Saturday, May 30, 2009

Obama tertekan isu tahanan Iraq


GAMBAR fail menunjukkan seorang askar wanita Amerika Syarikat (AS) menyeksa seorang tahanan di Penjara Abu Gharib di Baghdad, Iraq.


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama semakin tertekan semalam berhubung pendedahan bahawa pentadbiran beliau menyembunyikan sejumlah imej jenayah kejam askar AS di Iraq, lapor sebuah akhbar semalam.

Arahan Obama pada minggu lalu supaya gambar-gambar itu tidak disiarkan kerana mampu membangkitkan sentimen anti AS di Iraq dan Afghanistan selain boleh mencetuskan kemarahan banyak pihak.

Tekanan terhadap beliau meningkat selepas seorang bekas jeneral AS, Antonio Taguba mendakwa Washington enggan berbuat demikian kerana sejumlah gambar itu mengandungi imej askar AS merogol dan menyeksa orang awam.

"Anda tidak akan percaya berhubung kekejaman yang dipaparkan dalam gambar-gambar ini.

"Ia amat dahsyat, percayalah," kata Taquba yang bertanggungjawab menyiasat tentang kekejaman di Penjara Abu Gharib pada tahun 2004.

Satu gambar itu dilaporkan menunjukkan seorang anggota tentera AS tanpa perasaan perikemanusiaan merogol seorang tahanan wanita manakala gambar lain memaparkan seorang jurubahasa lelaki meliwat seorang tahanan lelaki.

Susulan pendedahan Taquba itu, beberapa pertubuhan hak asasi manusia menuntut supaya satu suruhanjaya bebas dibentuk bagi menyiasat perkara berkenaan dengan telus.

Jurucakap pertubuhan Human Rights Watch yang beribu pejabat di New York, Joanne Marine berkata, pendedahan Mejar Jeneral Taquba mengesahkan kebimbangan sebelum ini bahawa AS menggunakan sistem penyeksaan sistematik terhadap para tahanan di Iraq.

"Kami percaya siasatan perlu dilakukan. Gambar-gambar itu perlu didedahkan kepada umum.

"AS memiliki tanggungjawab untuk berbuat demikian dan kami akan terus menuntut supaya siasatan itu dikendalikan oleh satu suruhanjaya bebas," katanya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0530&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...