Wednesday, July 22, 2009

Lima gugusan lagi wabak H1N1

Jul 22, 09 2:41pm
Wabak selesema A (H1N1) terus menular dengan lima kejadian gugusan kes di Kuala Lumpur, Seremban, Limbang dan Permatang Pauh.

Lapan kes daripada 1,177 pelajar dan kakitangan Kolej Winfield International dan tujuh lagi di kalangan 3,095 pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Maktab Tentera Diraja (RMC), Sungai Besi - kedua-duanya di Kuala Lumpur.

Tiga kes lagi melibatkan SMK Seremban 2 yang mempunyai 1,276 pelajar dan kakitangan, di samping sepuluh kes di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Bukit Mertajam yang mempunyai 5,664
pelajar.


Selain itu, sepuluh kes daripada 1,011 pelajar SMK Kubong, Limbang, Sarawak.

Semuanya 38 kes di lima gugusan kejadian wabak itu termasuk dalam 44 kes terbaru yang disahkan hari ini. Selain tiga kes import dari Brunei, tiga lagi kes tempatan dianggap kes tersendiri (sporadic).

"Daripada 44 kes baru ini, hanya dua yang dirawat di hospital dengan rawatan antivirus. Baki kes dirawat sebagai pesakit luar dengan rawatan simptomatik," kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam kenyataan media hari ini.

Setakat ini, Malaysia merekodkan 921 kes - 572 kes import dan 349 jangkitan tempatan tanpa sebarang kematian.

Tambahnya, kadar kes kematian influenza A (H1N1) 0.56 peratus atau satu kes kematian bagi tiap 180 kes dan berbanding dengan kadar kematian kes denggi di Malaysia iaitu 0.25 peratus atau satu kes bagi setiap 500 kes.

Seorang pesakit yang dijangkiti virus wabak itu masih dirawat unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh tetapi sudah beransur pulih, namun masih belum dibenarkan keluar dari unit berkenaan.

Dr Mohd Ismail berkata, ketika ini terdapat 11 pesakit atau dua peratus sedang menerima rawatan antivirus di hospital, manakala baki 909 pesakit atau 97 peratus telah sembuh.

Empat kes lagi (atau satu peratus) sedang menerima rawatan pesakit luar di rumah masing-masing.

http://www1.malaysiakini.com/news/109040

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...