Saturday, June 13, 2009

Gagal samun ATM ceroboh restoran


DUA anggota polis memeriksa mesin ATM yang diumpil
di Pertama Kompleks di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Kejahilan dua pengawal keselamatan warga Nepal mengenai kecanggihan sistem keselamatan mesin pengeluar wang automatik (ATM) menghampakan niat mereka melarikan wang berjumlah RM320,000 dari sebuah mesin ATM di Pertama Kompleks Jalan Tunku Abdul Rahman di sini semalam.

Kedua-dua suspek yang bertugas syif malam bermula pada pukul 8 malam di sebuah premis perniagaan di situ dikatakan telah cuba mengumpil mesin tersebut menggunakan empat peralatan iaitu tukul, batang besi, pengumpil dan ragum.

Bagaimanapun, usaha mereka gagal kerana mesin ATM milik sebuah bank itu tidak mudah dipecah.

Enggan berputih mata, kedua-dua suspek itu kemudian menceroboh pula sebuah restoran yang terletak bersebelahan dengan mesin ATM tersebut.

Di restoran itu, kedua-dua suspek telah memecahkan peti simpanan dan melarikan wang berjumlah RM1,500.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohammad Sabtu Osman berkata, cubaan memecah mesin ATM itu disedari oleh dua pengawal keselamatan lain juga warga Nepal yang mahu memulakan syif pagi pada pukul 8 pagi.

"Semasa memulakan kerja mereka nampak ada percubaan memecahkan mesin ATM tersebut," kata beliau.

Menurut beliau, polis yang menyiasat kejadian itu mengesahkan terdapat cubaan menyamun wang dalam mesin ATM itu tetapi gagal.

"Kira-kira dua jam meninggalkan premis itu, kami menerima panggilan dari restoran yang memaklumkan peti besi restoran itu telah diumpil," kata beliau.

Kata beliau, polis yang menyiasat kedua-dua kejadian itu percaya suspek sama terlibat dalam kedua-dua kejadian tersebut.

Muhammad Sabtu memberitahu, pihaknya turut menjumpai beberapa peralatan memecah kedai yang ditinggalkan di restoran tersebut.

"Kita sedang mencari dua pengawal keselamatan itu yang telah menghilangkan diri," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0613&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...