Saturday, February 20, 2010

Lari ikut ‘abang Jo'

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/02/16

GOMBAK: Godaan selain ilmu pengasih diamalkan seorang buruh binaan warga Indonesia dipercayai menjadi punca seorang gadis, Norlaili Afizah, 19, termakan pujukan sehingga sanggup melarikan diri meninggalkan keluarga serta ibu yang sakit gara-gara diajak kahwin lari di tanah seberang.

SAYU..Rokiah sebak membaca surat  Norlaili sambil diperhatikan Mustapa.
SAYU..Rokiah sebak membaca surat Norlaili sambil diperhatikan Mustapa.
LARI...Norlaili  yang dilarikan buruh binaan warga Indonesia.
LARI...Norlaili yang dilarikan buruh binaan warga Indonesia.
Difahamkan, kehilangan mangsa yang disifatkan ahli keluarga sebagai anak yang baik mencetuskan tanda tanya berikutan mangsa amat patuh terhadap ibu bapa selain menjaga ibunya, Rokiah Ratih 50, yang menderita penyakit di bahagian otak sejak 10 tahun lalu.


Abang mangsa, Mustapa Kamal Omar, 26, berkata, kehilangan adik kesayangannya itu bersama seorang pemuda warga Indonesia bernama Sarjo cukup membuat mereka sekeluarga menderita, apatah lagi bapa dan adik yang lain kerap menangis sejak Norlaili hilang Jumaat lalu.


Menurutnya, kehilangan Norlaili hanya disedari selepas adiknya itu tidak pulang ke rumah mereka di Kampung Setia Jaya, Setapak di sini sehingga jam 7.30 malam.


“Pada mulanya, adik saya itu hanya memberitahu ingin pergi ke rumah rakannya kira-kira jam 11.20 pagi, namun tidak pulang ke rumah sehingga kini manakala telefon bimbit miliknya gagal dihubungi.


“Saya dan ayah, Omar Mahmud, 55, berusaha mencarinya hingga ke Kampung Kemensah, Hulu Klang berikutan ada maklumat mendakwa seorang lelaki Indonesia bernama Sarjo bertanggungjawab melarikan adik saya,” katanya.

Namun usaha itu gagal sebelum mereka menerima beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) memeranjatkan dihantar Norlaili yang memaklumkan berada di Johor Bahru dan dalam perjalanan menaiki feri ke Indonesia.


“Melalui SMS berkenaan, Norlaili turut memberitahu ada meninggalkan surat dalam kotak pisau yang disimpan dalam laci di dapur bagi memaklumkan pemergiannya.


“Berdasarkan surat berkenaan, Norlaili berulang kali meminta maaf kepada kami dan memberitahu ingin ke Indonesia bersama ‘abang Jo’ untuk berkahwin di sana. Dia memberitahu terpaksa kahwin lari kerana yakin hubungan mereka tidak direstui keluarga,” katanya.


Menurutnya, adiknya itu turut meminta ahli keluarga tidak bimbang dan berjanji akan pulang ke Malaysia suatu hari nanti.


“Kandungan surat itu cukup menghiris hati kami sekeluarga yang selama ini amat menyayanginya. Saya yakin ada ‘sesuatu’ yang dilakukan terhadap adik saya itu hingga fikirannya dikawal dan sanggup melarikan diri. Saya yakin adik saya tidak sanggup melakukan perbuatan itu kerana dia cukup manja dan tidak pernah membelakangkan keluarga dalam apa perkara sekalipun.


“Norlaili anak keempat daripada lima beradik dan tidak pernah sesekali keluar malam dan kini sedang menunggu tawaran bagi melanjutkan pelajaran ke Institut pengajian Tinggi Awam (IPTA),” katanya yang sudah membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati di sini.


Menurutnya, adiknya itu berkemungkinan dipikat seorang buruh binaan warga Indonesia yang sebelum ini pernah bekerja di tapak pembinaan kondominium di seberang jalan rumah mereka beberapa tahun lalu.


“Mungkin kesempatan itu diambil lelaki warga Indonesia itu untuk memikat adik saya yang ketika itu cukup mentah,” katanya dengan linangan air mata.


Difahamkan, Norlaili kali terakhir dilihat keluar dari rumah membawa beg tangan dengan memakai baju kemeja hitam-kuning berlengan panjang dan berseluar jeans serta bertudung hitam.


Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai adiknya diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi talian 016-2690277.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lariikut__8216_abangJo/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...