Wednesday, July 22, 2009

50 pelajar UiTM Seri Manjung dikuarantin

IPOH: “Saya pergi ke Pusat Kesihatan Universiti (PKU) untuk menjalani ujian saringan wabak itu dan hasil pemeriksaan mendapati suhu badan saya melebihi 38 darjah selsius dan pihak PKU bertindak untuk mengkuarantin saya kerana disyaki menghidap penyakit itu.

“Bagaimanapun, beberapa jam kemudian saya dibenarkan keluar kerana tidak mengalami demam, tetapi rakan lain masih dikuarantin,” kata seorang pelajar semester empat Universiti Teknologi Mara (UiTM), Seri Iskandar kira-kira 60 kilometer dari sini yang dikuarantin kerana disyaki mengalami simptom virus Influenza A (H1N1).

Dia yang enggan namanya disiarkan, berkata kebanyakan pelajar mula panik sejurus mendengar berita penularan penyakit H1N1 di kampus mereka.

Kebimbangan mengenai penularan wabak itu mendapat perhatian kerajaan negeri yang akan melakukan siasatan berhubung perkara itu.

Exco Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata setakat ini beliau belum mendapat laporan sah mengenai perkara terbabit.

“Saya sudah menghubungi pihak berkenaan yang menyatakan 50 daripada pelajar universiti terbabit dikuarantin.

“Kami akan menyiasat perkara itu lebih lanjut bagi mendapatkan pengesahan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Bagaimanapun, Dr Mah enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu dan meminta supaya semua pihak bertenang sehingga siasatan dijalankan.

Menurut pelajar semester empat terbabit, dia dan rakannya mengikuti rombongan kursus ke Kelantan selama tiga hari pada Jumaat lalu dan apabila pulang ke kampus seorang daripada rakannya mempunyai simptom penyakit itu.

“Rakan saya dikuarantin kerana menunjukkan simptom penyakit itu dan dia kini dihantar pulang ke rumahnya di Kedah,” katanya.

Dia berkata, pelajar mula mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai topeng muka selain mengehadkan pembabitan mereka dengan aktiviti luar.

Sementara itu, seorang tenaga pengajar di situ, yang juga enggan dikenali, berkata ketika sesi kokurikulum pagi semalam beliau mendapati ada dua pelajarnya tidak menghadiri sesi pembelajaran.

Beliau berkata, selepas disiasat mendapati dua pelajar lelaki itu dikuarantin kerana disyaki mempunyai simptom penyakit itu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...