Saturday, September 6, 2008

Yen Yen tanding Naib Presiden MCA, cipta sejarah

05-09-2008 09:49:46 PM


KOTA BAHARU: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Ng Yen Yen hari ini mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan Naib Presiden MCA pada pemilihan parti itu 18 Oktober depan.


Ng, yang juga Ketua Wanita MCA Pusat dan Pengerusi MCA Kelantan, berkata keputusan itu dibuat setelah mengadakan perbincangan dengan anggota MCA dan menerima maklum balas memberangsangkan serta sokongan termasuk daripada anggota 14 bahagian MCA di Kelantan, anggota wanita negeri dan Wanita MCA selain sokongan keluarga.


"Semangat dan sokongan daripada semua itu menyebabkan saya berani mengesahkan saya akan bertanding jawatan Naib Presiden.


Saya bawa pengalaman selama 35 tahun dalam MCA, sebagai ketua cawangan, bahagian, negeri, naib ketua wanita dan Pengerusi Wanita MCA selama sembilan tahun.


"Saya juga yakin boleh bekerjasama dengan sesiapa pun dalam MCA," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat di Pejabat MCA Kelantan, di sini, hari ini.


Keputusan itu menjadi satu sejarah buat MCA kerana ini kali pertama wanita bertanding di peringkat tertinggi parti sejak penubuhan parti itu 59 tahun lalu.


Katanya, sudah tiba masanya untuk wanita mempunyai suara dalam pimpinan tertinggi parti walaupun sudah 59 tahun parti itu ditubuhkan.


Ng juga enggan mengulas megenai calon lain yang telah menawarkan diri bagi jawatan Naib Presiden MCA, yang sehingga kini seramai empat pemimpin MCA telah menawarkan diri.


Mereka ialah Pengerusi Badan Perhubungan MCA Kedah, Datuk Chor Chee Heung yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Kong Cho Ha; Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai, yang juga Ketua Pemuda MCA, dan Pengerusi MCA Wilayah Persekutuan, Datuk Tan Chai Ho yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri.


Anggota wanita MCA membentuk 37 peratus daripada keseluruhan keanggotaan dalam MCA dengan jumlah seramai 430,000 anggota.


Sementara itu, Ng berkata MCA akan tetap setia dengan Barisan Nasional (BN) dan mengamalkan semangat setia kawan.


"Kita ada keyakinan kepada BN, dan mesti bersama-sama tangani masalah yang banyak timbul sekarang ini.


Bagaimanapun, kita mesti kaji mengapa kita tidak mendapat sokongan daripada kaum Cina sekarang ini," katanya.


Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hari ini bahawa parti itu akan mengkaji semula kedudukan mereka dalam BN sekiranya parti-parti dalam BN terutamanya Umno gagal membuat perubahan untuk mengembalikan keyakinan rakyat.


Ng berkata semua parti komponen dalam BN perlu duduk semeja dan berbincang serta mengkaji cara untuk menarik semula sokongan rakyat kepada mereka.


Dalam perkembangan lain, beliau berkata MCA Kelantan akan menghantar surat kepada Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi membantah kenyataan berbaur hasutan yang dibuat Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera Datuk Ahmad Ismail baru-baru ini.


Katanya keengganan Ahmad meminta maaf atas perbuatannya itu mengecewakan kaum Cina dan tindakan sewajarnya perlu diambil oleh Abdullah. BERNAMA


http://mstar.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...