Saturday, May 30, 2009

Pengsan direntap peragut

Oleh Hadzlan Hassan
hadzlan@hmetro.com.my


KUALA TERENGGANU: Seorang wanita tidak sedarkan diri akibat mengalami gegaran otak selain bengkak bibir, lebam mata kanan dan patah gigi selepas menjadi mangsa ragut di Jalan Tengku Omar, Gong Badak, dekat sini, semalam.

Kejadian jam 11.30 pagi itu berlaku ketika Mazlina Nawang, 45, pekerja kedai dobi Sekolah Menengah Teknik Wakaf Tembesu di sini, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Wakaf Tembusu, Batu Rakit sebelum dihampiri peragut bermotosikal yang cuba melarikan beg tangannya.

Setakat ini tiada saksi tampil memberi keterangan.

Walaupun mangsa mengalami kecederaan serius, keadaannya stabil selepas menerima rawatan segera kakitangan Jabatan Kecemasan, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Namun, wanita itu belum bersedia memberi keterangan.

Beberapa pegawai penyiasat dilihat berada di perkarangan hospital berbual dengan keluarga mangsa bagi mendapatkan gambaran kejadian, namun mereka juga tidak mengetahui bagaimana kejadian itu berlaku.

Perkembangan itu menyebabkan polis hanya berpandukan kepada laporan awal kejadian dan menunggu mangsa pulih sepenuhnya untuk diambil keterangan.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis daerah, Deputi Superintendan Harry Chung Chiu Mok, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Memang kita menerima maklumat mengenai kejadian itu dan siasatan mengenainya masih dijalankan,” katanya.

Anak sulung mangsa, Nur Aqidah Nasffatil, 23, berkata dia hanya mengetahui mengenai kejadian itu selepas dihubungi seseorang melalui telefon bimbit ibunya yang memaklumkan ibunya cedera dan dihantar ke HSNZ.

Menurutnya, beg tangan ibunya gagal dilarikan dan sudah diserahkan kepadanya semalam dengan semua dokumen penting seperti kad pengenalan, lesen memandu, telefon bimbit dan wang tunai tidak terusik.

“Saya tidak tahu bagaimana beg itu masih ada pada ibu, mungkin talinya terputus menyebabkan kenderaan itu sukar dikawal lalu dia terjatuh.

“Bagaimanapun, saya berharap orang ramai yang membantu ibu dapat menghubungi polis atau bertemu kami sekeluarga kerana kami juga mahu tahu bagaimana kejadian itu berlaku,”
katanya.

Wartawan Harian Metro yang menziarahi ibu enam anak berusia dua hingga 23 tahun itu mendapati wanita itu belum sedar sepenuhnya dan tidak mampu bercakap.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090529073406/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...