Tuesday, August 18, 2009

28 kes dikesan

Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@hmetro.com.my


SERDANG: Tiga lagi korban baru termasuk seorang kanak-kanak sindrom down meninggal dunia berikutan dijangkiti Influenza A (H1N1), menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat serangan wabak berkenaan di negara ini meningkat kepada 62 orang.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu yang turut menghidap penyakit jantung berlubang, dimasukkan ke hospital 9 Ogos lalu selepas dua hari dikesan mengalami simptom H1N1, namun meninggal dunia Khamis lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata dua lagi mangsa membabitkan seorang lagi kanak-kanak berusia tiga tahun dan lelaki (50 tahun).

“Kanak-kanak berusia tiga tahun itu meninggal dunia disebabkan pneumonia yang teruk, manakala lelaki 50 tahun berkenaan pula akibat septisemia dengan pneumonia yang teruk. Kedua-dua mereka meninggal dunia Jumaat lalu.

“Dengan tiga kematian terbaru itu menjadikan sebanyak 283 kes baru dikesan dan sejumlah 3,857 kes disahkan positif H1N1 setakat ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Sihat Sepanjang Hayat Kawasan Serdang, di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, Serdang Baru 1, semalam.

Mengulas lanjut, Liow berkata, setakat ini daripada 283 kes baru itu, sebanyak 213 pesakit masih dirawat di wad biasa dan 33 lagi di rawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Sebanyak 16 kes mempunyai faktor berisiko membabitkan tujuh penyakit kronik, asma (tiga), obesiti (dua), kecacatan otak (dua) dan masing-masing satu yang sedang hamil serta lepas bersalin,” katanya.

Mengulas kerjasama di kalangan orang ramai terutama pesakit mengalami simptom H1N1 untuk mengawal penularan wabak berkenaan, beliau berkata, masih ramai yang mengabaikannya.

“Di bawah Seksyen 12 (1) Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988, sesiapa yang mengetahui sesuatu penyakit boleh merebak kepada orang awam dan sengaja tidak mengendahkan larangan dikuarantin hingga menyebabkan orang lain dijangkiti, boleh didenda sebanyak RM2,000 atau dikenakan penalti maksimum sehingga RM10,000 atau dipenjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Oleh itu, segeralah ke klinik atau hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan jika didatangi simptom H1N1. Saya juga ingin nasihatkan doktor supaya tidak berlengah untuk memberi antiviral kepada pesakit bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090817075051/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...