Tuesday, August 18, 2009

Setimpal pengorbanan isteri

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Biar nilainya tinggi (bayaran ganti rugi) kerana inilah harga pengorbanan seorang isteri,” kata Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai wanita yang membuat tuntutan hingga jutaan ringgit daripada bekas suami apabila berlaku perceraian sekali gus dipersoalkan sama ada menuntut hak, ambil kesempatan atau tamak.

Noor Aziah berkata, masyarakat tidak wajar mempersoalkan tuntutan bernilai tinggi kerana mutaah atau merujuk kepada bayaran ganti rugi kerana dicerai tanpa sebab adalah hak seorang wanita.

Katanya, bekas suami sepatutnya sedar pengorbanan isteri yang diceraikan, malah jika dihitung ia tidak ternilai dengan kesanggupan wanita melahirkan anak dan memperhambakan diri pada rumah tangga.

“Sebenarnya pengorbanan isteri lebih mahal daripada apa yang mereka peroleh selepas bercerai, sebab itu mutaah penting apatah lagi ia hak wanita dengan akhirnya dibayar sebagai pengorbanan harta perkahwinan.

“Kalau diikutkan tidak ramai wanita tahu mengenai kepentingan mutaah ini, namun sekarang semakin berubah dan wanita makin sedar hak mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Metro Ahad semalam melaporkan sepanjang tahun lalu hingga Ogos tahun ini, tujuh perceraian membabitkan pemimpin politik, ahli perniagaan dan artis boleh dianggap paling mahal dan elit apabila jumlah keseluruhan tuntutan mereka melebihi RM7 juta.

Tuntutan paling tinggi dibuat Siti Aishah Chou Abdullah, 24, iaitu bayaran mutaah RM3 juta daripada bekas suaminya, Wan Ismail Wan Jusoh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor, Kelantan.

Noor Aziah yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam (MPWIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), berkata mutaah yang dibayar suami perlu seimbang dengan pengorbanan isteri.

“Ini termasuklah berapa lama mereka hidup bersama dengan tanggungan anak, semua kena seimbang supaya isteri diceraikan mampu memulakan hidup baru dengan lebih baik berdasarkan wang mutaah itu.

“Perundangan kita tidak menetapkan berapa wajib dikenakan mutaah, tetapi kalangan peguam syarie selalu berbincang supaya serendah-rendah mutaah biarlah RM3 sehari, apapun tertakluk hakim yang memutuskan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan wanita yang menjadi mangsa bekas suami tidak membayar mutaah mengikut persetujuan, supaya merujuk kes berkenaan ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, sudah menjadi tanggung jawab bekas suami menjelaskan mutaah, bayaran edah dan nafkah anak apabila bercerai, justeru mereka tidak boleh lari daripada melunaskan tuntutan itu.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090817075324/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...