Monday, October 27, 2008

Kerja teruk demi anak - Pekerja asing Malaysia kirim RM50 juta sehari



SEJAK diwujudkan pada 2001, Yayasan Western Union sudah memberi geran berjumlah AS$45 bilion khusus untuk membantu ribuan imigran yang miskin di lebih 70 buah negara termasuk Malaysia.

--------------------------------------------------------------------------------

SETIAP awal bulan, Gilda Barrios Pamo, 37, dari Pulau Luzon, Filipina seperti biasa kelihatan sabar beratur menunggu giliran di sebuah bank di Lembah Klang sebaik saja ia dibuka pukul 9 pagi.

Pembantu rumah itu sanggup keluar sejak awal pagi lagi dengan menaiki bas dari kediaman majikannya di Klang, Selangor semata-mata untuk segera menyelesaikan tugasnya itu.

Tiba di kaunter, juruwang seolah-olah sudah mengerti urusan ibu kepada dua anak lelaki yang menjadi ‘pelanggan’ tetap itu iaitu mengirim wang ke kampungnya.

Itulah rutin bulanan Gilda. Habis sahaja urusan, dia bergegas pulang ke rumah majikannya. Namun dia tidak lupa memberi bantuan kewangan kepada keluarganya yang miskin biarpun sedikit.

“Anak sulung saya berumur 16 tahun dan yang bongsu sembilan tahun. Mereka cukup gembira menerima kiriman wang gaji ini biarpun saya amat jarang pulang ke kampung,” katanya sayu.

Hakikatnya, Gilda tidak keseorangan. Dianggarkan seramai 2.1 juta pekerja asing di Malaysia melakukan perkara yang sama iaitu menghantar wang buat keluarga tercinta di negara asalnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam jawapannya di Parlimen Rabu lalu bahkan mendedahkan secara purata, setiap pekerja itu mengirim RM720 sebulan.

Bagaimanapun transaksi keluar tersebut setakat ini tidak menjejaskan kedudukan rizab kewangan semasa dan angka itu cuma mewakili 4.7 peratus simpanan negara.

Ironi, tidak ramai yang menyedari kenapa pekerja asing khususnya di sektor perburuhan dan pembantu rumah tekun mengirim pulang wang itu meskipun nilainya tidaklah begitu besar.



SYUKUR. Gilda ceria menceritakan anaknya di kampung dapat bersekolah dengan baik hasil geran pendidikan Yayasan Western Union.

--------------------------------------------------------------------------------

“Rahsianya mungkin remeh tetapi realitinya mereka berbuat demikian demi membantu meringankan beban persekolahan si anak di kampung yang miskin,” jelas Anand Kadakol.

Pengurus Negara Malaysia Western Union itu bukan bercakap kosong sebaliknya berdasarkan kajian rapi firma pemindahan wang terbesar di dunia sejak tahun 1851 itu.

Bancian mereka menunjukkan warga asing yang bekerja di Malaysia mengirim wang berjumlah AS$5 bilion (RM17.47 bilion) setiap tahun ke negara asal mereka.

Angka kasar tersebut termasuk juga yang dihantar oleh ribuan pendatang tanpa izin. Secara purata sejumlah RM46.57 juta wang dari negara ini mengalir keluar pada setiap hari.

Isu pendidikan itu rupa-rupanya secara tidak langsung mendedahkan kenyataan kenapa ribuan rakyat asing sanggup berhijrah ke Malaysia walaupun bekerja dengan gaji kecil.

“Saya sendiri pernah berbual dengan mereka dan menitis air mata apabila secara jujur mereka bercerita mengenai kesanggupan berlapar semata-mata mahu anak mereka tidak tercicir sekolah,” katanya.

Realiti itu diakui Aguswandi Ramli yang merupakan antara 100 penerima geran pendidikan Yayasan Western Union dan Hope Worldwide di Kuala Lumpur baru-baru ini.


--------------------------------------------------------------------------------


Bersama Gilda, dia yang berasal dari Makasar, Indonesia tidak lupa menghantar sejumlah wang ke kampung untuk memastikan anak-anaknya berjaya dalam pelajaran.

Pernah anaknya tidak mampu membeli buku kerana tidak cukup wang lalu dia sanggup bekerja lebih masa untuk mendapat upah tinggi dek tidak sampai hati dengan rintihan itu.

“Daripada wang inilah, mereka mendapat keputusan yang baik dalam ujian tetapi adakala saya menangis tidak dapat bersama meraikan kejayaan anak-anak saya di kampung,” jelasnya pilu.

Namun Aguswandi bersyukur dipilih sebagai penerima geran berjumlah RM1,000 dan berharap biasiswa kecil itu meningkatkan motivasi anaknya untuk terus cemerlang hingga ke peringkat tertinggi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...