Monday, March 30, 2009

Perjalanan penuh liku

SABAK BERNAM: Buta, sebatang kara dan hanya menumpang di sebuah bilik kecil di bawah sebuah surau. Begitulah peritnya kehidupan dilalui Muhammad Balan Abdullah, 38, yang memeluk Islam sejak Februari 1992.

Namun dalam apa jua keadaan sekalipun, dia tidak akan sekali-kali menggadaikan akidah dan kemurnian agama Islam yang kini dianutinya.

Cuma, katanya, dia mahu meluahkan pengalaman yang dilaluinya sepanjang bergelar mualaf.

“Walau macam mana susah sekalipun, saya akan sentiasa berusaha mendalami ajaran Islam. Saya hanya fikir, saya beruntung sebab mendapat hidayah Allah SWT yang membuka hati saya untuk memeluk Islam.

“Kalau nak diikutkan, perjalanan saya sebagai mualaf penuh berliku, tetapi saya tenang selepas memilih Islam,” katanya.

Menurut Balan, asalnya bukan dia seorang yang mahu memeluk Islam, malah ibu dan adik beradiknya turut berminat, tetapi ketika berkunjung ke sebuah pejabat agama di Kedah, layanan mereka terima sangat menyedihkan.

“Mereka kata nak masuk Islam, fikir dulu. Mereka suruh kami balik ke rumah memikirkan kembali keputusan kami sedalam-dalamnya. Kesudahannya, tiga kali kami pergi mereka suruh buat benda sama.

“Kami turut dituduh masuk Islam semata-mata mahukan bantuan. Akhirnya, ibu dan adik beradik saya tidak jadi masuk Islam. Hanya saya meneruskan hasrat memeluk Islam,”
katanya.

Bagaimanapun, kata Balan, keputusannya memeluk Islam menyebabkan dia dipinggirkan keluarga sehingga terpaksa membawa diri dengan meminta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya ditempatkan sementara waktu di rumah orang tua. Alhamdulillah, saya mendapat bantuan RM150 sebulan daripada JKM,” katanya.

Balan berkata, selepas dua minggu di rumah orang kebajikan itu, dia dibawa oleh pendakwah, Mohd Hisham atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Hisham ke Sungai Besar. Sejak itu bermulalah kehidupan barunya di Selangor.

Katanya, di Selangor dia mendalami Islam dengan bantuan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) sehingga mendapat bantuan sebuah rumah dan wang RM150 sebulan daripada Pusat Zakat Selangor.

“Saya hanya menduduki rumah itu dalam tempoh dua bulan. Ini kerana jiran yang saya minta bantuan memasak makanan harian saya dengan bayaran tertentu, tidak lagi mahu berbuat demikian.

“Puncanya mungkin kerana kecil hati sebab pada satu ketika saya bertanya mahu menumpang pergi sembahyang Jumaat, tetapi dia tidak pergi. Sejak itu isterinya tidak lagi mahu menyediakan makanan untuk saya,”
katanya.

Muhammad Balan berkata, kerana sukar meneruskan kehidupan di rumah itu, dia berpindah ke sebuah surau di Kampung Pekan Selasa Lama, Sungai Besar.

Katanya, di surau berkenaan dia dibenarkan menetap di sebuah bilik kecil di bawah surau.

“Di surau ini bolehlah saya belajar agama, meminta bantuan untuk mendapatkan makanan dan beberapa bantuan lain. 

“Alhamdulillah, saya tenang di sini walaupun dalam serba kekurangan,”
katanya yang kini kembali menjalin hubungan baik dengan keluarganya.

Muhammad Balan berkata, dia akan menziarahi ibunya, R Sinama, 63, setahun sekali walaupun berbeza agama kerana tanggungjawab sebagai anak tidak terputus walaupun dia kini bergelar mualaf.

Dia yang buta sejak kecil selepas mengalami demam panas berminat dengan agama Islam sejak remaja dan sering mengikuti rancangan soal jawab agama di radio serta mendengar khutbah Jumaat tetapi hasrat memeluk Islam dipendamkan dalam hati.

Namun, hasratnya tidak dapat disekat lagi apabila pada satu hari bapa rakannya muncul dalam mimpi dan membaca surah Al- Iqra’ sebelum dia mengambil keputusan memeluk Islam pada 1992 ketika berusia 23 tahun.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...