Sunday, June 21, 2009

Dr M hanya dengar cerita

IPOH: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mengakui mendengar cerita Pengerusi Petronas, Tan Sri Hassan Merican akan diganti oleh individu lain, namun menegaskan beliau tidak tahu sejauh mana kebenaran cerita itu.

Katanya, beliau hanya penasihat tanpa kuasa eksekutif dan oleh kerana Petronas terletak terus di bawah bidang kuasa Perdana Menteri, sebarang pelantikan jawatan di syarikat itu bergantung kepada keputusan Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat agung penubuhan Gagasan Melayu Perak di sini, semalam.

Desas-desus sejak beberapa bulan lalu menyatakan, bekas Pegawai Khas Najib ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, Omar Mustapha Ong, akan dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah manakala bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar dilantik sebagai Pengerusi Petronas menggantikan Hassan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Petronas.

Sementara itu, ketika mengulas tulisan dalam blognya www.chedet.cc yang menyamakan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew sebagai ‘Maharaja Kecil’, Dr Mahathir berkata, Lee adalah pemimpin sombong yang cuba mengajar pemimpin di negara jirannya.

“Orang ini cukup sombong. Dia pergi ke negara jiran untuk nak bagi tahu apa patut mereka buat dan dia mengutamakan negeri dia dan memberitahu kepada kita, kita hanya pedalaman. Saya dari dulu pun tak berapa serasi dengan dia,” katanya.

Mengenai lawatan lapan hari Lee ke beberapa negeri baru-baru ini, Dr Mahathir berkata, bekas pemimpin Malaysia belum tentu akan mendapat layanan serupa di republik itu.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis itu, Dr Mahathir berkata, masa depan orang Melayu akan menjadi gelap jika pemimpin Umno terus dengan sikap lebih mengutamakan kepentingan diri daripada agama, bangsa dan negara.

“Umno tidak lagi memperjuangkan kepentingan orang Melayu, tapi menjadi landasan untuk orang mendapat tempat dan gelaran.

“Sebab itu pada pilihan raya umum ke-12, orang Melayu tidak lagi mengundi Umno sebab mereka kecewa dengan keadaan sedemikian,”
tegasnya. — Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...