Monday, December 22, 2008

Buntu cari anak ikut tomboi

MUAR: “Sejak Fahreena (Farshah Kassim, 21) menghilangkan diri pada April lalu, pelbagai usaha sudah saya lakukan termasuk meminta bantuan daripada pihak berkuasa mencarinya kembali semula ke pangkuan keluarga namun sehingga kini, usaha itu masih buntu,” kata seorang wanita, Fatimah Mukhtar, 43, semalam.

Ibu tunggal itu berkata, sejak kehilangan anak perempuan tunggalnya, dia sering ternanti-nantikan khabar gembira dan kerap melihat gambar anaknya yang disimpan kerana rindu, selain bimbangkan keselamatan gadis berkenaan.

Menurutnya, Fahreena dipercayai menghilangkan diri selepas menghantar ibu saudaranya, Sharina Abdullah, 50, dengan menaiki motosikal ke tempat kerja pada petang 12 April lalu dan terus tidak pulang ke rumah.

Katanya, dia mengetahui Fahreena berkawan rapat dengan seorang wanita berkelakuan seperti lelaki atau tomboi dan mengenalinya ketika Fahreena membawanya pulang ke rumah.

“Namun saya tidak pernah mengesyaki apa-apa sehinggalah diberitahu kenalan rapat anak perempuan saya baru-baru ini mereka pernah ternampak kedua-duanya di beberapa tempat di daerah ini selain di Melaka, sejak menghilangkan diri.

“Saya ada membuat laporan polis mengenai kehilangan anak perempuan saya pada hari kejadian dan berharap orang ramai mengenalinya dapat membantunya kembali ke pangkal jalan.

“Ini bukan kejadian pertama kerana sebelum itu Fahreena pernah dua kali menghilangkan diri bersama kenalan wanitanya dan apabila ditanya dia hanya berdiam diri seperti menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan saya.

“Malah, sikapnya berubah menjadi tidak mahu menerima teguran dan saya bimbang dia terpengaruh dengan keseronokan tanpa memikirkan masa depannya,” katanya.

Fatimah mendakwa, sebelum ini Fahreena anak yang bertanggungjawab dan mempunyai pekerjaan baik serta disenangi semua ahli keluarga tetapi sejak akhir-akhir ini dia berubah selepas berkenalan dengan tomboi berkenaan.

Sehubungan itu, dia berharap Fahreena sedar dan segera kembali ke pangkuan keluarga kerana neneknya sering bertanya, selain bimbang gadis terbabit akan terus melupakan pengorbanannya sebagai ibu.

“Sehubungan itu, saya mengharapkan orang ramai yang mengenalinya dapat memberi maklumat dengan menghubungi saya di 017-7436742 ataupun sepupu, Sani Mohd Hasan di 017-6806063,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081222094349/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...