan menteri setelah memenangi kerusi Parlimen Tanjung Malim, manakala naib presiden Datuk Ong Tee Keat dinaikkan pangkat daripada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi kepada Menteri Pengangkutan.


Ka Chuan, yang juga abang kepada Ka Ting dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, pula mungkin bertanding bagi merebut jawatan timbalan presiden setelah Ka Ting dan Chan membuat keputusan tidak mempertahankan jawatan masing-masing pada pemilihan parti 18 Oktober ini.


Selain Dr Ng, Ka Chuan dan Tee Keat, pemimpin MCA yang menyandang jawatan menteri ialah Ketua Pemuda Datuk Liow Tiong Lai, yang menerajui Kementerian Kesihatan.


Naib presiden paling kanan, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn, tidak disyor menyandang jawatan menteri setelah berkhidmat sebagai Menteri Sumber Manusia selama dua penggal.


Tee Keat mengisytiharkan akan bertanding jawatan presiden parti, manakala Liow akan bertanding jawatan naib presiden.


Berikutan keputusan Dr Ng untuk bertanding, jawatan naib presiden kini menjadi rebutan lima calon iaitu Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Chor Chee Hueng, Pengerusi MCA Wilayah Persekutuan Datuk Tan Chai Ho, yang juga bekas timbalan menteri dalam negeri, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Kong Cho Ha dan Liow.


Penganalisis politik meramalkan lebih banyak pemimpin akan menawar diri bertanding jawatan naib presiden dan ini akan menjejaskan peluang Dr Ng.


"Bagi membolehkan beliau mengekalkan jawatan menteri, Dr Ng perlu sekurang-kurangnya mendapat undi terbanyak berbanding calon lain.
"Walaupun ini bukan sesuatu yang mudah, ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai, dengan syarat beliau mendapat jumlah undi terbanyak daripada anggota perwakilan lelaki," kata veteran MCA Datuk Wong Mok Leong.


Bagaimanapun, bagi bekas setiausaha agung MCA Tan Sri Dr Ting Chew Peh, keputusan Dr Ng untuk bertanding jawatan naib presiden itu tidak mempunyai risiko kerana pelantikan bagi manamana jawatan menteri bukan sematamata berdasarkan kedudukan seseorang di dalam parti.
"MCA sentiasa bersikap fleksibel. Presiden mempunyai kuasa mengesyorkan siapa yang patut diberi jawatan menteri. Ini pernah berlaku dalam parti ini.


"Contohnya, dalam hiraki parti, seseorang yang mendapat jumlah undi paling banyak bagi jawatan dalam jawatankuasa pusat, patut dilantik sebagai setiausaha agung parti. Bagaimanapun, presiden boleh melantik orang lain kerana jawatan setiausaha agung adalah jawatan lantikan," katanya.


Oleh itu, Ting, yang pernah menyandang jawatan Menteri Kerajaan Tempatan, berkata persoalan sama ada sesuatu keputusan itu mempunyai risiko atau tidak, adalah bersifat subjektif kerana ia banyak bergantung kepada siapa yang akan dilantik sebagai presiden parti pada 18 Oktober ini, apabila 2,188 anggota perwakilan membuat pilihan masing-masing.


"Bagi saya, tidak ada sebarang risiko. Kalau ada pun, risikonya terlalu minimum kerana beliau (Dr Ng) hanya ingin mendapatkan perakuan daripada anggota perwakilan di peringkat pusat. Ini kerana, berdasarkan kedudukannya sebagai Ketua Wanita, beliau juga adalah seorang naib presiden.


"Malah, pada pendapat saya, beliau patut bertanding jawatan lebih tinggi seperti timbalan presiden, bukannya naib presiden," kata Ting. BERNAMA


http://mstar.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...