Saturday, June 13, 2009

Berjuta rakyat Iran mengundi


BEBERAPA wanita berbaris menunggu giliran mengundi di sebuah pusat pengundian di Teheran semalam.


TEHERAN - Berjuta-juta penduduk Iran memenuhi pusat-pusat membuang undi semalam dengan calon reformasi, Mir Hossein Mousavi (gambar) dijangka memperoleh kelebihan undi berbanding Presiden Mahmoud Ahmadinejad.

Orang ramai keluar mengundi sejak awal pagi malah di beberapa pusat pengundian, ramai yang terpaksa beratur panjang sebelum dapat membuang undi.

"Saya berhadap Mahmoud dapat dikalahkan," kata seorang pengundi, Mahnaz Mottaghi, 23, selepas membuang undi di sebuah masjid di tengah Teheran.

Di luar pusat pengundian sama, seorang peniaga, Abbas Rezai, 29, berkata, dia, isteri dan adik iparnya mengundi Mahmoud.

"Kami memilih Mahmoud untuk menjadi presiden untuk empat tahun lagi," katanya.


MAHMOUD dikelilingi penyokongnya di sebuah pusat pengundian di Teheran semalam.


Ceramah, slogan, kempen Internet dan debat televisyen menyemarakan lagi pilihan raya presiden kali ini.

Berikutan itu, Kementerian Dalam Negeri yang menyelia proses pengundian mengharamkan perhimpunan sehingga keputusan rasmi diumumkan hari ini.

Keputusan pemilihan kali ini dijangka tidak mengubah dasar utama Iran atau keputusan peringkat tertinggi seperti kemungkinan perbincangan dengan Washington berhubung beberapa isu.

Dasar-dasar itu dikawal langsung oleh ulama yang diketuai pemimpin agung, Ayatollah Ali Khamenei.

Mir Houssein berharap untuk memperkenalkan sistem media liberal dan cuba berdialog dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama selepas hampir 30 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua negara terhenti.

Beliau lebih berminat terhadap perbincangan dengan kuasa utama dunia dalam menyelesaikan isu reaktor tenaga nuklear yang dianggap Barat sebagai usaha menghasilkan bom nuklear.




Selain di Iran, warganya di seluruh dunia turut membuang undi di bangunan kedutaan.

Di Dubai, jalan-jalan berhampiran bangunan konsulat dipenuhi warga Iran yang cenderung memberi sokongan terhadap Mir Hossein.

"Dia ialah Obama kami," kata seorang ahli perniagaan, Maliki Zadehamid, 39.

Jumlah pengundi kali ini boleh mengatasi rekod 80 peratus keluar mengundi 12 tahun lalu yang menyaksikan Presiden Mohammad Khatami menang.

Mohammad menjangkakan Mir Hossein yang pernah menjadi perdana menteri pada 1980-an akan dipilih menggantikan Mahmoud.

"Semua penunjuk menunjukkan Mir Hossein akan menang," kata Mohammad.

Mir Hossein mengecam Mahmoud kerana salah urus ekonomi yang menyebabkan inflasi naik sehingga dua digit serta menyebabkan kadar pengangguran yang tinggi walaupun negara itu dilimpahi rizab gas dan minyak mentah. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...