Sunday, June 21, 2009

Mangsa kedua positif H1N1

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat kes jangkitan kedua tempatan influenza A(H1N1) apabila seorang lelaki warga tempatan berusia 22 tahun disahkan positif, kelmarin.

Lelaki itu, kes ke-37 daripada 42 kes dicatatkan setakat ini di negara ini, adalah kontak terdekat kepada pesakit kes ke-28, iaitu pelajar Malaysia berumur 20 tahun menuntut di Universiti Chicago yang pulang bercuti, Isnin lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, dalam satu kenyataan semalam berkata, lelaki itu bagaimanapun tiada sejarah perjalanan ke luar negara.

Beliau berkata, setelah mengetahui dirinya menjadi kontak kepada kes ke-28, lelaki itu pergi ke Hospital Sungai Buloh dan terus dimasukkan ke wad pada jam 3 petang kelmarin.

“Siasatan mendapati beliau demam, sakit badan dan sakit kepala pada pagi 18 Jun. Beliau disahkan positif pada 19 Jun 2009 dan adalah jangkitan tempatan,” katanya.

Penularan wabak itu di peringkat tempatan yang pertama dikesan pada pesakit ke-19, yang disahkan positif pada 15 Jun lalu.

Pesakit berkenaan, seorang pelajar perempuan 17 tahun, dijangkiti daripada pesakit ke-12 akibat kegagalan kuarantin apabila tidak dimaklumkan pernah berhubung dengan pelajar perubatan kes terdahulu.

Kes kedua jangkitan tempatan itu antara tujuh kes influenza A (H1N1) baru yang dikesan di Malaysia dalam tempoh 24 jam lalu. Semua kes itu membabitkan warga tempatan. Enam kes yang dikesan adalah kes import, iaitu lima kes baru kembali dari Melbourne dan satu lagi kes baru kembali dari London.

Dr Mohd Ismail berkata, buat masa ini 30 daripada 42 kes yang disahkan positif influenza A(H1N1) masih dalam rawatan di hospital iaitu Hospital Sungai Buloh (12), Hospital Kuala Lumpur (8), Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (3), Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (2), Hospital Pulau Pinang (2), Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah (1), Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh (1), dan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang (1).

Semua diberi rawatan antivirus dan dalam keadaan stabil, katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh 24 jam lalu 75 notifikasi kes yang menunjukkan gejala jangkitan influenza diterima dari seluruh negara dan dimasukkan ke wad isolasi.

Sehingga 9 malam kelmarin, jumlah terkumpul kes yang disiasat kerana disyaki jangkitan influenza A(H1N1) adalah sebanyak 1,167 kes, di mana 42 kes disahkan positif influenza A(H1N1), 1,097 disahkan negatif dan 28 masih menunggu keputusan.

Seramai 44 orang bagi kontak kes ke-12 dan kontak kes ke-13 pula sudah tamat kuarantin di rumah, katanya.

Mohd Ismail berkata, kontak yang masih di kuarantin di rumah kini seramai 249 orang, termasuk 47 kontak baru dikesan.

“Semua yang menjalani kuarantin dalam keadaan stabil tanpa simptom jangkitan influenza,” katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan, sehingga 8 pagi semalam jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) yang dilaporkan ke WHO ialah 44,596 kes, dengan 180 kematian daripada 94 negara, iaitu pertambahan 4,507 kes dengan 13 kematian.

Majoriti kes dilaporkan dari Mexico (1,383), Kanada (865), Chile (790), United Kingdom (291) dan Thailand (208).

Bagi mengesan kontak kepada semua kes positif, Kementerian Kesihatan memohon kerjasama penumpang, anak kapal dan kontak kepada kes, terutama yang duduk di tiga barisan depan dan belakang, untuk menghubungi kementerian melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300 untuk membolehkan kementerian memberi nasihat kesihatan, termasuk keperluan kuanrantin di rumah.

Sementara pelajar Malaysia yang baru kembali bercuti di luar negara yang terjejas dengan wabak influenza A(H1N1) diminta untuk sentiasa mematuhi nasihat diberi.

“Mereka yang mula merasa kurang sihat atau ada tanda awal jangkitan seperti batuk dan demam hendaklah segera mendapatkan rawatan doktor dan mengurangkan pergaulan dengan rakan lain, termasuk menghadiri kelas di sekolah,” katanya.

Langkah itu bagi mengelak penularan penyakit di sekolah yang boleh membabitkan jumlah tinggi.

“Kementerian juga menasihatkan orang ramai menangguhkan perjalanan ke negara yang dilanda wabak, kecuali jika ia tidak dapat dielakkan,” katanya. — Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...