Sunday, June 21, 2009

Penggunaan dadah moden meningkat

KUALA TERENGGANU: Pengambilan dadah moden seperti ecstacy, pil kuda dan syabu dikesan menunjukkan peningkatan lebih lima peratus berbanding dadah tradisi seperti morfin dan heroin.

Dadah moden yang menjadi pilihan generasi muda itu juga membahayakan kerana boleh membawa kepada kecacatan dan kerosakan mental sehingga menyebabkan gila.

Ketua Penolong Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Putrajaya, Wan Adnan Wan Mohd Nor, berkata pil khayal itu sering digunakan samseng jalanan untuk berlumba di jalan raya kerana ia memberi rangsangan kepada mereka untuk bertindak berani di luar batasan dan sanggup melakukan apa saja.

“Kita dapati dadah seperti ini berkembang pantas disebabkan beberapa faktor, seperti murah dan mudah didapati. Kita juga berdepan kesukaran menentukan sama ada pil ini mengandungi dadah atau tidak kerana bentuknya seakan-akan sama dengan pil biasa.

“Justeru, kita mengadakan program sebegini bagi memberi kesedaran dan kefahaman kepada mereka. Kita harap masyarakat akan bangkit memerangi dadah dengan cara sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Program Gerak Gempur Dadah (Gempadah) Peringkat Daerah Kuala Terengganu di Pengadang Baru, di sini, semalam.

Menurutnya, menerusi pendekatan Komuniti Bebas Dadah, pihaknya menganjurkan 12 program utama iaitu Gempur Dadah, Hidayah (sempena hari kebesaran Islam) dan Remaja Anti Dadah (Rada) untuk remaja berusia 15 tahun ke atas.

Katanya, AADK juga mengadakan program untuk wanita iaitu Masyarakat Wanita Anti dadah (Mawaddah) sesuai dengan peranan ibu sebagai tunjang dalam keluarga.

“Mengikut statistik, Terengganu di tangga kesembilan atau ke-11 daripada segi penyalahgunaan dadah. Walaupun memuaskan setakat ini, ia perlu diperbaiki demi mencapai sasaran negara bebas dadah menjelang 2015.

“Sepanjang Januari hingga Mac tahun ini, seramai 62 orang ditangkap di Terengganu mengikut Seksyen 283 Akta Penagihan Dadah,”
katanya.

Wan Adnan berkata, golongan berusia antara 19 hingga 39 tahun dikesan paling banyak terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Justeru, katanya, AADK banyak memberi tumpuan kepada mereka dengan mengadakan program Rada dan Mawardah secara menyeluruh di semua peringkat supaya masyarakat memahami akibat dan kesan pengambilan dadah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...