Wednesday, November 26, 2008

Marahkan ayah, tertembak ibu

Oleh AZIZI MAJID
berita@kosmo.com.my

GOMBAK - Gara-gara perselisihan faham antara bapa dan anak lelakinya, seorang ibu menjadi mangsa apabila satu das tembakan yang dilepaskan anaknya tersasar mengenai rusuk kanannya di Country Homes di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 7 malam itu, remaja berusia 15 tahun itu yang baru selesai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dikatakan bertengkar dengan bapanya, seorang anggota polis di tempat letak kereta rumah mereka.

Jurucakap polis berkata, ketika pertengkaran berlaku, remaja terbabit kemudian dikatakan masuk ke dalam rumah lalu mengambil sepucuk pistol milik ayahnya dari dalam almari sebelum melepaskan tembakan.

Malangnya jelas jurucakap itu, tembakan tersebut mengenai rusuk kanan ibunya yang turut berada di tempat kejadian.

"Ketika kejadian terdapat enam ahli keluarga mangsa di dalam rumah berkenaan dan ketika remaja lelaki itu melepaskan tembakan ia tersasar pada rusuk kanan ibunya," katanya di sini semalam

Menurutnya, ekoran itu, wanita berusia 45 tahun yang cedera itu kemudian dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh dengan bantuan jiran untuk rawatan lanjut. Keadaannya dilaporkan stabil.

Bapa remaja itu merupakan seorang anggota polis berpangkat sarjan yang kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1126&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...