Saturday, May 30, 2009

'Tolong kebumikan dia'

KUANTAN - "Tolong kebumikan dia, saya tidak berkemampuan kebumikannya".

Itulah bunyi nota yang ditinggalkan bersama mayat seorang bayi lelaki baru lahir dalam bungkusan surat khabar di perkampungan Balok Makmur di sini semalam.

Mayat itu ditemui seorang penduduk kampung itu, Mohd. Hafiz Ismail, 32, di pekarangan rumahnya ketika dia hendak keluar bekerja.

Menurutnya, pada pukul 3 pagi, dia terdengar bunyi motosikal berhenti di hadapan rumahnya, tetapi tidak endahkannya dan terus tidur.

Mohd. Hafiz berkata, pada 7.30 pagi, dia ternampak satu bungkusanketika hendak keluar bekerja dan selepas membukanya dia terkejut melihat mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat.

Pengerusi Kelab Rukun Tetangga Balok, Sulaiman Yusof berkata, beliau melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Supt Zulkifli Taha ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes tersebut.

Beliau berkata, mayat bayi itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk bedah siasat dan pihaknya sedang mengesan ibu kepada bayi itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0529&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...