Tuesday, October 21, 2008

Muhyiddin: Saya hormati p'alihan kuasa

Oct 20, 08 11:10am


Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang akan bertanding jawatan timbalan presiden Umno, berkata beliau sentiasa menghormati pelan peralihan kuasa dan ulasan semata-mata berkaitan tempoh berkempen.

"Saya menghormati pelan peralihan kuasa yang telahpun dipersetujui.

"Saya orang pertama yang memberi respons bahawa saya menghormatinya, saya menerimanya, saya tidak lagi bertanya apa-apa mengenainya kerana ia telahpun dipersetujui oleh pemimpin, anggota majlis (tertinggi), lebih baik kita berpegang kepada keputusan itu.

"Saya hanya menyatakan fakta, jika ia (tempoh berkempen) adalah panjang, maka ia adalah panjang.

"Saya tidak menyarankan lebih daripada apa yang saya katakan," katanya, lapor Bernama, selepas menghadiri sambutan hari raya Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Sabah di Kota Kinabalu semalam.

Ditanya sama ada beliau akan membuat penjelasan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung kekeliruan kenyataannya, Muhyiddin berkata:

"Saya sememangnya mahu membuat penjelasan, tiada masalah, jika perdana menteri mahu saya membuat penjelasan mengenai apa yang telah saya katakan."

Kepada soalan sekiranya beliau percaya Abdullah telah salah faham tentang apa yang beliau cuba katakan, menurut agensi berita itu lagi, Muhyiddin berkata ramai orang tidak memahami apa yang beliau perkatakan.

"Dua hari lepas, Datuk Seri Najib juga bertanya kepada saya sama ada saya baca laporan yang disiarkan oleh Utusan Malaysia.

"Sebenarnya saya cakap, saya hanya memberikan ulasan berhubung pertanyaan orang kepada saya tentang tempoh empat bulan berkempen, adakah ia panjang atau tidak?

"Jadi saya jawab sudah tentulah ia panjang, itu saja," jelas beliau.

"Saya langsung tidak sentuh mengenai pelan peralihan, saya hanya beri respons kepada soalan berhubung tempoh berkempen," katanya.

Muhyiddin berkata beliau dinasihati oleh ramai kawannya supaya bersabar dengan keadaan itu dan tidak memberi ulasan selanjutnya yang boleh disalah tafsir.

http://www1.malaysiakini.com/news/91594

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...