Wednesday, June 24, 2009

Rahsia doktor palsu terdedah

SHAH ALAM - Seorang bekas pembantu klinik menerima pendapatan sebanyak RM5,000 sebulan dengan menyamar sebagai doktor sambilan di enam buah klinik di sini dan Bukit Sentosa sejak dua tahun lepas.

Bagaimanapun, kegiatan wanita berusia 47 tahun dan berasal dari Pulau Pinang itu terbongkar apabila dia ditangkap oleh polis di sebuah klinik di Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada 3 Jun lepas.

Khiron Mansor bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas dua pertuduhan menipu.

Dia didakwa memperdayakan seorang ketua jururawat Siti Zubaidah Baharun, 40, untuk mempercayai bahawa dia adalah seorang doktor bertauliah dan menerima bayaran upah berjumlah RM390 menerusi dua baucar bayaran bertarikh 2 September 2007 dan 31 Oktober 2007.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Klinik Bandaran di No.7, Jalan Utas C/15C di sini di antara 2 September 2007 hingga 31 Oktober 2007.

Khiron juga didakwa memperdaya seorang pembantu klinik Noor'ashikin Mat Ali @ Taharin, 38, untuk mempercayai dia adalah seorang doktor bertauliah dengan menyerahkan satu sijil Perakuan Amalan Tahunan (APC) milik orang lain kepadanya dan menerima bayaran upah sebagai doktor sambilan.

Tertuduh didakwa menerima bayaran itu melalui dua baucar wang tunai bertarikh 9 Mac 2008 dan 26 Mac 2008 berjumlah RM470 di Klinik Anis di No.17, Jalan Bunga Melur 2/1, Seksyen 2 di sini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0624&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...